Memaparkan catatan dengan label senaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label senaman. Papar semua catatan

Ahad, 26 Januari 2014

Yoga: Vayu Pancha Prana

Oleh Anandayoga

Bahagian 1


Bahagian 2


Bahagian 3


Bahagian 4

 

Bahagian 5

 

Harap-harap jurumuat tidak menutup lah videonya ini... Susah hendak terangkan mengenai kedudukan yoga, utamanya kita tak pandai melukis. Hanya dengan melihat sahaja baru boleh diikuti. Penerangan mengenai yoga pun ada banyak jadi jangan terlampau "rigid" sangat dengan sesuatu pandangan melainkan kalau kita jenis suka berhumbas (berkelahi).

Isnin, 21 Oktober 2013

Lapan Cara Pranayam


Pranayama ini merupakan sejenis cara mengawal pernafasan atau pernyawaan. Dalam bahasa Sanskerta, pran itu ertinya nyawa dan ayama itu ertinya cara. Jadi ertinya cara bernyawa. Ia membantu membetulkan semula rupakara tubuh, menyenangkan angin, dan memastikan kepanjangan usia kerana penyakit daripada sebab cara bernyawa tak betul itu pastilah memendekkan nyawa kita. 

Ciri utama pranayama ini adalah sedut udara, hembus udara dan mengawal udara. Pranayama selalunya bermula dengan sedut dan hembus udara. Ia menguatkan paru-paru kita dan menyeimbangkan rupakara nadi dan urat, menyediakan tubuh bagi kita menahan nyawa atau mengawal nyawa. Berlatih pranayama setiap hari melancarkan pengaliran tenaga ke 72 nadi atau saluran yang menerusinya itu kesedaran kita mengalir dalam segenap tubuh, maka ia membantu meningkatkan lagi kebajikan kesihatan kita sama ada mental atau tubuh.

Jenis Pranayama

KIra-kira 50 jenis pranayama dijelaskan dalam weda-weda. Yang berikutnya ini cuma lapan yang biasa diamalkan dan yang terkenal:

Chandra Bhedan

Caranya itu......
  • Duduk dalam kedudukan bertapa semadhi atau dalam keadaan selesa atas lantai.
  • Pastikan belakang lurus dan bahu disenangkan.
  • Tutup lubang hidung sebelah kanan dengan ibu jari tangan kanan.
  • Sedut udara dari lubang hidung kiri.
  • Tutup lubang hidung sebelah kiri dengan jari telunjuk tangan kanan dan jari hantu.
  • Hembus keluar udara dari lubang hidung sebelah kanan.
Yang ini melengkapkan satu pusingan bagi pranayama jenis ini. Kita boleh lakukannya sebanyak 20 kali. Kebaikannya itu, ia menyejukkan tubuh dan juga menyembuhkan pedih ulu hati. Tapi, bagi sesiapa yang mempunyai tekanan darah rendah, cuba elakkan buat pranayama jenis ini ditakuti pitam. Ia sesuai dibuat semasa musim panas. Yang ini aku pernah buat juga. Sekarang saja tak ada masa. Jika berkesempatan pasti aku mau membuatnya lagi.

Surya Bhedan
  • Caranya duduk dengan kedudukan tapa semadhi atau dalam kedudukan selesa. 
  • Tutup sebelah kiri hidung dengan jari telunjuk dan jari hantu tangan kanan. 
  • Sedut udara dari sebelah kanan hidung. 
  • Tutup pula bahagian kanan hidung dengan ibu jari tangan kanan selepas itu. 
  • Hembus udara menerusi hidung bahagian kiri. 
  • Ulangi sampai 20 kali semuanya.
Kebaikannya adalah meningkatkan haba tubuh dan tahap tenaga. Memperbaiki penghadaman. Membersihkan darah dan juga melambatkan tubuh dimamah usia.

Harus diingat jika seseorang itu mengalami keasaman, darah tinggi atau masalah jantung jangan cuba-cuba buat senaman ini! Ia cuma diperbuat semasa musim sejuk sahaja.

Anulom Wilom
  • Duduk dalam kedudukan tapa semadhi yang selesa dan seimbang.
  • Guna ibu jari tangan kanan tutup bahagian hidung kanan.
  • Sedut udara dari sebelah hidung kiri.
  • Tutup pula bahagian kiri hidung itu dengan jari telunjuk dan jari hantu.
  • Hembus udara di sebelah hidung kanan.
  • Kemudian sedut udara pula di hidung kanan.
  • Tutup hidung kanan dengan ibu jari kanan.
  • Lepaskan udara di hidung kiri.
  • Satu pusingan ini melengkapkan pranayama anulom wilom.
Kebaikan pranayama ini adalah ia menyeimbangkan haba tubuh. Melepaskan tekanan dalam tubuh. Membersihkan nadi-nadi dalam tubuh serta memperbaiki lagi pusingan darah. Usia pun menjadi lebih panjang jadi banyak benda berguna lagi boleh diperbuat dengan hidup.

Harus awas, semasa mengamalkan pranayama ini, pastikan menyedut udara itu pakai paru-paru. Bukannya pakai perut. Ia boleh dibuat oleh sesiapa pun tak kira jati tak kira kedudukan atau agama. Sepanjang tahun pun boleh dibuat.

Bhastrika
  • Duduk padmasana atau sebarang kedudukan selesa atas lantai.
  • Belakang pastikan lurus dan otot bahu direhatkan.
  • Tutup hidung kanan dengan ibu jari kanan dan bawa siku kanan ke paras bahu.
  • Tutup mata. Sedut dan lepas udara menerusi lubang hidung kiri perlahan... perlahan kemudian cepat sedikit.
  • Buat langkah seperti tersebut sebanyak 20-25 kali. 
  • Sedut udara lama sedikit dan tahan selama yang mungkin.
Satu pusingan yang ini mencukupkan sekali Bhastrika pranayama. Sekarang cuba ulang langkah ini dengan menutup lubang hidung kiri pula dan bernafas dengan lubang hidung kanan.

Kebaikannya itu adalah melepaskan toksin dan racun yang terserap ke tubuh. Mengurangkan paras lemak tubuh. Meningkatkan lagi penghadaman makanan. Melancarkan peredaran darah dan juga memurnikan darah.

Awas jangan diamalkan jika anda seorang pesakit darah tinggi, menghadapi masalah jantung atau komplikasi paru-paru atau hernia. Orang yang lemah tubuh disebabkan penyakit atau rendah stamina jangan buat pranayama ini selalu.

Ujjayi
  • Duduk tegak dalam kedudukan selesa.
  • Sedut udara perlahan-lahan dan dalam-dalam menerusi kedua-dua lubang hidung.
  • Tahan nafas seberapa lama yang mungkin.
  • Hembus keluar dengan sedikit bunyi membisik, mengecilkan laluan udara.
Satu pusingan ini ada empat langkah lah seperti tersebut. Boleh ulang sebanyak dua sampai tiga kali. Kebaikannya di sini, ia memperkuat kotak suara, merangsang kalenjar tiroid, memperbaiki peredaran darah dan juga mengurangkan penyakit paru-paru, dada dan tekak. Dilarang membuat pranayama ini jika anda mengalami masalah jantung!

Shitali
  • Duduk dalam kedudukan selesa.
  • Tutup mata dan senangkan seluruh tubuh dengan pernafasan biasa.
  • Letakkan lidah di bibir bawah dan cuba gulungkan lidah.
  • Tarik nafas panjang-panjang dari mulut.
  • Tahan nafas selama mungkin.
  • Tutup mulut dan perlahan-lahan hembus nafas menerusi hidung.
Yang ini lengkap satu pusingan shitali pranayama. Ulang dua sampai tiga kali. Perlahan-lahan jika sudah biasa boleh diulang sampai 15 kali. Kebaikannya, ia menyejukkan tubuh, menyembuhkan keasidan dan juga tekanan melampau, melegakan ketidakhadaman dan juga masalah hempedu. Memperbaiki kesihatan mata dan juga kulit. Menyembuhkan tonsilitis.

Jangan buat pranayama ini semasa musim sejuk. Orang yang ada demam kura pun hendaklah menghentikan senaman ini sementara waktu sampai sembuh.

Shitkari
  • Duduk dalam kedudukan padmasana atau sebarang kedudukan selesa atas lantai.
  • Pastikan belakang lurus, bahu disenangkan.
  • Letakkan tangan di lutut, jari-jari disenangkan dan mata tutup.
  • Samakan gigi atas dengan bawah biar ia rapat sikit.
  • Asingkan lidah dan tarik nafas dari mulut dengan buat bunyi yang menyenangkan.
  • Tahan nafas selama yang mungkin.
  • Hembus nafas menerusi hidung.
Kebaikannya adalah ia menyejukkan tubuh dan menguatkan gigi serta gusi. Elakkan pranayama ini jika mengalami masalah tekanan darah rendah.

Bhramari
  • Duduk dalam kedudukan tapa semadhi atau padmasana.
  • Belakang lurus, otot bahu senangkan dan mata tutup.
  • Tutup kedua-dua telinga dengan jari telunjuk. 
  • Angkat siku ke paras bahu.
  • Tarik nafas dalam-dalam.
  • Tahan nafas selama mana yang mungkin.
  • Hembus nafas dengan bunyi seperti bunyi lebah.
Kebaikannya adalah ia menjadikan tubuh lebih tenang. Melepaskan tegangan. Menjadikan suara lebih enak didengar. Menguatkan peti suara. Menyembuhkan kesakitan tekak. Meningkatkan lagi penumpuan.

Harus diingat, pranayama ini mesti diamalkan awal pagi atau malam. Lebih banyak dikawal pernafasan, lebih lama anda hidup. Pranayama membantu kita bertahan dengan kehidupan yang sihat dan menjadikan keremajaan tubuh itu lambat pudar. Yang pudar tetap akan pudar cuma ini adalah satu cara pemeliharaan saja.

Jumaat, 11 Oktober 2013

Yoga Nedra: Tatacara Sawasana

Om Awighnam Astu!


Yoga Nedra ini merupakan satu konsep yang aku sudah biasa dengar. Tak pasti di rantau lain ada dengarnya atau tidak. Yogatapa memang suatu amalan yang digalakkan dalam masyarakat kita. Ia berguna buat memperbaiki kejiwaan masyarakat yang kian merosak dan membusuk. Sangat disarankan kepada anak-anak orang Hindu! Peruntukan ini memang tersedia untuk tuan, kakak, abang, mak dan adik tersayang sekelian demi perkembangan jiwa yang sihat. Nedra ini merujuk kepada nyenyak tidur atau dalam bahasa kita di sini, merujuk kepada keadaan rĕlap.

Yoga Nidra ini tahap tubuh tenang purna, bila minda itu direhatkan dalam jangka panjang dalam jaga, tapi damai, dan bebas daripada gangguan. Tubuh, deria dan minda bahan semua dalam keadaan indah. Sri Bramhananda Saraswati

Menerusi bertenang-tenang dengan mendalam, maka tahap Yoga Nedra ini pun menjelma, ia akan membawa ke Kaiwaliyam atau Semadhi, yang mana deria pemeribadian itu bergabung dengan kesukaan mutlak dan tercakup semua. Untuk sampai ke tahap Yoga Nedra, tuan kena berada dalam keadaan Sawasana. Tapi bagi menjayakan Sawasana, tuan memesti memahami saranan Mpu Sri Bramhananda, "bagaimana mempergunakan tindakan pengukuhan, pendapat dan rasa sentuhan, dan bagaimana tuan gunakan rehat sebentar untuk seketika dengan betul".

Bagi amalan Sawasana, pengamal yoga dimestikan berbaring. Untuk menjadi tenang itu adalah dengan menjadi lebih menerima; menerima kesukaan dan ketenangan dalaman tuan, ciri semulajadi tuan, yang tidak bersempadan, kesukaan tiada batas yang menjadi dasar bagi dalaman setiap makhluk. Untuk bertenang, lepaskan semua yag menahan kita daripada merasai kebenaran ciri dalaman kita.

Mula dengan bawa kesedaran ke kaki tuan. Perlahan-lahan biar jari jemari tenang, kaki pun tenang. Kemudian, buku lali tenang. Lepaskan. Betis dan keting, tenangkan. Lepas. Lutut keduanya, tenangkan. Lepaskan otot-otot besar pada paha. Biarkan daging otot melepaskan cengkaman pada tulang paha tuan. Lepaskan. Biar tulang kaki berehat dalam tisu-tisu lembut daripada otot yang diterangkan.

Tenangkan bahagian paha bawah dan punggung. Lepaskan cengkaman otot di bahagian situ. Lepaskan segala tegangan urat di bahagian pelvis tuan. Lepaskan... Lepaskan... Bahagian bawah sebelah belakang tuan, tenang. Tengahan belakang tubuh tuan, tenangkan. Atas tubuh tuan, tenangkan. Biar otot-otot belakang tubuh tuan itu melebar dan bertebar atas lantai. Tebarkan haba keluar dari tulang belakang tuan itu. Lepaskan atas lantai. Lepaskan!

Biar lantai mengangkat bahagian belakang tubuh tuan. Biar tubuh tuan melepet atas lantai. Seolah-olah seperti air terkena lantai. Lepas segala bahagian belakang tubuh tuan atas lantai, biar dia masuk dalam tanah. Lepaskan segala ketegangan, kerisauan, rasa lesu dan penolakan ke lantai biar masuk dalam tanah.

Tenangkan abdomen dan dada tuan. Lepaskan. Lembutkan... Lembutkan... Jari-jari dan tangan itu tenangkan. Lepaskan segala cengkaman dan tarikan urat saraf. Tak perlu tahan apa-apa. Semuanya jadi diri tuan. Lepaskannya. Lepaskan semuanya dan terima segalanya. Legakan lengan tuang, bawahnya dan atasnya serta siku. Biar otot mencair dari tulang. Biar tulang tuan lega dalam tisu lembut di otot yang disenangkan. 

Rehatkan bahu, tuan. Biar bilah tulang bahu tuan itu jatuh masuk dalam lantai. Lepaskan dan lembutkan semua leher dan otot-otot di tekak, biar semuanya rehat. Rehatkan muka tuan, topeng keperibadian tuan. Lepaskan rahang tuan. Rehatkan lidah tuan. Biar lidah tuan itu etrapung dalam mulut tuan. Bibir, pipi, lepaskan. Hidung, mata, dalam hidung, dan belakang mata, lepaskan. Lepaskan... Lepaskan. Alis mata, kelopak mata, dahi, senangkan. Lepaskan segala ketegangan dan kerutan pada bulu kening tuan. Biar dahi tua melebar. Rehatkan kulit dan bahagian belakang kepala tuan. Biar rambut tuan naik. Lebih banyak tuan mencair di lantai, masuk dalam bumi lagi ringan tuan akan rasa. Biar diri tuan terasa ringan.

Kini, bahagian dalaman pula. Tenangkan anggota dalaman tuan, anggota pembuangan. Senangkan anggota kelamin tuan. Tenangkan anggota penghadaman. Tenangkan anggota-anggota peredaran darah tuan. Tenangkan anggota perkumuhan dan pernapasan tuan. Lepaskan segala deria berpikir dan perasaan. Berhenti berpikir, berhenti berperasaan. Biarkan bahagian depan otak tuan itu masuk kembali dalam tengkorak. Lepaskan... Lepaskan...  

Makanya, tubuh tuan dalaman dan luaran pun tenang dengan sesungguhnya. Penyembuhan besar-besaran dan penyeimbangan semula sedang berjalan. Jangan mencelah berdiam sahaja. Biar segala kebijaksanaan dalaman tuan itu berlalu begitu sahaja, dan tenang sahaja. Biar tubuh tuan bertenang dan bawa kesedaran tuan itu ke hati kerohanian tuan, padmahridayam di tengah-tengah dada tuan. Ya, masuk dalam itu teratai. Rasa "diri" tuan berada dalam teratai hati itu, yang menjadi punca segala benda yang tercetus dari dalam diri tuan. Punca cinta sendiri, tak bersyarat, tak berbatas, tiada sempadan suka dan anugerahnya, ananda.

Cubalah tuan rasai kelopak teratai sekeliling tuan dengan bau lembutnya itu. Biar diri tuan itu menjadi jiwa teratai hati ini, menjadi punca segala benda yang tercetus, menjadi cinta sendiri; melampaui nama dan rupa, melampau suka dan duka, melampaui malam dan melampaui siang. Menjadi kesukaan tiada batasan dan sempadan. Jatuh ke dalam cinta itu sendiri.

Maka, inilah diri tuan sebenar-benarnya. Jadilah diri tuan sendiri. Rehatkan segala kekangan kepada diri tuan pada ketika yoga. Senangkan diri bebaskan diri daripada kekangan kepada kesukaan tiada batasan mahupun sempadan. Tuan itu... adalah cinta... suka bahagia.... Tuan yang berada di pergunungan salju, tepi pantai, yang tinggal berhampiran alam semulajadi yang tiada dinodai pembangunan.... Ambil kesempatan nikmati kesukaan ini dengan menjalani yoga tapa jangan tuan sia-siakan!


Om Shanti... Shanti... Om....

Selasa, 8 Mei 2012

Pengenalan tentang Pranayam

Pranayam atau yoga pernafasan ini merupakan satu cabang pengajian mengawal pernafasan. Ia mengandungi siri-siri latihan utamanya yang bertujuan untuk memenuhi keperluan jasad dan mengekalkannya pada tahap kesihatan yang bertenaga.

Pranayam berasal dari kata-kata:

Prana bererti tenaga hidup
Yama bererti disiplin atau kawalan
Ayama bererti pengembangan, tidak menyekat atau lanjutan

Jadi, pranayam bererti teknik-teknik pernafasan atau pengawalan pernafasan. Hakikatnya, amalan yang membuka tenaga hidup dalaman ini tidak hanya meliputi kepada pernafasan yang mendalam. Ia bertujuan untuk para pengamal yoga lebih tumpuannya dalam proses bertapa. 

Dalam proses pernafasan kita, kita bernafas atau menyedut oksigen ke dalam badan kita. Ia melalui sistem badan kita dalam bentuk tenaga untuk mengecas bahagian-bahagian badan kita. Apabila kita meniup pernafasan pula, karbon dioksida akan terbebas dan melepaskan toksik-toksik dari badan kita. Melalui amalan pranayam ini, keseimbangan oksigen dan karbon dioksida dicapai. Menyerap prana melalui kawalan pernafasan menghubungkan jasad, minda dan roh kita

Hidup ini penuh dengan tekanan. Kerana tekanan kerja seharian, keluarga atau tekanan kewangan, kita cenderung untuk mengabaikan pernafasan kita. Jadi pernafasan kita menjadi lebih pendek dan laju. Penggunaan hanya sepecahan dari paru-paru menyebabkan kita kekurangan oksigen dan membawa kepada beberapa jenis kerumitan kesihatan. Sakit jantung, masalah tidur tidak teratur dan keletihan merupakan tanda bahawa kita kekurangan oksigen. Tenaga negatif dari masalah ini membawa kepada kekurangan prana dalam jasad kita. Melalui latihan pernafasan mendalam dan tersusun pranayam ini, kita memberi tenaga semula kepada jasad kita.   

Ada empat tahap pranayam

1. Arambha iaitu tahap permulaan yang mana seseorang itu berminat dengan pranayam atau menerima pencerahan mengenai keperluan kepada pranayam.
2. Ghata iaitu tahap apabila tiga sarira bergabung untuk menyelubungi jiwa. Tiga sarira ini adalah jiwa kasar, jiwa halus dan jiwa sebab musabab.
3. Parichay atau tahap seorang yogi mengalami pengetahuan pranayam itu sendiri.
4. Nispatti atau tahap apabila seorang yogi itu melepasi jasadnya dan bergabung dengan paramatman.

Pernafasan merupakan perkara yang biasa dalam hidup kita walaupun ramai dari kita yang gagal memberikan perhatian kepadanya. Ia merupakan fungsi autonomi di jasad kita yang sentiasa berjalan walaupun kita tidak memberikan tumpuan terhadapnya. Jadi kenapa perlu kita belajar pranayam ini? 

Kepentingan Pranayam

Ia mengajar kita cara yang betul untuk bernafas atau bernyawa. Apabila kita biasa bernafas dari dalam dada kita, hanya satu saja pecahan paru-paru digunakan, dan kita tak tahu bahawa ia tidak sihat. Cara pernafasan yang tidak semulajadi akan menyebabkan beberapa masalah kepada badan kita. Dengan teknik pranayam, kita akan meningkatkan lagi kemampuan paru-paru, lebih oksigen dibekalkan ke badan untuk ia berfungsi dengan baik. Kita belajar untuk bernafas perlahan dan dalam-dalam dan ini cara yang betul. 

Ia mengurangkan toksin dan sisa buangan dalam badan kita. Mengurangkan seseorang dari terkena penyakit. Ia juga membantu sistem penghadaman. Dengan cara pernafasan betul, kadar metabolisme badan dan keadaan kesihatan akan bertambah baik.

Selain itu, pranayam membantu meningkatkan lagi tumpuan kita dalam kegiatan harian. Ia melawan tekanan dan menenangkan jasad. Mengawal pernafasan membawa ketenangan kepada jasad dan pikiran. Ia menyebabkan seseorang dapat mengawal dirinya. Melalui tumpuan, seseorang akan dapat mengawal tahap kemarahannya dan juga tindakbalasnya kepada persekitaran. Pikiran akan berfungsi jelas untuk pertimbangan, menghalang hujah-hujah dan pembuatan keputusan yang salah. Lagi, mengawal diri juga melibatkan pengawalan jasad kasar kita. Benda ini agak berguna juga kepada penganut ajaran Buddha. Dengan pranayam, kita akan memulakan perjalanan kerohanian melalui pikiran yang dan jasad yang tenang.  

Walaubagaimana pun, pranayam tak boleh dipaksa pula. Ia mesti dijalankan dengan persediaan yang betul. Jika tidak, ia boleh menyebabkan masalah gangguan saraf. Persediaan adalah sebahagian dari proses beryoga seterusnya ke pertapaan. Kawalan nafas ini merupakan amalan kerohanian menyucikan pemikiran dan jasad yang mesti dijalankan dengan tunjuk ajar dan persediaan.   

Pranayam - Seni Nafas Yoga

 
"Apabila nafas tidak tentu hala, maka pikiran akan menjadi berkecamuk. Tapi apabila nafas itu tenang, maka pikiran juga menjadi tenang" - Hatha Yoga Prathipika

Jelasnya di sini, nafas itu adalah nyawa. Ia merupakan salah satu fungsi terpenting dalam diri kita. Salah satu daripada lima prinsip yoga adalah pranayam. Pranayam merupakan senaman pernafasan yang menggalakkan pernafasan yang betul. Dalam pandangan para yogi, pernafasan yang betul membawa lebih oksigen ke dalam darah dan ke otak. Ia seterusnya mengawal prana atau tenaga hidup yang penting. 

Pranayam yoga juga seiringan dengan asanna. Gabungan kedua-dua prinsip yoga ini dianggap sebagai bentuk tertinggi dalam penyucian diri dan disiplin diri seseorang. Ia meliputi kedua-dua minda dan jasad. Penting sekali kita ketahui mengenai pranayam yoga dengan melalui beberapa pembahagian:

1. Apa itu yoga pernafasan?
2. Kepentingan pernafasan
3. Teknik pernafasan tradisional
4. Tahap-tahap pernafasan dalam yoga
5. Menahan dan merehatkan pernafasan
6. Teknik untuk memanjangkan lagi rehat pernafasan
7. Bentuk-bentuk rehat pernafasan
8. Kepentingan melepaskan pernafasan
9. Garis panduan keselamatan
10. Prana dan jasad
11. Tujuh Chakra
12. Bernafas di pantai
13. Teknik pernafasan bagi yang baru bermula
14. Teknik-teknik pernafasan tahap tinggi
15. Brahman pranayam

Dengan senaman-senaman ini baru kita dapat melalui kehidupan tanpa resah gelisah dan seterusnya mencapai moksha dengan mudahnya.