Ahad, 6 Oktober 2013

Neraka dan Pendosa


Om Swastiastu!


Perbincangan mengenai neraka ini sangatlah menarik perhatian. Rigweda kita tidak mempunyai penjelasan yang terperinci mengenai neraka. Ia cuma digambarkan sebagai tempat yang jahat dan lohong gelap yang tak berdasar. Atharwaweda kita pula menggambarkan neraka sebagai alam kegelapan, pembunuh akan dikurung dalamnya lepas terputus jiwanya. Ajaran dharma mengajarkan supaya kita jangan masuk neraka mau pun sorga, sebaliknya segera pergi terus kepada Nya mencapai kebebasan sengsara dan menerima keselamatan!

Satapatha Brahmana yang mula-mula sekali menyebut secara terperinci mengenai kesengsaraan seksa neraka. Manu Smriti pula menamakan neraka-neraka yang banyak jenis itu. Sastera agama lain-lain pun ada menggambarkan neraka secara umum disebutnya sebagai hutan tebal tapi tidak teduh, tiada air tiada rehat. Yamaduta nanti menyeksa menghentam jiwa-jiwa itu menurut perintah baginda, Yama. Nama neraka yang banyak-banyak itu ada tersebut dalam sastera Hindu biasa, tapi ciri-ciri pendosa diseksa dalamnya itu yang pelbagai menurut kepada sastera berbeda-beda. Ringkasan seksaan neraka ini diambil dari Bhagawata Purana dan Dewi Bhagawata Purana: 

Tamisra iaitu neraka kegelapan disediakan bagi orang yang merampas kemewahan orang lain, isteri atau anak-anak orang lain. Dalam alam gelap ini, dia diikat dengan tali-tali dan dibiarkan kebuluran tanpa makanan atau air. Dia dihentam dan disepak terajang oleh Yamaduta sekelian sampai pengsan.

Andhatamisra iaitu neraka buta dan gelap. Di sini, orang yang menipu orang lain dan menikmati berhubungan jenis dengan isteri atau anak-anak orang lain maka baginya itu seksaan sampai dia hilang kesedaran dan buta penglihatan. Seksaannya itu digambar bagaikan memotong pokok pada akarnya.

Raurawa iaitu neraka yang menakutkan. Digambarkan bahawa orang yang hanya mementingkan keluarganya dan dirinya sendiri sahaja, tapi menyakiti makhluk lain disebabkan oleh mereka. Jenis manusia macam ini pun adalah jenis manusia yang suka dengki khianat sama makhluk lain. Makhluk bernyawa disakitinya itu akan mengambil rupa binatang seperti ular ganas digelar ruru dan akan menyeksa jiwanya! Wisnu Purana menyebut bahawa neraka ini adalah neraka yang diisi dengan orang suka memberi kesaksian palsu dan penipu. Maka, tuan-tuan ahli politik sekelian jaga-jagalah. Memang benda ini adalah benda ghaib tapi tuan pun tidak akan pasti apa yang terjadi di belakang hari!

Maharaurawa iaitu tempat manusia yang berseronok dengan penderitaan makhluk lain maka dia akan diseksa dengan Ruru jenis Krawiyada yang mencarik-carik daging. 

Kumbhipakam atau periuk memasak. Manusia yang memasak binatang dan burung-burung, nanti dia akan dimasak hidup-hidup oleh Yamaduta dalam neraka ini seberapa lama menurut kepada bilangan helaian bulu pada tubuh binatang yang menjadi mangsa!

Kalasutram iaitu benang kematian atau benang ajal. Bhagawata Purana menyatakan neraka ini dipenuhi oleh pembunuh Brahmana, manakala Dewi Bhagawata Purana menyatakan ia dipenuhi oleh orang yang tak hormat ibu bapa, orang tua, nenek moyang dan para Brahmana. Alam ini diperbuat semuanya daripada gangsa dan amatlah panas. Ia dibakar dari bawahnya dan matahari yang panas di atasnya. Pendosa akan terbakar dalamnya lapar dan dahaga manakala di luar pula haba mengalahkan haba yang dibayangkan sama ada sedang lena, duduk, berdiri atau berlari panas la juga!

Asipatrawana atau Asipatrakanana iaitu hutan dengan daun pedang. Neraka ini untuk orang yang meninggalkan ajaran weda-weda dan membuat-buat ajaran sendiri. Untuk yang ini, aku ceterakan baginda Phra Buddha Chao tidak pernah melawan weda-weda atau berbuat agama baru sebaliknya baginda memperingatkan bahawa ada bangsa Brahmana yang mempermain-mainkan ajaran weda dengan menyakiti jiwa yang lain! Makanya, aku masih lagi percaya kepada weda-weda. Wisnu Purana menyatakan sengaja-sengaja menumbangkan pokok juga membawa ke neraka ini. Yamaduta akan menghentam mereka bila mereka cuba lari dari pokok-pokok palma yang berduri bagaikan pedang daunnya. Mangsa neraka yang cedera terkena duri dan sebatan akan menangis teriak memintak tolong tapi sia-sia sahaja lah.

Sukramukha atau mulut babi. Ia merupakan neraka yang menyeksa pegawai kerajaan dan raja-raja yang menghukum orang tak bersalah serta yang mengaruniai kedudukan rendah sebagai hukuman kepada bangsa Brahmana. Yamaduta akan menghancurkannya macam tebu digelek bagi mendapatkan airnya. Dia akan teriak kesakitan sama seperti perbuatannya kepada orang di lokamaya dulu.

Andhakupam iaitu telaga tersembunyi mulut. Neraka ini bagi orang yang menyakiti jiwa lain dengan tujuan tak elok dan menyeksa serangga. Dia akan diserang burung, binatang, ular, buaya, biawak, nyamuk, kutu, cacing, lalat dan lain-lain. Kerjanya lari dan lari saja sampai tak dapat berehat.

Krimibhojanam atau Krimibhaksham iaitu menjadi makanan cacing. Orang yang tak berkongsi makanan dengan tetamu, orang tua, anak-anak atau dewa serta makan seorang-seorang, makan tanpa menjalankan panchayajna akan diseksa dalam ini. Wisnu Purana menyatakan bahawa seorang yang meluat kepada bapanya, atau dewa-dewa dan merosakkan permata itu dihentam dalam ini. Neraka ini merupakan tasik berkeluasan 100,000 yojana dipenuhi cacing. Pendosa akan menjadi cacing yang makan cacing lain. Cacing lain pun akan makan tubuh cacingnya itu selama 100,000 tahun!

Sandansa atau Sandamsa neraka pemecah cengkerang. Perompak yang merompak seorang bangsa Brahmana atau mencuri permata atau emas dari seseorang walaupun bukan sebab terpaksa akan diseksa dalam ini. Wisnu Purana pula menyatakan orang yang melanggar wratam atau peraturan pun diseksa dalam ini. Tubuhnya akan digelek oleh bebola besi panas membara api.

Taptasurmi atau Taptamurti iaitu arca besi panas. Lelaki dan wanita yang berzina dengan lelaki atau perempuan itu dihentam dan disebat, dipaksa memeluk murti besi terbakar jantina yang dipeluknya dulu.

Wajrakantakasalmali iaitu pokok kapas sutera dengan petir macam tanduk. Orang yang berhubungan jenis dengan binatang atau bestiality atau banyak berhubungan berahi itu akan diikat di pokok Wajrakantakasalmali dan ditarik Yamaduta ke tanduk bagi dirabik-rabikkan tubuhnya.

Waitarni atau Waitarna iaitu diseberangi. Ia merupakan sungai yang dipercayai berada antara neraka dan bumi. Sungai ini membentuk sempadan bumi dengan neraka dipenuhi dengan tahi, kencing, muntah, nanah, darah, rambut, kuku, tulang, daging busuk dan lemak serta binatang air yang makan tubuh manusia. Disebut bahawa seorang bangsawan Kesatria dalam kalangan keluarga diraja atau pegawai kerajaan yang meninggalkan tugasannya tanpa alasan munasabah akan dilempar ke sungai ini. Wisnu Purana menyebut bahawa neraka ini juga untuk pemusnah sarang lebah atau sebuah pekan.

Puyoda air nanah. Orang Sudra dan wanita jati lain yang berhubungan jenis dengan lelaki Sudra atau lelaki jati lain yang berhubungan dengan wanita Sudra atau pelacur, hidup macam binatang tak suci tubuh dan jiwa akan jatuh dalam Puyoda. Lautan nanah, muntah, kencing, hingus, air liur dan benda jijik. Dipaksalah mereka makan itu semua.

Pranarodha pemusnah nyawa. Setengah bangsa Brahmana, Kesatria dan Waisya yang bersuka-suka memburu dengan anjing dan keldai dalam hutan, menyebabkan pembunuhan sengaja kepada binatang maka Yamaduta akan menjadikan mereka bahan mainan dan sasaran panah dalam neraka.

Wisashana pembunuh. Yamaduta menyebat orang yang bongkak sebab kedudukannya, kekayaan dan mengorbankan binatang sebagai lambang kedudukannya kemudian dia akan dibunuh. Wisnu Purana menyebut neraka ini dikaitkan dengan pandai lembing, pandai pedang, pandai keris dan lain-lain senjata.

Lalabhaksa makan ludah. Suami jati Brahmana, Kesatria, dan Waisya yang memaksa bininya minum air maninya disebabkan nafsu dan menunjukkan kawalannya itu akan dilempar dalam sungai air mani, dia sendiri kena meminum air mani dalam sungai itu. Wisnu Purana tak bersetuju, menyatakan bahawa orang yang makan sebelum beri semahan kepada dewata, nenek moyang dan tetamu yang masuk neraka ini.

Sarameyadana neraka putera Sarama. Penjarah yang membakar rumah-rumah dan meracun orang untuk kekayaan dan raja-raja atau pegawai kerajaan yang merampas wang pedagang, membunuh beramai-ramai, membunuh sesuatu bangsa habis, dilempar dalam ini. 720 ekor anjing garang bergelar putera Sarama dengan gigi macam pisau cukur akan memangsakan mereka.

Awici atau Awicimat tiada air. Mereka yang suka menipu dalam sumpah dan dalam perniagaan, akan dibuang berulang kali dari kepalanya dulu sejauh 100 yojana ketinggian gunung yang dalam rabung itu cuma ada ombak batu, bukannya air. Tubuhnya pecah, tapi dia tak mati dan akan dibuang lagi.

Ayahpana atau minuman besi. Sesiapa yang dalam wratam atau seorang Brahmana yang minum tuak akan diseksa dalam ini. Yamaduta akan berdiri atas dadanya dan memaksanya minum besi cair.

Ksarakardama asam dan lumpur. Yang suka berbangga diri tak semena-mena, tak menghormati orang yang lebih tinggi kedudukan jatinya walaupun orang itu miskin, kedudukan pangkat keluarga, pengetahuan atau parampara kerohanian akan diseksa dalam neraka ini. Kepalanya dulu akan terjunam masuk dalam asam dan lumpur.

Raksoganabhojanam atau makanan raksasa. Yang mengamalkan pengorbanan manusia dan makan orang akan diseksa dalam neraka ini. Pemangsa, dalam rupa raksasa akan memotong mereka dengan pisau tajam dan pedang. Darah mereka diminum sambil raksasa bersuka ria, seperti si pendosa itu bersuka ria makan mangsanya.

Sulaprotam atau disiat dengan lembing tajam. Orang yang pura-pura menyelamatkan binatang atau burung tapi lepas itu menyeksa mereka dengan mencucuknya dengan benang, jarum dan menjadikan mereka itu mainan tak bernyawa. Sama juga dengan orang yang berbuat begitu terhadap manusia, memenangi keyakinan mereka kemudian membunuh mereka dengan trisulo atau lembing tajam. Tubuh pendosa akan lapar dahaga, dicucuk dengan lembing tajam macam jarum. Burung pemakan bangkai dan burung macam bangau akan mengoyak mencarik tubuhnya.

Dandasuka ular. Orang yang menyakiti orang lain disebabkan dengki dan dendam seperti ular. Maka dia akan dimamah ular lima atau tujuh kepala dalam neraka.

Awatanirodha lubang bertutup. Pendosa dipenjarakan dalam ini adalah orang yang mengurung orang lain dalam telaga gelap, gua-gua, atau ruangan sempit. Mereka dilempar dalam lubang ini, gelap, dipenuhi dengan asap beracun yang menyesakkan rongga semua.

Paryawartana kembali. Keluarga yang menyambut tetamu dengan memandang kejam kepadanya, menyakitinya itu akan diseksa di sini. Burung makan bangkai, bangau neraka, gagak, dan burung-burung jenis ini semua akan memerhatikan mereka dengan kejam dan terbang lalu mematuk matanya.

Sucimukha neraka muka jarum. Orang jenis ini suka syak wasangka bukan-bukan yang orang lain akan mencuri kemewahannya. Dia bangga sama wangnya, dosanya itu sebab dia terikat dengan mendapatkan wang dan menyimpannya. Yamaduta akan menjahit dengan benang seluruh tubuhnya sampai melekat dalam neraka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan