Memaparkan catatan dengan label konsep. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label konsep. Papar semua catatan

Jumaat, 25 Disember 2015

Kehidupan Selepas Kematian

O Svasti Astu


Masukan kita yang terkini adalah bercirikan alam ghaib atau alam rohaniah. Kita sering tertanya-tanya, apakah yang akan berlaku selepas kematian? Banyaklah agama dunia yang memberikan penjelasan menurut cara dan perbendaharaan kata menurut rantau terbitnya agama tersebut. 

Menurut penganut agama Abrahamic yang terkenal, kehidupan selepas kematian itu dijelaskan dengan perkataan akhirat. Yang mana konsep kerohanian mereka mengenal alam bumi, ajal manusia dan proses pengadilan sebelum kemasukan seseorang manusia itu ke syurga atau neraka. Namun, tiada pula konsep penjelmaan semula "roh" di tiga alam dunia ini seperti yang diajarkan dalam Bhagavadgita.

Bagi penganut agama Hindu dan yang sewaktu dengannya, ada pula kepercayaan kepada penjelmaan semula roh yang didasarkan kepada ajaran bhagavan Krishna. Dalam penelitian pencari-pencari kerohanian Hindu sendiri pun, terdapat beberapa kes yang dicatit dan dikaji yang menunjukkan mengenai penjelmaan semula roh dalam pelbagai jurang waktu kematian seseorang itu di alam bumi. Persoalan yang timbul, ke mana pula perginya roh itu selepass ajal tubuh sehingga dijelmakan semula ia di tiga alam? Sebenarnya berapa banyak alam yang wujud? Yayasan Kajian Sains Kerohanian (SSRF) sebenarnya ada menyediakan rencana sebagai sarana bantuan untuk penganut, manakala kita bawakan pula ke tatapan pembaca agar lebih tersebar meluas.

Sebagai perhatian, pembaca haruslah memahami dahulu konsep triguna atau tiga jaluran tenaga yang diwakili oleh sattva, raja dan tama supaya pandangan alam masyarakat Hindu boleh difahami dan diperjelas dengan mudah.

Isi Kandungan
Alam-Alam Halus di Jagat Raya

Pesanan oleh penaja laman, hargailah kehidupan anda yang kini. Jangan disia-siakan dengan perbuatan yang tidak-tidak. Kelak merana jiwamu.

Jumaat, 8 November 2013

Antarabhawā


Dalam bahasa Tibet, sabdawali ini disebut sebagai Bardo. Ertinya itu adalah tahap masuk ke pertengahan atau tahap pertukaran alam. Dalam tahap-tahap kehidupan itu, ada "tahap sempadan". Konsep ini timbul sebaik sahaja selepas baginda Buddha Gautama meninggal, dengan beberapa pengikut awal ajaran Buddha menerima kewujudan keadaan tersebut sementara aliran-aliran lain menolaknya. Aliran Therawada menolak konsep ini seperti yang tersebut dalam Abhidharma kita. Kalau pandangan kosmos Muslim itu semacam, alam Barzakh. Kalau yang Katolik itu semacam Purgatory.

Keadaan ini dirujuk sebagai kewujudan antara dua alam kehidupan di bumi. Menurut tradisi ajaran Buddha yang tersebar di Tibet, selepas kematian sebelum roh tersebut menjelma semula, apabila kesedaran seseorang itu tidak berhubung dengan tubuh kasarnya, maka seseorang itu merasai pelbagai fenomena. Yang ini selalunya mengikuti satu pertalian penyahjanaan daripada, sebaik sahaja nyawa putus daripada tubuh, pengalaman yang paling jelas pada hakikat yang dirasai secara rohaniah menjadi nyata, kemudian diikuti dengan halusinasi yang menakutkan yang timbul daripada tindakan-tindakan tak mahir seseorang yang dilakukan dengan tidak berpikir mendalam.

Bagi orang perseorangan yang sudah siap siaga dan berlatih awal, keadaan ini memberikan tahap peluang yang bagus pula untuk pembebasan, kerana pandangan dalaman yang mencakupi akan timbul dengan pengalaman hakikat yang terus, sementara bagi yang lain pula ia menjadi tempat yang berbahaya kerana halusinasi yang tercetus hasil karma itu boleh memaksa roh yang tercabut dari tubuh itu masuk ke dalam penjelmaan atau kelahiran yang kurang memuaskan pada kehidupan akan datang.

Sabdawali ini boleh juga diperguna secara perlambangan atau laksana bagi menggambarkan fasa-fasa apabila kehidupan kita ini menjadi tergantung, contohnya semasa kesakitan atau semasa berada dalam tapa semadhi mengundurkan diri. Keadaan begitu dipandang juga sebagai berguna buat pembangunan rohaniah kerana halangan-halangan luaran terhapus. Namun keadaan ini boleh jadi juga memberi cabaran hebat kerana keazaman kita yang kurang mahir mungkin akan terasa menjadi dekat... Seperti dalam sidpa bardo atau putus nyawa juga.

Rabu, 16 Mei 2012

Konsep Penting dalam Ajaran Buddha


Oleh sebab penulisan tidak begitu meluas di kawasan tempat Siddhartha Gautama tinggal, maka apa sahaja yang diketahui dihafal dengan hati-hati secara lisan sehingga ia mula dituliskan mungkin pada seawal abad pertama sebelum masehi.

Perkataan Buddhism ini merupakan sesuatu yang baru sebenarnya. Ia mula diperkenal dalam Kamus Bahasa Inggeris Oxford pada 1801 dengan ejaan Boudhism dan ejaannya berubah sehingga kepada ejaan sekarang ini pada 1816. Dalam satu ulasan terbitan Jurnal Asiatic menggunakan perkataan ini dalam sebuah rencananya.

Tiga Mestika iaitu Buddha, Dharmma dan Sangkhom, begitu juga dengan karmma, janma dan amalan yoga sudah wujud sebelum kelahiran Siddhartha Gautama lagi tetapi kemudiannya mula dikaitkan dengan ajaran Buddha.

Hidup dan Lokamaya

Karmma

Istilah ini bermaksud kerja atau tindakan. Ia merupakan daya yang membawa kepada kesengsaraan. Putaran kesengsaraan dan jelmaan semula merupakan proses yang dilalui oleh semua benda. Perbuatan kusala (baik atau bertauliah) dan perbuatan akusala (tak baik dan tak bertauliah) menghasilkan "benih" dalam minda yang akan berbuah sama ada dalam kelahiran ini atau kelahiran seterusnya. Perbuatan mengelakkan sesetengah perkara yang tak bermoral dan menuai balasan perbuatan baik disebut sebagai sila.  

Dalam ajaran Buddha, karmma khasnya merujuk kepada perbuatan sama ada berasal dari badan, pikiran atau minda yang muncul dari niat di hati. Ia disebut sebagai cetana. Hal ini memberikan kesan atau buah disebut sebagai pahala atau pun wipaaka yang bermaksud keputusan. 

Dalam ajaran Buddha Theravada, tidak ada keselamatan atau keampunan untuk karmma seseorang. Ia merupakan satu proses yang bersifat peribadi yang merupakan sebahagian daripada solekan di jagat raya ini. Dalam aliran Mahatana, sutra-sutra seperti Padmasutra, Angulimaliyasutra dan Nirvanasutra mendakwa bahawa membaca atau hanya mendengar sutra-sutra ini sahaja pun sudah mampu menghapuskan karmma-karmma buruk. 

Setengah aliran ajaran Buddha yang lain misalnya seperti Vajrayana menganggap bahawa bacaan montra boleh membantu menghancurkan karmma buruk lampau. Guru aliran Tanah Suci Jepun iaitu Genshin mengajarkan bahawa Amitabha Buddha mampu untuk menghapuskan karmma yang jika tak dihapuskan akan mengikat seseorang dalam sengsara.

Jelmaan Semula

Jelmaan merujuk kepada proses yang mana sesuatu itu melalui proses berganti-ganti dalam kehidupan sebagai satu daripada bentuk-bentuk hidupan berperasaan yang datang dari kelahiran sehingga kematian. Ajaran Buddha menolak konsep diri yang tetap dan tak berubah atau roh yang abadi sebagaimana yang terdapat dalam ajaran Hindu atau ajaran Kristian.   

Menurut ajaran Buddha, pada akhirnya tak ada satu benda pun yang serupa dengan bergantung kepada diri sendiri daripada semua yang ada dalam jagat ini (doktrin anatta). Kelahiran atau jelmaan semula dalam kewujudan berikutnya mesti difahami sebagai satu kesinambungan kepada proses yang "timbul daripada kebergantungan" ditentukan oleh undang-undang sebab dan kesan (karmma) berbanding dengan satu kejadian itu, berhijrah atau menjelma semula daripada satu kewujudan ke satu kewujudan lain. Proses yang timbul daripada kebergantungan ini dikenali sebagai pratityasamutpaada

Setiap kelahiran semula itu bertempat dalam satu daripada lima alam menurut kepada aliran Theravada atau enam menurut aliran lain. Semua alam ini kemudian terbahagi pula kepada 31 satah kewujudan.

1. Makhluk Neraka

Iaitu yang dijelmakan di dalam salah satu neraka.

2. Pretam

Kadang-kadang berkongsi alam dengan manusia tetapi tidak kelihatan di mata kebanyakan orang. Dalam bahasa Cina disebut sebagai hantu lapar. 

3. Binatang

Berkongsi alam dengan manusia. Tetapi dianggap jenis hidupan yang lain. 

4. Manusia

Salah satu alam jelmaan semula yang mana dalam alam ini baru dapat mencapai nibbhana.

5. Asura

Biasanya diterjemahkan menjadi dewata tahap rendah, syaitan, jin dan alam ini tak dianggap sebagai alam yang berbeza dengan alam dewata dalam tradisi Mahawihara aliran Theravada

6. Dewata

Termasuklah para Brahma atau diterjemahkan menjadi dewa-dewa, dewata, roh-roh sekeliling, malaikat, peri-peri atau tak diterjemahkan langsung. Jelmaan semula dalam sorga-sorga tertinggi dikenali sebagai Suddhaawaasaloga atau alam tempat tinggal yang murni. Ia boleh dicapai oleh pengamal ajaran Buddha yang berkemahiran yang dikenali sebagai anaagaami atau yang dah tak kembali lagi. Kelahiran semula dalam arupa dhatu atau alam tak berupa boleh dicapai oleh orang yang bertapa dengan aruupajhaana iaitu tumpuan pertapaan yang tertinggi.

Menurut tradisi Asia Timur dan aliran Buddha Tibet, ada tahap peralihan yang disebut sebagai bardo antara alam ini ke alam seterusnya. Aliran Theravada ortodoks menolak hal ini. Tapi ada ayat-ayat dalam Samyutta Nigaya dari sutra Bali yang digunakan dalam tradisi Theravada menyokong pendapat yang Buddha pernah mengajarkan tahap peralihan antara satu kehidupan ke satu kehidupan yang seterusnya. 

Sengsara

Makhluk berperasaan mengidamkan kesenangan dan tak suka dengan kesakitan dari kelahiran sampai lah ke kematiannya. Dalam hidupan yang dikawal oleh sikap sebegini, mereka mengekalkan putaran kewujudan bersyarat dan sengsara. Ia menghasilkan punca-punca dan syarat-syarat kepada jelmaan seterusnya selepas kematian jasad.  

Setiap jelmaan itu mengulangi proses in dalam pusingan yang dipaksa yang mana penganut ajaran Buddha cuba untuk mengakhirinya dengan membasmi punca-punca dan syarat-syarat ini memakai cara-cara yang diajarkan oleh Buddha dan penganut Buddha yang berikutnya.


Jumaat, 9 Mac 2012

Erti Dharmma


Pengertian Dharmma

Dhamma boleh membawa erti...


  • Keadaan sifat yang begitu sahaja istilahnya yathaa bhuuta
  • Undang-undang alam yang dipertimbang secara bersama
  • Ajaran-ajaran Buddhaguru sebagai penjelasan kepada Undang-Undang Alam terpakai dalam masalah kesengsaraan manusia
  • Satu kejadian yang boleh diperhatikan misalnya pengalaman serta yang berkaitan dengannya
Terbitan Kata

Terbitan kata dhamma ini datang dari kata akar dhamm ertinya "menyokong" atau "mendukung". Dalam catatan lanjut ada menerangkan bahawa ia merupakan suatu yang menyokong atau mendukung pengamalnya dan menghalangnya dari terjatuh ke dalam keadaan yang menyeksakan atau menjelma dalam kewujudan yang buruk.

Konsep dharmma ini memerlukan kefahaman kepada erti yang meluas dan mendalam maknanya. Dharmma adalah untuk memupuk pengetahuan dan pengamalan undang-undang serta peraturan yang bersama-sama menyokong rentangan hakikat, fenomena semulajadi dan pembawaan manusia dalam kuasa yang saling bergantungan dan harmoni.    

Dhamma Winaya

Gautama Buddha merujuk kepada jalan yang diajarkannya kepada para shiksha sebagai dhamma winaya. Ia bererti jalan yang melatih pelajar. Jalan para Buddha merupakan jalan yang melatih diri seseorang dalam amalan yang dikenakan ke atas diri pelajar itu.

Latihan amali ini melibatkan menahan diri semampu mungkin dari kegiatan hubungan jenis menurut istilahnya disebut sebagai Brahmachariya, menurut Sila atau aturan sikap dan usaha bagi memupuk kesedaran dan kebijaksanaan. Hal ini ada diterangkan dalam Latihan Tiga Lipatan.    

Dalam kitab-kitab ajaran Buddha, ungkapan dharmma selalunya merujuk kepada ajaran-ajaran Buddha dan penelitian kitab-kitab misalnya kitab Winaya serta Sutta Pitaka dari kitab-kitab Bali secara kritikal. Lebih meluas lagi, ia turut melibatkan tradisi-tradisi penafsiran yang lebih baru dan tafsiran dari pelbagai aliran ajaran Buddha yang diperkembang untuk membantu menerangkan tentang ajaran Buddha.

Dalam tradisi Mahayana yang terkemudian, dapat dilihat terdapat kira-kira 84 000 ajaran yang diberikan oleh Buddha untuk pelbagai jenis orang menurut keperluan mereka. Dalam soal ini, ia seerti dengan ajaran-ajaran Buddha dalam dharmma yang terkandung dalam Tiga Mestika yang mana para penganut ajaran Buddha berlindung dengannya bagi mendapatkan kebahagiaan abadi.     

Tiga Mestika ajaran Buddha itu adalah Buddha yang mewakili penyempurnaan akal yang cerah, Dharmma mewakili ajaran-ajaran dan kaedah, serta Sangha yang merupakan masarakat yang bersungguh-sungguh beramal dengan Buddha dharmma, yang tak berbelah bagi menyokongnya, mendorongnya, dan menjalinkan persahabatan kerohanian.

Dhamma Wicaya

Pemupukan dan pencapaian kebijaksanaan merupakan sebagagian dari matlamat dan amalan yang terdapat dalam ajaran Buddha. Dalam usaha mencapai kebijaksanaan, seorang itu harus lah memahami sifat sesuatu benda atau dhamma dan bahagian dari amalannya menurut ajaran Buddha adalah dengan menyiasat sifat sesuatu. Yang ini lah kita sebut sebagai dhamma wicaya.

Ia bermaksud menggunapakai satu tujuan, pendekatan ilmiah dalam memahami hubungan punca antara pelbagai jenis kejadian. Panjang lebarnya lagi merujuk kepada pemerhatian sendiri yang berterusan diperbincang dalam ajaran-ajaran yang dicatatkan dalam Satipatthana Sutta.

Buddha sendiri dipanggil sebagai seorang penyelidik yang hebat. Hal ini kerana ajaran-ajaran baginda untuk keluar dari kesengsaraan menerusi penelitian hubungan punca antara penyebab-penyebab berbeza yang membentuk pemikiran dan jasad. Pencapaian gemilang dalam penelitian ini lah yang membentuk badan ajaran asal-muasal.

Badan Dharmma Buddha

Nilai-nilai dharmma itu adalah bersamaan dengan nilai-nilai yang terdapat pada sang Buddha dalam bentuk "Badan Kebenaran". Yang ini kita sebutnya sebagai Dhammakaya.

Dalam Samyutta Nikaya bahagian Wakkali Sutta, sang Buddha ada berkata kepada seorang pelajarnya Wakkali:

Yo kho Wakkali dhammam passati so mam passati.
Wahai Wakkali, barangsiapa yang melihat dhamma, maka dia akan melihat aku (Buddha).

Rujukan lain ada dalam Agganna Sutta dari Digha Nikaya yang mana sang Buddha berkata kepada Wasettha:

Tathaagatassa h'etam Wasettha adiwacanam dhammakayo iti pi...
Wahai Wasettha, Kata-kata Dhammakaya itu merupakan nama kepada Tathagata...

Ciri-Ciri Buddha Dharmma

Ajaran Buddha ada enam ciri utama, antaranya....

1. Swaakkhaato - Diisytiharkan sebaiknya
2. Sanditthiko - Boleh diperiksa
3. Akaaliko - Segera
4. Ehipassiko - Boleh datang dan lihat sendiri
5. Opanayiko - Memimpin seseorang mendekat kebebasan 
6. Paccatam weditabbo winnuuhi - Diketahui secara peribadinya oleh yang bijaksana

Dengan mengetahui ciri-ciri ini, penganut ajaran Buddha akan memperolehi keamanan abadi dan kegembiraan melalui amalan dhamma. Setiap orang itu bertanggungjawab terhadap dirinya dengan meletakkan dirinya dalam amalan yang hakiki.

Buddha dibandingkan juga dengan seorang tabib yang berkemahiran, dan dharmma pula dibandingkan dengan penawar yang bersesuaian. Walaupun ada seorang doktor yang hebat atau penawar yang ampuh sekali pun, pesakit masih lah tak dapat disembuhkan jika tidak diberi penawar yang sesuai dengan sakitnya. Maka amalan dhamma ini merupakan satu-satunya jalan bagi mencapai tahap terakhir dalam nibbana.

Ajaran ini bermula dengan pemahaman terhadap kamma atau perbuatan dan berkembang kepada kesannya dalam pemikiran seseorang, bagi mencapai pencerahan penuh perlu lah pula mengenali sifat pemikiran itu sendiri.     

Isnin, 8 Ogos 2011

Konsep Trimurthi dalam agama orang Hindu


Apa ke bendanya Trimurti ni? Kita selalu dengar nama orang India seperti Murthi tapi kita tak tahu pula apakah maknanya? Murthi sama ertinya dengan rupa. Kalau Trimurthi ertinya Tiga Rupa lah.

Trimurthi ni merupakan satu konsep ketuhanan dalam kepercayaan orang tamadun Hindu. Fungsi penciptaan alam jagat, pemeliharaannya, serta kemusnahannya dilambangkan dalam rupa iaitu Brahma yang Mencipta, Vishnu yang Memelihara dan Mengekalkan, dan Siva yang Memusnahkan atau Membentuk yang baru. Ketiga-tiga dewata ini dikenali juga sebagai tiga serangkai orang Hindu. Selalu juga dikenali sebagai Brahma, Vishnu dan Maheswara.

Sejenis perlambangan Trimurthi ada menggambarkan tiga kepala dengan satu leher, atau selalunya tiga muka di satu kepala melihat ke tiga arah bagi menunjukkan mereka pada asasnya adalah satu.

Evolusi Konsep

Samaya purana sekitar 300-1200 SM menyaksikan kebangkitan agama pra-sastra Veda dan evolusi yang dalam kenyataan R. C. Majumdar sebagai agama campuran orang tamadun Hindu. Samaya ini tiada keselarasan, dan wujudnya gabungan kepercayaan Brahman ortodoks dalam bentuk tinggalan adat istiadat kepercayaan Veda, diikuti dengan agama-agama dari aliran berbeza misalnya seperti aliran Saivi, Vaishnavi, dan Sakthi yang juga dalam kerangka ortodoks tetapi dalam entiti yang berlainan. Antara ciri utama samaya ini ialah wujudnya semnagat perpaduan antara kepercayaan agama ortodoks dan agama menurut aliran. Berkaitan dengan perpaduan ini, R. C. Majumdar ada menyebut:

Trimurthi ini merupakan konsep ketuhanan yang mewakili jelmaan Tuhan dalam tiga bentuk iaitu Brahma, Vishnu, dan Siva... Tetapi perpaduan tiga dewata ini tidak boleh dianggap sebagai satu kejayaan besar kerana dewa Brahma tak pernah mencapai kedudukan tinggi sebagai Siva dan Vishnu. Aliran-aliran yang berbeza pula sering meletakkan dewa-dewa aliran tersebut sebagai jelmaan dewa aliran mereka yang dianggap sebagai Brahman atau Yang Mutlak.

Maurice Winternitz menyatakan bahawa sangat kurang sebutan mengenai Trimurthi dalam sastra Hindu. Pengenalan bagi Vishnu, Siva dan Brahma sebagai satu ditekankan dalam Kurma Purana dalam 1:6 menyebut bahawa Brahman dipuja sebagai Trimurthi manakala dalam 1:9 menyebut sekali lagi mengenai kesatuan ketiga-tiga dewata tersebut. Manakala 1:26 masih berkait dengan latar belakang yang sama.

Ahli sejarah A. L. Basham menerangkan latar belakang Trimurthi sebagai berikut menunjukkan minat orang Barat terhadap buah fikiran mengenai konsep tiga dewata ini:

Pelajar Hinduisme perintis dari Eropah berasa kagum dengan keselarian antara konsep Tritunggal agama orang Hindu dengan konsep Kemasihian. Hakikatnya keselarian ini tidak begitu rapat dan konsep Tritunggal orang Hindu ini tidak setara dengan konsep Tritunggal penganut Masihi. Semua penganut Tritunggal orang Hindu ini cenderung untuk memuja satu dewata berbanding tiga sekaligus. Dalam hal ini, jelas sekali disebut oleh kavi Kalidasa bahawasanya Trimurthi itu benar-benar merujuk kepada Brahma yang dilihat sebagai dewata tertinggi. Trimurthi sebenarnya konsep sahaja dan satu pertumbuhan buatan yang memberikan hanya sedikit kesan terhadap perkembangan agama orang Hindu.

Freda Matchett menyifatkan pranali Trimurthi sebagai sati daripada beberapa rangkakerja yang memadankan beberapa tokoh kedewataan dari tahap-tahap yang berbeza. Konsep Trimurthi ini juga wujud dalam Maitri Upanishad apabila tiga dewata tersebut diterangkan sebagai tiga paramarupa-Nya.

Pandangan Dalam Agama Orang Hindu Menurut Aliran

Vaishnavisampradaya

Aliran Vaishnavi pada umumnya tidak menerima konsep Trimurthi ini. Sebagai contoh, aliran Dvaita berpegang bahawa Vishnu sahajalah Dewa yang utama, manakala Siva itu rendah sedikit darjatnya. Pentafsiran purana oleh mereka pun berlainan pula. Sebagai contoh, Vajiyandra Teertha mentafsirkan 18 purana secara berlainan. Beliau mentafsirkan purana Vaishnavi sebagai satvi manakala purana Shaivi sebagai tamasi. Hanya purana satvi sahaja yang diiktiraf dan dipandang sah.

A. C. Bhaktivedanta Swami Prabhupada yang merupakan seorang cendekiawan ulung dari aliran Gaudiva Vaishnavi juga membezakan antara Vishnu dan Siva. Beliau menyatakan bahawa: "Semacam juga dengan memperluas Diri-Nya sebagai dewa Siva, Tuhan yang Maha Agung melibatkan diri apabila ada keperluan untuk memusnahkan jagat raya. Dewa Siva dalam persekutuannya dengan maya mempunyai banyak rupa 11 bilangannya. Dewa Siva bukan satu dari kewujudan benda hidup. Dia lebih kurang seperti Krishna juga. Contoh susu dan susu masam sering diberikan dalam menerangkan hal ini. Susu masam merupakan satu persediaan bagi bahan tensusu tetapi susu masam masih tidak boleh digunakan sebagai susu. Begitulah halnya dengan dewa Siva yang merupakan satu lanjutan dari Krishna, tetapi tidak bertindak sebagai Krishna... Perbezaan asasnya adalah dewa Siva mempunyai perhubungan dengan samagri prakarti (sifat alam), tetapi Vishnu atau dewa Krishna tiada sebarang kaitan dengan hal tersebut.

Tidak seperti aliran Vaishnavi lain seperti Ramanuja, Mathava, dan Chaitanya, Swaminarayan yang merupakan guru bagi aliran Swaminarayan (termasuk juga pertubuhan Bochasanwasi Sri Akshar Puruchottam Swaminarayan Sanstha) tidak membezakan antara Siva dan Vishnu. Swaminarayan utamanya berbeza dari segi amali dengan semua aliran Vaishnavi lain dalam pegangan. Mereka beranggapan bahawa Vishnu dan Siva itu rupa berbeza bagi Dewata yang sama. Lihat ayat ke 47 dan 84 sastra Shikshapatri yang merupakan rujukan bagi pengikut pahaman Swaminarayan. Lagi pula, Swaminarayan mengikut juga pendekatan Smartha dengan mengarahkan pengikut untuk memuliakan semua lima dewata dalam puja Panchayatanna dengan penghormatan yang serupa.

Saivisampradaya

Pengkiut aliran ini berpegang menurut Sivagama bahawa dewa Siva bertindak dalam lima tindakan iaitu penciptaan, pemeliharaan, pembubaran, menyembunyikan dan mendedahkan kripah. Tiap satu dari lima tindakan itu sepadan dengan satu nama dan rupa Siva. Tiga tindakan Siva yang awalan itu dikenali sebagai Sadyojata (serupa Brahma), Vamadeva (serupa dengan Vishnu), dan Aghora (berkaitan dengan Rudra).

Makanya, Brahma, Vishnu dan Rudra bukanlah dewata yang berbeza dari Siva tetapi merupakan rupa-rupa Siva sahaja. Sebagai Brahma atau Sadyojata, Siva mencipta. Sebagai Vishnu atau Vamadeva, Siva memelihara. Sebagai Rudra atau Aghora, Siva menghancurkan. Hal ini memadamkan tanggapan yang salah bahawa Siva itu Dewa Kehancuran. Bagi pengikut aliran Saiva berpahaman bahawa Siva merupakan Dewa yang menjalankan semua tindakan, dan tindakan memusnah itu hanya satu darinya sahaja.

Trimurthi bagi aliran ini merupakan bentuk Siva sendiri. Pengikut Saivi percaya bahawa dewa Siva itu yang utama, yang berperanan penting dan mempunyai nama-nama yang sesuai dan rupanya melangkaui segalanya.

Smarthisampradaya

Aliran smarthi merupakan aliran agama orang Hindu yang menekankan kepada lima dewata berbanding dengan satu sahaja dewata. Pemujaan lima rupa atau panchayatanna puja diperkenalkan lebih galak lagi oleh ahli falsafah abad ke-9 M dahulu iaitu Sankaracharya. Beliau merupakan Brahmin dari tradisi Smartha yang mengamalkan upacara pemujaan ini yang menyeru dewa-dewa Ganesha, Vishnu, Siva, Devi, dan Surya. Sankaracharya kemudian menambah Kumara dalam pemujaan lima dewata ini maka jadilah enam dewata semuanya. Kumara di Malaysia dikenali sebagai Murugan atau Subramanya. Setengah orang merujuknya juga sebagai Karttikkeiya.

Pemujaan yang diperbaharui ini diperkenalkan semula oleh Sankaracharya bagi menyatukan semula dewata-dewata asas dari enam aliran utama dengan meletakkan semua dewata tersebut di kedudukan yang sama. Falsafah monistik yang diajarkan oleh Sankaracharya memungkinkan seseorang itu memilih ishta dewata atau dewata yang ingin dipujanya secara persendirian dan dalam masa yang sama memuja empat dewata lain sebagai pancaran berlainan dari Brahman yang sama.