Memaparkan catatan dengan label yunani. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label yunani. Papar semua catatan

Rabu, 29 Januari 2014

Suku Yavana: Rujukan Sastera Hindu


Kata Yavana dalam bahasa Sanskerta atau bahasa Pali nya, Yona, sebenarnya diperguna buat merujuk penutur bahasa Greek. Kata ini merupakan sebutan bagi kata Ionia, Iaones atau Iawones dalam bahasa Yunani lama. Jadi, kalau ada sesiapa yang merasa bahawa dongeng "kemaharajaan Srivijaya" dikaitkan dengan orang Greek atau Macedonia itu sebagai dongeng sahaja mungkin perlu buat lebih banyak penelitian lagi lah... Kita tak boleh terikat dengan teori dan bukan teori pun...

Sebutan Sumber Hindu

Yavana disebut dalam perbincangan Buddha, "Perbincangan Pepatah Panjang Pertengahan", yang mana baginda Buddha menyebut kepada Brahmana Assalayana dan kewujudan orang Yavana dan orang Kambuja yang hanya ada dua jati sahaja, iaitu jati tuan dan hamba. Pengenalan terus kata, "Yavana" dengan orang Yunani pada samaya yang begitu awal (kurun ke-6 dan ke-5 SM) bolehlah diragui.  

Contoh perkaitan terus antara orang Greek dan orang Yavana adalah:
  • Sebutan, "Raja Yona, Antiochus" dalam Piagam Asoka (280 SM).
  • Sebutan, "Raja Yona, Antialcidas" dalam Tiang Heliodorus dalam Vidisha (110 SM).
  • Raja Menander dan pengawal baginda, "500 orang Yona" dalam Milinda Panha.
  • Gambaran horasastram Yunani dengan sabdavali Yunani dalam Yavana Jataka atau Cetera Yavana (150 SM).
  • Sebutan "Alexandria, kota orang Yavana dalam Mahavamsa, bab ke-29 (kurun ke-4 M).
Dalam sumber Hindu, penggunaan kata-kata Yona, Yauna, Yonaka, Yavana atau Javana, muncul berulang dan khususnya juga berkaitan dengan kerajaan-kerajaan Yunan yang berjiran atau kadangkala menguasai rantau India Barat Laut (termasuklah Afghanistan dan bahagian Pakistan) untuk beberapa lama dalam satawarsa dari kurun ke-4 SM sampai ke-1 M. Contohnya empayar Seleucid, kerajaan Greco-Bactria, dan kerajaan Indo-Greek. 

Orang Yavana disebut dengan lanjut dalam sastera Sangam seperti Pattinappalai, yang menceterakan hubungan dagang orang Yavana dengan wangsa Chola dalam Tamilagam.

Penaklukan Alexander kemudiannya mewujudkan penempatan bangsa Yavana di sebelah timur empayar Achaemenid (Parsi). Mereka berjiran dengan orang Kambuja (Arya). Rujukan dalam sastera Buddha awal boleh dikaitkan dengan ini semua dan sama.  

Peranan dalam Penyebaran Ajaran Buddha

Piagam Phra Janaka, Asoka (250 SM)

Maharaja Asoka merujuk kepada penduduk Yunani dalam jajahan baginda. Piagam batu V dan XIII menyebut bahawa suku puak Yona (Yunani) bersama dengan orang Kambuja dan Gandhara sebagai rakyat baginda yang membentuk sempadan kerantauan bagi empayar baginda dan memberi kesaksian juga bahawa baginda menghantar rajaduta baginda yang berketurunan Yunani kepada raja Yunani di Barat sana sejauh di rantau Mediterranean, dan menamakan mereka satu demi satu.

Dalam Piagam Batu Gandhari Asli ke-XIII, raja Yunani di Barat pun turut dikaitkan dengan sabdavali Yona. Raja Antiochus dirujuk sebagai, "Atiyako nama Yonaraja" iaitu "Raja Yunani bernama Sang Antiochus". Pada sebelum baginda itu ada empat raja lain lagi, "Param ca tena Atiyokena cature rajani Turamaye nama Atikini nama Maka nama Alikasudaro nama". Ertinya, "Raja lain sebelum Antiochus itu adalah, Ptolemy, antigonos, Magas dan Alexander".   

Dipavamsa dan Sasanavamsa

Sastera-sastera ajaran Buddha ini mendedahkan bahawa selepas Majlis Penganut Buddha ke-3, Thera Maharakshita dihantarlah ke negara bangsa Yona dan beliau itu diarahkan mengajarkan Dharma Vinayam kepada orang Yona dan Kambuja, dan pada masa yang sama juga, seorang orang tua-tua bangsa Yona, Thera Dharmarakshita pun dihantar ke negara Aparantaka di Barat India.

Piagam Batu Asoka XIII juga menggabungkan bangsa Yona dan bangsa Kambuja dengan kata, "Yonakambojesu" dan menyatakan bahawa terdapat pengikut aliran Brahmana dan juga Sramana dalam seluruh rantau di ceruk jajahan baginda, namun tiadalah pula kedua-dua aliran ini di tanah-tanah orang Yona dan Kambuja.

Mahavamsa

Mahavamsa ini merupakan Babad Agung Langkadwipam, merujuk kepada Thera Maharakshita dihantar kepada negara Yona buat mengajar Dharma Vinayam dan juga Thera Dharmarakshita orang Yona, dihantar ke Aparanta di Penghujung Barat sempadan negara buat mengajar agama untuk bangsanya.

Babad ini sebenarnya terkenal di Selatan Thailand dan juga di rantau Utara Tanah Melayu. Ada juga sadurannya yang sudah menjelma menjadi bentuk cetera lanjutan dikenali sebagai Hikayat Merong Mahawangsa pun yang menjelaskan mengenai perkara yang terjadi di rantau penganut ajaran Buddha-Brahmana di Segenting Kra dan Utara Malaya. 

Ia menyebut bahawa raja Panduka Bhaya mengasingkan sebahagian dari kota Anuradhapura buat diduduki bangsa Yona. Thera bangsa Yona lain pula, Mahadharmarakshita, disebut juga didatangkan dari kota Alexandria (mungkin sekitar Pakistan moden) bagi menghadiri pembinaan Ruwanweliseya.

Milinda Panha

Milinda Panha bab ke-1 menyatakan bahawa raja Yonaka (Yunani), raja Menander (160-135 SM) selalu sahaja diikuti oleh pengawal baginda 500 orang banyaknya dan semuanya berbangsa Yona.

Penjarahan Bharata

Vanaparava dari Mahabharata mengandungi sloka-sloka dalam bentuk ramalan yang menyatakan bahawa, "... raja-raja mleccha dari lima bangsa, Saka, Yavana, Kambuja, Bahlika dan lain-lain akan memerintah bumi (Bharat atau India) dengan tidak adil tiada dharma pada Kaliyugam..." Rujukan ini kemudian terjawab juga apabila terjadinya senario politik yang huru-hara berikutan kejatuhan empayar Maurya dan wangsa Sunga di Utara India serta kemudiannya ia ditakluki oleh lima bangsa liar, Yavana, Kambuja, Saka dan Pahlava...

Ada rujukan penting juga merujuk kepada puak-puak berperang dari bangsa Saka, Yavana, Kambuja, Pahlava dan lain-lain dalam Bala Kandam dari Valmiki Ramayana. Sarjana pengajian Kehinduan seperti Dr. H. C. Ray Chaudhury, Dr. B. C. Law, Dr Satya Srava dan lain-lain memandang sloka-sloka itu sebagai gambaran jelas mengenai pergelutan orang Hindu dengan bangsa-bangsa bersekutu, Saka, Yavana, Kambuja, Pahlava dan lain-lain dari Barat Laut. Jangkamasa pergelutan itu semua dikira dari kurun ke-2 SM ke bawah. Dr. Ray Chadhury menetapkan tanggal bagi versi Valmiki Ramayana sekarang ini kira-kira sekitar kurun ke-2 M atau selepasnya.

Catitan India lain menggambarkan bahawa orang Yavana (Yunani) pada 180 Sm menyerang kota Saketa, Panchala, Mathura dan Pataliputra, kemungkinannya cuba menjatuhkan empayar Sunga, dan kemungkinan juga sebab ingin mempertahan ajaran Buddha dan penganut ajaran Buddha yang dianiaya.

Sebutan utama mengenai penaklukan disebut oleh Patanjali pada 150 SM dan dalam Yuga Purana, seperti juga dalam Mahabharata, menggambarkan kejadian bersejarah dalam India purwa dalam bentuk ramalan:
"Selepas menguasai Saketa, negara Panchala dan Mathura, orang Yavana, licik tetapi berani pula, akan sampai ke Kusumadhvaja (kota panji bunga, Pataliputra). Kubu tambunan lumpur di Pataliputra pun dicecahnya, semua negeri pun kacau-bilau gempar, tanpa ragu lagi... Akhirnya, peperangan besar terjadi, bagaikan pokok dilibas-libas". 
"Orang Yavana akan mengarah, raja-raja pula menghilang. Namun nanti, bila orang Yavana gila berperang mabuk darah, maka tidak akan berdiam di Madhadesam (negara tengah) lagi; pastilah akan jadi perang saudara pula sesama mereka, tercetus dalam negara mereka sendiri (Bactria, Afghanistan). Teruklah nanti perang itu menakutkan!
Anushasanaparava dari Mahabharata mengesahkan bahawa negara Mathura, jantung India purwa, kemudian diperintah dalam pengawalan bersekutu tentera Yavana dan Kambuja. Dari rujukan yang dinyatakan itu, nampak dengan pasti bahawa penaklukan Majjhimadesa (India Tengah) sebenarnya dijalankan dengan kerjasama dua bangsa, Yavana dan Kambuja. Orang Yavana sebenarnya cuma puak asing yang kecil sahaja bilangannya dan mereka mendapat sokongan puak Kambuja pula dari segi ketenteraan selain bangsa Kambuja memang terkenal jenis bangsa suka berperang. Bukti dari Prasasti Simhapura Mathura, dari Saka Satrap (Mahakshatrapa), Rajuvula turut mendokong pandangan ini. Penaklukan Madhadesa itu kemudian diikuti oleh pemerintahan Yavana selama dua kurun pula. Orang Yavana memerintah bersama dengan orang Kambuja.  

Rujukan Lain

Pada 110 SM, Tiang Heliodorus di Vidisha, India Tengah, raja Antialcidas, menghantar rajaduta ke istana raja Sunga, Bhagabhadra, yang juga layak sebagai bangsa "Yona".

Mahavamsa pun menyaksikan juga penempatan orang Yona di Anuradhapura di Langkadvipam, yang turut menyumbang kepada perdangan Timur-Barat.

Sastera Buddha seperti Sumangala Vilasini menggolongkan bahasa Yavana (Yunani) sebagai Mlecchabhasa atau bahasa tak suci.

Isnin, 19 September 2011

Kerajaan Indo-Yunani 180 SM - 10 M dan Matawang

Artikel terjemahan Northern Gate

Matawang perak menggambarkan raja Demetrius I dari Baktria memakai gading gajah lambang penaklukannya ke atas benua India tahun 180 SM

Orang Yunani Baktria telah menguasai beberapa bahagian India Utara dari tahun 180 SM, ketika itu mereka dikenali sebagai Indo-Yunani. Mereka menguasai kawasan tersebut sehingga abad ke-10 M. Ajaran Buddha makmur di bawah raja-raja Indo-Yunani. Ada juga dikemukakan bahawa penaklukan ke India dijalankan demi melindungi ajaran Buddha dari dibantai oleh dinasti baru di India iaitu dinasti Sunga (185-73 SM). Dinasti Sunga telah menjatuhkan dinasti Maurya. 

Wang Pitis

Wang Drakhma raja Yunani, Menander "Raja Penyelamat" memrintah antara 160-135 SM

Pitis dari raja Indo-Yunani, raja Menander yang bertakhta dari 160-135 SM ditemui dari Afghanistan sehinggalah ke India tengah. Dalam matawang itu ada chap "Raja Penyelamat Menander" dalam bahasa Yunani di depannya. Beberapa orang raja Indo-Yunani selepas Menander seperti Zoilos I, Strato I, Heliokles II, Theophilos, Peukolaos, Menander II, dan Archebios juga mempunyai gelaran mereka sendiri pada matawang mereka iaitu gelaran "Maharajasa Tharmmika" maksudnya "Raja Dharmma" dalam bahasa Prakrit bertulisan Kharosthi.

 Matawang zaman raja Menander dengan lambang Dharmmachakra dan pelepah kejayaan

Setengah matawang Menander I dan Menander II ada menggabungkan lambang Buddha iaitu Dharmachakra Lapan Cabang dengan lambang kejayaan seperti pelepah kejayaan atau kalungan kejayaan diserahkan oleh dewi Nike. Menurut Milinda Pannha, penghujung takhta Menander I menjadi seorang Arahant, seperti juga yang disebut oleh Plutarch yang menerangkan tentang sharira raja itu dikongsi bersama dan dichetiyakan.

Lambang bentuk tangan witarka mudra di matawang Yunani benua India. Yang atas tu dewa Zeus di kanan dan dewa Tyche di kiri. Yang bawah tu gambaran raja Yunani India Nicias dan Menander II

Lambang gajah yang wujud merata-rata dalam matawang Indo-Yunani juga dikaitkan dengan ajaran Buddha, seperti yang terlihat pada matawang Antialcidas dan Menander II yang mana gajah dalam matawang Antialcidas mempunyai hubungan yang sama dengan dewa Zeus dan dewi Nike seperti juga Dharmmachakra Buddha pada matawang Menander II.

Apabila orang Indo-Parthia beragama Zarathustra menakluki India utara dalam abad pertama masehi, mereka juga memakai banyak unsur dalam matawang Indo-Yunani tetapi meninggalkan penggunaan gajah menunjukkan bahawa ia tidak sahaja membawa maksud muka bumi.

Akhir sekali selepas pemerintahan Menander I, beberapa orang pemerintah Indo-Yunani seperti Amintas, raja Nikias, Peukolaos, Hermaeus, Hippostratos, dan Menander II, menggambarkan diri mereka atau dewa-dewi mereka dengan tangan kanan membentuk lambang rahmat serupa dengan lambang witarka mudra Buddha. Lambang ini melambangkan penyebaran ajaran Buddha.



Sabtu, 17 September 2011

Kehadiran Orang Yunani di Baktria 325-125 SM

Bandar Baktria Yunani, Ai Khanoum (300-145 SM) dekat pintu masuk ke India

 Iskandar Makadonia ada membangunkan beberapa bandar di Baktria seperti Ai Khanoum dan Begram. Ada pentadbiran di situ yang beralngsung selama dua abad di bawah kerajaan Seleukid dan kerajaan Baktria Yunani. Jadi mereka ini mempunyai hubungan terus berabad lamanya dengan wilayah India purba.

Puak Yunani ada menghantar duta ke istana empayar Maurya, seperti ahli sejarah Megasthenes berkhidmat untuk Chandragupta Maurya, dan kemudian Deimakos semasa zaman Bindusara anak Chandragupta. Deimokos membuat laporan panjang mengenai ketamadunan Hindu. Megasthenes pula ada hantar laporan lengkap mengenai agama-agama Hindu yang disebarkan dan diambil guna untuk pengajian dunia berabad-abad lamanya.

"Megasthenes membuat pembahagian dua jenis ahli falsafah iaitu Brakhmanes dan satu lagi Sarmanes..." - Strabo XV. 1. 58-60

Baktria Yunani mengekalkan kebudayaan Hellen yang kuat di pintu masuk ke India purba ketika zaman Maurya, sebagai yang ditunjukkan dalam carigali purba di Ai-Khanoum. Apabila empayar Maurya dijatuhkan oleh orang Sunga sekitar 180 SM, orang Yunani Baktria masuk ke India, dan menjalankan kerajaan Indo-Yunani dengan menggalakkan perkembangan ajaran Buddha.

Iskandar Makadonia di Baktria dan India Purba 331-325 SM

Pitis Perak menggambarkan kejayaan Iskandar Makadonia dihasilkan di Babilon tahun 322 SM, diikuti dengan kempen nya ke India purba. Yang atas itu chap Iskandar dimahkotakan oleh Nike manakala yang bawah itu Iskandar menyerang raja Porus di atas gajahnya. - Muzium British

Apabila Iskandar Makadunia menakluki wilayah Baktria dan Gandhara, kawasan ini memang sudah pun dipengaruhi oleh ajaran Buddha dan Jina. Menurut satu lagenda yang ditulis dalam bahasa Bali, bahasa kepada sastera suci Theravada, dua beradik pedagang dari Baktria bernama Tapassu dan Bhallika melawat Buddha dan menjadi pengikutnya. 

Lagenda menyebut bahawa mereka lalu pulang ke Baktria dan menyebarkan ajarannya di sana. Dalam tahun 326 SM, Iskandar Makadonia menakluki benua India. Raja Ambhi memerintah kerajaan Taksila kalah dan menyerahkan bandarnya kepada Iskandar. Bandar itu merupakan pusat terkenal penyebaran ajaran Buddha. Iskandar juga ada berperang dengan raja Porus dalam satu peperangan epik. Porus merupakan raja di wilayah dalam Punjab. Peperangan itu dikenali sebagai peperangan Hidaspes (326 SM).

Setengah ahli falsafah seperti Pyrrhi, Anaxarkus, dan Onesikritus dikatakan dipilih oleh Iskandar untuk mengikutnya ke kempen di Timur. Ketika 18 bulan berada di India purba, mereka telah bertemu dengan orang alim India purba secara umumnya dikenali sebagai Gymnosophist atau ahli falsafah telanjang. Pyrrho (360 SM) pulang semula ke Yunani dan menjadi orang skeptik pertama yang mengasaskan aliran falsafah Pyrrhonism. Ahli biografi Yunani, Diogenes Laertius menerangkan bahawa konsep ketenangan pikiran dan meninggalkan dunia Pyrrho itu didapatinya semasa di India purba. Beberapa kata-katanya diketahui terus tetapi nampak jelas yang ia diambil dari Timur, kemungkinannya dari pemikiran pengikut ajaran Buddha:

"Tiada apa yang benar-benar wujud, tetapi hidup manusia ini diperintah oleh kesepakatan, tiada apa pun dalam dirinya lebih dari itu." - Dionenes Laertius IX.61

Ahli falsafah lain seperti Onesikritus, seorang Kynik dikatakn sebagai yang disebut Strabo telah belajar di India hukum-hukum ini:

"Tiada apa yang terjadi kepada seorang manusia itu baik atau buruk, pendapat itu sebenarnya mimpi sahaja. Falsafah yang terbaik itu sebenarnya adalah yang membebaskan pemikiran dari keseronokan dan kesedihan." Strabo XVI.65

Sir William Tarn menulis bahawa orang-orang Brahman yang tak sependapat dengan penganut Buddha sering melawan Iskandar. Perhubungan sebegini mencetuskan perhubungan antara orang Yunani dengan falsafah Hindu yang kemudian berterusan sehingga ke beberapa abad.

Buddha Yunani

Buddha Berdiri gaya ukiran Yunani dari abad 1-2 M dari kerajaan Gandhara (Pakistan kini) - Muzium Negara, Tokyo

Buddha Yunani atau Greco-Buddhism merujuk kepada persenyawaan antara kebudayaan Helenistik dengan Buddhisme. Ia mula berkembang sekitar abad keempat sebelum masehi sehingga ke abad kelima masehi di kawasan yang merangkumi benua kecil India dan kawasan dalam negara moden seperti Afghanistan, Pakistan, serta kawasan wilayah barat laut India kini. Ia merupakan kepanjangan kebudayaan yang melebar hasil dari perhubungan antara orang Yunani yang keluar masuk India purba sejak dari zaman Iskandar Agung. Hal ini membawa kepada pengasasan pemerintahan Indo-Yunani di kawasan tersebut selama beberapa abad. Ia berterusan ketika kegemilangan empayar Hellen Kushan.

Buddha Yunani ini mempengaruhi kesenian dan mungkin juga pembangunan kerohanian ajaran Buddha terutamanya aliran Mahayana yang mewakili salah satu daripada dua aliran utama ajaran Buddha. Sistem keagamaan ajaran Buddha juga dianuti di timur laut dan tengah benua Asia sejak dari abad pertama masehi dan melebar ke China, Korea, dan Jepun.

Itihasa Ringkas

Perhubungan antara kebudayaan Hellen Yunani dan ajaran Buddha telah bermula selepas penaklukan Iskandar Makadonia ke atas empayar Achamaenid yang kemudian diperpanjang lagi ke tengah benua Asia dalam tahun 334 SM merentasi sungai-sungai Indus dan Jhelum sejauh Beas jadi wujud lah hubungan terus antara benua sebelah barat dengan benua kecil India.

Iskandar membangunkan beberapa bandar di kawasan baru ditaklukinya seperti di Oxus dan Baktria. Ada juga penempatan orang Yunani di kawasan-kawasan Genting Khyber, Gandhara (Taksila), dan Punjab. Kawasan itu semua bersepadan dengan laluan muka bumi istimewa antara banjaran Himalaya dan Hindu Kush yang mana kebanyakan hubungan antara India purba dengan Asia Tengah berlaku sekaligus membawa kepada pertukaran kebudayaan dan perdagangan.

Berikutan kematian Iskandar pada 10 Jun 323 SM, diadokhoi atau pengganti-penggantinya mengasaskan kerajaan mereka sendiri di Asia Kecil dan Asia Tengah. Kesatria Seleukus membangunkan kerajaan Seleukid yang melebar sehingga ke India purba. Kemudian kawasan Timur kerajaan Seleukid berpecah lalu membentuk kerajaan Yunani Baktria (3-2 SM), diikuti dengan kerajaan Indo-Yunani (1-2 SM) dan kemudian berpecah lagi satu kawasan menjadi empayar Kushan (1-3 M). 

Hubungan antara orang Yunani dengan ajaran Buddha berlangsung beberapa abad lamanya sehingga berakhir pada abad kelima masehi dengan penaklukan orang Hun Putih dan kemudian penyebaran ajaran Islam.