Brahmāloka

Brahmāloka adalah alam kediaman Betara Brahmā, dewata pencetus yang menjadi sebahagian daripada Trimurti bersama-sama Betara Viṣṇu dan Betara Śiva. Disebutkan bahawa ia berada di puncak Gunung Meru dan dirujuk sebagai Brahmāpūra, Satyaloka atau Satyabagecha dalam purāṇa-purāṇa. Brahmāloka ini adalah taman-taman yang dipenuhi oleh pelbagai jenis bungaan.

Walau bagaimanapun,  Brahmāloka ini tidak semestinya jagat suci yang sama tersebut dalam Nada Bindu Upanishad dan Śiva Purāṇa. Hal ini kerana, Iśvāra Sadaśiva dan Paramaśiva menurut aliran pemikiran Kaśmīr adalah yang tertinggi sekali melampaui Brahma. Di samping itu, disebutkan bahawa Brahmāloka ini adalah alam nikmat tertinggi yang sesuatu jiwa itu mampu capai.

Ajaran Buddha menyatakan bahawa Brahmāloka ini tidak kekal dan sementara. Falsafah Vedanta juga menganggap bahawa semua satah kewujudan itu, termasuklah Brahmāloka yang tertinggi sebagai sementara sahaja dan hanya hakikat mutlak Sat-Cit-Ananda sahaja yang kekal dan abadi. Dalam alam duniawi ini, Brahmāloka bolehlah dianggap sebagai alam yang tertinggi sekali.