Memaparkan catatan dengan label bakti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bakti. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Januari 2014

Bhakti Yoga


Bhakti yoga merupakan jalan kerohanian yang digambarkan dalam falsafah Hindu sebagai berkesan bagi memupuk cinta, kepercayaan dan penyerahan diri kepada Tuhan. Ia bererti menyedari Tuhan, dan merupakan cara termudah bagi orang awam kerana ia tidak melibatkan amalan-amalan yoga yang banyak.

Bhagavad Gitam, Bhagavata Purana dan Purana lain merupakan sastera suci yang menerangkan lagi falsafah Bhakti. Pergerakan Hindu yang menekankan amalan bhakti sebagai keutamaan digelarkanlah sebagai pergerakan Bhakti. Aliran yang menekankan gerakan Bhakti ini adalah seperti Vaishnava, Saiva dan Sakti.

Falsafah

Bhakti merupakan sabdavali bahasa Sanskerta yang menandakan sikap kebaktian kepada Tuhan perseorangan yang serupa dengan sebilangan hubungan antara manusia dengan manusia. Perbedaannya itu cuma perhubungan kebaktian ini adalah antara roh makhluk dengan Roh Tertinggi, atau Tuhan. Sikap ini digambarkan seperti sikap perhubungan pencinta dengan yang dicintai, rakan dengan rakan, ibu bapa dengan anak-anak, dan tuan dengan hamba. 

Bhagavata Puranam (7.5.23-24) mengajarkan enam bentuk dasar bagi kebaktian seperti yang dijelaskan oleh Prahlada, pengikut setia Betara Wisnu dalam jelmaan Narasimha....

1. Sravaṇa, mendengar cetera sastera suci mengenai begawan Kresna dan rakan-rakan baginda.
2. Kīrtana, memuji yang selalunya merujuk kepada kumpulan penyanyi keagamaan.
3. Smaraṇa, mengingati atau mengarahkan ingatan kepada betara Wisnu.
4. Pāda-sevana, menjalankan seva.
5. Arcana, pemujaan rupa.
6. Vandana, memberi tabik.
7. Dāsya, perhambaan diri.
8. Sākhya, persahabatan.
9. Atma-nivedana, penyerahan diri terus.

Semua samilan prinsip seva bakti ini digambarkan sebagai membantu anak bakti supaya lebih memberi tumpuan dalam hubungan secara berterusan dengan Tuhan. Proses japa dan tapa dalam dengan memberi tumpuan kepada jelmaan devata dipilih oleh anak bakti terutamanya sangat terkenal dalam aliran kebaktian. Bhakti ini merupakan jalan yoga, yang bertujuan suci demi mencari penyatuan dengan Tuhan Maha Agung. Rupa sebenar Tuhan, atau jenis penyatuan itu berbagai pula menurut kepada aliran pemikiran Hindu, tetapi kandungan bagi setiap proses itu semua sama sahaja. 

Guru kerohanian India, Meher Baba menyatakan bahawa, "Daripada sebilangan amalan yang membawa kepada matlamat tertinggi kemanusiaan iaitu menyedari-Nya itu, Bakti Yoga antara salah satu yang terpenting. Hampir seluruh kemanusiaan itu melibatkan Bakti Yoga. Dalam perkataan ringkasnya, Bakti Yoga itu sejenis silpa kesenian bagi pemujaan. Tetapi ia mestilah dipahami dalam semua aspek sebenarnya, dan bukan dengan pemikiran yang sempit dan cetek, seperti yang dipergunakan dalam penafsiran perkataan ini. Pemujaan yang jelas berdasarkan kepada ideal-ideal falsafah tinggi dan kerohanian, dilatari oleh cinta suci, tanpa keraguan yang mewarnai Bakti Yoga".

Bhagavadgitam

Sementara sastera agama ini mempunyai senarai falsafah dan perkaitan keagamaan yang berjela-jela, ia juga dilihat sebagai sudut utama bagi ketuhanan dalam gerakan kebaktian Hindu, terutamanya dalam lingkungan kelompok Waisnawa.

Namun, kebaktian ini seringlah ditafsirkan oleh ramai orang sebagai satu panduan yang tidak semestinya terbatas hanya kepada pengikut begawan Kresna sahaja. Tidak mengira sebarang kejadian mau pun keadaan, dalam sabda begawan Kresna itu, bahawasanya cinta dan niat murni tiada celanya itu merupakan kuasa yang memotivasikan anak bakti secara berkesan dalam kehidupan rohaniahnya.  

Kebaktian itu sangat jelas sekali memaparkan pernyataan aturan akal seorang yang berbakti itu terhadap Guru nya. Begawan Kresna bersabda seperti tercatat dalam Bhagavadgitam 9.34...
"Libatkan pemikiran mu itu dalam pemikiran yang senantiasa mengingati Ku, jadilah orang-orang yang berbakti kepada-Ku, dan pujalah Aku. Biarkan diri mu itu sempurna terserap dalam Ku, maka kau pasti akan datang kepada Aku!"
Seseorang itu pastilah memahami sabda begawan Kresna yang menyebut "Aku" itu sebenarnya merujuk kepada Jiwa Yang Maha Tinggi dan dengan memahami bahawa "Aku" itu adalah sebahagian daripada diri sendiri sahaja, maka seseorang itu akan menghilangkan segala sikap mementingkan dirinya sendiri. Apabila seseorang itu sedar sepenuhnya mengenai "Aku" itu dengan kebaktiannya, maka dia pun akan masuk ke kerajaan Tuhan (Bhagavadgitam 18.55).  

Gerakan Bakti

Ada tiga kumpulan pengamal kebaktian dalam agama orang Hindu.....
  • Pengikut Betara Siwa yang memuja menerusi Betara Siwa dan keluarga baginda, termasuklah Sang Ganesa dan Kumara Murugan.
  • Pengikut Betara Wisnu, yang memuja rupa-rupa Betara Wisnu, jelmaan baginda yang membawa sabda-sabda agung seperti begawan Kresna atau Seri Rama serta lain-lain yang dikaitkan dengan Betara Wisnu.
  • Pemuja Sakti (Kuasa Tuhan), yang memuja rupa-rupa kesaktian yang terjelma dalam Jagat Raya ini menerusi jelmaan dewi Durga, dewi Kali, dewi Laksmi dan dewi Parwati.
Semua pergerakan ini menghormati dewata-dewata utama kelompok lain di samping memuja Tuhan menerusi wahana utama serta jelmaannya dalam pemujaan keagamaan masing-masing. Yang termaju dalam kalangan kelompok pengamal tersebut, agama-agama kelompok tersebut, itu adalah setiap mereka mengenalpasti bahawa dewa atau dewi itu masing-masing berkaitan rapat sesama sendiri dan tercetus dari satu kejadian juga, walaupun setiap satunya dilihat dari pandangan manusia sebagai berbeda pada rupa atau berbeda ciri-ciri pertama dan ciri-ciri kedua pada tahap pencetusan.

Dalam lain perkataan, cendekiawan Hindu berkata bahawa bukit itu dilihat dari segenap arah berbeda pula kelihatannya pada mata manusia ini. Namun ia itu masih lagi bukit yang sama, cuma pandangannya saja berbeda sudut. Setiap seorang itu haruslah mendekati bukit itu dari tempat mereka berdiri.  

Ahad, 14 April 2013

Padmanabha Pahi

  

Pallawi: Padmanabha paahi dipapakshaara, guna wasana shoure....

Anupallawi:  Sadma kalitha muni maanasa pankaja, saka bhuwana pari paalana lolubha...

Charannam: Charamukharjitha chandraanetra pari lasitha karuna sandra puriko baghata khaladanu chendra paaawana charita sri rama chandra....

Krithi: Swati Thirunala
Ragam: Hindolam
Talam: Adi

Jumaat, 7 September 2012

Ajaran Falsafah Ramakrishna

Ramakrishna dalam kesurupan Bhava Samadhi disokong di belakang oleh anak saudaranya Hridaya di rumah Keshab Chandra Sen sambil dikelilingi pengikut Brahmo

Ramakrishna merupakan seorang guru Hindu yang terkenal kerana penggunaan bahasa Benggali nya yang biasa-biasa sahaja dan sering menceritakan cetera-cetera dan perumpamaan. Antara ajaran yang disampaikan beliau termasuklah kesedaran tentang Tuhan sebagai tujuan utama kehidupan, meninggalkan Kamakanchana, persefahaman antara agama dan Jiwa itu Siva. Kunci asas kepada ajaran beliau termasuk lah kesatuan dalam kewujudan dan kesatuan serta kebenaran semua agama. 

Kesedaran Tentang Tuhan
Ramakrishna menegaskan bahawa kesedaran tentang Tuhan itu tujuan utama hidup semua kehidupan. Pengalaman kerohaniannya melalui agama-agama yang berbagai membawa beliau bahawa agama yang berbeza-beza itu bermaksud untuk mencapai pengetahuan mutlak dan kenikmatan rohaniah. Agama yang berbeza itu tidak boleh menyatakan keseluruhan kebenaran mutlak sebaliknya menjelaskan aspek-aspek kebenaran mutlak. 

Kama Kanchana

Beliau mengajarkan bahawa benda yang asas mengikat dalam kehidupan manusia adalah kama kanchana iaitu nafsu serakah dan emas. Apabila bercakap kepada orang lelaki pula, beliau akan mengingatkan mereka kepada kamini kanchana atau nafsu terhadap wanita dan emas.

"Melalui disiplin dari amalan berterusan ini seseorang mampu untuk mengelakkan terikat kepada wanita dan emas. Ini lah yang diajarkan oleh Gita. Melalui amalan, seseorang itu mampu memperolehi kuasa minda yang luarbiasa. Kemudian apabila seseorang itu dapat menguasai anggota deria nya dan mengawal kemarahan, nafsu serta kesukaan. Maka dia sudah bersikap seperti seekor kura-kura yang akan menarik masuk ke dalam cengkerangnya semua anggotanya di luar. Kamu tak akan dapat menarik anggota itu keluar walaupun ia ditetak dengan kapak. Mengenepikan wanita (nafsu) dan emas itu lah sebenar-benarnya penolakan".

Apabila berucap kepada wanita-wanita, beliau mengingatkan wanita-wanita tentang purusha kanchana yang bermaksud lelaki dan emas. Gauri Ma yang merupakan seorang murid terkenal beliau berkata bahawa:

"Beliau ada menyampaikan amaran bahawa emas dan nafsu berlebihan terhadap lelaki itu berbahaya terhadap kegembiraan hidup. Tapi beliau bukan lah menentang wanita. Beliau hanya menasihatkan orang-orang yang terlibat dengan kehidupan pertapa supaya menjaga diri mereka daripada pukauan kecantikan tubuh badan yang menggiurkan yang menaikkan nafsu syahwat. Beliau juga berkata perkara yang sama kepada kaum wanita. Pesanan beliau adalah menyeluruh untuk golongan lelaki dan perempuan yang terlibat dalam pertapaan. Kehidupan beliau sendiri tidak melibatkan nafsu syahwat sebaliknya beliau juga bersimpati kepada kaum wanita dan sangat menghormati kaum wanita". 

Avidyamaya dan Vidyamaya

Penganut Hindu yang mengikut ajaran Ramakrishna mempercayai bahawa kesedaran nirvikalpa samadhi Ramakrishna membawa beliau kepada pemahaman kepada dua bahagian maya yang dirujuk sebagai avidyamaya dan vidyamaya. 

Beliau menerangkan bahawa avidyamaya mewakili kuasa gelap yang wujud dalam ciptaan misalnya nafsu, kehendak jahat, ketamakan, syahwat dan kekejaman yang semuanya menyebabkan manusia tersangkut pada lapangan kesedaran rendah. Kuasa-kuasa ini lah yang bertanggungjawab memerangkap manusia dalam pusingan kelahiran dan kematian. Ia mesti dilawan dan dihapuskan. 

Vidyamaya sebaliknya pula mewakili lapangan kesedaran tinggi dalam ciptaan seperti kebijaksanaan rohaniah, kualuti-kualiti pencerahan, kebaikan, kemurnian, cinta dan kebaktian yang mengangkat manusia ke lapangan kesedaran tinggi.   

Muhibah Antara Agama

Ramakrishna mengiktiraf perbezaan antara agama tapi menyedari bahawa tujuan agama-agama tersebut adalah sama pada akhirnya walaupun ada perbezaan. Jadi agama-agama tersebut adalah berlaku dan benar kepada penganutnya.  

Amiya P. Sen menulis bahawa asas kebaktian yang mendalam dan kepercayaan terhadap Tuhan menyebabkan ajaran falsafah beliau kelihatan sejagat dan bukan sempit menurut adat-istiadat. Sejarawan British yang terkenal Arnold J. Toynbee menulis: "... prinsip-prinsip pegangan Mahamatma Gandhi berkenaan ahimsa dan pengakuan Sri Ramakrishna tentang hubungan muhibah antara agama: di sini kita ada sikap dan semangat yang boleh menyebabkan manusia untuk bertumbuh bersama-sama menjadi satu keluarga dan dalam era bom atom ini, ini juga lah jalan lain untuk menghancurkan diri kita". 

Berkenaan hal ini, Ramakrishna berkata: 

"Aku sudah mengamalkan semua agama dari ajaran agama Kehinduan, Islam dan Kristian. Dan aku sudah menurut kepada jalan-jalan berbeza dalam aliran agama orang Hindu. Aku dapati bahawa itu lah juga Tuhan yang sama yang mana mereka semua melangkah menuju-Nya walaupun berbeza jalan. Kamu cuba sendiri lah semua kepercayaan dan lintasi sekurangnya sekali semua jalan ini. Di mana-mana aku melihat pun, manusia bergaduh bertengkar atas nama agama. Hindu, Islam, penganut aliran Brahma, penganut aliran Vaishnava dan lain-lain. Tapi mereka tidak lah merenung bahawa Dia yang dipanggil Krishna itu jua lah yang dipanggil sebagai Siva. Yang membawa nama kuasa-kuasa asas iaitu Jesus dan Allah sebagaimana juga Rama dengan seribu nama nya...".

Bhawuk dalam jurnal ilmiahnya Pengaruh Budaya terhadap Kekreatifan: Kes Kerohanian Orang Hindu menulis bahawa sumbangan Ramakrishna terhadap kemanusiaan nampak lebih bermakna kepada dunia terutamanya selepas peristiwa pengeboman Pusat Dagangan Dunia pada 11 September di Amerika Serikat. Bhawuk menulis bahawa bukan Islam lah seharusnya dipersalah atas kejadian buruk itu. Begitu juga dengan agama lain pun tak patut dipersalah atas tindakan keganasan manusia kerana kehidupan Ramakrishna mengisytiharkan bahawa semua agama itu membawa manusia menuju kepada Tuhan yang sama".

Jiwa itu Siva

Ramakrishna membuat pengisytiharan bahawa jatra jiwa tatra siva yang bermaksud bahawa di mana sahaja ada hidupan di situ lah dewa Siva. Ungkapan ini berasal dari pandangan hakikat ajaran falsafah Advaita. Ini mengajar murid-murid nya bahawa: "jive daya noy, shiv gyane jiv seba" yang bermaksud bukan lah kebaikan terhadap hidupan akan tetapi berkhidmat kepada hidupan seperti Siva sendiri.

Menurut cendekiawan, Vivekananda mendapat ilham dari ungkapan ini dan berusaha untuk terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan seperti membantu mangsa bencana kebuluran, mengekalkan rumah anak yatim, membuka pusat latihan, pusat pendidikan, pusat kesihatan dan sebagainya. Hal ini terserlah dalam ungkapan: "Ke mana harus kamu pergi mencari Tuhan? Bukan kah melalui orang miskin ini, melalui yang terseksa, yang lemah dan yang baik hati? Kenapa tidak puja (hormat) mereka dahulu?... Biar mereka ini menjadi tuhan kamu..." Ramakrishna tidak lah terlibat secara langsung dalam kegiatan kemasyarakatan, sebaliknya mengamanahkannya kepada ketua kepada pelajar-pelajarnya iaitu Vivekananda. 

Ramakrishna walaupun bukan merupakan seorang ahli falsafah terlatih namun mempunyai deria pemahaman untuk memahami konsep-konsep rumit dalam falsafah. Menurutnya, Brahmanda iaitu jagat yang nampak dan jagat-jagat lain hanya merupakan buih-buih sahaja. Buih-buih ini keluar dari Brahman yang merupakan lautan tak berpenghujung kepada kebijaksanaan. 

Seperti juga yang dilakukan oleh Adhishankaracharya lebih seribu tahun lalu, Ramakrishna menyuburkan kembali agama Hindu yang terlalu ketat dengan upacara berlebihan dan diselubungi dengan kepercayaan karut dalam abad ke-19. Hal ini menjadikan agama Hindu lebih bersedia untuk dicabar oleh agama Islam atau agama Kristian dan melalui zaman suram pada era moden. Berbeza pula daripada Adhishankaracharya, beliau mengembangkan wacana tentang kelahiran kesedaran selepas semadi yang dijelmakan dalam dunia kejadian yang diterangkan dalam konsep vignana. Ketika beliau menegaskan tentang kesahihan Advaita Vedanta tanpa terganggu gugat, beliau turut menyatakan bahawa: "aku menerima nitya dan lila sebagai Yang Mutlak dan Saling Berkaitan".

Perumpamaan

Perumpamaan merupakan antara bahagian terpenting dalam ajaran Ramakrishna. Seperti juga Jesus, Ramakrishna menyampaikan pesanan kerohanian dan akhlak melalui cetera dan perumpamaan.

1. Perumpamaan tentang Bakti yang Terbaik

Satu ketika dahulu pemikiran masuk lah di tengah-tengah hati Narada dan beliau terpikir bahawa tak ada pun bakti yang terbaik sepertinya. Tuhan yang mengetahui isi hati Narada berkata: "Wahai Narada, pergi kamu ke tempat sekian... sekian... Di sana ada seorang yang sangat berbakti sekali kepada ku. Pergi kenali nya sebab sangat bakti sekali dia itu". Narada pun pergi ke situ dan menemui seorang petani yang bangun awal-awal pagi menyebut nama Hari sekali sahaja. Kemudian dia mengangkat cangkul lalu keluar dan menggembur tanah seharian. Malam nya pula dia masuk tidur lalu menyebut nama Hari sekali sahaja. Terdetik dalam hati Narada, macam mana orang sebegini begitu berbakti kepada Tuhan? Nampak dia sibuk sahaja dengan kerja duniawi dan tak ada sebarang tanda pun menunjukkan dia seorang yang alim lebih dari aku. Kemudian Narada pulang menemui Tuhan dan menceritakan apa yang difikirkannya tentang lelaki itu. Tuhan berkata: "Narada, ambil cawan minyak ini dan pergi keliling kota. Nanti pulang semula dengan cawan itu. Jaga-jaga juga jangan sampai minyak dalam cawan tu tumpah setitik pun!" Narada pun berbuat seperti yang disuruh. Bila pulang semula Tuhan tanya kepada nya: "Baik Narada, betapa kali kamu mengingati Aku semasa kamu berjalan mengelilingi bandar?" Narada menjawab: "Tidak sekali pun, Tuhan. Bagaimana aku hendak mengingati Mu sedangkan aku berjaga-jaga mengelakkan minyak yang begelora semasa aku berjalan tadi tumpah". Tuhan kemudian berkata: "Minyak dalam cawan ini pun mengalihkan tumpuan kamu dari Aku sampai kamu lupa menyebut Nama Aku. Cuba kamu ingat kembali lelaki petani kampung yang kamu katakan tidak begitu alim itu pun mampu mengingati aku sebanyak dua kali sehari walaupun menanggung beban menyara keluarga".    

2. Perumpamaan Tentang Pendita Tak Pandai Berenang

Beberapa orang lelaki merentasi sungai Gangga dengan sebuah sampan. Seorang dari mereka adalah pendita yang menunjuk-nunjuk tentang kebijaksanaannya sambil berkata bahawa dia memperlajari banyak jenis kitab seperti veda-veda, vedanta dan enam falsafah. Kemudian dia bertanya penumpang sebelahnya: "Kamu tahu Vedanta?" Jawab orang itu: "Tidak, tuan dihormati". "Sangkhya dan Patanjali?" Tanya nya lagi. "Tak tahu tuan." "Pernah baca sebarang falsafah?" "Tak juga, tuan" Pendita bercakap panjang lebar benda-benda yang tak satu pun difahami orang dan penumpang itu diam sahaja. Apabila guruh berdentum kuat, kapal tersebut hampir tenggelam dalam air sungai bergelora. Penumpang yang ditanya tadi bertanya: "Tuan tahu berenang?" Jawab pendita: "Tidak!" Penumpang tadi menyambung: "Saya memang tak tahu Patanjali atau Sangkhya tapi saya tahu berenang."