Memaparkan catatan dengan label garuda purana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label garuda purana. Papar semua catatan

Jumaat, 18 Oktober 2013

Garuda Purana: Sepintas Pandangan

Penterjemah ke bahasa Melayu: Northern Gate


Ia merupakan salah satu daripada purana-purana yang menjadi bahagian kepada sastera kehinduan yang dikenali sebagai smartih. Purana ini merupakan purana aliran Vaishnava. Bahagian pertamanya mengandungi perbualan antara dewa Visnu dengan Garuda, raja segala burung. Sebahagian dari bahagian keduanya pula memberikan keterangan lengkap mengenai kehidupan selepas kematian, upacara kematian dan juga hal bawah sedar tentang penjelmaan roh. Ia dibacakan sekali sebagai sebahagian daripada Antyesti (Anting Sanskar) atau upacara pengebumian agama orang Hindu.

Pandangan Sepintasnya

Begawan yang berasal dari bahasa Sanskrit membawa maksud Yang Tertinggi yang mempunyai segala yang nampak di mata dan yang tidak kelihatan kerana wujud dalam keadaan rohaniah yang tidak dapat dicapai oleh pemikiran terhad manusia atau maksudnya boleh juga disamaertikan dengan ananta tak terjangkau. Garuda memanggil dewa Visnu sebagai begawan.

Sastera ini merupakan satu bentuk arahan dari dewa Visnu kepada wahananya sang Garuda. Purana ini membicarakan hal kaji bintang, perubatan, tatabahasa, dan kualiti serta unsur-unsur batu permata. Selain itu, Garuda Purana juga memasukkan rujukan veda yang sahih seperti gulungan yang menerangkan tentang sembilan mutiara yang bukan sahaja memasukkan mutiara tiram tetapi juga mutiara sangka, mutiara naga, mutiara sungkur, mutiara gajah, mutiara buluh, mutiara paus, mutiara ikan, dan mutiara awan.

Selain Garuda Purana dalam jenis purana aliran Vaishnava, ada juga Vishnu Purana, Narada Purana, Bhagavata Purana, Pathma Purana, dan Vraha Purana. Sastera ini ada 19000 seloka dan merupakan jenis purana berukuran sederhana. Skanda Purana sebagai contoh ada 81000 seloka. Ribuan seloka dalam purana ini dibahagikan dua bahagian iaitu purwa kanda dan uttara kanda. Purwa kanda di bahagian pertama panjang sedikit dengan 234 bab manakala uttara kanda pula hanya 45 bab.

Bahagian kedua purana ini berbicara mengenai kehidupan lepas mati. Pengikut veda yang abadi yang dikenali sebagai orang Hindu umumnya membaca purana ini semasa upacara membakar bakai di ghatka bagi atma yang sudah pergi. Hal ini dikatakan penting dan berasal dari Garuda. Ada 19000 ayat yang menerangkan jalan menuju kepada Tuhan.

Suta Dengan Resi Lain

Suta merupakan seorang resi yang berpengetahuan tinggi. Beliau dikatakan sangat mahir dalam perkara purana-purana serta sastera-sastera. Beliau merupakan seorang yang setia terhadap dewa Vishnu.

Resi Vedavyasa mengajarkan purana-purana kepada salah seorang anak sikshanya bernama Romaharshana atau Lomaharshana. Beliau dipanggil roma (bulu) kerana bulu roma pada badannya akan meremang (harshana) apabila mendengar bacaan purana gurunya. Romaharshana yang meceriterakan kisah-kisah dari purana kepada orang lain. Bhagavata purana menyebut bahawa anak Romaharshana namanya Suta. Kemudian Suta pula memindahkan ceritera purana kepada resi-resi lain.

Dalam pada itu, Romaharshana berasal dari kasta Suta maka beliau pun dikenali lah juga sebagai Suta. Dari pembacaan Garuda Purana ini, dapat disimpulkan bahawa sebenarnya Romaharshana sendiri yang meceriterakan semula Garuda Purana dan bukan anaknya yang diberi nama Suta itu.

Jelmaan Vishnu dalam Awal Caritra Garuda Purana

Kembali kepada Romaharshana, beliau telah masuk dalam hutan Naimisharanya. Di situ, beliau duduk sebentar dan cuba merungkai rahasia dewa Vishnu. Resi-resi lain yang diketuai oleh Shounaka juga masuk dalam hutan itu. Mereka berkata kepada Romaharshana, "Wahai resi, kamu mengetahui segalanya. Siapakah dewa atas segala dewa? Siapa yang patut dipuja selayaknya? Atas sebab apa seseorang itu bertapa? Siapakah yang menghapuskan kejahatan? Bagaimanakah lokamaya ini sampai tercipta? Apakah itu dharma (kebenaran)? Ceriterakanlah kepada kami semua ini dan lagi."

"Baiklah," kata Romaharshana. "Akan aku bacakan kepada mu semua Garuda Purana. Lama lah bertahun dahulu, purana ini diceriterakanlah oleh Garuda sendiri mengenai purana ini kepada resi Kashyapa. Guruku Vyasadeva yang mengajarkannya semula kepada aku. Tetapi biarlah aku senaraikan kepadamu 22 jelmaan dewa Vishnu."

Sambungnya: "Jelmaan pertamanya seorang budak lelaki. Dalam rupa ini dia mengambil brahmacharya dan melakukan tapasya yang sukar. Jelmaan keduanya pula seekor sungkur (babian). Dalam rupa ini, Vishnu menyelamatkan lokantara ini dari loka bawah. Jelmaan ketiganya sebagai dewaresi. Dalam rupa ini dia menyebarkan widya pengetahuan tantra. Jelmaan keempatnya Nara dan Narayan yang merupakan dua orang resi. Jelmaan kelimanya sebagai resi Kapila. Resi Kapila mengajarkan anak sikshanya Asuri falsafah Sangkhyayoga. Jelmaan keenamnya pula Dettatreya, putera kepada Atri dan Anasuya. Jelmaan ketujuh berlaku di manawantara sbagai Swayambhu. Dewa Vishnu dilahirkan sebagai putera dewa Ruchi dan Akuti yang menjalankan banyak yajnya.

Jelmaan kelapannya pula sebagai Urukrama, putera kepada Nabhi dan Meru. Sebagai Urukrama, dia mengajarkan orang ramai cara hidup mulia. Jelmaan kesembilannya, dia menjadi raja Prithu dan mengembalikan semula bijirin serta herba ke muka bumi. Jelmaan kesepulohnya sebagai Matcha atau ikan. Dengan rupa ikan, dia menyelamatkan Vaivasata Manu dari bah besar yang melingkari dunia.

Jelmaan kesebelasnya sebagai kurma atau kura-kura. Jelmaan ini membantu dewa-dewa dan asura-asura sekeliannya mengeringkan lautan samudra manthana. Jelmaan kedua belas pula sebagai Dhawantari, bomoh kepada dewa-dewa dan pemula kepada segala perubatan. Jelmaan ketiga belas Mogini. Dalam rupa ini, Vishnu mengambil jasad wanita cantik bagi menawan dan merampas semula amrita (minuman pemberi hidup).

Jelmaan keempat belas, Vishnu menjadi Narasimma. Sebagai separuh manusia separuh singa, dia membunuh asura jahat Hiranyakashipu. Jelmaan kelima belas, Vishnu menjelma sebagai wamana (orang kerdil). Ia bagi memaksa raja Bali memulangkan semula surga para dewa.

Jelmaan keenam belas, Vishnu menjelma sebagai Parasuram. Parasuram membunuh kesatria-kesatria jahat dalam loka 21 kali. Jelmaan ketujuh belas, dia menjelma sebagai resi aku ini iaitu Vedavyasa, putera kepada Parashar dan Satyawati. Resi Vedavyasalah yang membahagikan dan mengelaskan semula veda-veda.

Jelmaan yang kelapan belasnya pula sebagai resi Narada. Jelmaan yang kesembilan belas sebagai Rama. Jelmaan yang kedua puluh sebagai Balaram. Jelmaan kedua puluh satu nya sebagai Krishna. Dan jelmaan yang kedua puluh dua nya masih belum tiba lah lagi. Pada saat itu jelmaan Vishnu ini akan kembali lalu menghapuskan kejahatan dan menegakkan keadilan."

Ada beberapa lagi lah jelmaan dewa Vishnu yang tidak disebutkan. Yang dua puluh dua itu yang utamanya.

Jumaat, 19 Ogos 2011

Garuda Purana: Seksaan Dalam Neraka

Garuda Purana merupakan salah satu purana yang agung di benua India. Ia mengandungi maklumat tentang seksaan yang diberikan kepada orang yang melakukan jenayah semasa hidupnya selepas mati dia mati. Ia menerangkan 24 jenis seksaan yang diberikan kepada orang jahat selepas mati.

Antakuupam

Barangsiapa yang membunuh orang alim beriman dan menipu wali-wali akan diseret ke sini. Telaga ini dipenuhi oleh haiwan-haiwan seperti haiwan berbahaya, serangga berbisa, ular, dan burung. Haiwan-haiwan ini akan menyeksa pendosa sampai tamat tempoh perlakuan dosanya.

Kirumibhojanam

Sesiapa yang memakan makanan tanpa menyembahnya kepada Tuhan akan mengambil rupa cacing. Cacing lain di tempat ini akan menggigitnya.

Sunmaali

Yang menggatal akan dicucuk dengan senjata tajam.

Paribaathanam

Pemabuk akan dihantar ke sini. Dia akan diberi minum besi cair mendidih.

Pandrumukam

Tempat seksaan dalam neraka ini kelihatan seperti muka babi. Ia merupakan tempat hukuman raja atau pemerintah yang menghukum dengan tiada adil serta mereka yang menyeksa orang tua yang lemah. Penjaga neraka akan mematahkan kaki dan tangan mereka dan mereka akan digelek macam tebu sehingga tanpa sedar mereka pengsan.

Vajrakuundam

Hubungan terlarang akan menyebabkan pendosa diseksa dengan dipaksa memeluk batang besi panas selain akan disebat penjaga neraka.

Thaamisrum

Yang merampas isteri orang lain, harta atau anak-anak orang lain akan dibalun teruk oleh penjaga neraka. Mereka akan berada dalam keadaan separuh sedar, sentiasa ketakutan, dan berada dalam kesakitan.

Annatha Thaamisrum

Orang yang menipu pasangan hidupnya, dan tidak memberi nafkah makan minum seeloknya kepada teman hidup akan diseksa sehingga kelihatan macam pokok mati. Mata mereka akan dibutakan atas dosa mereka.

Rauravam

Orang yang merampas harta orang lain dengan kata-kata manisnya, licik lidahnya menipu, serta memusnahkan keluarga-keluarga lain demi kebahagiaan hidupnya sendiri akan mati dalam kepapaan. Dalam neraka nanti, mereka yang dianiayainya akan mengambil rupa kejam daripada ular berbisa dan menyeksanya. Pendosa kategori ini akan ditahan di Mahaarauravam sehingga tamat segala hukuman!

Kumbibagam

Yang membunuh dan menyeksa haiwan lalu memakan dagingnya akan diseksa di dalam minyak panas mengelegak. Mereka kekal di dalamnya ribuan tahun jutaan tahun tiada lah tahu.

Kalasuthiram

Anak-anak tak berguna yang menghalau ibu bapa keluar akan diseret ke neraka ini. Neraka ini ada api yang panas membara habanya tidak tertahan. Luaran dan dalaman akan terseksa. Tiada makanan dan air pun dalam neraka ini. Pendosa akan berdiri, berjalan sekeliling dan mengelupur kesakitan dalam neraka ini.

Asibathiram

Yang berpindah ke agama lain tanpa sebab musabab yang munasabah akan diseksa di sini. Dalam neraka akan ada tempat yang daunnya tajam seperti pisau. Mereka ini akan dilibas dengan tali pinggang yang bucunya tajam-tajam. Yang cuba lari dari neraka pula akan terkena seksaan lagi teruk dari batu-batan dan daun tajam yang memotong. Mereka akan dipotong kerat oleh daun-daun tajam sehingga tamat seksaan.

Saarmehyathanam

Yang membakar dan meracun orang lain, yang menyembelih orang lain dan ahli politik yang merosakkan negara akan diseksa di sini. Mereka akan diberi makan kepada anjing, dan sebelum bebas 700 ekor anjing akan menggigit mereka.

Ahvisi

Pendosa akan dilempar dari tempat tinggi atau gunung tinggi sehingga hancur berkecai badan mereka kerana dasar jurang itu keras. Badan mereka yang berkecai itu akan dikutip semula oleh penjaga neraka dicantumkan semula dan seksaan berulang.

Shaarargartham

Sesiapa yang menghina orang yang layak, atau orang-orang alim serta bongkak dengan dirinya sambil menghina orang lain yang layak akan diseksa dengan diikat terbalik kaki ke atas kepala di bawah sambil dipukul teruk oleh penjaga neraka.

Rashoganam

Barangsiapa yang melakukan yagna (korban) manusia dan haiwan akan diseret ke sini. Sesiapa yang memakan daging korban-korban ini juga akan diseksa. Yang membunuh haiwan akan berubah menjadi haiwan yang dibunuh. Yang dibunuh itu akan merupa manusia dan mengoyak daging pembunuh itu lalu makan dan minum darahnya.

Sulapurohtham

Barangsiapa yang menipu orang tak berdosa yang mempercayainya, mereka yang membunuh diri dengan menusukkan trisulo ke badannya akan diseret ke sini. Trisulo dan burung yang berparuh tajam akan menusuk mereka.

Thanthasukam

Pendosa akan dihantar ke neraka yang ada makhluk beracun dengan kepala lima atau tujuh. Makhluk-makhluk yang memenuhi tempat seksaan ini akan memakan pendosa.

Vadaarohtham

Yang menyeksa haiwan yang tinggal di gua, lembah, dan jalinan sarangnya akan dihantar ke lubang berapi mengeluarkan asap, dan diseksa dengan racun di dalamnya.

Paryaavaathanagam

Yang merungut apabila tak puas hati dengan tuan mereka walaupun makanan dihantarkan oleh tuan kepada mereka akan dihantar ke sini. Matanya akan dipatuk oleh burung gagak sehingga tercabut biji matanya.

Susimukam

Barangsiapa yang bermegah sombong dengan harta kekayaannya, yang menunjukkan benci kepada yang papa miskin, yang menanam hartanya dan menyuruh jin menjaga hartanya, serta enggan memulangkan harta benda yang dipinjamnya akan diheret ke neraka ini. Pendosa ini akan diikat dengan tali dan badannya akan dikerat-kerat.

Agni Guudam

Barangsiapa yang mengambil hak orang lain secara paksa akan dibawa naik ke tempat seperti loteng dalam neraka dan akan dibakar tidak henti-henti.

Vaitharani

Barangsiapa yang tidak hormat pada sastram akan dilempar masuk dalam sungai yang dipenuhi dengan darah, lemak, nanah, daging busuk, rambut, tulang dan tali perut. Yang melakukan jenayah ini tidak akan dapat naik ke tebing kerana tiada siapa akan membantunya keluar.

Puuyohtham

Barangsiapa yang meninggalkan budayanya, berhubungan haram dengan wanita kasta rendah, yang tidak menjaga disiplin diri menurut dharma hidup sebagai burung atau haiwan bebas akan diheret ke neraka untuk memakan isi perut, minum darah, minuman kencing, dan nanah.

Prinarohkam

Barangsiapa yang membela keldai dan anjing serta menggunakan binatang-binatang ini untuk berburu akan menjadi sasaran busur panah penjaga neraka.

Visasnum

Penjaga neraka akan melibas barangsiapa yang mengorbankan lembu untuk berbangga-bangga.