Dewa Soma atau Somadeva adalah dewata bulan. Dalam Ṛgveda, baginda
digambarkan menjadi perwakilan bagi minuman Soma yang digunakan dalam
upacara pengorbanan. Baginda ini adalah antara dewata terpenting dalam
Ṛgveda. Sebanyak 114 seloka dari kitab ke-9 ditujukan hanya kepada
baginda, sama ada dalam rupa tumbuhan atau dalam rupa dewata baginda.
Baginda dipandang sebagai penunggu kepada tumbuh-tumbuhan, vanaspati atau penunggu hutan, penunggu tanah dan juga penunggu sungai-sungai.
Tumbuhan Soma ini mempunyai banyak rujukan, namun rujukan yang umum selalunya adalah kepada tumbuhan Ephedra Sinica atau tumbuhan Ma Huang
yang banyak ditemui di benua kecil India dan benua China. Dalam sastra
pasca-Vedic, Soma mula menjadi rujukan kepada bulan. Sesetengah sarjana
merasakan bahawa Soma ini berkaitan dengan bulan serta tersebut dalam
Ṛgveda, sementara sarjana lain-lain pula merasakan bahawa penjatian ini
hanya dibuat dalam sastera-sastera terkemudian. Sama seperti Soma, bulan
pun dihirup oleh para dewata. Frasa ini membawa maksud bulan menjadi
gelap.
Diceriterakan dalam purāṇa, bahawasanya baginda Soma atau Chandra adalah tuan rumah bagi Somavara (Isnin). Baginda adalah anakanda kepada Ṛṣi Atri dan cucunda kepada Batara Brahma. Baginda berkahwin dengan 27 puteri Dakṣa yang mewakili 27 nakṣatra. Isteri kesayangan baginda adalah Rohini. Isteri-isteri baginda yang lain kemudian menjadi cemburu lalu mengadu kepada baginda Dakṣa. Baginda Dakṣa menyumpah dewa Soma menyebabkan baginda sakit. Kemudian sumpahan tersebut berubah menjadikan baginda mencerah dan menggelap. Diceritakan kononnya Batara Śiva yang meringankan sumpahan tersebut selepas dewa Soma memuja Batara Śiva memohon bantuan.
Dewa Soma juga pernah menculik dewi Tara, isteri kepada Bṛhaspati. Melalui dewi Tara, Sang Budha iaitu anakanda dewa Soma pun dijelmakan. Peperangan besar turut berlaku dalam usaha untuk menyelamatkan dewi Tara.
Dewa Soma sebagai Vasu pula menjadi bapa kepada Sang Varcha, yang kemudian dijelmakan sebagai Sang Abhimanyu. Dewa Soma juga mempunyai puteri bernama Bhadra yang diculik oleh dewa Varūṇa. Dewa Varūṇa kemudian dipaksa supaya memulangkan semula Bhadra kepada dewa Soma. Anakanda baginda dewa Soma yang seorang lagi dikenali sebagai Jyotsnakali.
Purāṇa juga menjelaskan bahawa pedati dewa Soma mempunyai tiga roda. Ia dipandu oleh 10 ekor kuda putih iaitu:
- Yayu
- Trimana
- Raji
- Bala
- Vasa
- Turanya
- Hamsa
- Vyomi
- Mrga
- Amshumat
Viṣṇu Purāṇa
Sastera ini meringkaskan bahawa Soma dengan sinaran yang menyejukkan itu memberikan kesegaran kepada para dewata pada purnima terang, memberikan kesegaran kepada roh nenek moyang pada purnima gelap dan tumbuhan iaitu embun-embun menitis di atas mereka. Disebabkan cahaya Soma itu maka tumbuhan, manusia, serangga dan haiwan menjadi senang hati. (II.12.14-15)
Soma adalah salah satu daripada navagraha. Baginda digambarkan sebagai dewata putih yang memegang gada dan duduk di atas pedati yang dipandu oleh tiga ekor kuda atau lebih. Dalam satu cetera, disebutkan bahawa dewa Surya dan dewa Soma mendapat tahu bahawa Rahu telah meminum amṛta lalu mereka memerintahkan supaya kepala Rahu dipenggal. Namun, Rahu telah pun mencapai keabadian disebabkan oleh amṛta, maka beliau membalas dendam terhadap dewa Surya dan dewa Soma. Kedua-dua mereka akan ditelan oleh Rahu pada masa-masa tertentu.
Nama-Nama Lain Dewa Soma
- Atrisuta, anakanda Ṛṣi Atri
- Indu, bulan
- Kumudanātha, tuan teratai
- Nakṣatarpati, suami para nakṣatra
- Niśakara, pembuat malam
- Oṣadhipati, tuan rempah-ratus ubatan
- Ṣaśalakṣana (Ṣaśanka, Ṣachin) yang ditandakan dengan arnab
- Ṣāṭasahasramṣu, ribuan sinaran cahaya
- Taradhipa, tuan bintang-bintang