Ahad, 6 Oktober 2013

Neraka: 21 Jenis dalam Wisnu Purana

Om Swastiastu!


Wisnu Purana menyebut 28 neraka semua, dengan samacara hanya mengenai pendosa yang dikutuk dalam 21 neraka sahaja tanpa lanjutan cetera hukumannya. Neraka digambarkan dalam Wisnu Purana, tapi tidak pula ada dalam Bhagawata Purana dan Dewi Bhagawata Purana. Senarai neraka yang hanya tersebut dalam Wisnu Purana:

Rodha kemusnahan. Penyebab keguguran, pembunuh lembu dan penjarah atau yang menggantung orang lain akan dibuang di sini.

Sukara babi. Pembunuh Brahmana, pencuri emas atau pemabuk dan semua berkaitan dengannya akan jatuh dalam neraka ini.

Tala pedal ayam. Pembunuh Kesatria dan Waisya dan yang berzina dengan isteri ketua agama akan dihantar ke neraka berpedal ayam.

Taptakumbham periuk hangat. Berzina dengan saudari dan membunuh seorang rajaduta membawa hukuman masuk neraka ini.

Taptaloha besi hangat. Penjual bini, seorang yang memenjarakan orang dan orang yang meninggalkan pengikutnya terpenjara masuk sini. 

Mahajwalam neraka api besar. Yang bersumbang muhrim dengan anak perempuan sendiri atau dengan menantu perempuan dilempar dalam ini.

Laawana neraka garam. Yang menghina gurunya, orang yang tinggi kedudukan daripadanya seperti abang, kakak, bapa, ibu, bapa saudara, bapak-bapak, mak-mak, datuk, nenek, Brahmana, bhikkhu Buddha, menghina weda-weda yang diwangsit kepada maharesi semua akan masuk ke sini.

Wimohana tempat mengelirukan. Pencuri atau mereka yang menolak amalan yang dimestikan menurut jatinya itu akan dihentam dalam ini.

Krimisha neraka serangga. Yang menggunakan ilmu hitam, santet, santau bagai mencederakan orang lain akan dihantar ke neraka ini.

Wedhaka neraka kelaran. Yang ini diisi dengan pandai panah yang membuat panah untuk perang.

Adhomukham neraka tersembam. Yang ambil rasuah, tukang tilik bintang tak ikut agama dan mereka yang puja bahan yang tak sesuai akan dibuang dalam ini.

Puyawaha iaitu neraka bahan jatuh. Bangsa Brahmana yang menggatal menjual daging, cat diperbuat daripada pokok atau serangga, tuak, garam; yang berbuat keganasan dan yang makan manisan tak berkongsi dengan orang lain akan jatuh dalam neraka ini.

Rudhirandha neraka telaga darah. Peninju, anak tomoi atau kaki tinju yang berdosa buat keganasan untuk hiburan judi, nelayan, pengikut anak gampang, kaki bakar, tukang racun, pengintip, tukang tilik nasib, pengkhianat terhadap negara Hindu, yang gatal merenyam hendak berhubungan jenis pada hari-hari yang pantang pada agama, dan yang hidup dengan memaksa bini sendiri melacur menjadi jantan dayus dilempar di sini.  

Kresna neraka hitam. Penipu, yang mencerobohi milikan orang lain dan yang menyebabkan kemandulan itu disepak masuk dalam ini.

Wahnijwalam neraka api marak. Tukang buat periuk tanah, pemburu dan pengembala direjam dalam ini.

Swabhojanam neraka makanan anjing. Pelajar agama yang tidur siang hari dan yang tak berpengetahuan kerohanian serta belajarnya dari budak berhingus maka direjam dia dalam ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan