Memaparkan catatan dengan label neraka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label neraka. Papar semua catatan

Ahad, 20 Januari 2019

Tiga Rantau Alam


Kepercayaan terhadap alam ghaib itu wujud dalam agama-agama orang Hindu. Konsep-konsep alam akhirat dalam bahasa Melayu seperti syurga (sorga), neraka (naraka), dosa (doṣa) dan pahala (phāla) semuanya diserap dari bahasa Sanskrit kesan dari pengaruh kebudayaan Brāhmaṇa dari Jambūdvipa.

Dalam kepercayaan orang Hindu, terdapatlah istilah yang disebut dalam bahasa Melayu kita sebagai Tribuana atau Tribhuvan dalam bahasa Sanskrit. Ia membawa maksud tiga rantau alam kewujudan. Berikut adalah alam-alam yang boleh diperhatikan oleh kita sebagai rujukan:
Setiap jiwa yang sudah meninggalkan raganya pasti akan menuju ke alam-alam yang lain. Baik atau buruk perjalanan seterusnya itu tergantung pula kepada karma atau amalan jiwa tersebut. Oleh itu, admin merasakan bahawa penting sekali saudara-saudara dharma yang budiman mengetahui mengenai perkara ini kerana ia boleh membantu kita semua dalam menjalani kehidupan kita dengan lebih baik lagi.

Rujukan mengenai alam selepas kematian boleh diklik di sini untuk maklumat lanjut. 

Pengumpul: Northern Gate
Tithi: 14 Śuklapakṣa 30 Pausa 1940 (20 Jan 2019)  

Ahad, 6 Oktober 2013

Neraka: 21 Jenis dalam Wisnu Purana

Om Swastiastu!


Wisnu Purana menyebut 28 neraka semua, dengan samacara hanya mengenai pendosa yang dikutuk dalam 21 neraka sahaja tanpa lanjutan cetera hukumannya. Neraka digambarkan dalam Wisnu Purana, tapi tidak pula ada dalam Bhagawata Purana dan Dewi Bhagawata Purana. Senarai neraka yang hanya tersebut dalam Wisnu Purana:

Rodha kemusnahan. Penyebab keguguran, pembunuh lembu dan penjarah atau yang menggantung orang lain akan dibuang di sini.

Sukara babi. Pembunuh Brahmana, pencuri emas atau pemabuk dan semua berkaitan dengannya akan jatuh dalam neraka ini.

Tala pedal ayam. Pembunuh Kesatria dan Waisya dan yang berzina dengan isteri ketua agama akan dihantar ke neraka berpedal ayam.

Taptakumbham periuk hangat. Berzina dengan saudari dan membunuh seorang rajaduta membawa hukuman masuk neraka ini.

Taptaloha besi hangat. Penjual bini, seorang yang memenjarakan orang dan orang yang meninggalkan pengikutnya terpenjara masuk sini. 

Mahajwalam neraka api besar. Yang bersumbang muhrim dengan anak perempuan sendiri atau dengan menantu perempuan dilempar dalam ini.

Laawana neraka garam. Yang menghina gurunya, orang yang tinggi kedudukan daripadanya seperti abang, kakak, bapa, ibu, bapa saudara, bapak-bapak, mak-mak, datuk, nenek, Brahmana, bhikkhu Buddha, menghina weda-weda yang diwangsit kepada maharesi semua akan masuk ke sini.

Wimohana tempat mengelirukan. Pencuri atau mereka yang menolak amalan yang dimestikan menurut jatinya itu akan dihentam dalam ini.

Krimisha neraka serangga. Yang menggunakan ilmu hitam, santet, santau bagai mencederakan orang lain akan dihantar ke neraka ini.

Wedhaka neraka kelaran. Yang ini diisi dengan pandai panah yang membuat panah untuk perang.

Adhomukham neraka tersembam. Yang ambil rasuah, tukang tilik bintang tak ikut agama dan mereka yang puja bahan yang tak sesuai akan dibuang dalam ini.

Puyawaha iaitu neraka bahan jatuh. Bangsa Brahmana yang menggatal menjual daging, cat diperbuat daripada pokok atau serangga, tuak, garam; yang berbuat keganasan dan yang makan manisan tak berkongsi dengan orang lain akan jatuh dalam neraka ini.

Rudhirandha neraka telaga darah. Peninju, anak tomoi atau kaki tinju yang berdosa buat keganasan untuk hiburan judi, nelayan, pengikut anak gampang, kaki bakar, tukang racun, pengintip, tukang tilik nasib, pengkhianat terhadap negara Hindu, yang gatal merenyam hendak berhubungan jenis pada hari-hari yang pantang pada agama, dan yang hidup dengan memaksa bini sendiri melacur menjadi jantan dayus dilempar di sini.  

Kresna neraka hitam. Penipu, yang mencerobohi milikan orang lain dan yang menyebabkan kemandulan itu disepak masuk dalam ini.

Wahnijwalam neraka api marak. Tukang buat periuk tanah, pemburu dan pengembala direjam dalam ini.

Swabhojanam neraka makanan anjing. Pelajar agama yang tidur siang hari dan yang tak berpengetahuan kerohanian serta belajarnya dari budak berhingus maka direjam dia dalam ini.

Neraka dan Pendosa


Om Swastiastu!


Perbincangan mengenai neraka ini sangatlah menarik perhatian. Rigweda kita tidak mempunyai penjelasan yang terperinci mengenai neraka. Ia cuma digambarkan sebagai tempat yang jahat dan lohong gelap yang tak berdasar. Atharwaweda kita pula menggambarkan neraka sebagai alam kegelapan, pembunuh akan dikurung dalamnya lepas terputus jiwanya. Ajaran dharma mengajarkan supaya kita jangan masuk neraka mau pun sorga, sebaliknya segera pergi terus kepada Nya mencapai kebebasan sengsara dan menerima keselamatan!

Satapatha Brahmana yang mula-mula sekali menyebut secara terperinci mengenai kesengsaraan seksa neraka. Manu Smriti pula menamakan neraka-neraka yang banyak jenis itu. Sastera agama lain-lain pun ada menggambarkan neraka secara umum disebutnya sebagai hutan tebal tapi tidak teduh, tiada air tiada rehat. Yamaduta nanti menyeksa menghentam jiwa-jiwa itu menurut perintah baginda, Yama. Nama neraka yang banyak-banyak itu ada tersebut dalam sastera Hindu biasa, tapi ciri-ciri pendosa diseksa dalamnya itu yang pelbagai menurut kepada sastera berbeda-beda. Ringkasan seksaan neraka ini diambil dari Bhagawata Purana dan Dewi Bhagawata Purana: 

Tamisra iaitu neraka kegelapan disediakan bagi orang yang merampas kemewahan orang lain, isteri atau anak-anak orang lain. Dalam alam gelap ini, dia diikat dengan tali-tali dan dibiarkan kebuluran tanpa makanan atau air. Dia dihentam dan disepak terajang oleh Yamaduta sekelian sampai pengsan.

Andhatamisra iaitu neraka buta dan gelap. Di sini, orang yang menipu orang lain dan menikmati berhubungan jenis dengan isteri atau anak-anak orang lain maka baginya itu seksaan sampai dia hilang kesedaran dan buta penglihatan. Seksaannya itu digambar bagaikan memotong pokok pada akarnya.

Raurawa iaitu neraka yang menakutkan. Digambarkan bahawa orang yang hanya mementingkan keluarganya dan dirinya sendiri sahaja, tapi menyakiti makhluk lain disebabkan oleh mereka. Jenis manusia macam ini pun adalah jenis manusia yang suka dengki khianat sama makhluk lain. Makhluk bernyawa disakitinya itu akan mengambil rupa binatang seperti ular ganas digelar ruru dan akan menyeksa jiwanya! Wisnu Purana menyebut bahawa neraka ini adalah neraka yang diisi dengan orang suka memberi kesaksian palsu dan penipu. Maka, tuan-tuan ahli politik sekelian jaga-jagalah. Memang benda ini adalah benda ghaib tapi tuan pun tidak akan pasti apa yang terjadi di belakang hari!

Maharaurawa iaitu tempat manusia yang berseronok dengan penderitaan makhluk lain maka dia akan diseksa dengan Ruru jenis Krawiyada yang mencarik-carik daging. 

Kumbhipakam atau periuk memasak. Manusia yang memasak binatang dan burung-burung, nanti dia akan dimasak hidup-hidup oleh Yamaduta dalam neraka ini seberapa lama menurut kepada bilangan helaian bulu pada tubuh binatang yang menjadi mangsa!

Kalasutram iaitu benang kematian atau benang ajal. Bhagawata Purana menyatakan neraka ini dipenuhi oleh pembunuh Brahmana, manakala Dewi Bhagawata Purana menyatakan ia dipenuhi oleh orang yang tak hormat ibu bapa, orang tua, nenek moyang dan para Brahmana. Alam ini diperbuat semuanya daripada gangsa dan amatlah panas. Ia dibakar dari bawahnya dan matahari yang panas di atasnya. Pendosa akan terbakar dalamnya lapar dan dahaga manakala di luar pula haba mengalahkan haba yang dibayangkan sama ada sedang lena, duduk, berdiri atau berlari panas la juga!

Asipatrawana atau Asipatrakanana iaitu hutan dengan daun pedang. Neraka ini untuk orang yang meninggalkan ajaran weda-weda dan membuat-buat ajaran sendiri. Untuk yang ini, aku ceterakan baginda Phra Buddha Chao tidak pernah melawan weda-weda atau berbuat agama baru sebaliknya baginda memperingatkan bahawa ada bangsa Brahmana yang mempermain-mainkan ajaran weda dengan menyakiti jiwa yang lain! Makanya, aku masih lagi percaya kepada weda-weda. Wisnu Purana menyatakan sengaja-sengaja menumbangkan pokok juga membawa ke neraka ini. Yamaduta akan menghentam mereka bila mereka cuba lari dari pokok-pokok palma yang berduri bagaikan pedang daunnya. Mangsa neraka yang cedera terkena duri dan sebatan akan menangis teriak memintak tolong tapi sia-sia sahaja lah.

Sukramukha atau mulut babi. Ia merupakan neraka yang menyeksa pegawai kerajaan dan raja-raja yang menghukum orang tak bersalah serta yang mengaruniai kedudukan rendah sebagai hukuman kepada bangsa Brahmana. Yamaduta akan menghancurkannya macam tebu digelek bagi mendapatkan airnya. Dia akan teriak kesakitan sama seperti perbuatannya kepada orang di lokamaya dulu.

Andhakupam iaitu telaga tersembunyi mulut. Neraka ini bagi orang yang menyakiti jiwa lain dengan tujuan tak elok dan menyeksa serangga. Dia akan diserang burung, binatang, ular, buaya, biawak, nyamuk, kutu, cacing, lalat dan lain-lain. Kerjanya lari dan lari saja sampai tak dapat berehat.

Krimibhojanam atau Krimibhaksham iaitu menjadi makanan cacing. Orang yang tak berkongsi makanan dengan tetamu, orang tua, anak-anak atau dewa serta makan seorang-seorang, makan tanpa menjalankan panchayajna akan diseksa dalam ini. Wisnu Purana menyatakan bahawa seorang yang meluat kepada bapanya, atau dewa-dewa dan merosakkan permata itu dihentam dalam ini. Neraka ini merupakan tasik berkeluasan 100,000 yojana dipenuhi cacing. Pendosa akan menjadi cacing yang makan cacing lain. Cacing lain pun akan makan tubuh cacingnya itu selama 100,000 tahun!

Sandansa atau Sandamsa neraka pemecah cengkerang. Perompak yang merompak seorang bangsa Brahmana atau mencuri permata atau emas dari seseorang walaupun bukan sebab terpaksa akan diseksa dalam ini. Wisnu Purana pula menyatakan orang yang melanggar wratam atau peraturan pun diseksa dalam ini. Tubuhnya akan digelek oleh bebola besi panas membara api.

Taptasurmi atau Taptamurti iaitu arca besi panas. Lelaki dan wanita yang berzina dengan lelaki atau perempuan itu dihentam dan disebat, dipaksa memeluk murti besi terbakar jantina yang dipeluknya dulu.

Wajrakantakasalmali iaitu pokok kapas sutera dengan petir macam tanduk. Orang yang berhubungan jenis dengan binatang atau bestiality atau banyak berhubungan berahi itu akan diikat di pokok Wajrakantakasalmali dan ditarik Yamaduta ke tanduk bagi dirabik-rabikkan tubuhnya.

Waitarni atau Waitarna iaitu diseberangi. Ia merupakan sungai yang dipercayai berada antara neraka dan bumi. Sungai ini membentuk sempadan bumi dengan neraka dipenuhi dengan tahi, kencing, muntah, nanah, darah, rambut, kuku, tulang, daging busuk dan lemak serta binatang air yang makan tubuh manusia. Disebut bahawa seorang bangsawan Kesatria dalam kalangan keluarga diraja atau pegawai kerajaan yang meninggalkan tugasannya tanpa alasan munasabah akan dilempar ke sungai ini. Wisnu Purana menyebut bahawa neraka ini juga untuk pemusnah sarang lebah atau sebuah pekan.

Puyoda air nanah. Orang Sudra dan wanita jati lain yang berhubungan jenis dengan lelaki Sudra atau lelaki jati lain yang berhubungan dengan wanita Sudra atau pelacur, hidup macam binatang tak suci tubuh dan jiwa akan jatuh dalam Puyoda. Lautan nanah, muntah, kencing, hingus, air liur dan benda jijik. Dipaksalah mereka makan itu semua.

Pranarodha pemusnah nyawa. Setengah bangsa Brahmana, Kesatria dan Waisya yang bersuka-suka memburu dengan anjing dan keldai dalam hutan, menyebabkan pembunuhan sengaja kepada binatang maka Yamaduta akan menjadikan mereka bahan mainan dan sasaran panah dalam neraka.

Wisashana pembunuh. Yamaduta menyebat orang yang bongkak sebab kedudukannya, kekayaan dan mengorbankan binatang sebagai lambang kedudukannya kemudian dia akan dibunuh. Wisnu Purana menyebut neraka ini dikaitkan dengan pandai lembing, pandai pedang, pandai keris dan lain-lain senjata.

Lalabhaksa makan ludah. Suami jati Brahmana, Kesatria, dan Waisya yang memaksa bininya minum air maninya disebabkan nafsu dan menunjukkan kawalannya itu akan dilempar dalam sungai air mani, dia sendiri kena meminum air mani dalam sungai itu. Wisnu Purana tak bersetuju, menyatakan bahawa orang yang makan sebelum beri semahan kepada dewata, nenek moyang dan tetamu yang masuk neraka ini.

Sarameyadana neraka putera Sarama. Penjarah yang membakar rumah-rumah dan meracun orang untuk kekayaan dan raja-raja atau pegawai kerajaan yang merampas wang pedagang, membunuh beramai-ramai, membunuh sesuatu bangsa habis, dilempar dalam ini. 720 ekor anjing garang bergelar putera Sarama dengan gigi macam pisau cukur akan memangsakan mereka.

Awici atau Awicimat tiada air. Mereka yang suka menipu dalam sumpah dan dalam perniagaan, akan dibuang berulang kali dari kepalanya dulu sejauh 100 yojana ketinggian gunung yang dalam rabung itu cuma ada ombak batu, bukannya air. Tubuhnya pecah, tapi dia tak mati dan akan dibuang lagi.

Ayahpana atau minuman besi. Sesiapa yang dalam wratam atau seorang Brahmana yang minum tuak akan diseksa dalam ini. Yamaduta akan berdiri atas dadanya dan memaksanya minum besi cair.

Ksarakardama asam dan lumpur. Yang suka berbangga diri tak semena-mena, tak menghormati orang yang lebih tinggi kedudukan jatinya walaupun orang itu miskin, kedudukan pangkat keluarga, pengetahuan atau parampara kerohanian akan diseksa dalam neraka ini. Kepalanya dulu akan terjunam masuk dalam asam dan lumpur.

Raksoganabhojanam atau makanan raksasa. Yang mengamalkan pengorbanan manusia dan makan orang akan diseksa dalam neraka ini. Pemangsa, dalam rupa raksasa akan memotong mereka dengan pisau tajam dan pedang. Darah mereka diminum sambil raksasa bersuka ria, seperti si pendosa itu bersuka ria makan mangsanya.

Sulaprotam atau disiat dengan lembing tajam. Orang yang pura-pura menyelamatkan binatang atau burung tapi lepas itu menyeksa mereka dengan mencucuknya dengan benang, jarum dan menjadikan mereka itu mainan tak bernyawa. Sama juga dengan orang yang berbuat begitu terhadap manusia, memenangi keyakinan mereka kemudian membunuh mereka dengan trisulo atau lembing tajam. Tubuh pendosa akan lapar dahaga, dicucuk dengan lembing tajam macam jarum. Burung pemakan bangkai dan burung macam bangau akan mengoyak mencarik tubuhnya.

Dandasuka ular. Orang yang menyakiti orang lain disebabkan dengki dan dendam seperti ular. Maka dia akan dimamah ular lima atau tujuh kepala dalam neraka.

Awatanirodha lubang bertutup. Pendosa dipenjarakan dalam ini adalah orang yang mengurung orang lain dalam telaga gelap, gua-gua, atau ruangan sempit. Mereka dilempar dalam lubang ini, gelap, dipenuhi dengan asap beracun yang menyesakkan rongga semua.

Paryawartana kembali. Keluarga yang menyambut tetamu dengan memandang kejam kepadanya, menyakitinya itu akan diseksa di sini. Burung makan bangkai, bangau neraka, gagak, dan burung-burung jenis ini semua akan memerhatikan mereka dengan kejam dan terbang lalu mematuk matanya.

Sucimukha neraka muka jarum. Orang jenis ini suka syak wasangka bukan-bukan yang orang lain akan mencuri kemewahannya. Dia bangga sama wangnya, dosanya itu sebab dia terikat dengan mendapatkan wang dan menyimpannya. Yamaduta akan menjahit dengan benang seluruh tubuhnya sampai melekat dalam neraka.

Neraka: Pentadbiran, Bilangan dan Nama


Dewa kematian, Sang Yama mempunyai Yamapurusha atau Yamaduta yang membawa roh-roh atau jiwa makhluk ke pembalasan di istana Yama. Umumnya, semua makhluk tak mengira, manusia atau haiwan akan tetap pergi ke kediaman Sang Yama lepas mati nya untuk diadili. Tapi, makhluk yang baik kebajikannya itu akan terus dibawa ke Sorga. Orang yang berbakti kebajikan utamanya mendanakan makanan dan yang berbicara benar senantiasa itu akan terlepas daripada dibawa ke kediaman Sang Yama.

Pahlawan yang mengorbankan jiwa mereka dan orang yang meninggal dunia di tempat suci seperti Kuruksetram pula digambarkan terlepas daripada ditimbang amalannya oleh Sang Yama. Yang menerima Moksa itu juga terlepas dan tidak dicengkam oleh Yamaduta. Yang murah hati dan hidup secara pertapa itu diberi layanan yang baik apabila masuk ke neraka bagi pengadilan. Jalan mereka dipasangkan lampu bagi mereka yang mendanakan lampu, sementara yang berpuasa tapa selalu itu dibawa ke neraka dengan burung merak dan angsa.

Baginda Yama digelarlah juga sebagai Dharmaraja. Baginda menghantar mereka yang baik karmanya itu ke Sorga bagi menikmati kemewahan sorga. Kejahatan dan maksiat dosa jiwa pula akan menyebabkan mereka menerima pembalasan bergantung kepada tahap-tahap dosa mereka. Seseoranag itu tidak akan bebas samsara dan mesti terjelma semula walaupun selepas menikmati keseronokan Sorga atau selepas dibalas di neraka.

Baginda Yama, dibantu menteri Citragupta, yang menyimpan segala catitan kebajikan dan kejahatan semua makhluk berjiwa. Yamaduta juga lah yang menjalankan pekerjaan menghukum si pendosa dalam bermacam-macam neraka di bawah sana.

Bilangan dan Nama-Nama

Neraka dipanggil dengan pelbagai nama yang menunjukkan bahawa ia adalah alam bagi Sang Yama seperti Yamalaya, Yamaloka, Yamasadana dan Yamalokaya. Ada masa dipanggil Yamaksaya dan juga Waiwastaksaya yang ertinya kediaman penuh kebinasaan. Yang lain menyebutnya, Samyamani, iaitu tempat yang benar sahaja dituturkan dan pembalasan bagi yang lemah kepada yang kuat. Juga dipanggil Mrityulokaya atau kediaman orang mati dan Pretarajaputra atau kota raja setan.

Neraka Menurut Agni Purana

Agni Purana menyebut hanya empat neraka. Setengah sastera menyebut tujoh neraka iaitu:

1. Put untuk yang tidak mempunyai anak
2. Awichi untuk yang menunggu penjelmaan semula
3. Samhata yang ditinggalkan bagi yang jahat
4. Tamisra iaitu kegelapan
5. Rijisha iaitu yang kena tolak dan kena seksa
6. Kudmala iaitu sopak tempat paling teruk bagi sesiapa yang akan dilepaskan semula
7. Kakola racun hitam yang dasarnya dalam yang ini sesiapa yang masuk ke dalamnya tak akan terlepas terjelma lagi 

Neraka Menurut Manu Smriti

Jadi hati-hati lah bapa budiman, mak-mak sayang semua. Masuk neraka bukan semestinya dijelmakan semula. Ada yang masuk dan tak terlepas lagi. Sia-sialah jiwa tuan. Dalam Manu Smriti disebut ada 21 neraka semuanya:

1. Tamisra
2. Andatamisra
3. Maharaurawa
4. Raurawa
5. Kalasutra
6. Mahanaraka
7. Samjiwana
8. Mahawichi
9. Tapana
10. Sampratapana
11. Samhata
12. Sakakola
13. Kudamala
14. Putimrittika
15. Lohasanku
16. Rijisha
17. Pathana
18. Waitarani
19. Salmali
20. Asipatrawana
21. Loghadaraka 

Neraka Menurut Yajnawalkya Smriti

1. Tamisra
2. Lohasanku
3. Mahaniraya
4. Salamali
5. Raurawa
6. Kudamala
7. Putimrittika
8. Kalasutraka
9. Sanghata
10. Lohitoda
11. Sawisha
12. Sampratapana
13. Mahanaraka 
14. Kakola
15. Sanjiwana
16. Mahapatha
17. Awichi
18. Andhatamisra
19. Kumbhipakam
20. Asipatrawana
21. Tapana

Neraka Menurut Purana Lain

Disenaraikan di sini ada 28 neraka semuanya tapi pada penjelasan penutupan purana sekelian dijelaskan bahawa ada beratus-ratus dan beribu-ribu neraka lagi. 

Bhagawata Purana

1. Tamisra
2. Andhatamisra
3. Raurawa
4. Maharaurawa
5. Kumbhipakam
6. Kalasutra
7. Asipatrawana
8. Sukaramukha
9. Andhakupam
10. Krimibhojanam
11. Samdamsa
12. Taptasurmi
13. Wajrantakasalmali
14. Waitarani
15. Puyoda.
16. Pranarodha
17. Wisasana
18. Lalabhaksam
19. Sarameyadanam
20. Awichi
21. Ayahpana
22. Ksarakardama
23. Raksoganabhojana
24. Sulaprota
25. Dandasuka
26. Awatanirodhana
27. Paryawartana
28. Suchimukha

Dewi Bhagawata Purana

Hampir sama dengan Bhagawata Purana cuma beberapa nama lain pula...

1.Taptasurmi - Taptamurthi
2. Ayahpana - Apahpana
3. Raksoganabhojanam - Raksoganasambhoja
4. Awatanordhana - Awatarodha
5. Paryawartana - Paryawartanataka

Wisnu Purana

1. Raurawa
2. Shukara
3. Rodha
4. Tala
5. Wisasana
6. Mahajwalam
7. Taptakumbha
8. Lawana
9. Wimohana
10. Rudhirandha
11. Waitarani
12. Krimisa
13. Krimibhojanam
14. Asipatrawana
15. Kresna
16. Lalabhaksa
17. Daruna
18. Puyawaham
19. Papam
20. Wahnijwalam
21. Adhosiras
22. Sandansa
23. Kalasutra
24. Tamas
25. Awichi
26. Swabhojanam
27. Apratishtha
28. Aiwchi lanjutan

Neraka: Kedudukan dalam Purana

Om Swastiastu


Tajuk mengenai neraka ini sebenarnya banyak kali sudah diperbincang. Begitu juga dalam Garuda Purana yang dibincangkan dalam kalangan pengikut Waisnawa. Neraka ini dipahami juga oleh semua penganut agama lain sebagai tempat seksaan kepada pendosa selepas mati atau putusnya nyawa. Ia juga tempat kediaman baginda Yama, dewa kematian. Ia digambarkan terletak di selatan Jagat dan bawah bumi.

Jumlah dan nama-nama neraka serta jenis pendosa dihantar ke neraka itu pelbagai pula menurut sastera. Tapi dalam sastera suci itu digambarkan ada 28 jenis neraka semuanya. Selepas putus nyawa, Yamaduta atau utusan baginda Yama akan membawa semua makhluk ke istana Yama. Di sana akan terjadinya timbang menimbang pahala dan dosa maksiat makhluk itu. Kemudian diadili sekelian jiwa makhluk, yang baik dinaikkan semula ke Sorga dan yang dosa masuk Neraka. Tinggal di Sorga dan Neraka itu sebentar sahaja. Tapi sebentar pun sebenarnya lama juga ribuan tahun jutaan tahun jadi janganlah terpedaya dengan pernyataan akan terjelma semula kerana sudah diperingatkan bahawa jika boleh dielakkan Sorga dan Neraka maka elakkan sahaja masuklah ke Moksa. Selepas tahap denda dosa itu beres, jiwa akan dijelmakan semula sebagai makhluk yang rendah atau tinggi jatinya bergantung pada pahala yang masih berbaki. Beberapa sastera lain menggambarkan neraka itu merupakan parit yang gelap tak berdasar dan jiwa akan terperankap dalamnya selama-lamanya dan sering berharap mau menjelma kembali.

Kedudukan

Bhagawata Purana menggambarkan neraka itu di bawah bumi. Antara tujoh alam dunia bawah atau Patala dan Lautan Garbhodaka, di pengujung Jagat. Letaknya di Selatan Jagat. Pitruloka, tempat nenek moyang diketuai oleh Agniswatta, pun terletak di rantau itu. Sang Yama, raja neraka, juga berdiam di alam itu bersama pelayan sekelian.

Dewi Bhagawata Purana menyebut bahawa neraka itu di selatan bahagian Jagat, bawah Bumi tapi atas sedikit daripada Patala. Wisnu Purana menyebut bahawa ia terletak di bawah air Jagat, di pengujung Jagat. Sastera lain pun setuju bertepatan dengan kedudukan yang dinyatakan. Arah Selatan selalunya diperkait dengan kematian. Pitruloka dianggap sebagai ibukota negara Sang Yama. Di situ, Sang Yama menimbang dan menegakkan keadilan dalam kalangan jiwa!

Rabu, 24 April 2013

Brahma Purana: Alam Sorga dan Neraka

Bab 9

Petala dan Biluwa Sorga

Dikenali sebagai Bilawa Sorga, loka-loka yang letaknya bawah lautan merentangi kebanyakan kawasan sebagai Pertiwi. Keluasan bumi itu seluas 70,000 yojana. Ketinggiannya pun ukurannya begitu. Keluasan petala-petala pun begitu. Loka itu adalah Atala, Witala, Nitala, Sutala, Talatala, Rasatala, dan Petala-Petala. Setiap loka ini berkeluasan 10,000 yojana. Warna loka-loka ini hitam, puteh, kuning, merah, kelabu dan keemasan.

Penduduk dalam loka-loka ini adalah Daitya, Danawa dan Naga. Sebaik saja melawat loka-loka itu, Brahmaresi Narada memanggil petala-petala ini sebagai Biluwa Sorga dan lebih baik lagi daripada Sorga. Loka-loka ini menerima sinaran bersangatan dari mani atau permata di atas tudung kepala para naga. 

Brahmaresi Narada berkata, "sinaran sakti sang Surya itu menyinari tapi tidaklah membahang di waktu siang. Sementara sang Chandra memberi kecerahan tapi tidak pula begitu sejuk. Penduduk dalam kalangan ular dan Daitya itu bersenang-lenang dengan keraian dan makanan enak-enak, perahan anggur dan minuman memabukkan berjam-jam lamanya setiap hari tanpa sebarang kerisauan atau kebimbangan. Mereka menikmati masa yang ada dengan berenang di Sarowara, sungai-sungai, tasek teratai dan berurusan dengan pelbagai barangan milikan berharga.     

Bawah loka-loka ini ada Tamoguna Rupa kepada Begawan Wisnu sebagai Sesha Naga dinamai Anantha yang dipuja para Siddha, para Dewata, para Dewa Resi dan para Daitya. Berada di atas seluruh Jagat Raya, Sesha Dewa ini menanggung bebanan Pertiwi dan Jagat Charachara.

Ujian-Ujian Neraka

Di bawah petala-petala ini ada pula neraka untuk para pendosa yang dilemparkan ke dalamnya. Neraka-neraka ini dikenali sebagai Rourawa, Shoukara, Rodha, Tana, Wishasana, Mahajjuwala, Tapta Kumbha, Maha Lobha, Wimohana, Rutiradha, Wasatapta, Kurmisha, Krumibhojana, Asipatrawana, Lalabhaksdiya, Puyawubaha, Wahijjuwala, Adhahshira, Samdamsha, Kresna Sutra, Tama, Swa Bhojana, Apratistha, Awichi dan lain-lain.

Neraka ini semua dikawal oleh Dharmaraja Yama. Neraka ini semuanya menakutkan sekali dengan penjaga neraka berparang tajam, berlembing, memegang gulungan api, racun dan menyebabkan sesiapa yang ternampaknya akan terketar-ketar lutut ketakutan. Semua hukuman dalam itu adalah ditujukan kepada pendosa.

Memberi kesaksian palsu, bercakap dengan tipu separuh benar separuh pun akan melayakkan seseorang itu terjatuh dalam neraka Rourawa. Bhruna Hatyam iaitu membunuh bayi yang belum dilahirkan dalam garbha, Guru Hatyam atau membunuh orang yang mengajar kita, membunuh lembu dan menamatkan nyawa seseorang dengan menghalang nyawa akan menyebabkan pendosa dilempar dalam Neraka Ghoda Rourawa.

Pemabuk, pembunuh kaum Brahmana, mencuri emas dan berkawan dengan pendosa semacam ini maka seorang itu akan dilempar dalam neraka Shoukara. Membunuh Kesatria dan Waisya, membunuh Rajaduta atau pesuruh diraja maka hukumannya dalam Neraka Tapta Kumbha. Menjual bahan seludup, seperti minuman panas dan tuak serta meninggalkan pengikutnya sendirian akan menerima hukuman dosa dalam Neraka Saptaaloha. 

Orang yang menghina seorang Guru dan melakukan Gurujana, mencarut kepada Guru, mengutuk Weda, menjual Weda dan sastera suci, menggoda dan ambil kesempatan terhadap orang yang melarat, yang memerlukan bantuan atau pun yang tak waras pikirannya maka akan dihentam dalam Neraka Shabala!

Penyamun, kawar, dan yang membunuh sifat yang lain maka takdirnya itu dalam Neraka Wimoha. Yang membenci dan menunjukkan benci kepada Dewata, para Brahmana dan ibu bapa akan terus dihantar ke Neraka Kumbhibhaksya. Yang mengambil makanan depan Naiwediya untuk para Dewata, Pitra dan Tetamu akan dilempar dalam Neraka Lalabhaksya. Yang membuat anak panah dan alatan membunuh takdirnya itu dalam Neraka Wedha manakala yang menghasilkan Ayudha dan Khadgam akan masuk ke Neraka Wishana. 

Kaum Brahmana yang menerima dana bagi tugasan melibatkan kejahatan misalnya untuk menyenangkan Dewata Kshudram atau mereka yang terlibat dalam nujum yang salah untuk menipu orang yang naif maka tempatnya itu dalam Neraka Adhomukham. Kaum Brahmani dari jatiniyam yang berurusan dengan daging bijan hitam, garam dan tuak akan masuk Neraka Krumipuyam. 

Brahmana yang berjual beli kucing, ayam, kambing, anjing, burung dan babi pun sama akan dihantar dalam Neraka Krumipuyam! Brahmana yang melibatkan diri dalam lakonan, pementasan, tarian, berkayuh sampan, memakan makanan yang jatuh dari wanita, bekerja sebagai penghantar barangan seludup, menerima rasuah, membela lembu atau kerbau untuk mendapat upah kehidupan, meniduri isterinya terutamanya pada hari suci, membakar rumah orang dan terlibat dalam pembunuhan rakan-rakannya akan dihantar ke Neraka Rudhirandha! Manusia yang membunuh saudara-saudaranya pula akan dilempar dalam Sungai Waitarini.

Kemungkinan untuk Pengampunan

Maharesi Lomaharshana menceterakan bahawa banyak dosa-dosa lain yang dilakukan oleh manusia dan menyebut juga dengan lanjut tentang neraka-neraka tempat kepulangan mereka.

Dalam pada itu, beliau juga memberi cadangan untuk Prayaschittam atau Pengampunan bagi mengurangkan kesan kepada dosa yang dilakukan manusia. Swayambhuwa Manu dan Maharesi lain menyatakan bahawa untuk dosa besar maka perlunya permintaan ampun besar-besar dan untuk dosa kecil meminta ampun pun kecil-kecilan. Prayaschittam ini pada dasarnya berbentuk Tapasya dan Tapasya terbaik itu adalah dalam bentuk menghafal pemikiran dan pemandangan baginda Begawan Sri Kresna.....

Prayaschittanya sheshani tapah karmatmakaani wai.... Yaani teshamaseshanam Kresnanusmaranam param! Krutei papaanutapo wai yasya pumsaha prajayatei, prayaschittam tu tasyaikam Hari samsmaranam param! Pratarnisha tatha sandyaamadhyaanadishu samsmaranam, narayanamawapnoti sadyah papakshayam narah! Wisnu samsaranaat kshim samasta klesha samchayah, muktim prayaati bho wipraa wisnostasyaarnu kirtanaat! Wasudewei mano yasya japa homaarchanaadishu, tasyantarayo wiprendra dewendratwadikam phalam! 

Kalau berdosa maka cara memohon keampunan terbaik itu dalam bentuk tapasya membaca nama Sri Kresna Begawan selalu. Barangsiapa mengamalkan membacanya di pagi hari, tengah hari, petang dan malam akan segera mendapat kelepasan dosanya. Begawan Narayana Smarana atau ingatan kepada Begawan, dan Kirtanam menyanyikan nyanyian suci akan memudahkan pencairan, kelepasan beransur-ansur dan jalan ke arah Mukti. Masa berjapam, berhomam dan berarchana akan menjadi langkah kukuh bagi kelayakan ke arah Moksha. Tak ada jalan lebih baik lagi ke Sorga dan seterusnya ke Moksha kecuali dengan Mulamantram Sri Wasudewa.


Selasa, 4 Oktober 2011

Ajaran Buddha: Neraka

Neraka menurut ajaran Buddha merupakan nama yang diberikan kepada salah satu penderitaan dalam dunia. Ini menurut pandangan semesta Buddha. Neraka dalam bahasa Melayu tidak lah diterjemahkan kerana pengaruh ajaran Buddha Brahman sudah bertapak lama.

Walaupun kata neraka turut digunakan dalam menerangkan konsep selepas kematian bagi orang Islam melalui kata pinjaman bahasa Sanskrit ini, namun ia berbeza pula bagi ajaran Buddha dalam dua aspek. Yang pertamanya, makhluk tidak lah dihantar ke neraka atas sebab untuk diseksa atau pengadilan. Yang keduanya, tinggal di neraka itu bukan selamanya bagi semua makhluk walaupun ada tempoh-tempoh tertentu yang agak lama.

Makhluk dijelmakan semula dalam neraka kesan daripada karma atau perbuatan yang dilakukannya. Kalau karma jahatnya banyak, maka dia akan berada dalam neraka mengikut berapa lama tempoh untuk membakar karma jahatnya. Selepas tamat pembersihan karma buruk, maka makhluk itu akan dijelmakan kembali di dunia yang sedikit atas dari neraka bagi karma baiknya yang masih belum terbalas.

Dalam Dewaduta Sutta, perbincangan yang ke-130 bagi Majjhima Nigaya, Buddha mengajarkan tentang neraka secara agak lengkap juga. Secara kasarnya, neraka-neraka digambarkan dalam bentuk gua-gua yang berlapis yang memanjang ke bawah bumi atau berada di bawah Jambudwipa atau dunia manusia biasa. Ada beberapa skema yang menghitung neraka-neraka ini dan juga menerangkan perihal seksaan di dalamnya. Misalnya, Abhidharmma Gosa yang bermaksud Rumah Khazanah bagi Pengetahuan Tinggi merupakan teks asas yang menerangkan skema yang paling biasa mengenai neraka yang terbahagi kepada lapan neraka sejuk dan lapan neraka panas.

Neraka Sejuk

Pendosa dalam neraka sejuk yang dikelilingi oleh gunung air batu bertelanjang memanjat pokok dan di puncak pokok dipatuk burung, di bawah mereka setan mencucuk dengan lembing.

 Arbuda

Neraka melepuh. Tanah datar yang gelap, beku dan dikelilingi oleh pergunungan air batu sering sahaja disapu oleh ribut salji. Penduduk dunia itu dibangunkan sahaja sudah besar, hidup bertelanjang dan berseorangan sahaja apabila badan mereka melepuh. Lamanya penduduk menderita dalam neraka adalah menurut masa bagi mengosongkan biji-biji bijan dalam tong dengan sebiji diasingkan keluar setiap 100 tahun.

Nirarbuda

Neraka melepuh pecah. Neraka ini lebih sejuk dibandingkan dengan Arbuda. Di sini lagi teruk seksaannya kerana luka melepuh akibat beku pecah terus dan menampakkan darah dan nanah.


Atata

Neraka mengeletar. Di dalam neraka ini penduduknya akan mengeletar kesejukan sehingga keluar bungi at-at-at dari mulut mereka.

Hahava

Neraka teriak. Dalam neraka ini makhluk yang berada dalamnya akan berteriak kesakitan berbunyi ha.. ho...

Huhuva

Neraka menggerigi gigi. Gigi makhluk dalam neraka ini semuanya akan berlaga-laga sehingga berbunyi hu... hu...

Utpala

Neraka teratai biru. Dalam neraka ini kulit makhluk yang kesejukan melampau bertukar biru seperti warna teratai utpala.

Padma

Neraka teratai. Dalam neraka ini, ribut salji menyebabkan kulit makhluk yang beku terbuka berdarah-darah.

Mahaapadma

Neraka teratai besar. Di sini, seluruh daging di badan akan pecah berkecai dan isi dalaman badan terdedah kepada kesejukan sehingga pecah juga habis.

Tiap sela masa dalam neraka ini 20 kali lebih lama dari yang sebelumnya.

Neraka Panas

Manusia yang dijelmakan berkepala haiwan dibedah oleh setan dalam neraka panas sambil dipatuk burung. Maalaya melihat dari atas.
Sannjiva
Neraka hidup semula. Dalam neraka ini, tanah dibuat dari besi panas yang dipanaskan oleh api yang panas bersangatan. Makhluk dalam neraka ini semua sudah besar-besar, berada dalam ketakutan dan terseksa. Sebaik sahaja makhluk mula ketakutan dicederakan oleh yang lain, mereka akan serang menyerang antara satu sama lain dengan cengkam besi. Kalau tidak, pesuruh-pesuruh Yama akan muncul pula dan menyerang mereka dengan senjata yang bahaya. Apabila makhluk tak sedarkan diri seperti mati, mereka akan dikembalikan kepada keadaan awalnya dan akan diserang semula. Seksaan lain dalam neraka ini termasuklah besi cair akan dituang atas mereka, mereka dikerat-kerat, dan diseksa oleh kepanasan tanah besi. Hidup dalam neraka ini selama 1.62×1012 tahun lamanya. Ia dikatakan sejauh 1000 yojana ke bawah Jambudwipa dan memanjang setiap arahnya 10,000 yojana.   

Kaalaasuutra 
Neraka benang hitam. Seksaan dalam neraka ini sama seperti neraka sebelum ini tapi ditambah dengan benang hitam diikat pada badan pendosa, dan pesuruh-pesuruh Yama akan memotong bahagian yang diikat itu dengan gergaji dan kapak tajam. Hidup dalam neraka ini selama 1.296×1013 lamanya.

Samghaata

Neraka penghancur. Neraka ini tanahnya besi panas, dikelilingi batu-batu besar yang menghentam sesama lain dan menghancurkan makhluk yang berada di antaranya menjadi pepejal darah. Apabila batu itu melepaskan makhluk yang dihimpitnya, makhluk itu akan kembali pulih seperti sedia kala semula. Proses akan berlaku lagi. Lamanya dalam neraka itu bagi pendosa adalah 1.0368×1014.

Raurawa

Neraka menjerit. Makhluk dalam neraka ini lari kelam-kabut menyelamatkan diri dari tanah terbakar. Bila bertemu tempat berlindung, mereka akan terkunci dalamnya dan kemudian api marak akan muncul sekeliling mereka. Mereka akan menjerit dalamnya. Hidup dalam neraka ini adalah selama 8.2944×1014 tahun.

Mahaaraurawa

Neraka menghiris. Seksaan dalam neraka ini seperti orang yang menjaga diri sendiri dengan mencederakan orang lain. Dalam neraka ini, haiwan ruru yang dikenali sebagai Krawyaada menyeksa mereka dan memakan daging mereka. Hidup dalam neraka ini 6.63552×1015.

Tapana

Neraka berhaba. Pesuruh Yama akan mengeringkan darah pesalah dengan mencucuk lembing pada makhluk kemudian api keluar dari mulut dan hidung mereka. Hidup dalam neraka ini selama 5.308416×1016.

Prataapana

Neraka haba lampau. Seksaan macam di Tapana tapi makhluk akan dikelar-kelar cucuk dengan trisulo. Hidup dalamnya selama 4.2467328×1017 . Untuk sampai ke akhir seksaan mengambil masa setengah antarakalpa.
Awiici 

Neraka tidak terganggu. Makhluk dalamnya akan dipanggang dalam ketuhar yang dipanaskan oleh api marak. Hidup dalamnya selama 3.39738624×1018. Hendak menamatkan seksaan mengambil masa setengah antarakalpa. 

Sabtu, 1 Oktober 2011

Pengenalan: Neraka

Neraka merupakan kata bahasa Sanskrit untuk dunia bawah. Maksudnya kepunyaan manusia. Menurut ajaran agama orang Hindu, orang Sikh, pengikut Jaina, dan Buddha, naraka merupakan tempat seksaan, atau neraka lah. Kata neraka juga digunakan untuk menerangkan konsep ajaran Islam mengenai neraka di Nusantara.

Menurut Ajaran Hindu

Kain rentang memaparkan gambaran dewa kematian, Yama atau Dharmma sedang duduk di takhta. Di kirinya ada setan dan di kanan ada Chitragupta sedang duduk sila untuk menentukan cara bagaimana roh-roh akan dijelmakan semula dan di mana akan dijelmakan menurut perbuatan di dunianya.

Naraka dalam veda-veda merupakan tempat di mana roh-roh akan dihantar untuk membersihkan dosa.  Ia disebut dalam dharmasastera, itihasa, dan purana. Selain itu ada juga disebut dalam samhita veda, aranyaka, dan upanishad. Sesetengah upanishad juga menyebutnya sebagai kegelapan, berbanding memanggilnya sebagai neraka.

Dalam satu ringkasan dari upanishad, bhagavadgita ada menyebut neraka beberapa kali. Adi Sankara sendiri menyebutnya dalam ulasan vedanta sutra. Ada juga orang tidak menerima kewujudan neraka dan menganggapnya sebagai satu perlambangan sahaja, contohnya macam ahli Arya Samaj.

Dalam purana-purana seperti bhagavata purana, garuda purana, dan vishnu purana, ada juga penerangan panjang lebar tentang banyak neraka. Neraka-neraka itu terletak di atas lautan Garbhodaka. Yama iaitu tuan kepada keadilan meletakkan makhluk yang sesudah mati di tempat yang sesuai untuk menerima seksaannya. Contohnya, meletakkannya dalam minyak mengelegak. Mukti yoga atau roh yang sudah layak untuk pembebasan dan juga nitya samsarin atau orang-orang yang selamanya berhijrah dalam ajaran dvaita juga boleh merasai derita neraka dalam penyucian.

Selepas tamat tempoh seksaan, roh akan dilahirkan semula dalam bumi dalam badan manusia atau haiwan. Jadi neraka dan sorga bukan tempat kediaman abadi. Yama loka merupakan kediaman Dharmmaraja Yama. Menurut kitab-kitab suci Hindu, Yama loka merupakan tempat seksaan sementara bagi orang berdosa atau papi. Menurut kitab suci Hindu, pembantu Yama, Chitragupta ada menyimpan catatan perbuatan setiap makhluk hidup dalam dunia, lengkap dengan kiraan perbuatan, akan membahagikan sama ada yang sudah mati itu ke sorga atau ke neraka yang banyak itu menurut keadaan dosa mereka. Kitab menerangkan bahawa orang yang buat perbuatan baik banyak pun akan jumpa di Yama loka bagi menerima pembalasan dosa kecil yang pernah dilakukan, dan selepas tamat tempoh seksaan dosa, maka dia akan dihantar ke bumi semula dijelmakan kembali atau menjelma di sorga. 

Dalam epik Mahabharata, Pandava yang mewakili kebenaran dan keadilan juga tinggal dalam neraka untuk sekejap masa kerana dosa kecil. Pada masa kematian, roh berdosa susah hendak ditangkap oleh Yamaduta. Yama mengarahkan supaya Yamaduta tinggalkan penganut aliran Vaishnava jangan ambil nyawa mereka. Sebabnya nama-nama pengenalan pengikut aliran Vaishnava adalah urdhva pundra tilaka (Tiruman dan Sri Chuurnam untuk Sri Vaisnava atau Gopi Chandan untuk Godiva Vaishnava), tapa samskara (bahu memikul sangka dan chakra), dan tulasi mala (rantai malai di leher biji tulasi).

Pengikut Sri Vaisnava akan diambil nyawa oleh Vishnuduta lalu dibawa ke Vaikuntha manakala pengikut Gaudiya Vaishnava akan ke Goloka.  

Jumaat, 19 Ogos 2011

Garuda Purana: Seksaan Dalam Neraka

Garuda Purana merupakan salah satu purana yang agung di benua India. Ia mengandungi maklumat tentang seksaan yang diberikan kepada orang yang melakukan jenayah semasa hidupnya selepas mati dia mati. Ia menerangkan 24 jenis seksaan yang diberikan kepada orang jahat selepas mati.

Antakuupam

Barangsiapa yang membunuh orang alim beriman dan menipu wali-wali akan diseret ke sini. Telaga ini dipenuhi oleh haiwan-haiwan seperti haiwan berbahaya, serangga berbisa, ular, dan burung. Haiwan-haiwan ini akan menyeksa pendosa sampai tamat tempoh perlakuan dosanya.

Kirumibhojanam

Sesiapa yang memakan makanan tanpa menyembahnya kepada Tuhan akan mengambil rupa cacing. Cacing lain di tempat ini akan menggigitnya.

Sunmaali

Yang menggatal akan dicucuk dengan senjata tajam.

Paribaathanam

Pemabuk akan dihantar ke sini. Dia akan diberi minum besi cair mendidih.

Pandrumukam

Tempat seksaan dalam neraka ini kelihatan seperti muka babi. Ia merupakan tempat hukuman raja atau pemerintah yang menghukum dengan tiada adil serta mereka yang menyeksa orang tua yang lemah. Penjaga neraka akan mematahkan kaki dan tangan mereka dan mereka akan digelek macam tebu sehingga tanpa sedar mereka pengsan.

Vajrakuundam

Hubungan terlarang akan menyebabkan pendosa diseksa dengan dipaksa memeluk batang besi panas selain akan disebat penjaga neraka.

Thaamisrum

Yang merampas isteri orang lain, harta atau anak-anak orang lain akan dibalun teruk oleh penjaga neraka. Mereka akan berada dalam keadaan separuh sedar, sentiasa ketakutan, dan berada dalam kesakitan.

Annatha Thaamisrum

Orang yang menipu pasangan hidupnya, dan tidak memberi nafkah makan minum seeloknya kepada teman hidup akan diseksa sehingga kelihatan macam pokok mati. Mata mereka akan dibutakan atas dosa mereka.

Rauravam

Orang yang merampas harta orang lain dengan kata-kata manisnya, licik lidahnya menipu, serta memusnahkan keluarga-keluarga lain demi kebahagiaan hidupnya sendiri akan mati dalam kepapaan. Dalam neraka nanti, mereka yang dianiayainya akan mengambil rupa kejam daripada ular berbisa dan menyeksanya. Pendosa kategori ini akan ditahan di Mahaarauravam sehingga tamat segala hukuman!

Kumbibagam

Yang membunuh dan menyeksa haiwan lalu memakan dagingnya akan diseksa di dalam minyak panas mengelegak. Mereka kekal di dalamnya ribuan tahun jutaan tahun tiada lah tahu.

Kalasuthiram

Anak-anak tak berguna yang menghalau ibu bapa keluar akan diseret ke neraka ini. Neraka ini ada api yang panas membara habanya tidak tertahan. Luaran dan dalaman akan terseksa. Tiada makanan dan air pun dalam neraka ini. Pendosa akan berdiri, berjalan sekeliling dan mengelupur kesakitan dalam neraka ini.

Asibathiram

Yang berpindah ke agama lain tanpa sebab musabab yang munasabah akan diseksa di sini. Dalam neraka akan ada tempat yang daunnya tajam seperti pisau. Mereka ini akan dilibas dengan tali pinggang yang bucunya tajam-tajam. Yang cuba lari dari neraka pula akan terkena seksaan lagi teruk dari batu-batan dan daun tajam yang memotong. Mereka akan dipotong kerat oleh daun-daun tajam sehingga tamat seksaan.

Saarmehyathanam

Yang membakar dan meracun orang lain, yang menyembelih orang lain dan ahli politik yang merosakkan negara akan diseksa di sini. Mereka akan diberi makan kepada anjing, dan sebelum bebas 700 ekor anjing akan menggigit mereka.

Ahvisi

Pendosa akan dilempar dari tempat tinggi atau gunung tinggi sehingga hancur berkecai badan mereka kerana dasar jurang itu keras. Badan mereka yang berkecai itu akan dikutip semula oleh penjaga neraka dicantumkan semula dan seksaan berulang.

Shaarargartham

Sesiapa yang menghina orang yang layak, atau orang-orang alim serta bongkak dengan dirinya sambil menghina orang lain yang layak akan diseksa dengan diikat terbalik kaki ke atas kepala di bawah sambil dipukul teruk oleh penjaga neraka.

Rashoganam

Barangsiapa yang melakukan yagna (korban) manusia dan haiwan akan diseret ke sini. Sesiapa yang memakan daging korban-korban ini juga akan diseksa. Yang membunuh haiwan akan berubah menjadi haiwan yang dibunuh. Yang dibunuh itu akan merupa manusia dan mengoyak daging pembunuh itu lalu makan dan minum darahnya.

Sulapurohtham

Barangsiapa yang menipu orang tak berdosa yang mempercayainya, mereka yang membunuh diri dengan menusukkan trisulo ke badannya akan diseret ke sini. Trisulo dan burung yang berparuh tajam akan menusuk mereka.

Thanthasukam

Pendosa akan dihantar ke neraka yang ada makhluk beracun dengan kepala lima atau tujuh. Makhluk-makhluk yang memenuhi tempat seksaan ini akan memakan pendosa.

Vadaarohtham

Yang menyeksa haiwan yang tinggal di gua, lembah, dan jalinan sarangnya akan dihantar ke lubang berapi mengeluarkan asap, dan diseksa dengan racun di dalamnya.

Paryaavaathanagam

Yang merungut apabila tak puas hati dengan tuan mereka walaupun makanan dihantarkan oleh tuan kepada mereka akan dihantar ke sini. Matanya akan dipatuk oleh burung gagak sehingga tercabut biji matanya.

Susimukam

Barangsiapa yang bermegah sombong dengan harta kekayaannya, yang menunjukkan benci kepada yang papa miskin, yang menanam hartanya dan menyuruh jin menjaga hartanya, serta enggan memulangkan harta benda yang dipinjamnya akan diheret ke neraka ini. Pendosa ini akan diikat dengan tali dan badannya akan dikerat-kerat.

Agni Guudam

Barangsiapa yang mengambil hak orang lain secara paksa akan dibawa naik ke tempat seperti loteng dalam neraka dan akan dibakar tidak henti-henti.

Vaitharani

Barangsiapa yang tidak hormat pada sastram akan dilempar masuk dalam sungai yang dipenuhi dengan darah, lemak, nanah, daging busuk, rambut, tulang dan tali perut. Yang melakukan jenayah ini tidak akan dapat naik ke tebing kerana tiada siapa akan membantunya keluar.

Puuyohtham

Barangsiapa yang meninggalkan budayanya, berhubungan haram dengan wanita kasta rendah, yang tidak menjaga disiplin diri menurut dharma hidup sebagai burung atau haiwan bebas akan diheret ke neraka untuk memakan isi perut, minum darah, minuman kencing, dan nanah.

Prinarohkam

Barangsiapa yang membela keldai dan anjing serta menggunakan binatang-binatang ini untuk berburu akan menjadi sasaran busur panah penjaga neraka.

Visasnum

Penjaga neraka akan melibas barangsiapa yang mengorbankan lembu untuk berbangga-bangga.