Bhuvarloka

Menurut purāṇa-purāṇa, terdapat sebanyak 14 loka atau alam dalam jagat ini. Umumnya, alam-alam ini digelar sebagai Caturdaśabhuvana. Daripada kesemua 14 loka ini, enam loka berada di atas bumi kita ini atau bhuloka. Tujuh loka lagi berada di bawah alam bumi. Umumnya, Bhuvarloka adalah alam yang pertama sekali dalam rentetan alam-alam di atas bumi. Ia merangkumi ruangan antara bumi sehingga ke matahari. Alam ini didiami oleh para muṇi dan para siddha.

Loka di mana kita sedang hidup ini disebut sebagai Mṛtya Loka. Di bawah alam kita ini ada Preta Loka iaitu alam di mana jiwa yang sudah terlepas dari kurungan raganya berehat selama 10 hari bagi menjawab soal-siasat dari Tuhan. Seterusnya ada Naraka Loka iaitu alam neraka di mana pendosa dihukum atas perbuatan keji mereka semasa jiwa dikandung tubuh.

Di atas alam kita ini, terdapat Pitru Loka iaitu alam nenek moyang kita. Alam ini adalah alam kediaman jiwa-jiwa yang melakukan perbuatan kebajikan dan perbuatan yang buruk semasa kehidupan mereka. Ia adalah alam pertengahan di antara kebajikan dan keburukan.

Semua empat loka ini digelar sebagai Avantara Loka atau alam di bawah Bhuloka. Di atas Bhuloka itu adalah Bhuvarloka atau Jyotirloka, iaitu rantau bintang-bintang. Di atas Bhuvarloka, ada Svarloka yang menjadi alam kebajikan atau Sorga. Alam-alam atas ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia biasa. Hanya nikmat ilahi sahaja yang membolehkan seseorang itu melihat alam-alam ini.  

Rujukan
  • Śrī Datta Swami (online)
  • Parabrahma Sūtra (blogspot)
  • Śrī Datta Swami, Rohaniah Sejagat untuk Keamanan Dunia, Intipati Gita dan Veda-Veda (online)