Memaparkan catatan dengan label terjemahan aku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label terjemahan aku. Papar semua catatan

Khamis, 31 Januari 2013

Bacaan Brahma Purana

Bab 7

Penjelmaan Dewa Chandra

Tersebutlah bahawasanya Maharesi Atri menjalankan pertapaan untuk seribu tahun Diwiya dan menekan nafsu kelelakiannya sehingga ke atas tubuhnya pada ketika itu. Hal tersebut menyebabkan munculnya titisan dari matanya dan merebak keluar lah cahaya ke seluruh 10 arah. Menyedari perkembangan yang berlaku ity, dewa Brahma membenarkannya mengambil Swarupam dewa Chandra yang menyediakan sebuah pedati baginya mengembara ke seluruh jagat raya.

Dewa Chandra Menjalankan Yagna

Dewa Chandra didudukkan di atas pedati dan membuat pusingan penuh sebanyak 21 kali dari Pertiwi ke Mahasamudera. Dalam peristiwa itu, tersebarlah sinaran utama tatkala ia menyentuh bumi lalu tercetuslah anna atau bijirin serta pelbagai jenis bijian, oshadi iaitu ubat dari tumbuhan, air dan para Brahmana yang dijadikannya sebagai ketua. Baginda juga menyediakan Yagna Rajasuya dengan persembahan seekor gajah purba dan upacara dihadiri pula oleh siapa punya siapa dari jagat raya, jutaan para Brahmana yang kepada mereka para Daksina - menunaikan wang dan diberikan persembahan sebanyaknya; sembilan wanita jagat raya hebat Sini, Kuhu, Diyuthi, Pushthi, Prabha, Vasu, Kirtti, Dhruti dan Lakshmi tiba bagi menjadi pengasuh dewa Chandra.

Dosa Dewa Chandra   

Penghujung upacara Yagna tersebut, apakala dewa Chandra dikurniai dengan Avabhrutasnaan iaitu mandian suci pada ketika upacara utama, baginda pun dipujalah oleh para dewata dan resi. Walaupun disembah puja, namun baginda tetaplah memaparkan sikap merendah diri dan jujur. Selang lamanya masa, berubah lah tabiat baginda itu disebabkan oleh godaan, kekuatan dan kemakmuran yang diterimanya itu menyebabkannya melakukan dosa besar iaitu menggoda isteri gurunya, dewi Tara. Mereka berdua tinggal bersama walaupun diberikan amaran oleh Brighaspatti. 

Kelahiran Budha Graham 

Dewata dan para maharesi cuba sedaya upaya menghalang perkara buruk ini daripada berlaku. Dewa Brahma sendiri menegur perbuatan dosa tersebut dan masuk campur. Namun sudah lah terlambat kerana dewi Tara sudah mengandung. Apabila disoal siasat oleh dewa Brahma, dewi Tara pun mengakui anak yang dikandung itu adalah anak dewa Chandra. Brighaspatti mendesak dewi Tara keluar dari kediamannya ketika sarat hendak melahirkan anak. Anakanda dewa Chandra dikenali sebagai Budha, baginda diarahkan oleh dewa Brahma menjadi graham penuh pada ketika baginda menguasai viduwan veda dan sastram. Sikapnya berbeza pula dengan sikap dewa Chandra yang takbur dan mementingkan diri. Budha bertempat di langit betul-betul berdepan dengan dewa Chandra.

Cetera Turunan Budha Graham

Putera Jahnu dan Dewi Gangga

Budha anakanda kepada Pururawa merupakan seorang raja yang tinggi kebajikannya. Apsara Uruwasi menggodanya lalu melahirkan Ayu, Amawasu dan enam putera lain. Dalam turunan Amawasu, lahirlah Jahnu yang menjalankan Sarpa Yagna. Dewi Gangga mendekati Jahnu dan meminta Jahnu supaya mengahwininya. Dewi Gangga membanjirkan Yagna Shala tapi Jahnu lebih berminat untuk mengahwini Dewi Kaweri anakanda kepada Yanaswa. 

Dewi Gangga tetap berkeras mau mengahwini Jahnu. Jadi, Jahnu naik bosan. Baginda menghirup semua sekali air dari Dewi Gangga sampai kering. Maharesi muncul lalu merayu supaya Jahnu supaya menghidupkan semula Dewi Gangga dan menjadikannya sebagai anak perempuannya. Maka kini, Dewi Gangga dikenalilah jua sebagai Jahanawi. 

Cetera Nahusha

Anakanda Pururawa yang lain, Ayu namanya. Anakanda Ayu yang sulong sekali namanya Nahusha. Baginda ini terkenal lah seluruh dunia. Baginda menjalani Aswamedha Yagna 99 kali banyaknya dan hampir jaya mencapai kedudukan Indratwa.

Diceterakan bahawa Betara Brahma melantik Nahusha menjadi lawan Betara Indera. Kerana Betara Indera sudah membunuh Writrasuran, iaitu seorang Brahmana dengan bantuan tulang belakang Maharesi Dadhichi. Betara Indera menjadikan tulang belakang maharesi itu sebagai Wajraduta yang digunakan membunuh orang. Selepas kejadian itu, Betara Indera lari bersembunyi dalam akar teratai di Manosarowara.

Nahusha pun lama kelamaan tidak terlepas dari bersikap mementingkan diri sendiri dan takbur. Baginda pernah meminta Dewi Sachi datang menjadi pelayannya. Dewi Sachi pun ingin melepaskan dirinya daripada Nahusha. Jadi, ketika didesak Nahusha, Dewi Sachi menyatakan syaratnya menjadi pelayan itu Nahusha kenalah datang sendiri ke rumahnya dengan kendara sendiri kerana Airawata pun selalu pergi berjumpanya menerusi Indera. Maka, Nahusha mesti datang menjemputnya dengan kenderaan sendiri.

Nahusha menolak Palki seorang maharesi dan mengarahkan Agastiya Muni supaya segera mengangkat Palki. Nahusha berkata... sarpa... sarpa...! Artinya itu, cepat... cepat!!! Agastiya Muni berasa bahawa Nahusha agak kurang ajar ketika meminta Palki daripadanya. Selain itu Nahusha berani bercakap seperti seorang kawan dengannya dengan mengarah-arahkan orang itu dan ini. Jadi Agastiya Muni menukarkan Nahusha menjadi Ajagara atau Ular Sawa dan menyumpah Nahusha yang kurang ajar. Nahusha disepak keluar dari keinderaan ke dalam hutan di Bhulokam.

Ketika membaca puja memohon ampun, Nahusha mendapat kelepasan yang dalam yugam akan datang, iaitu Yudhistira nanti akan memberikan perlepasan kepada Ajagara. Ketika dalam Dwapara Yugam, para Pandawa dibuang ke hutan (arangawasa) berikutan kekalahan Yuddhistira dalam permainan catur palsu. Hari pertama mereka menjadi pelarian di hutan, Draupadi ternampak bunga Saungandhika dalam sebuah kolam di situ. Jadi, dia meminta Bhima memetik bunga itu untuknya. Pada ketika itulah, seekor ular sawa membelit tubuh Bhima. Draupada yang terkejut dengan kejadian itu berlari mencari pertolongan untuk Bhima.

Yuddhistira memberikan jawapan yang betul bagi setiap soalan sukar yang dikemukakan oleh ular sawa itu. Disebabkan semua jawapan betul, maka ular sawa itu menerima Shapa Wimochana iaitu kelepasan dari rupa ular sawa dan sumpahan Agastiya Muni. Semasa Nahusha menjadi ular sawa, Agastiya Muni pergi membantu Dewi Sachi mencari Betara Indera yang bersembunyi di dalam akar teratai di Manasa Sarowara. Mereka menemui Betara Indera llau mengheretnya ke Sorgaloka. Di sana, mereka meminta kelepasan untuk dosa Brahmahatya Dosa iaitu dosa membunuh kaum Brahmana. Alasan mereka, Writasuran memang seorang Brahmana, tapi dia juga adalah seekor setan yang tak bertanggungjawab membunuh nyawa orang lain yang tak berdosa.

Cetera Raja Yayati

Nahusha dan isterinya, Wiraja melahirkan Yayati serta empat putera lain lagi. Yayati menjadi maharaja terkenal kerana mengalahkan semua raja-raja dalam dunia. Sukracharya, guru kepada Danawa memberikan puterinya Dewayani kepada Yayati untuk dikahwinkan. Yayati turut mengahwini Sarmista, puteri kepada Wrisaparwa yang merupakan seekor raksasa. Dewayani melahirkan Yadu dan Turwasu. Sarmistha melahirkan Druhya, Anu dan Puru.

Betara Indera berasa suka hati dengan wahana kayangan iaitu seekor kuda yang sakti. Kuda itu dihadiahkan kepada Yayati. Dengan kuda itu, Yayati boleh mengelilingi dunia dalam masa enam hari enam malam. Dikuasainya dunia dan dibahagikannya tujoh dwipa kepada lima pecahan dan dibahagikan semuanya kepada anakandanya. Yayati turut menerima pahala, iaitu keremajaannya akan kembali jika salah seorang puteranya itu setuju untuk bertukar usia dengannya. Dengan pahala ini, baginda pun tergoda. Didekati putera sulongnya, Yadu. Yadu menolak dan begitu juga putera-putera lain. Tapi Puru, bersetuju pula. Yadu dan putera lain disumpah oleh Yayati kerana kengganan mereka dan tidak menghormatinya sebagai bapa.

Tawaran Puru diterima oleh Yayati. Ia membolehkan Yayati mengembara seluruh dunia dan menyelesaikan kesukaan duniawinya untuk jangkamasa lama. Lama-kelamaan, Yayati pulanglah kerana mendapati bahawa keseronokan duniawi itu tak akan pernah berakhir. Samalah seperti Agni dalam Homakunda yang memakan minyak sapi yang diberikan kepadanya tak pernah puas-puas. Tak ada manusia pun yang akan puas dengan makanan enak, emas, busana dan wanita. Lagi banyak manusia itu tergoda dengan pusaran hidup, maka lagi teruk dia tenggelam.

Jadi, baginda pun sedarlah bahawa tak ada kepuasan yang lebih baik daripada hidup kerohanian. Baginda pun bertaubat. Baginda mengembalikan semula keremajaan Puru dan pergi meninggalkan istana masuk ke wanaprastham. Baginda ingin mencari Paramatman!      


Khamis, 20 Disember 2012

Cakera Senjata Tajam III


35. Apabila kita kurang semua kawalan ke mana harus kita mengembara. Dan selalu terpaksa merayau bagaikan kanak-kanak tiada berumah. Inilah dia cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya disebabkan dosa kita lakukan. Hingga kini, kita mengganggu guru-guru suci dan lain-lain. Dan memaksa mereka berganjak dari merpati utusan mereka atau dari tempat duduk mereka. Maka selepas ini, janganlah kita sekali-kali mengganggu orang lain. Dengan mengusir mereka dengan kejam dari tempat tinggal mereka.

36. Apabila tanaman di ladang kita terusan dilanda wabak. Disebabkan oleh banjir dan gumpalan air batu, serangga dan beku. Inilah dia cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya disebabkan oleh dosa kita lakukan. Hingga kini kita gagal menghormati sumpah kita. Maka selepas ini mari lah kita menjaga semua janji dan akhlak yang murni.

37. Apabila kita miskin, tapi masih dipenuhi dengan ketamakan dan nafsu. Inilah dia cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya disebabkan dosa kita lakukan. Hingga kini, kita kedekut sekali, enggan berkongsi. Semahan kita kepada tiga rattana cuma rendah-rendah tarafnya dan kurang sangat. Maka selepas ini biarlah semahan kita itu dari hati yang murah. 

38. Apabila tubuh kita itu hodoh dan yang lain menyeksa kita. Dengan mempermain kecacatan kita, tidak menunjukkan ciri. Inilah dia cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya disebabkan oleh dosa kita lakukan. Hingga kini, rupa yang kita hasilkan kurang kecantikannya. Dengan melepaskan perasaan amarah kita, kita membuat pemandangan yang hodoh. Maka lepas ini marilah kita mencetak pustaka dan menghasilkan rupa yang menarik hati. Dan bukannya panas baran tetapi sentiasa periang dan berkebajikan. 

39. Apabila keterikatan dan kemarahan mengganggu dan membuatkan kita sedih. Tidak kira berapa banyak kita cuba menekannya sekali pun. Inilah dia cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya disebabkan oleh dosa yang kita lakukan. Hingga kini, kita tetap mempertahan perangai tidak elok kita. Keras hatinya hanya menghargai diri kita sendiri. Maka selepas ini, marilah kita mencabut terus sikap penting diri kita.

40. Apabila kejayaan dalam amalan kita selalu menghindari kita. Inilah dia cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya disebabkan oleh dosa yang kita lakukan. Hingga kini, dalam diri kita itu ada sikap ego. Terendamnya ia dalam cara-cara mementingkan diri. Maka selepas ini, marilah kita mengarahkan segalanya hanya untuk perbuatan kebajikan. Moga yang lain beroleh kemajuan.

41. Apabila minda kita meliar walaupun kita beramal dengan kebajikan maha besar. Inilah dia cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya disebabkan oleh dosa-dosa kita. Hingga kini, kita cuma berhubungan dengan cita-cita keduniaan. Yang matlamatnya hanya untuk kejayaan kita sahaja di kehidupan ini. Maka selepas ini, marilah kita berusaha dengan usaha yang murni terarah. Untuk memupuk harapan bagi mencapai kebebasan sejauh samudera terbentang.

42. Apabila selepas kita menjalankan amalan kebajikan. Kita berasa sesal sangat atau meragui kesannya nanti. Inilah dia cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya disebabkan oleh dosa yang kita lakukan. Hingga kini kita tidak tetap pendirian dan digugat oleh tujuan-tujuan asas. Membuat amalan itu hanya kepada mereka yang berkuasa atau yang mempunyai kekayaan. Maka selepas ini, marilah bertindak dengan penuh sedar diri. Berikhtiar dengan penuh hati-hati dalam usaha kita berkawan.

43. Apabila mereka yang bercita-cita membalas amanah persahabatan. Mengumpan kita dengan perancangan bermuslihat. Inilah dia cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya disebabkan oleh dosa-dosa kita lakukan. Hingga kini, dari cita-cita itu kita telah bertindak dengan kejahilan (rohaniah). Maka selepas ini marilah kita memudarkan kebanggaan mengetengahkan diri kita.

44. Apabila kuasa tarikan atau yang disebabkan oleh kejijikan mewarnai setiap perkara yang kita dengari atau kita katakan. Inilah dia cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya disebabkan oleh dosa-dosa yang kita lakukan. Hingga kini kita tidak mempedulikan perkara yang menyebabkan kita ditimpa masalah. Sekelompok khayalan yang berada dalam hati kita. Maka selepas ini, marilah kita cuba untuk meninggalkan segala halangan. Menyedari kebangkitannya, meneliti keasyikannya. 

45. Apabila tak kira berapa bagus pun tujuan tindakan kita terhadap yang lain. Ia sentiasa menerima tindakbalas seteru. Inilah dia cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya atas kita disebabkan dosa yang dilakukan. Hingga kini, kita membalas kasih sayang dengan tuba. Maka selepas ini, biarlah kita selalu menerima baik budi orang. Dengan penuh rendah diri dan rasa hormat.  

46. Pendeknya, apabila penderitaan malang yang tak kita ingini menghentam kita bagaikan halilintar. Bagaikan tukang besi yang mengambil nyawanya sendiri dengan pedang yang ditempanya. Derita sengsara kita itu adalah cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya atas sebab dosa yang kita lakukan. Selepas ini marilah kita beri perhatian dan berjaga-jaga. Tidak bertindak dengan cara yang keji.

47. Semua penderitaan yang kita tanggung dalam kehidupan yang kita lalui ini dalam tiga keadaan rendah. Sebagaimana kesakitan masa kini dan masa depan. Sama juga dengan pembuat panah yang kemudiannya terbunuh disebabkan oleh sebilah panah yang diperbuatnya. Sengsara kita itu adalah cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya disebabkan dosa yang kita lakukan. Maka selepas ini, marilah kita beri perhatian berjaga-jaga. Jangan bertindak dengan cara yang keji.

48. Apabila musibah dan kebimbangan tentang keluarga itu menekan kita. Ini bagaikan seorang anak yang disayangi oleh ibu bapanya satu ketika dahulu. Lalu kemudiannya membunuh ibu bapaknya. Penderitaan kita itu adalah cakera senjata tajam berpulang. Penuh pusingannya disebabkan dosa-dosa yang kita lakukan. Selepas ini, selayaknya dalam semua kehidupan kita itu supaya kita hidup dengan murni sebagai bhikkhu, pertapa dan ubun-ubun.

49. Benar sebagai yang aku perkatakan tentang faedah untuk sikap mementingkan diri. Kenal lah sudah seteru ku yang sebenar. Kenal lah aku orang jahat yang menjarah. Penipu yang mencurangi dengan berpura-pura bahawa ia sebahagian daripada aku. Leganya aku, bahawasanya aku sudah jaya atas keraguan ini!                  

Rabu, 10 Ogos 2011

Asal Usul Istilah Suvarnabhumi

Rujukan kepada Suvarnabhumi wujud dalam pelbagai penulisan purba dari India, Sri Lanka, Yunani, Latin, Arab, dan China. Perkataan ini juga muncul dalam teks Ramayana yang dikarang sekitar abad ke-3 SM dalam bentuk Suvarnadwipa atau Suvarnabhumi yang merujuk kepada kawasan geografi di Asia Tenggara.

Teks India purba Arthasastra dari Kautilya (s. 300 SM) menyebut bahawa Brahmin Sanka pernah belayar dari Varanasi ke Suvarnabhumi di Asia Tenggara. Teks purba lain, seperti Kathakosa menceriterakan cetera Nagadutta yang pergi ke Suvarnabhumi dengan lima ratus kapal untuk menjalankan perdagangan penuh laba.

Ahli geografi Latin pertama yang membuat rujukan kepada lokasi di Asia Tenggara adalah Pomponius. Beliau merujuk pulau itu sebagai pulau emas atau chryse dalam karyanya, De Chronografia (s. 45 M). Ahli matematik dan kaji bintang Yunani, Claudius Ptolemy yang bekerja di Iskandariah dalam abad ke-2 M merujuk dengan istilah Chryse Chersonesos kepada kawasan yang dikenalpasti oleh cendekiawan sebagai Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera.

Batu bersurat Amoghapasa bertarikh 1208 tahun Saka (1286 M) merujuk Sumatera sebagai Suwarnabhumi manakala lawannya pulau Jawa sebagai Bhumijawa. Walaupun istilah Suvarnadwipa selalunya merujuk kepada pulau Sumatera, namun ramai penulis Arab mengkelaskan seluruh kawasan kepulauan Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada Suwarnabhumi.

Dalam satu manuskrip Nepal purba pula terdapat satu gambar yang diberi judul Suvarnnapure Srivijayapure Lokanatha atau Rupa Lokanatha di Sriwijayapura dalam Suvarnnapura yang merujuk kepada kerajaan Srivijaya yang merupakan kuasa besar di Asia Tenggara. Selewat abad ke-16 M, dilaporkan pula bahawa seorang sami Buddha bernama Buddhagupta ada melawat dua pulau yang dipanggil sebagai Suvarnadwipa di timur lautan India.

Dalam tahun 1478, raja Dharmaseti dari kerajaan orang Mon iaitu kerajaan Ramannadesa mendirikan 10 batu bersurat yang ditulis dalam bahasa Mon dan bahasa Pali. Batu bersurat itu menyatakan bahawa kerajaannya juga dikenali sebagai Suvarnabhumi. Batu bersurat tersebut dikenali oleh cendekiawan sejarah dan kaji purba sebagai Kaliyani Sima. Batu bersurat tersebut berkisar dengan pembaharuan yang telah dijalankan oleh sang raja untuk memurnikan ajaran Buddha aliran Theravada di kerajaannya. Menurut punca Tibet, ada dua orang sami Tibet iaitu Dharmmapala (abad ke-7 M) dan Dipankara Atisa (abad ke-11 M) melawat Suvarnadwipa.

Suvarnabhumi dan Ajaran Buddha

Suvarnabhumi ada juga disebut dalam banyak teks Buddha aliran Theravada misalnya seperti Milindapanha Mahaniddesa dan sastera Jataka. Dalam hikayat Mahawangsa Sri Lanka (abad ke-4 M), dinyatakan bahawa selepas penutup kepada Perhimpunan Penganut Buddha Ketiga, dua orang sami iaitu Sona dan Uttara dihantar ke Suvarnabhumi bagi menjalankan kegiatan penyebaran ajaran Buddha.

Dapat juga diketahui dari batu bersurat yang aliran Buddha Theravada sudah wujud di Burma Bawah sejak abad ke-5 M lagi. Menurut punca laporan China bertarikh sekitar tahun 240 M, wujud sebuah kerajaan penganut Buddha diberi nama Lin Yang. Ramai sarjana berpendapat bahawa kerajaan ini merupakan kerajaan orang Pyu di Beikthano jaraknya kira-kira 300 km ke utara Yangon hari ini. Laporan yang sama dari punca penulisan China juga menyebut bahawa satu lagi kerajaan dikenali sebagai Chin Lin atau Kubu Keemasan terletak dekat dengan teluk yang luas. Kerajaan ini dikenalpasti oleh sarjana sebagai kerajaan orang Mon berpusat di Thaton.

Rujukan dan Bacaan Tambahan


1. Kanai Lai Hazra, History of Theravada Buddhism in South-East Asia,Munshiram Manoharlal, 1982, page 58.
2. Dr. R. C. Majumdar, Ancient India' Colonies in the Far East Vol 2', Asoke Kumar Majumdar, 1937, page 39 & 46.
3. Paul Wheatley, The Golden Khersonese',University Of Malaya Press, 1961, page 179.
4. Dr. Balaram Tripathy, Early Historic Cultures of Orissa, Orissa Review, India, April 2007, page 12.
5. Damodar.P. Singhal, India and World Civilization, Michigan State University Press, 1968, page 80-98.
6. Govid Chandra Pande, India’s Interaction with Southeast Asia,Project of History of Indian Science, Philosopgy, and Culture, 2006, page 89.
7. W. J. Van Der Meulen, Suvarnadvipa and the Chryse Chersonesos, Indonesia, Vol. 18, 1974, page 1 & 4.
8. Muljana, Slamet, 1981, Kuntala, Sriwijaya Dan Suwarnabhumi, Jakarta: Yayasan Idayu, hlm. 223.
9. Dr. R. C. Majumdar, Ancient India' Colonies in the Far East Vol 2', Asoke Kumar Majumdar, 1937, page 45, 46, 47 & 48.
10. Aye Chan, The Nature of Land and Labour Endowments to Sasana in Medieval Burmese History, Southeast Asians Studies, Vol. 26, No. 1, June 1988, page 93.
11. Translated by Wilhelm Geiger, Mahavamsa : The great chronicle of Ceylon', Pali Text Society, 1912, Page 82 and 86.
12. Bob Hudson, The Origins of Bagan, Thesis for University of Sydney,2004, page 36.
13. Elizabeth Moore, Interpreting Pyu material culture: Royal chronologies and finger-marked bricks, Myanmar Historical Research Journal, No(13) June 2004, pp.1-57, page 6 & 7.

Ahad, 7 Ogos 2011

Geopolitik dan Fobia Sanskrit: Rajiv Malhotra

Ok aku rasa rajin pulak nak terjemahkan tulisan laman sesawang ni dalam bahasa Melayu. Benda ni dari rujukan laman sesawang Rajiv Malhotra. Sapa dia reti bahasa Inggeris hangpa tekan sahaja tetikus hangpa kat atas sambungan yang aku bagi kat nama orang tu.

Ikhtisar

Kertas ini membincangkan tentang hubungan sejarah dan terbaru antara geopolitik dan Sanskrit, yang mengandungi bahagian-bahagian seperti berikut:

    I. Bahasa Sanskrit sebenarnya lebih daripada satu bahasa. Macam bahasa lain, susunan dan pengelasannya mengandungi bingkai terbina mewakili pandangan dunia yang tertentu. Sanskriti merupakan nama bagi kebudayaan dan tamadun yang terbingkai dalam kerangka tersebut. Seseorang itu mungkin boleh berkata bahawa Sanskriti baru-baru ini dikenali sebagai tamadun keindiaan, satu tamadun yang juga tersebar ke luar dari sempadan India moden yang di dalamnya terkandung Asia Selatan serta Asia Tenggara. Dalam satu masa ia juga merangkumi Asia.
    II. Interaksi antara benua berbeza di Asia membantu pembentukan dan saling bertukar budaya bahasa Sanskriti di seluruh Asia. Banyak contoh melibatkan India, Asia Tenggara dan China diberikan.
    III. Bahasa Sanskrit mula pudar pengaruhnya selepas penaklukan dari Asia Barat di benua kecil India. Ia memberikan kesan yang agak buruk kepada Sanskriti kerana banyak tempat pembelajaran tersohor dunia di situ dimusnahkan, dan penakluk tak pula membina semula pusat pengajian bagi kebudayaan tersebut untuk beberapa abad selepas itu.
    IV. Selain Asia, Sanskrit dan budaya Sanskrit mempengaruhi juga permodenan Eropah, dan pengajian Sanskrit menjadi kegiatan rasmi dalam skala yang besar di kebanyakan universiti di Eropah. Ia turut mempengaruhi disiplin inteletual yang kini dikenali sebagai "Barat." Namun, penemuan Sanskrit oleh Eropah turut memberikan kesan negatif terhadap Eropah dengan meningkatnya rasa perkauman di Eropah sejak kurun ke-19 M.
    V. Sementara itu di India tanah jajahan British, sistem pendidikan mengalami proses nyah-Sanskritisasi dan wahana pengajaran menggunakan bahasa Inggeris. Untuk melatih kerani dan pekerja tahap rendah dalam pentadbiran empayar British juga menggunakan bahasa Inggeris. Proses rendah diri bermula dalam kalangan orang India. Dan ia berterusan sehinga hari ini. Ramai dari orang-orang terkenal India serta orang tengah yang berkhidmat untuk empayar seperti Gandhi dalam monografnya 1908 membincangkan fenomena ini, misalnya dalam Swaraja.
    VI. Selepas negara India mencapai kemerdekaan, wujud rasa kecintaan penyokong Nehru yang meluas terhadap bahasa Sanskrit sebagai wahana penting pembinaan negara. Walau bagaimanapun, generasi cendekiawan India yang berjaya telah menggantikannya dengan apa yang disebut dalam kertas ini sebagai "Fobia Sanskrit." Dalam erti kata yang lain, satu kepercayaan bahawa Sanskrit dan budaya Sanskrit dipersalah atas segala permasalahan masyarakat, siasah, dan iktisad yang dihadapi oleh golongan tidak bernasib baik di India. Bahagian ini membincangkan fobia dalam kalangan ahli pengajian keindiaan dari Barat dan dalam kalangan orang India yang terlibat dalam pengajian Sanskrit tetapi menurut berat sebelah Barat serta kerangka pengajian mereka.
    VII. Pertembungan tamadun antara Barat, China dan Islam digunakan sebagai kanta untk membincangkan masa depan budaya Sanskrit di Asia Selatan dan Asia Tenggara.
    VIII. Beberapa cadangan konkrit diberikan untuk pertimbangan selanjutnya bagi menghidupkan semula bahasa Sanskrit sebagai bahasa hidup yang berpotensi untuk perkembangan pengetahuan masa depan serta memperkasakan kemanusiaan.