Isnin, 13 Oktober 2014

Agama Hindu

Om Svasti Astu!


Kepercayaan itu membentuk pandangan serta sikap seseorang dalam menanggapi kehidupan, yang seterusnya memberi panduan pula buat bertindak. Kepercayaan terhadap hal-hal yang ghaib seperti Tuhan, jiwa dan brahmāa (kosmos) sangat penting untuk mendekati kehidupan. Seseorang Hindu itu mempercayai banyak perkara namun, terdapat beberapa perkara yang dipersetujui oleh semua berkenaan dengan konsep-konsep kepercayaan umum.

Perkara Penting dalam Hindu Dharma

Asas-Asas Hindu Dharma
Pujavali dan Perayaan Hindu

Pecahan-Pecahan Hindu Dharma

Agama Hindu merupakan agama dominan atau sejenis cara kehidupan yang terbentuk di benua kecil India dan di India Hulu, melibatkan Indochina dan Indonesia. Ia melibatkan beberapa tradisi yang utamanya seperti tradisi:
Ia turut membicarakan mengenai tatasusila seharian berdasarkan kepada doktrin-doktrin karma (amal baik dan buruk), dharma (fitrah alam), serta norma-norma hidup bermasyarakat dan bersendirian. Agama Hindu bukan seperti agama Kristian atau agama Islam. Ia merupakan pengalaman yang dilalui oleh penganut-penganutnya yang mendiami tamadun Hindu di rantau benua kecil India, India Hulu dan India Kepulauan (Nusantara). Ia boleh dikelaskan mengikut kategori-kategori pandangan semesta (weltenschaung) serta keintelektualan yang tersendiri.

Agama Hindu digelar sebagai agama tertua di dunia, namun pengamal-pengamal tradisinya merujuknya dengan rujukan Sanātana Dharma, undang-undang jagat raya melampaui kewujudan bangsa manusia. Ia memberi petunjuk menerusi kitab-kitab suci mengenai dharma, atau tanggungjawab yang bersifat fitrah tersurat dan tersirat dalam kehidupan bangsa manusia tanpa mengira jati kelahiran, kedudukan, tradisi dan lain-lain, misalnya nilai-nilai kesucian jiwa, kejujuran, dan disiplin-disiplin rohani.

Sarjana-sarjana Barat melihat agama Hindu sebagai satu sintesis dan bentuk gabungan pelbagai agama, budaya, dan tradisi penduduk di benua India. Oleh itu, tidak boleh ditentukan siapa yang memulakan agama Hindu seperti agama Yahudi, Islam atau Kristian yang dimulakan di bumi, oleh Abraham dari Šumeru, di selatan Mesopotamia. Ciri-ciri agama Hindu yang melibatkan unsur-unsur alam mempunyai beberapa persamaan dengan pengikut agama-agama Sabian di Timur Tengah dan pengikut agama-agama Caucasus seperti pengorbanan (yajña) menerusi api yang turut dijalankan oleh orang Parsi.

Sintesis agama-agama membentuk agama Hindu seperti kini, sudah pun berlaku di benua India semasa zaman permulaan kehidupan tokoh agama Kristian, iaitu Jesus. Kemudian, ia wujud bersama-sama dengan ajaran Buddha untuk beberapa abad lamanya seperti yang terpamer di Srivijaya, Majapahit, India, Nepal dan di Pakistan. Sintesis agama ini melebar dari India Utara serta sistem masyarkat bertamadun menurut Arya Dharma ini melebar ke India Selatan, Indochina dan Indonesia.

Semenjak abad ke-19 M, bawah pengaruh kolonialisme Barat serta cabang disiplin akademik mereka, Indologi, istilah Hinduisme digunapakai dengan lebih meluas untuk merujuk kepada agama serantau yang mempunyai tradisi tersendiri. Selain itu, pemahaman popular mengenai Hinduisme dikuasai oleh "Modernisme Hindu" yang menekankan kepada aspek-aspek mistik dan kesatuan semua tradisi serta falsafah orang Hindu.

Ketika abad ke-20 ini, ideologi Hindutva muncul dan berperanan sebagai kuasa pemacu politik serta sumber kepada jatidiri kebangsaan di Republik India. Dari segi ini, tinta kita suka sekali mengingatkan pengikut agama-agama Hindu di Nusantara supaya teguh menghormati identiti di bumi anda serta ajaran-ajaran pendita purba anda sekelian. Di samping itu, berhubunglah juga dengan pengikut Hindu Dharma dari rantau lain supaya anda tidak ketinggalan.

Pengamalan tradisi kebudayaan dan keagamaan seseorang Hindu itu adalah seperti:
  • puja dan pembacaan japa mantra.
  • perayaan tahunan serta pengodalan di pura (kuil).
  • berdharma yatra iaitu mengunjungi tempat-tempat suci
Beberapa kelompok orang-orang zahid keluar dari dunia orang awam, seterusnya melibatkan diri dalam kegiatan rohaniah untuk mencapai moksha serta membantu orang awam lain menerusi pengajaran mereka.

Teks-teks Hindu yang utama boleh dikelaskan kepada:
  • Śruti, yang diwahyukan menerusi deva-deva.
  • Smti, yang dihafal dan diwariskan turun-temurun
Teks-teks utama yang mesti diketahui oleh setiap anak Hindu yang dvija itu seperti:
  • Veda-Veda
  • Upanishad
  • Mahabharata
  • Ramayana
  • Cetera-cetera Purana
  • Undang-undang Manu
  • Agama-agama dari kelompok Smriti.
Untuk mereka yang kurang berkesempatan atas sebab hambatan-hambatan persekitaran, untuk mendalami tradisi kita itu, cukup sudah dengan menatap Bhagavadgita dan cuba mengamalkannya semampu mungkin.

Kemudahan teknologi itu, sewajarnya dimanfaatkan demi kelestarian tradisi keluarga tuan-tuan. Jangan dibiarkan anak-anak terkontang-kanting tidak diberi pedoman. Kelak, balian pitruyajña untuk tuan-tuan kosong, tuan-tuan pun merana di kayangan sana mahu pun di neraka.

Sempena perayaan cahaya Dipavali ini, kita akan cuba untuk memperbaiki perkongsian supaya lebih tersusun dan bermanfaat untuk rakan-rakan budiman di Nusantara dengan berkongsi sepenuhnya mengenai Hinduisme. Semoga berbahagia selalu di samping yang tersayang hendaknya.

Satya Śiva Sundara... O Śanti Śanti Hi!