Isnin, 8 Ogos 2011

Konsep Trimurthi dalam agama orang Hindu


Apa ke bendanya Trimurti ni? Kita selalu dengar nama orang India seperti Murthi tapi kita tak tahu pula apakah maknanya? Murthi sama ertinya dengan rupa. Kalau Trimurthi ertinya Tiga Rupa lah.

Trimurthi ni merupakan satu konsep ketuhanan dalam kepercayaan orang tamadun Hindu. Fungsi penciptaan alam jagat, pemeliharaannya, serta kemusnahannya dilambangkan dalam rupa iaitu Brahma yang Mencipta, Vishnu yang Memelihara dan Mengekalkan, dan Siva yang Memusnahkan atau Membentuk yang baru. Ketiga-tiga dewata ini dikenali juga sebagai tiga serangkai orang Hindu. Selalu juga dikenali sebagai Brahma, Vishnu dan Maheswara.

Sejenis perlambangan Trimurthi ada menggambarkan tiga kepala dengan satu leher, atau selalunya tiga muka di satu kepala melihat ke tiga arah bagi menunjukkan mereka pada asasnya adalah satu.

Evolusi Konsep

Samaya purana sekitar 300-1200 SM menyaksikan kebangkitan agama pra-sastra Veda dan evolusi yang dalam kenyataan R. C. Majumdar sebagai agama campuran orang tamadun Hindu. Samaya ini tiada keselarasan, dan wujudnya gabungan kepercayaan Brahman ortodoks dalam bentuk tinggalan adat istiadat kepercayaan Veda, diikuti dengan agama-agama dari aliran berbeza misalnya seperti aliran Saivi, Vaishnavi, dan Sakthi yang juga dalam kerangka ortodoks tetapi dalam entiti yang berlainan. Antara ciri utama samaya ini ialah wujudnya semnagat perpaduan antara kepercayaan agama ortodoks dan agama menurut aliran. Berkaitan dengan perpaduan ini, R. C. Majumdar ada menyebut:

Trimurthi ini merupakan konsep ketuhanan yang mewakili jelmaan Tuhan dalam tiga bentuk iaitu Brahma, Vishnu, dan Siva... Tetapi perpaduan tiga dewata ini tidak boleh dianggap sebagai satu kejayaan besar kerana dewa Brahma tak pernah mencapai kedudukan tinggi sebagai Siva dan Vishnu. Aliran-aliran yang berbeza pula sering meletakkan dewa-dewa aliran tersebut sebagai jelmaan dewa aliran mereka yang dianggap sebagai Brahman atau Yang Mutlak.

Maurice Winternitz menyatakan bahawa sangat kurang sebutan mengenai Trimurthi dalam sastra Hindu. Pengenalan bagi Vishnu, Siva dan Brahma sebagai satu ditekankan dalam Kurma Purana dalam 1:6 menyebut bahawa Brahman dipuja sebagai Trimurthi manakala dalam 1:9 menyebut sekali lagi mengenai kesatuan ketiga-tiga dewata tersebut. Manakala 1:26 masih berkait dengan latar belakang yang sama.

Ahli sejarah A. L. Basham menerangkan latar belakang Trimurthi sebagai berikut menunjukkan minat orang Barat terhadap buah fikiran mengenai konsep tiga dewata ini:

Pelajar Hinduisme perintis dari Eropah berasa kagum dengan keselarian antara konsep Tritunggal agama orang Hindu dengan konsep Kemasihian. Hakikatnya keselarian ini tidak begitu rapat dan konsep Tritunggal orang Hindu ini tidak setara dengan konsep Tritunggal penganut Masihi. Semua penganut Tritunggal orang Hindu ini cenderung untuk memuja satu dewata berbanding tiga sekaligus. Dalam hal ini, jelas sekali disebut oleh kavi Kalidasa bahawasanya Trimurthi itu benar-benar merujuk kepada Brahma yang dilihat sebagai dewata tertinggi. Trimurthi sebenarnya konsep sahaja dan satu pertumbuhan buatan yang memberikan hanya sedikit kesan terhadap perkembangan agama orang Hindu.

Freda Matchett menyifatkan pranali Trimurthi sebagai sati daripada beberapa rangkakerja yang memadankan beberapa tokoh kedewataan dari tahap-tahap yang berbeza. Konsep Trimurthi ini juga wujud dalam Maitri Upanishad apabila tiga dewata tersebut diterangkan sebagai tiga paramarupa-Nya.

Pandangan Dalam Agama Orang Hindu Menurut Aliran

Vaishnavisampradaya

Aliran Vaishnavi pada umumnya tidak menerima konsep Trimurthi ini. Sebagai contoh, aliran Dvaita berpegang bahawa Vishnu sahajalah Dewa yang utama, manakala Siva itu rendah sedikit darjatnya. Pentafsiran purana oleh mereka pun berlainan pula. Sebagai contoh, Vajiyandra Teertha mentafsirkan 18 purana secara berlainan. Beliau mentafsirkan purana Vaishnavi sebagai satvi manakala purana Shaivi sebagai tamasi. Hanya purana satvi sahaja yang diiktiraf dan dipandang sah.

A. C. Bhaktivedanta Swami Prabhupada yang merupakan seorang cendekiawan ulung dari aliran Gaudiva Vaishnavi juga membezakan antara Vishnu dan Siva. Beliau menyatakan bahawa: "Semacam juga dengan memperluas Diri-Nya sebagai dewa Siva, Tuhan yang Maha Agung melibatkan diri apabila ada keperluan untuk memusnahkan jagat raya. Dewa Siva dalam persekutuannya dengan maya mempunyai banyak rupa 11 bilangannya. Dewa Siva bukan satu dari kewujudan benda hidup. Dia lebih kurang seperti Krishna juga. Contoh susu dan susu masam sering diberikan dalam menerangkan hal ini. Susu masam merupakan satu persediaan bagi bahan tensusu tetapi susu masam masih tidak boleh digunakan sebagai susu. Begitulah halnya dengan dewa Siva yang merupakan satu lanjutan dari Krishna, tetapi tidak bertindak sebagai Krishna... Perbezaan asasnya adalah dewa Siva mempunyai perhubungan dengan samagri prakarti (sifat alam), tetapi Vishnu atau dewa Krishna tiada sebarang kaitan dengan hal tersebut.

Tidak seperti aliran Vaishnavi lain seperti Ramanuja, Mathava, dan Chaitanya, Swaminarayan yang merupakan guru bagi aliran Swaminarayan (termasuk juga pertubuhan Bochasanwasi Sri Akshar Puruchottam Swaminarayan Sanstha) tidak membezakan antara Siva dan Vishnu. Swaminarayan utamanya berbeza dari segi amali dengan semua aliran Vaishnavi lain dalam pegangan. Mereka beranggapan bahawa Vishnu dan Siva itu rupa berbeza bagi Dewata yang sama. Lihat ayat ke 47 dan 84 sastra Shikshapatri yang merupakan rujukan bagi pengikut pahaman Swaminarayan. Lagi pula, Swaminarayan mengikut juga pendekatan Smartha dengan mengarahkan pengikut untuk memuliakan semua lima dewata dalam puja Panchayatanna dengan penghormatan yang serupa.

Saivisampradaya

Pengkiut aliran ini berpegang menurut Sivagama bahawa dewa Siva bertindak dalam lima tindakan iaitu penciptaan, pemeliharaan, pembubaran, menyembunyikan dan mendedahkan kripah. Tiap satu dari lima tindakan itu sepadan dengan satu nama dan rupa Siva. Tiga tindakan Siva yang awalan itu dikenali sebagai Sadyojata (serupa Brahma), Vamadeva (serupa dengan Vishnu), dan Aghora (berkaitan dengan Rudra).

Makanya, Brahma, Vishnu dan Rudra bukanlah dewata yang berbeza dari Siva tetapi merupakan rupa-rupa Siva sahaja. Sebagai Brahma atau Sadyojata, Siva mencipta. Sebagai Vishnu atau Vamadeva, Siva memelihara. Sebagai Rudra atau Aghora, Siva menghancurkan. Hal ini memadamkan tanggapan yang salah bahawa Siva itu Dewa Kehancuran. Bagi pengikut aliran Saiva berpahaman bahawa Siva merupakan Dewa yang menjalankan semua tindakan, dan tindakan memusnah itu hanya satu darinya sahaja.

Trimurthi bagi aliran ini merupakan bentuk Siva sendiri. Pengikut Saivi percaya bahawa dewa Siva itu yang utama, yang berperanan penting dan mempunyai nama-nama yang sesuai dan rupanya melangkaui segalanya.

Smarthisampradaya

Aliran smarthi merupakan aliran agama orang Hindu yang menekankan kepada lima dewata berbanding dengan satu sahaja dewata. Pemujaan lima rupa atau panchayatanna puja diperkenalkan lebih galak lagi oleh ahli falsafah abad ke-9 M dahulu iaitu Sankaracharya. Beliau merupakan Brahmin dari tradisi Smartha yang mengamalkan upacara pemujaan ini yang menyeru dewa-dewa Ganesha, Vishnu, Siva, Devi, dan Surya. Sankaracharya kemudian menambah Kumara dalam pemujaan lima dewata ini maka jadilah enam dewata semuanya. Kumara di Malaysia dikenali sebagai Murugan atau Subramanya. Setengah orang merujuknya juga sebagai Karttikkeiya.

Pemujaan yang diperbaharui ini diperkenalkan semula oleh Sankaracharya bagi menyatukan semula dewata-dewata asas dari enam aliran utama dengan meletakkan semua dewata tersebut di kedudukan yang sama. Falsafah monistik yang diajarkan oleh Sankaracharya memungkinkan seseorang itu memilih ishta dewata atau dewata yang ingin dipujanya secara persendirian dan dalam masa yang sama memuja empat dewata lain sebagai pancaran berlainan dari Brahman yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan