Memaparkan catatan dengan label hidup. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hidup. Papar semua catatan

Selasa, 25 Mac 2014

Panduan Chakra: Membuka Kunci Tenaga Semulajadi

Om Svastiastu!


 

Kepala

Sahasra Chakra (Mahkota)
  • Kalenjar Pineal.
  • Unsur ruang jagat. 
  • Kesepaduan dengan lapangan kerohanian (ketuhanan).
  • Disifatkan dengan wahyu ketuhanan dan pencerahan jiwa.
  • Kecederaan dan kesakitan di otak disembuhkan.
  • Bayangkan secara sementara bebola matahari besar untuk rawatan.
  • Berbisik sebut Om. 
Ajña Chakra (Trityanetra)
  • Kalenjar Pituitari.
  • Unsur ruang angkasa.
  • Deria gerak hati.
  • Disifatkan oleh intelek, pengetahuan, kata hati, dan kuasa jiwa.
  • Penyembuhan penyakit seperti rupakara urat saraf tunjang, peredaran darah, dan tekanan darah.
  • Bayangkan bulatan biru langit.
  • Berbisik sebut Ham Ksham.
Visuddhi Chakra (Tekak)
  • Kalenjar Tiroid.
  • Unsur langit berzarah.
  • Sifat-sifat seperti kesenian, kreatif dan kemahiran berkomunikasi.
  • Penyembuhan penyakit di anggota pertuturan, leher dan tekak.
Tubuh Atas

Anahata Chakra (Hati)
  • Kalenjar Thymus.
  • Unsur udara.
  • Deria sentuhan.
  • Sifat belas kasihan, kesepaduan bakat, dan kehadiran penyembuhan.
  • Penyembuhan bagi aliran darah, semput, pernafasan.
  • Bayangkan bintang warna hijau pokok pisang.
  • Berbisik Yam.
Manipūrha Chakra (Solar Plexus)
  • Pankreas.
  • Unsur api.
  • Deria penglihatan.
  • Sifat, perkembangan peribadi.
  • Penyembuhan sakit di hati, mata, batu karang, penghadaman dan pankreas.
  • Bayangkan segitiga merah.
  • Berbisik Ram.
Svadishtana Chakra (Prokreatif)
  • Adrenal.
  • Unsur air.
  • Deria rasa.
  • Sifat seperti seksualiti dan emosi.
  • Penyembuhan peredaran darah, penghadaman, pundi kencing dan buah pinggang.
  • Bayangkan bulan sabit putih perak.
  • Bisik Vam!
Tubuh Bawah

Muladhara Chakra (Dasar)
  • Kalenjar penghasilan zuriat (gonad)
  • Unsur kejadian, tanah.
  • Deria bau.
  • Sifat berkaitan dengan nafsu membiak kuat, kesuburan, dan memenuhi naluri terus hidup.
  • Penyakit di anggota pembiakan, buasir (hemoroid), dan tekanan darah.
  • Bayang empat persegi keemasan.
  • Baca Lam.

Sabtu, 4 Januari 2014

Tatasusila Brahmana Smartha Tamil Bhg. 1


Rencana ini dikutip dari tentetan rencana mengenai Sadacharam oleh Tuan Sri K. Shankara Sastrigal diterbitkan sebagai rencana-rencana dalam Patrika Vaidhika Dharma Vardhini. Beliau sendiri pun mengumpulkannya dan menerbitkannya sebagai sebuah pustaka bergelar Sadacharam dalam bahasa Tamil. Pustaka ini diterbitkan oleh Giri Traders. Aku mengutip pula rencana ini menerusi Tuan P. P. Ramachander dibuat terjemahannya ke bahasa Melayu Hindu. 

Pantang ini semua adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa alam semesta ini mempunyai makhluk lain yang berdiam di sesuatu tempat seperti makhluk ghaib yang tidak kenampakan di mata engkau. Bukannya sebab takut hantu atau setan atau memuja benda-benda seperti setan. Peraturan hidup orang Brahmana Ortodoks sebenarnya lagi ketat daripada peraturan hidup orang Yahudi atau Muslim termasuk juga tidak dibenar mengambil daging babi, daging lembu atau sebarang daging pun buat makanan kerana pantang. Orang Brahmana yang mengambil daging semua dianggap sebagai tidak menurut Aryadharma tiada tau adat. Bangsa Kesatria dan lain-lain tiada masalah kau nak hentam daging pun kerana dharma kau lain sedikit tapi engkau yang dalam Trivamsa itu masih lagi tak dibenarkan menyentuh lembu sesuka hati! Orang Brahmana penganut ajaran Buddha menurut juga adat-istiadat Brahmana yang tidak mengambil daging sama juga macam yang bukan penganut ajaran Buddha. Yang bukan keturunan bertamadun Hindu tak pasti dibenarkan apa tidak.  

Beberapa Peraturan

Jangan kau lihat ke matahari semasa naiknya ia, terbenamnya ia, di tengah hari dan semasa gerhana. 

Api jangan kau tiup dengan hembusan dari mulut engkau jika hendak memadamkannya. Jangan kau langkah api! Jangan letakkan api terus atas bumi. Api pun jangan dijirus pula dengan air. Api tidak boleh digunakan untuk mengeringkan kaki kau, iaitu jangan kau menunjukkan kaki engkau kepada api. Benda kotor jangan kau buang dalam api. Jangan kau gabungkan dua api dari cucuhan yang berlainan.

Apabila kau mendekati sungai-sungai suci, pertama sekali kau mesti renjis airnya atas kepala engkau dan kemudian baru kau boleh masuk ke dalam air. Jangan pandai-pandai meludah dalam sungai! Jangan masukkan batu dalam kolam. Jangan berseronok dalam sungai atau tasik.

Masak untuk diri sendiri buat makanan sendiri sahaja adalah satu dosa! Masak kemudian beri kepada athiti (tetamu) dahulu. Baru makan sendiri sisa nya yang tinggal di dapur.

Basuh kaki sebelum masuk tidur. Jangan tidur dengan menghadapkan kepala engkau ke Utara. Jangan tidur atas katil rajut yang rosak. Jangan tidur dalam rumah yang rosak pecah-pecah tidak dijaga. Jangan kau bangunkan orang yang tengah tidur secara paksa. 

Devata semua berdiam dalam urat sendi seekor lembu. Devata itu ertinya malaikat penjaga dalam bahasa Melayu moden. Memberi seva (khidmat) dan memberi makan kepada lembu tidak mengira yang engkau bela atau yang dibela oleh yang lain adalah merupakan perbuatan yang berkebajikan. Menghempuk, memukul, menerajang, menendang, mencederakan dan menyakiti seekor lembu itu dosa amat besar! Kalau bagi kita persendiriannya, susu lembu yang kena dera pun tidak mau kita ambil atau beli jika diketahui ia didera!

Jangan pakai pakaian, alas kaki, bunga malai, kendi, tempat duduk dan katil yang orang lain sudah pakai sebelum kita. Haram!

Jangan celup jari dalam air panas sebab hendak mengetahui air panas atau tidak. Titiskan air yang dipanaskan atas tangan bagi menguji tahap kepanasannya.

Pisang merupakan bahan semahan (korban) kepada Sang Hiyang. Memang Sang Hiyang tidak makan pisang itu tetapi ia buat lambang bahawa hati kita ikhlas melatih diri bahawa bahan loka maya bukan milik kita. Jangan patahkan pisang dengan paku. Sebatian cendana untuk kegunaan semahiyang jangan ambil dengan benda-benda tajam.

Jangan buat lumpur jadi serbuk tanpa sebarang sebab-musabab.

Asap bakaran bakai (mayat), sinaran mentari awal pagi, bayang lampu dan bayang orang yang jatuh jatiniyam jangan terkena pada kita. Benda ini semua menyebabkan kurangnya kemewahan (jiwa), kesihatan dan usia. Orang Brahmana tak semestinya orang kaya raya. Kemewahan yang dianggap penting itu sebenarnya kemewahan pada jiwa dan kerohanian.

Jangan mengembara dalam pedati yang ditarik oleh seekor lembu, tapi boleh menaiki pedati yang ditarik seekor kuda.  

Mestilah masuk ke kampung atau rumah kita menerusi pintu depan dan jangan masuk ikut pintu belakang!

Jangan sekali-kali tidur bawah pokok pada malam hari.

Jangan sekali-kali main judi atau terlibat dengan judi, haram!

Merentasi sungai jangan berenang dengan menguak kaki dan tangan kerana dosa. Sungai boleh dilintasi dengan sampan. Kalau sungai cetek, bolehlah dilintasi dengan berjalan kaki. Sebaik sahaja merentasi sungai selesai, mesti segera jalankan achamanam.

Jangan pandai-pandai bercakap hal dharma atau vrutham (dosa pahala) ke sana ke sini sesuka hati nya tanpa permintaan dari mereka sendiri. Terutamanya jangan buat perkara ini kepada mereka yang rendah jatinya daripada kita atau yang tak diketahui jatinya kecuali kalau diminta sahaja.

Jangan melintas bayang murti devata, guru-guru, bapa, ibu, orang tua-tua dan lembu. Jangan juga melintas bayang orang-orang bukan Brahmana.

Mesti bercakap benar dan satyam. Jika kebenaran itu menyakiti yang lain, maka diam sahaja tapi jangan cuba-cuba cakap bohong!

Jangan sesuka hati memanggil orang lain sebagai pendosa! Jika dia tak berbuat dosa seperti tuduhan kita maka kitalah yang berdosa besar, separuh dosanya akan jatuh atas pundak kita!

Jangan mempersoal Sang Hiyang Tunggal, kesan takdir, lokamaya lain, kelahiran masa depan, sorga dan neraka. 

Jangan tutup pintu depan rumah pada pagi hari atau petang hari dengan berpikir bahawa kalau dibuka nanti orang peminta sedekah akan datang menyusahkan kita. Mana tahu peminta sedekah itu adalah seorang deva (malaikat). 

Jangan cuba cari kesalahan deva-deva, veda-veda suci dan orang tua-tua.

Jangan padamkan lilin dengan hembusan angin mulut dan lelaki dilarang memadamkan lilin.

Jangan lihat bayang sendiri dalam air atau minyak.

Jangan menggerincingkan gigi membuat bunyi dengannya.

Bila menguap itu, tutup mulut dengan tangan jangan menganga macam badak air!

Bayang lilin, bayang manusia, air dari baju lembap, air dari rambut, debu yang terbang sebab dilibas wanita berjalan, debu yang dilibas injakan kaki kambing biri-biri dan keldai, udara yang berhembus sebab tampian bijirin, debu terbang sebab menyapu jangan terkena kita.

Jangan tidur siang hari. Jangan berhubungan jenis semasa siang hari.

Beputar tawaf sekeliling pokok Asvatha (Banyan) jangan dibuat waktu tengah hari.

Orang yang masih hidup bapa atau abangnya jangan sekali-kali pakai Tharjani atau cincin perak yang dipakai pada jari telunjuk. Anak lelaki sulong (kalau atas kau ada seorang kakak pun kau masih dikira anak lelaki sulong), boleh memakai Tharjani tapi ia mesti dibuang semasa menjalani upacara keagamaan. Cincin ini biasnaya dipakai bagi membuang dosa pada jari telunjuk yang bergabung dengan jari lain.

Kalau pergi ke tandas pada malam hari, jangan lupa basuh kaki dan tangan lepas selesai. Tak perlu buat achamanam pada malam hari tapi kalau rajin buat lah. Achamanam itu macam Muslim angkat air sembahyang lah.

Jangan mandi sebaik sahaja selepas mengucapkan selamat tinggal pada rakan-rakan atau saudara-mara. Jangan mandi juga sebaik sahaja selepas puja semahiyang atau selepas upacara pawiwahan atau selepas upacara pakai benang suci.

Apabila air baru masuk sebab pasang, jangan sekali-kali masuk mandi bersuci dalamnya selama 10 hari. Dalam bulan Adi, gelombang pasang baru pun jangan masuk dalam sungai selama tiga hari pertama. Masa itu dianggap sebagai masa sungai datang bulan.

Semasa gerhana dan Upakarma, boleh pula masuk ke sungai walaupun berlaku peristiwa sungai datang bulan.

Jangan melihat bulan semasa hari-hari Chaturthi. Periksa penanggalan tu selalu!

Jangan menyapu di malam hari atau buang kotoran di luar rumah pada malam hari. Jangan memotong benda-benda yang keluar dari bumi seperti pokok dan sebagainya di malam hari. Jangan ambil benda-benda yang dianggap suci murni semasa malam hari.

Susu, sebatian cendana dan bungaan jangan disimpan dalam bekas tembaga.

Dalam upacara Sandhya Vandanam selepas Arghyam (semahan air), buat Pradakshinam bagi diri sendiri. Jangan buat Pradakshinam dekat sungai atau pokok banyan.

Menyelitkan bunga di kedua-dua belah telinga, sapu sebatian cendana hanya di dada sahaja dan menyelitkan daun Thulasi di salah satu telinga itu dosa. Lelaki mesti selitkan bunga di rambut, bukan di telinga, Thulasi di kedua-dua telinga dan tangan... Wanita boleh menyapu sebatian cendana pada leher dan dua tangan. 

Usia kita mesti dirahsiakan dari orang lain, kemewahan mesti dirahsiakan, pertengkaran dalam rumah mesti dirahsiakan tidak mau diwarwarkan. Mantra membantu kita, kehidupan kita, kebajikan dana yang dilepaskan, hadiah yang kita terima, hinaan cerca yang bergulung menimpa kita dan utang yang kita ambil semua hanya boleh kita ceterakan kepada rakan-rakan rapat dan kepada guru sahaja. Kalau kau tak ada kawan rapat, kau mesti pergi cari ishta devata kau atau terus kepada Sang Hyang Tunggal.

Jangan menyusahkan orang lain, Terutamanya, Brahmana yang tubuhnya itu didiami oleh devata penunggu pun jangan disusahkan walaupun kau sendiri dari jati Brahmana. 

Jangan berdiri di simpang dua jalan pada tengah malam pada tengah hari, subuh hari, senjakala atau selepas mengambil makanan di Sradham.   

Kalau tuan rumah yang sudah berumah tangga tak memakai sebarang kain atau tak memakai Pancha Kacham atau memakai cuma cawat sahaja, rumahnya itu pasti didiami oleh Jyestha Devi (jelmaan ciri tak elok)!  

Jangan berdiri dalam jarak 7.5 kaki dari tempat kereta kuda datang, 15 kaki dari tempat kuda datang dan 1500 kaki dari tempat gajah berdatang.

Bapa yang mati dengan hutang-piutang buat dibayar oleh anak lelakinya itu adalah musuh kepada anak lelakinya.

Semasa menjalani pengorbanan menggunakan api, mestilah ada bersama kita itu, samita (kayu bakar) buat dana sedekah. Samita ini merupakan kayu-kayu pokok Pipal atau pokok Palas yang direndam dalam minyak sapi disemahkan 11 kali kepada sang Agni dengan bacaan mantra. Samita danam dijalankan oleh Bramhacari. Kayu yang kau kutip itu kena ambil di luar kampung dan mesti disimpan dalam bilik simpanan dalam keadaan berdiri. Biasanya kayu-kayu ini diperguna buat dana kepada Agni dua kali setiap hari. Dharmasastram menggariskan bahawa, Brahmacari mesti menjalani beberapa upacara demi kebajikan diri sendiri dan Samita danam ini salah satu nya. Jadi, Brahmana Ortodoks muda-muda kena belajar cara nak hidupkan api dari kayu.

Kalau pergi ke padang, kena kutip tinja lembu. Bagi orang tua-tua pula, kena bawa sesuatu yang berguna ke rumah mereka. Bagi pura pula, kena ambil buah-buahan dan bungaan dan kepada guru-guru pula mestilah bagi semahan sesuatu yang boleh dimakannya. Kepada raja bawa lah semahan sesuai. Jangan pergi kosong tangan. Mesti beri sesuatu kepada setiap makhluk.

Bagi sedekah dana kepada orang sangat miskin, sediakan juga bahan-bahan dan susun atur pemujaan dalam pura yang yang tak mampu menjalaninya dan bantu membakar bakai (mayat) anak yatim. Berat perbuatan ini sama seperti beratnya perbuatan mengorbankan kuda dalam upacara Asvamedha.  

Bila basuh gigi atau lidah, gunakan jari tengah, jangan guna jari telunjuk. Kalau kau buat juga, masuk nerakalah!  

Jangan makan di rumah anak perempuan engkau selagi dia belum melahirkan anak lelaki.

Apabila makan, duduklah atas pitham (kerusi tak ada paku) dan jangan menghadap utara.

Jangan makan dengan memakai kain sehelai sahaja di tubuh, dengan memakai pakaian sutera, tanpa bertapa dulu dan tanpa tanda tilaka jati pada kepala, jangan makan juga kalau rambut tak diikat. Jangan makan dengan memakai baju.  

Mesti pakai benang pada tangan, tanda pundra pada dahi, suthra dan achara semuanya kena ikut tradisi keluarga sendiri. Jangan cuba-cuba nak ubah sesuka hati. Kalau ubah sesuka hati maka masuk neraka.

Pakai kain sarung atau berinya sebagai dana sedekah kepada seorang Brahmana merupakan perbuatan yang berkebajikan.

Rabu, 16 Mei 2012

Konsep Penting dalam Ajaran Buddha


Oleh sebab penulisan tidak begitu meluas di kawasan tempat Siddhartha Gautama tinggal, maka apa sahaja yang diketahui dihafal dengan hati-hati secara lisan sehingga ia mula dituliskan mungkin pada seawal abad pertama sebelum masehi.

Perkataan Buddhism ini merupakan sesuatu yang baru sebenarnya. Ia mula diperkenal dalam Kamus Bahasa Inggeris Oxford pada 1801 dengan ejaan Boudhism dan ejaannya berubah sehingga kepada ejaan sekarang ini pada 1816. Dalam satu ulasan terbitan Jurnal Asiatic menggunakan perkataan ini dalam sebuah rencananya.

Tiga Mestika iaitu Buddha, Dharmma dan Sangkhom, begitu juga dengan karmma, janma dan amalan yoga sudah wujud sebelum kelahiran Siddhartha Gautama lagi tetapi kemudiannya mula dikaitkan dengan ajaran Buddha.

Hidup dan Lokamaya

Karmma

Istilah ini bermaksud kerja atau tindakan. Ia merupakan daya yang membawa kepada kesengsaraan. Putaran kesengsaraan dan jelmaan semula merupakan proses yang dilalui oleh semua benda. Perbuatan kusala (baik atau bertauliah) dan perbuatan akusala (tak baik dan tak bertauliah) menghasilkan "benih" dalam minda yang akan berbuah sama ada dalam kelahiran ini atau kelahiran seterusnya. Perbuatan mengelakkan sesetengah perkara yang tak bermoral dan menuai balasan perbuatan baik disebut sebagai sila.  

Dalam ajaran Buddha, karmma khasnya merujuk kepada perbuatan sama ada berasal dari badan, pikiran atau minda yang muncul dari niat di hati. Ia disebut sebagai cetana. Hal ini memberikan kesan atau buah disebut sebagai pahala atau pun wipaaka yang bermaksud keputusan. 

Dalam ajaran Buddha Theravada, tidak ada keselamatan atau keampunan untuk karmma seseorang. Ia merupakan satu proses yang bersifat peribadi yang merupakan sebahagian daripada solekan di jagat raya ini. Dalam aliran Mahatana, sutra-sutra seperti Padmasutra, Angulimaliyasutra dan Nirvanasutra mendakwa bahawa membaca atau hanya mendengar sutra-sutra ini sahaja pun sudah mampu menghapuskan karmma-karmma buruk. 

Setengah aliran ajaran Buddha yang lain misalnya seperti Vajrayana menganggap bahawa bacaan montra boleh membantu menghancurkan karmma buruk lampau. Guru aliran Tanah Suci Jepun iaitu Genshin mengajarkan bahawa Amitabha Buddha mampu untuk menghapuskan karmma yang jika tak dihapuskan akan mengikat seseorang dalam sengsara.

Jelmaan Semula

Jelmaan merujuk kepada proses yang mana sesuatu itu melalui proses berganti-ganti dalam kehidupan sebagai satu daripada bentuk-bentuk hidupan berperasaan yang datang dari kelahiran sehingga kematian. Ajaran Buddha menolak konsep diri yang tetap dan tak berubah atau roh yang abadi sebagaimana yang terdapat dalam ajaran Hindu atau ajaran Kristian.   

Menurut ajaran Buddha, pada akhirnya tak ada satu benda pun yang serupa dengan bergantung kepada diri sendiri daripada semua yang ada dalam jagat ini (doktrin anatta). Kelahiran atau jelmaan semula dalam kewujudan berikutnya mesti difahami sebagai satu kesinambungan kepada proses yang "timbul daripada kebergantungan" ditentukan oleh undang-undang sebab dan kesan (karmma) berbanding dengan satu kejadian itu, berhijrah atau menjelma semula daripada satu kewujudan ke satu kewujudan lain. Proses yang timbul daripada kebergantungan ini dikenali sebagai pratityasamutpaada. 

Setiap kelahiran semula itu bertempat dalam satu daripada lima alam menurut kepada aliran Theravada atau enam menurut aliran lain. Semua alam ini kemudian terbahagi pula kepada 31 satah kewujudan.

1. Makhluk Neraka

Iaitu yang dijelmakan di dalam salah satu neraka.

2. Pretam

Kadang-kadang berkongsi alam dengan manusia tetapi tidak kelihatan di mata kebanyakan orang. Dalam bahasa Cina disebut sebagai hantu lapar. 

3. Binatang

Berkongsi alam dengan manusia. Tetapi dianggap jenis hidupan yang lain. 

4. Manusia

Salah satu alam jelmaan semula yang mana dalam alam ini baru dapat mencapai nibbhana.

5. Asura

Biasanya diterjemahkan menjadi dewata tahap rendah, syaitan, jin dan alam ini tak dianggap sebagai alam yang berbeza dengan alam dewata dalam tradisi Mahawihara aliran Theravada. 

6. Dewata

Termasuklah para Brahma atau diterjemahkan menjadi dewa-dewa, dewata, roh-roh sekeliling, malaikat, peri-peri atau tak diterjemahkan langsung. Jelmaan semula dalam sorga-sorga tertinggi dikenali sebagai Suddhaawaasaloga atau alam tempat tinggal yang murni. Ia boleh dicapai oleh pengamal ajaran Buddha yang berkemahiran yang dikenali sebagai anaagaami atau yang dah tak kembali lagi. Kelahiran semula dalam arupa dhatu atau alam tak berupa boleh dicapai oleh orang yang bertapa dengan aruupajhaana iaitu tumpuan pertapaan yang tertinggi.

Menurut tradisi Asia Timur dan aliran Buddha Tibet, ada tahap peralihan yang disebut sebagai bardo antara alam ini ke alam seterusnya. Aliran Theravada ortodoks menolak hal ini. Tapi ada ayat-ayat dalam Samyutta Nigaya dari sutra Bali yang digunakan dalam tradisi Theravada menyokong pendapat yang Buddha pernah mengajarkan tahap peralihan antara satu kehidupan ke satu kehidupan yang seterusnya. 

Sengsara

Makhluk berperasaan mengidamkan kesenangan dan tak suka dengan kesakitan dari kelahiran sampai lah ke kematiannya. Dalam hidupan yang dikawal oleh sikap sebegini, mereka mengekalkan putaran kewujudan bersyarat dan sengsara. Ia menghasilkan punca-punca dan syarat-syarat kepada jelmaan seterusnya selepas kematian jasad.  

Setiap jelmaan itu mengulangi proses in dalam pusingan yang dipaksa yang mana penganut ajaran Buddha cuba untuk mengakhirinya dengan membasmi punca-punca dan syarat-syarat ini memakai cara-cara yang diajarkan oleh Buddha dan penganut Buddha yang berikutnya.


Ahad, 11 Mac 2012

Grehastasrama: Sehari dalam Kehidupan Seorang Brahman

 Oleh Sri Chandrasekharendra Saraswati Mahaswami Ji 

"Bagaimanakah seorang Brahman itu boleh menjalankan banyak samskara sekaligus pada hari-hari ini?" Soalan ini mungkin suatu soalan yang semulajadi. Kemudian kita akan dengar soalan seperti: "Apa gunanya kita bercakap tentang perkara-perkara yang dah ketinggalan zaman itu?"

Bagi saya, ada dua senarai yang dapat saya catitkan untuk menjawab dua persoalan yang diajukan itu. Yang pertamanya, saya bahagikan samskara yang mudah-mudah dengan samskara yang tak begitu mudah diamalkan. Apa akan jadi kemudiannya? Anda sendiri akan tambahkan perkara dalam bahagian senarai samskara yang mudah-mudah itu pindah masuk ke senarai yang sukar-sukar jadi saya risau yang tak ada apa pun yang tinggal untuk diamalkan. Jadi selepas sahaja anda berpencen dari kerja lokiya, anda sekurang-kurangnya menjalankan adat-istiadat keagamaan yang dikenakan menurut dharma Brahmana anda ke atas diri anda. Anda tak sepatutnya meminta diperpanjang lagi perkhidmatan anda dengan majikan anda sekarang atau mencari kerja lain selepas tempoh yang ditetapkan.   

Baiklah, sekarang mari lah saya terangkan lanjut sedikit mengenai kehidupan harian bagi Brahman yang beragama menurut sastera-sastera. Sebenarnya ia merupakan satu kehidupan harian yang sukar dan bukannya bersenang-lenang. Seorang Brahman itu mesti bangun lima nadika atau dua jam sebelum terbitnya mentari. Yang ini kita panggilnya sebagai pancha utskale. Pancha maksudnya lima, dan pancha utskale bermaksud nadika ke-25. Dari bersinarnya mentari ke terbitnya mentari dikira nadika ke-30. Seorang Brahmin mesti bangun pada nadika ke-25 dari masa itu dan berjaga sehingga terbitnya matahari di ufuk timur. Ia dipanggil sebagai Brahmamuhurtha.

Lepas bangun dari tidur, Brahmana itu perlu membersihkan giginya, mandi dalam air sejuk dan menjalankan Sandhiyawandana dan Japah. Kemudian, dia perlu menjalankan upacara Aupasana dan Agnihotra. Upacara-upacara ini merupakan ranting-ranting kepada Dewayagna atau pengorbanan kepada para dewata.     

Selepas itu, dia perlu menjalankan Brahmayagna. Apa dia itu Brahmayagna? Ia merupakan amalan harian melibatkan pembelajaran dan pembacaan Weda. Sebahagian dari upacara istiadat ini, ada juga tarpana atau penyemahan anggur dipersembah. Bagi yang menurut sesetengah sutra yang terkemudian, kalau hari siang dibahagikan kepada lapan bahagian, seperlapan daripadanya sudah terisi.

Bahagian kedua dari hari siangnya, Brahman harus lah mengajarkan pelajar-pelajarnya dengan Weda. Ia disebut sebagai Adhiyapana. Lepas itu, dia mesti mengutip bungaan untuk menjalankan pemujaan persendirian. Seorang Brahman itu tidak boleh mempunyai gaji dalam bentuk wang. Jika Brahman itu tiada menerima kurniaan tanah maka dia harus lah meminta dhana untuk bekalan makanannya dan juga untuk bahan-bahan menjalankan upacara korban.    

Seorang Brahman itu berhak untuk meminta dhana, tapi ia merupakan hak yang terbatas kerana ia bermaksud bahawa Brahman itu cuma boleh meminta benda-benda yang diperlukan sahaja dan perkara-perkara tersebut cuma terhad kepada upacara korban harian. Sebahagian yang munasabah yang diterima oleh Brahman itu sebagai kurniaan mestilah dibayarkan sebagai daksina pula kepada sami-sami yang menjalankan korban untuk orang Brahman.

Dari enam pekerjaan orang Brahman, satu daripadanya adalah Pratigraha iaitu menerima kurnia. Lain dari itu adalah dhana dan menyumbang kepada orang lain pula. Selalu juga ditanya kenapa orang Brahman sahaja yang berhak menerima kurnia. Jawapannya, orang Brahman mempunyai kewajipan untuk memberi kurnia itu kepada orang lain pula selepas diterimanya. Orang Brahman menerima kurnia tersebut untuk tujuan kebajikan yang dimestikan ke atasnya menurut agama. Antara sumbangan yang dimestikan atas orang Brahman menjalankannya adalah Athithya dan Bhutayagna.

Bahagian ketiga dari hari pula diisi oleh Brahman dengan mandi dan menjalankan Madhyahnika. Kemudian menjalankan Pitartarpana iaitu menjamu air anggur kepada arwah nenek moyang. Upacara ini diikuti pula oleh homa dan puja. Dalam upacara pemujaan selepas homa, Brahman mesti menujukan semua bahan-bahan yang mempunyai Panchagnanendriya atau lima unsur api kepada para dewata. 

Sekarang ni sudah masuk tengah hari lah. Sudah masuk bahagian keempat bagi hari itu. Brahman mesti sudah sempurna selesai semua adat-istiadat untuk para dewata, weda-weda dan juga kepada nenek-moyang. 

Daripada Panchamahayagna atau lima korban terbesar, dua daripadanya adalah manushayagna (menghormati dan memberi makan tetamu) dan bhutayagna yang mempunyai bali bagi makhluk-makhluk pertiwi dan memberi makan waiswadewa (orang miskin).

Nasik yang disembahkan kepada api korban dan juga sebagai bali (yang tak diletakkan dalam api). Dalam bali, makanan dibahagikan kepada beberapa bahagian dalam rumah untuk bacaan montram. Bahagian-bahagian makanan tersebut adalah untuk orang luar kasta, peminta, anjing, burung, dan lain-lain. Dalam manushayagna, para tetamu akan dihiburkan dan ia disebut sebagai athithya.  

Brahman makan hanya selepas selesai semua adat-istiadat ini. Sehingga itu, dia tak boleh makan apa-apa melainkan cuma minum sedikit susu atau mentega. Dia tidak boleh minum kopi atau makanan ringan mengalas perut. Jika dia ada korban untuk dijalankan, seperti paka, hawir, atau soma, maka masa makannya akan dilewatkan lagi. Jika ada Sraddha untuk dijalankan, maka dia pun akan makan lewat juga. Upacara Sraddha mesti diteruskan hanya dalam Aparahna.     

Waktu siang, sebagaimana yang disebut terbahagi kepada lapan bahagian. Tapi ia boleh dibahagikan lagi kepada lima, setiap satunya dengan enam nadika. Jika matahari terbit pada jam enam, maka nadika adalah dari jam enam sampai jam lapan. Nadika 24 adalah pagi atau Pratahkala dan jam lapan. Nadika 24 sampai 10. Nadika 48 masuk ke Sangawakala dan 10. Nadika 48 sampai satu. Nadika 12 dikira Madhyahnika dari satu. Nadika 12 sampai tiga. Nadika 36 dikira masa untuk Aparahna dan dari tiga. Nadika 36 sampai enam (waktu tenggelam mentari) dipanggil Sayamkala. Waktu nak dekat ke terbenam matahari disebut sebagai Pradosa. Dosa ertinya malam dan imbuhan pra maksudnya sebelum.      

Masa untuk sraddha adalah aparahna. Upacara ini bertujuan untuk korban kepada dewata dijalankan hanya selepas penyempurnaan sraddha. Lepas makan, Brahman akan membaca Purana. Lepas itu tugasnya adalah mengajarkan ahli dari jati lain kemahiran-kemahiran warisan mereka, kesenian dan kemahiran mengenai kehidupan. Brahman sebenarnya tiada sesaat pun untuk rehat atau bersenang-lenang. Lepas habis semua ini, Brahman akan mandi petang, menjalankan sandhyawandana, korban dan japa. Waiswadewa dijalankan waktu malan sebelum Brahman makan malam dan berehat tidur. Dalam hampir setiap malam, Brahman cuna makan makanan ringan seperti buahan, susu, dan lain-lain. Pada ekadashi atau hari kesebelas, Brahman mesti berpuasa seluruh hari itu.       

Tiada sebarang masa pun kosong. Jelas juga, Brahman yang mencetuskan sastera-sastera. Bukan sebab orang-orang Brahman mahu hidup senang atau selesa. Sebaliknya sastera-sastera mengenakan ke atas mereka kehidupan yang sukar dan bersederhana mendisiplinkan pemikiran dan tubuh badan. 

Hari ini pun, Brahman yang bekerja makan gaji di pejabat atau pertubuhan lain mesti cuba untuk hidup menurut sastera-sastera. Mereka mesti bangun jam empat pagi untuk Brahma Muhurta, menjalankan Aupasana, Agnihotra, Brahmayagna, dan lain-lain menurut adat-adat yang lampau. Mereka akan menjalankan puja dan madhyanika semasa waktu sangawa sekitar jam 8:24-10:48 pagi. Madhyanika bermaksud waktu korban tengah hari tetapi kemudahan diberikan kepada mereka yang makan gaji untuk beramal waktu sangawakala. Waktu petang, banyak juga upacara yang dijalankan dengan melalui jalan sastera-sastera. Waktu cuti, orang Brahman mesti menjalankan semua upacara yang dimestikan ke atas dirinya.

Yang bekerja pada kitaran pagi dan terpaksa berkejar ke pejabat mesti menjalankan upacara sebaik mungkin. Waktu petang, boleh diperpanjang Gayatrijapa bagi menggantikan masa pagi yang tak diisi dengan korban-korban dan upacara. Kalau ada kitaran kerja pagi dalam seminggu, tak ada pula kah kitaran untuk tengah hari atau malam pada minggu berikutnya sekiranya jadual kerja sentiasa berubah? Penyesuaian boleh dibuat untuk menyesuaikannya dengan waktu puja.

Orang Brahman mesti rasa bersalah jika gagal menjalankan semua upacara ini kerana ia merupakan jati mereka. Mereka mesti menumpukan masa bersara mereka untuk menjalankan dharmma berbanding dengan berasa sedih kerana tak keluar bekerja. Jarang sekali kita jumpa orang Brahman yang belajar weda seluruhnya lepas bersara dan hidup berdasarkan saranan sastera. 

Upacara-upacara dharmma kita merupakan upacara-upacara yang lampau. Ia mesti dijalankan supaya tak hilang dari amalan harian jati Brahmana. Ia bukan sahaja untuk diri kita tapi sebenarnya untuk menjaga keseimbangan alam dan kebajikan semua makhluk.