Memaparkan catatan dengan label pernafasan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pernafasan. Papar semua catatan

Selasa, 5 November 2013

Pranayama - Kepentingan Bernafas Ikut Hidung


Peraturan pertama bagi pernafasan betul itu adalah kita mesti bernafas menerusi hidung! Nampak jelas sekali tentang keadaan ini namun masih ramai juga orang bernafas pakai mulut.

Pernafasan dari mulut boleh memberi kesan kepada perkembangan kalenjar tiroid seseorang dan merencatkan perkembangan mental kanak-kanak. Patogen pun boleh masuk dalam paru-paru menerusi pernafasan dari mulut. Jadi pastikan mulut ditutup, dan anda akan bernafas sendiri dengan hidung.

Hidung ini mempunyai pelbagai mekanisme perlindungan yang menghalang kotoran dan udara sejuk melampau masuk ke dalam tubuh. Pada bahagian mulaan hidung itu, ada bulu hidung yang menapis habuk-habuk, serangga kecil, dan lain-lain butiran yang mungkin mencederakan paru-paru jika anda bernafas dengan mulut. Selepas itu ada pula laluan melengkung-lengkung disaliri oleh lapisan hingus (mucus membranes), udara sejuk dipanaskan di situ dan habuk-habuk butiran semua yang terlepas diperangkap lagi di situ. Dalam hidung dalaman pula ada kalenjar yang menghalang sebarang bakteria berbentuk panjang (baccili) yang terlepas masuk. Hidung dalaman juga mengandungi anggota olfactory atau deria bau. Ia mengesan sebarang angin beracun atau gas bertoksik sekeliling yang mungkin membahayakan kesihatan. 

Para Yogi percaya bahawa anggota olfactory ini mempunyai fungsi lain iaitu menyerap prana daripada udara. Jika anda bernafas dengan mulut sepanjang masa, anda sebenarnya menipu diri anda dan anda rugi tak menyerap prana atau tenaga dalam angin yang percuma ini. Para Yogi menyebut bahawa punca utama ketahanan rendah melawan penyakit dan kelemahan fungsi kalenjar utama serta rupakara urat saraf itu adalah sebab ketiadaan prana ini.

Yogi purwa mengetahui kepentingan pernafasan yang betul lalu mengembangkan cara-cara yang bukan sahaja meningkatkan kesihatan dan memanjang usia cara semulajadi, tetapi juga untuk mencapai tahap kesedaran tertinggi. Justeru itu, Yoga terbukti mempunyai kesan yang baik bagi tubuh jika dimulakan dengan cara bernafas yang betul. Cara pernafasan betul harus diamalkan dahulu dan dilakukan seharian baru Yoga anda menjadi.

Pranayama - Kesan Pernafasan Cetek

 
  • Mengurangkan kesuburan seseorang kerana oksigen sangat penting bagi penghasilan tenaga dalam tubuh.
  • Mudah diserang penyakit. Ketahanan terhadap penyakit menjadi berkurangan kerana oksigen membekalkan tenaga kepada sel yang sihat.
  • Kita akan mudah terkena penyakit berkaitan salur pernafasan dan mudah terkena penyakit-penyakit saraf.
Dengan gaya kehidupan seharian kita yang tak giat dan tak cergas, kita hanya memperguna sepersepuloh sahaja kemampuan paru-paru kita! Yang ini cuma mencukupi untuk terus hidup dan bertahan sahaja tapi tak cukup untuk kesuburan tahap tinggi, usia panjang semulajadi dan juga kemampuan tinggi menahan penyakit. 

Bekalan oksigen yang rendah menyebabkan tubuh turut terkesan. Bila berlaku sumbatan pusingan darah yang teruk maka ia akan menyebabkan kurang oksigen pada jantung, lantas menyebabkan berlaku serangan jantung dan juga angin ahmar. Angin ahmar itu satu penyebabnya adalah disebabkan oleh bekalan oksigen yang sangatlah kurang di otak terutamanya jika terjadinya pembekuan darah di kepala. Tolong lah rakan-rakan sekelian ambil perhatian di bahagian ini! 

Saintis moden sendiri mengetahui bahawa sudah wujud hubungan kuat antara pernafasan dengan tahap-tahap mental kita. Beribu tahun lampau, para maharesi dan mahamuni seperti Phra Chao Buddha pun mengajarkan kita banyak perkara namun tak ramai lah yang memahami mereka semua sedangkan pengajaran mereka sangat-sangatlah berguna buat kita pekulun lemah segala ini. Pernafasan yang salah dan tak betul akan merendahkan kemampuan mental kita. Kesannya benar sekali kelihatan! Diketahui juga bahawa ketegangan pada mental atau jiwa itu juga menghasilkan pernafasan tersekat-sekat! 

Setengah kajian diperbuat berkaitan banyak jenis penyakit jantung dan barah pun terjadi disebabkan oleh kurangnya bekalan oksigen dalam tubuh. Dah lama juga diketahui, kekurangan oksigen ini dianggap sebagai penyebab utama orang ramai terkena barah. Sejak 1947 lagi, kajian dijalankan di Jerman menunjukkan bahawa bila oksigen dikeluarkan, sel tubuh biasa berubah menjadi sel barah. Kajian yang sama dijalankan juga dengan sakit jantung. Ia menunjukkan bahawa kekurangan oksigen merupakan penyebab utama terjadinya sakit jantung, strok dan barah. Saintis moden sebenarnya selari dengan para ajar-ajar purwa berkenaan dengan nafas pendek tersekat ini.

Suntingan dalam Jurnal Royal Society of Medicine menyarankan bahawa pernafasan cepat dan cetek menyebabkan masalah keletihan, masalah tidur tak lelap, kerungsingan, perut sakit, pedih hulu hati, angin, kekejangan otot, kepeningan masalah penglihatan, sakit dada, dan degupan jantung tak betul. Saintis turut menemui bahawa ramai orang percaya bahawa mereka kena sakit jantung disebabkan oleh masalah pernafasan tak betul.

Orang berusia dan yang tersumbat arteri jantung mereka selalunya akan menjadi nyanyuk dan kabur-kabur sebab bekalan oksigen di otak berkurangan. Mereka cepat meradang juga. Orang yang bekerja dalam pejabat dan duduk sahaja dalam pejabat sepanjang hari akan kekurangan oksigen di otak dan tubuhnya cuma mendapatkan sipi-sipi sahaja oksigen. Mereka rasa penat, letih, gementar, cepat menyampah dan marah serta tak begitu produktif. Lebih daripada itu, malam hari mereka tak menyenangkan dan tidur tak lena. Jadi keesokan hari mereka itu terasa tak menyenangkan. Putaran ini berterusan sahajalah kalau tak dihentikan.

Keadaan sebegini juga merendahkan rupakara pertahanan tubuh, membuatnya senang terkena penyakit pernafasan seperti selesema, demam, dan alahan lain.

Pranayama - Sebab Nafas Pendek


Sebab Nafas Pendek
  • Kita selalu nak cepat pada hampir setiap masa. Pergerakan dan pernafasan mengikut corak ini.
  • Tekanan kehidupan moden membuatkan kita bernafas lebih cepat dan cetek.
  • Kita mudah sangat beremosi dan jenis orang begini nafasnya pendek.
  • Kita cepat teruja atau cepat marah, pada kebanyakan masa, kita menderitai kebimbangan dan kerisauan maka kita bernafas cepat dan pendek.
Tahap emosi negatif memberi kesan kepada kadar pernafasan, menyebabkannya menjadi cepat dan cetek. Selain daripada itu, ada sebab lain disebabkan oleh tabiat pernafasan yang tak disedari ramai.
  • Teknologi moden dan semua benda memakai jentera mengurangkan keperluan kita bergiat cergas dengan tubuh. Tak ada keperluan lagi bagi kita bernafas dalam-dalam, maka kita pun mengembangkan tabiat buruk bernafas cetek.
  • Kita membuat kerja dalam bangunan. Keadaan ini sebenarnya menambahkan lagi pencemaran pada rupakara pernafasan kita. Kesannya, tubuh kita akan sendirinya bernafas kurang bagi melindungi dirinya daripada pencemaran.
  • Tubuh cuma menyedut udara yang cukup-cukup sahaja untuk bertahan.
Semasa melalui kehidupan ini, kita turut hidup dengan tabiat buruk pernafasan tak betul ini. Berita baiknya, tabiat ini boleh diubah. Tapi berita buruknya, sebelum berubah itu kita perlu mengenalpasti dan menerima bahawa tabiat kita perlu diubah. Ertinya di sini kita nampak kebaikan teknik pernafasan yang betul cuma sakitnya nak mengubah itu kita kena berdisiplin dan sentiasa malar dalam tindakan. 

Pastinya, Yoga bukan satu-satunya cara untuk berurusan dengan tekanan dan kesan kejatuhan bekalan oksigen dalam otak itu pun bukan satu nya penyebab pernafasan tersekat. Merokok, mengambil minuman berkafein seperti kopi, pegi ke tandas, atau ketawa pun boleh merubah corak pernafasan. Yang ini, boleh dianggap sebagai "Yoga Mini" walaupun merokok dan minum kopi itu bukan amalan Brahmana! Kita boleh mendapat sedikit kebaikan daripada berehat, bersiar-siar atau ketawa daripada kelolo.

Tapi orang yang terusan bekerja itu selalunya akan menerima tekanan tinggi, maka dia perlu lebih daripada itu. Pernafasan dalam, senaman dan juga meregangkan otot perlu terutamanya bagi mereka yang baru bermula nak mengawal sedutan dan hembusan nafasnya. Penyertaan dalam kegiatan sukan mungkin berguna. Pergi bersiar-siar pada waktu pagi atau petang pun bagus. Berjalan kaki sangatlah bagus. Bagi sesiapa yang mengalami nafas tersekat semasa malam hari, siang harinya mestilah dia bergiat cergas.

Isnin, 21 Oktober 2013

Lapan Cara Pranayam


Pranayama ini merupakan sejenis cara mengawal pernafasan atau pernyawaan. Dalam bahasa Sanskerta, pran itu ertinya nyawa dan ayama itu ertinya cara. Jadi ertinya cara bernyawa. Ia membantu membetulkan semula rupakara tubuh, menyenangkan angin, dan memastikan kepanjangan usia kerana penyakit daripada sebab cara bernyawa tak betul itu pastilah memendekkan nyawa kita. 

Ciri utama pranayama ini adalah sedut udara, hembus udara dan mengawal udara. Pranayama selalunya bermula dengan sedut dan hembus udara. Ia menguatkan paru-paru kita dan menyeimbangkan rupakara nadi dan urat, menyediakan tubuh bagi kita menahan nyawa atau mengawal nyawa. Berlatih pranayama setiap hari melancarkan pengaliran tenaga ke 72 nadi atau saluran yang menerusinya itu kesedaran kita mengalir dalam segenap tubuh, maka ia membantu meningkatkan lagi kebajikan kesihatan kita sama ada mental atau tubuh.

Jenis Pranayama

KIra-kira 50 jenis pranayama dijelaskan dalam weda-weda. Yang berikutnya ini cuma lapan yang biasa diamalkan dan yang terkenal:

Chandra Bhedan

Caranya itu......
  • Duduk dalam kedudukan bertapa semadhi atau dalam keadaan selesa atas lantai.
  • Pastikan belakang lurus dan bahu disenangkan.
  • Tutup lubang hidung sebelah kanan dengan ibu jari tangan kanan.
  • Sedut udara dari lubang hidung kiri.
  • Tutup lubang hidung sebelah kiri dengan jari telunjuk tangan kanan dan jari hantu.
  • Hembus keluar udara dari lubang hidung sebelah kanan.
Yang ini melengkapkan satu pusingan bagi pranayama jenis ini. Kita boleh lakukannya sebanyak 20 kali. Kebaikannya itu, ia menyejukkan tubuh dan juga menyembuhkan pedih ulu hati. Tapi, bagi sesiapa yang mempunyai tekanan darah rendah, cuba elakkan buat pranayama jenis ini ditakuti pitam. Ia sesuai dibuat semasa musim panas. Yang ini aku pernah buat juga. Sekarang saja tak ada masa. Jika berkesempatan pasti aku mau membuatnya lagi.

Surya Bhedan
  • Caranya duduk dengan kedudukan tapa semadhi atau dalam kedudukan selesa. 
  • Tutup sebelah kiri hidung dengan jari telunjuk dan jari hantu tangan kanan. 
  • Sedut udara dari sebelah kanan hidung. 
  • Tutup pula bahagian kanan hidung dengan ibu jari tangan kanan selepas itu. 
  • Hembus udara menerusi hidung bahagian kiri. 
  • Ulangi sampai 20 kali semuanya.
Kebaikannya adalah meningkatkan haba tubuh dan tahap tenaga. Memperbaiki penghadaman. Membersihkan darah dan juga melambatkan tubuh dimamah usia.

Harus diingat jika seseorang itu mengalami keasaman, darah tinggi atau masalah jantung jangan cuba-cuba buat senaman ini! Ia cuma diperbuat semasa musim sejuk sahaja.

Anulom Wilom
  • Duduk dalam kedudukan tapa semadhi yang selesa dan seimbang.
  • Guna ibu jari tangan kanan tutup bahagian hidung kanan.
  • Sedut udara dari sebelah hidung kiri.
  • Tutup pula bahagian kiri hidung itu dengan jari telunjuk dan jari hantu.
  • Hembus udara di sebelah hidung kanan.
  • Kemudian sedut udara pula di hidung kanan.
  • Tutup hidung kanan dengan ibu jari kanan.
  • Lepaskan udara di hidung kiri.
  • Satu pusingan ini melengkapkan pranayama anulom wilom.
Kebaikan pranayama ini adalah ia menyeimbangkan haba tubuh. Melepaskan tekanan dalam tubuh. Membersihkan nadi-nadi dalam tubuh serta memperbaiki lagi pusingan darah. Usia pun menjadi lebih panjang jadi banyak benda berguna lagi boleh diperbuat dengan hidup.

Harus awas, semasa mengamalkan pranayama ini, pastikan menyedut udara itu pakai paru-paru. Bukannya pakai perut. Ia boleh dibuat oleh sesiapa pun tak kira jati tak kira kedudukan atau agama. Sepanjang tahun pun boleh dibuat.

Bhastrika
  • Duduk padmasana atau sebarang kedudukan selesa atas lantai.
  • Belakang pastikan lurus dan otot bahu direhatkan.
  • Tutup hidung kanan dengan ibu jari kanan dan bawa siku kanan ke paras bahu.
  • Tutup mata. Sedut dan lepas udara menerusi lubang hidung kiri perlahan... perlahan kemudian cepat sedikit.
  • Buat langkah seperti tersebut sebanyak 20-25 kali. 
  • Sedut udara lama sedikit dan tahan selama yang mungkin.
Satu pusingan yang ini mencukupkan sekali Bhastrika pranayama. Sekarang cuba ulang langkah ini dengan menutup lubang hidung kiri pula dan bernafas dengan lubang hidung kanan.

Kebaikannya itu adalah melepaskan toksin dan racun yang terserap ke tubuh. Mengurangkan paras lemak tubuh. Meningkatkan lagi penghadaman makanan. Melancarkan peredaran darah dan juga memurnikan darah.

Awas jangan diamalkan jika anda seorang pesakit darah tinggi, menghadapi masalah jantung atau komplikasi paru-paru atau hernia. Orang yang lemah tubuh disebabkan penyakit atau rendah stamina jangan buat pranayama ini selalu.

Ujjayi
  • Duduk tegak dalam kedudukan selesa.
  • Sedut udara perlahan-lahan dan dalam-dalam menerusi kedua-dua lubang hidung.
  • Tahan nafas seberapa lama yang mungkin.
  • Hembus keluar dengan sedikit bunyi membisik, mengecilkan laluan udara.
Satu pusingan ini ada empat langkah lah seperti tersebut. Boleh ulang sebanyak dua sampai tiga kali. Kebaikannya di sini, ia memperkuat kotak suara, merangsang kalenjar tiroid, memperbaiki peredaran darah dan juga mengurangkan penyakit paru-paru, dada dan tekak. Dilarang membuat pranayama ini jika anda mengalami masalah jantung!

Shitali
  • Duduk dalam kedudukan selesa.
  • Tutup mata dan senangkan seluruh tubuh dengan pernafasan biasa.
  • Letakkan lidah di bibir bawah dan cuba gulungkan lidah.
  • Tarik nafas panjang-panjang dari mulut.
  • Tahan nafas selama mungkin.
  • Tutup mulut dan perlahan-lahan hembus nafas menerusi hidung.
Yang ini lengkap satu pusingan shitali pranayama. Ulang dua sampai tiga kali. Perlahan-lahan jika sudah biasa boleh diulang sampai 15 kali. Kebaikannya, ia menyejukkan tubuh, menyembuhkan keasidan dan juga tekanan melampau, melegakan ketidakhadaman dan juga masalah hempedu. Memperbaiki kesihatan mata dan juga kulit. Menyembuhkan tonsilitis.

Jangan buat pranayama ini semasa musim sejuk. Orang yang ada demam kura pun hendaklah menghentikan senaman ini sementara waktu sampai sembuh.

Shitkari
  • Duduk dalam kedudukan padmasana atau sebarang kedudukan selesa atas lantai.
  • Pastikan belakang lurus, bahu disenangkan.
  • Letakkan tangan di lutut, jari-jari disenangkan dan mata tutup.
  • Samakan gigi atas dengan bawah biar ia rapat sikit.
  • Asingkan lidah dan tarik nafas dari mulut dengan buat bunyi yang menyenangkan.
  • Tahan nafas selama yang mungkin.
  • Hembus nafas menerusi hidung.
Kebaikannya adalah ia menyejukkan tubuh dan menguatkan gigi serta gusi. Elakkan pranayama ini jika mengalami masalah tekanan darah rendah.

Bhramari
  • Duduk dalam kedudukan tapa semadhi atau padmasana.
  • Belakang lurus, otot bahu senangkan dan mata tutup.
  • Tutup kedua-dua telinga dengan jari telunjuk. 
  • Angkat siku ke paras bahu.
  • Tarik nafas dalam-dalam.
  • Tahan nafas selama mana yang mungkin.
  • Hembus nafas dengan bunyi seperti bunyi lebah.
Kebaikannya adalah ia menjadikan tubuh lebih tenang. Melepaskan tegangan. Menjadikan suara lebih enak didengar. Menguatkan peti suara. Menyembuhkan kesakitan tekak. Meningkatkan lagi penumpuan.

Harus diingat, pranayama ini mesti diamalkan awal pagi atau malam. Lebih banyak dikawal pernafasan, lebih lama anda hidup. Pranayama membantu kita bertahan dengan kehidupan yang sihat dan menjadikan keremajaan tubuh itu lambat pudar. Yang pudar tetap akan pudar cuma ini adalah satu cara pemeliharaan saja.

Selasa, 8 Mei 2012

Pranayam - Seni Nafas Yoga

 
"Apabila nafas tidak tentu hala, maka pikiran akan menjadi berkecamuk. Tapi apabila nafas itu tenang, maka pikiran juga menjadi tenang" - Hatha Yoga Prathipika

Jelasnya di sini, nafas itu adalah nyawa. Ia merupakan salah satu fungsi terpenting dalam diri kita. Salah satu daripada lima prinsip yoga adalah pranayam. Pranayam merupakan senaman pernafasan yang menggalakkan pernafasan yang betul. Dalam pandangan para yogi, pernafasan yang betul membawa lebih oksigen ke dalam darah dan ke otak. Ia seterusnya mengawal prana atau tenaga hidup yang penting. 

Pranayam yoga juga seiringan dengan asanna. Gabungan kedua-dua prinsip yoga ini dianggap sebagai bentuk tertinggi dalam penyucian diri dan disiplin diri seseorang. Ia meliputi kedua-dua minda dan jasad. Penting sekali kita ketahui mengenai pranayam yoga dengan melalui beberapa pembahagian:

1. Apa itu yoga pernafasan?
2. Kepentingan pernafasan
3. Teknik pernafasan tradisional
4. Tahap-tahap pernafasan dalam yoga
5. Menahan dan merehatkan pernafasan
6. Teknik untuk memanjangkan lagi rehat pernafasan
7. Bentuk-bentuk rehat pernafasan
8. Kepentingan melepaskan pernafasan
9. Garis panduan keselamatan
10. Prana dan jasad
11. Tujuh Chakra
12. Bernafas di pantai
13. Teknik pernafasan bagi yang baru bermula
14. Teknik-teknik pernafasan tahap tinggi
15. Brahman pranayam

Dengan senaman-senaman ini baru kita dapat melalui kehidupan tanpa resah gelisah dan seterusnya mencapai moksha dengan mudahnya.