Taparloka

Taparloka atau Topoloka adalah nama bahasa Sanskrit bagi rantau kewujudan keenam. Menurut ajaran Upaniṣad, taparloka ini adalah salah satu daripada alam atas yang ketujuh. Alam ini menjadi kediaman dewa-dewi dan menjadi satah kewujudan untuk tenaga kesedaran serta rohaniah. Perkataan tapar ini muncul dari perkataan bahasa Sanskrit iaitu tapas yang bermaksud, 'haba', namun apabila digabungkan perkataan ini dengan perkataan loka yang bermaksud 'alam', maka perkataan tapas itu akan mendapat maksud mendalam iaitu 'kesaktian rohaniah atau kesedaran'.

Taparloka - Alam Para Vairagi

Dalam alam ini, para vairagi berkediaman.  Vairagi merujuk kepada seseorang yang telah melepaskan ikatan duniawi pada hati mereka. Ramai orang beranggapan bahawa vairagi ini adalah mereka yang meninggalkan orang semua dan melepaskan semua benda lalu pergi ke tempat yang jauh.

Vairagi ini sebenarnya mempunyai maksud yang tersirat dan boleh ditafsirkan sebagai berikut:
  • seseorang yang berada di atas jalan mencapai kesedaran jiwa dan mula mempersoalkan dirinya.
  • menyedari bahawa dia berada di atas dari jasad kasarnya. Oleh itu, dia tidak memandang bahawa kebendaan itu sebagai sesuatu yang penting.
  • dia mengetahi bahawa jasad yang kita bangga-banggakan ini akan berubah menjadi selonggok abu sahaja suatu hari nanti maka dia tidak memandang penting pun kepada hawa nafsu duniawi dan hal-ehwal duniawi.
  • dia gembira dengan kehidupannya, dan tidak pernah mengukur segala sesuatu dengan matawang.
  • dia tidak mempunyai sebarang jangkaan atau membandingkan dirinya dengan sesiapa atau benda-benda lain.
Panel penulis berpendapat bahawa vairagya ini adalah kesaktian atau kuasa di mana seseorang itu boleh membezakan antara kehendak dan keperluan. Kebolehan seseorang itu membezakan antara yang baik dan yang buruk.  Kemampuan untuk membezakan antara dharma dan adharma.

Seseorang itu tak perlu memakai kain kuning, meninggalkan segalanya lalu masuk ke hutan untuk mendapat kesedaran. Tinggal bersama dengan masyarakat pun masih memungkin seseorang itu mencapai vairagya. Namun, persoalannya kenapakah ramai vairagi itu meninggalkan masyarakat dan lebih suka tinggal sendirian jauh dari manusia lain? Sebab utamanya adalah untuk mengelakkan karma yang datang dengan terikatnya hati kepada duniawi. Lebih banyak karma berjalan, maka semakin banyaklah keterikatan jiwa pada dunia.

Bagaimanakah hal tersebut terjadi? Sebagai contoh, seorang lelaki telah berkahwin. Kemudian, dia menerima tanggungjawab tambahan sebagai seorang suami. Kemudian, dia menjadi seorang bapa dan tak lama selepas itu dia pun menjadi seorang datuk. Oleh itu, dia perlu memenuhi tanggungjawab seorang anak lelaki, seorang suami, seorang bapa, seorang datuk dan sebagainya untuk seluruh hidupnya. Dia tidak akan mempunyai masa untuk melakukan renungan jiwa. Maka, untuk mengelakkan karma-karma yang datang dengan terikatnya jiwanya pada hal-ehwal duniawi ini, maka dia pun meninggalkan segalanya. Tambahan lagi, meninggalkan duniawi ini haruslah bermula dengan perkataan, amalan dan tindakan.