Garuḍa Purāṇa

Garuḍa Purāṇa merupakan salah satu purāṇa yang agung. Ia mengandungi maklumat-maklumat tentang seksaan yang dijatuhkan ke atas pendosa yang melakukan jenayah semasa hidupnya selepas jiwanya meninggalkan raganya. Sastra ini menerangkan mengenai 24 jenis seksaan yang dijatuhkan ke atas pendosa selepas mati raganya.
  • Antakūpam, barangsiapa yang membunuh brahmin, sadhu dan ajar-ajar akan diseret ke neraka ini. Telaga dalam neraka ini dipenuhi dengan binatang berbahaya, serangga berbisa, ular dan burung-burung pemakan bangkai. Binatang-binatang ini akan menyeksa pendosa sehingga selesai tempoh perbuatan dosanya itu.
  • Kirumibhojanam, barangsiapa yang memakan makanan tanpa mempersembahnya kepada Tuhan maka dia akan terjelma dalam rupa cacing pada jelmaan berikutnya. Cacing-cacing lain di tempat dia dijelmakan itu akan menggigitnya pula.
  • Sunmāli, barangsiapa yang miang dan berzina ke hulu ke hilir akan ditusuk dengan senjata-senjata tajam pula.
  • Paribāthanam, barangsiapa yang kaki botol akan terjatuh ke sini lalu diberikan minuman cairan besi mendidih pula.
  • Pandrumukam, pendosa yang terjatuh ke sini akan kelihatan bermuka seperti babi. Neraka ini adalah tempat hukuman raja-raja atau pemerintah yang tidak adil dalam menjalankan hukum negara serta menyeksa orang tua yang tidak berdaya. Penjaga neraka akan mematahkan kaki dan tangan mereka. Mereka akan digelek seperti batang tebu sehingga kehilangan kesedaran lalu pengsan.
  • Vajrakūndam, pendosa yang menjalinkan hubungan terlarang lalu menyebabkannya terjatuh dalam seksaan iaitu dipaksa memeluk batang besi yang panas sambil disebat oleh penjaga neraka.
  • Thāmisrum, pendosa yang merampas isteri orang lain, merampas harta dan anak-anak orang lain akan disebat teruk oleh penjaga nereka. Mereka akan berada dalam keadaan separuh sedar, ketakutan dan sentiasa kesakitan.
  • Annatha Thāmisrum, pendosa yang jatuh ke sini curang terhadap pasangan hidupnya dan tidak memberi nafkah sebaik-baiknya kepada pasangan hidup. Pendosa akan diseksa sehingga kelihatan seperti pohon yang mati. Matanya akan dibutakan kerana dosa-dosanya.
  • Rauravam, pendosa yang jatuh ke sini merampas harta dan hak orang lain melalui kata-kata manis. Lidahnya licik menipu serta memusnahkan keluarga orang lain demi kehidupannya sendiri. Pendosa begini akan mati dalam kepapaan. Mereka yang dianiayai olehnya akan mengambil rupa bengis daripada ular berbisa dalam neraka nanti lalu menyeksanya. Pendosa dalam kelompok ini akan ditahan di Maharauravam sehingga lupus tempoh karma buruknya itu.
  • Kumbhibakam, pendosa yang menyeksa dan membunuh binatang lalu memakan dagingnya. Pendosa kelompok ini akan diseksa dalam minyak panas mengelegak. Mereka kekal di dalamnya selama ribuan atau jutaan tahun. Tiada sesiapa pun mengetahui berapa lama tempohnya itu.
  • Kalasutram, pendosa-pendosa di sini terdiri dalam kalangan anak-anak tidak mengenang budi yang menghalau ibu bapanya keluar dari rumah. Mereka akan diseret ke neraka ini. Neraka ini mempunyai api yang panas membara, habanya tinggi sehingga tidak tertahan seksanya. Tiada sebarang makanan atau air dalam neraka ini. Pendosa hanya berdiri, berjalan di sekelilingnya dan mengelupur kesakitan akibat kepanasan haba di dalam neraka ini.
  • Asibatram, pendosa dalam kelompok yang dilemparkan ke sini terdiri daripada mereka yang bersalin agama ke agama lain tanpa sebab-sebab yang munasabah. Pendosa ini akan diseksa oleh daun-daun yang tajam seperti pisau. Pendosa akan dilibas dengan tali pinggang yang tajam bucu-bucunya. Pendosa yang cuba lari akan terkena hirisan dari daun-daun serta batu-batan yang tajam menghiris. Mereka akan dipotong dan dikerat oleh daun-daun tajam sehingga tamat tempoh karma buruk mereka.
  • Sārmehyathanam, pendosa yang dibuang ke neraka ini terdiri daripada pendosa yang membakar dan meracun orang lain. Pendosa yang menyembelih orang lain dan ahli-ahli politik yang merosakkan negara juga akan diseksa di sini. Mereka akan diberikan kepada anjing dan akan digigit oleh 700 ekor anjing sebelum mereka dibebaskan dari peringkat neraka ini.
  • Avici, pendosa di neraka ini akan dilemparkan dari tempat tinggi atau dari gunung tinggi sehingga berkecai tubuh badan mereka kerana dasar jurang yang keras. Tubuh mereka yang berkecai itu akan dikutip dan dicantumkan semula oleh penjaga neraka sebelum seksaan ke atas mereka diulang semula.                  

Shaarargartham

Sesiapa yang menghina orang yang layak, atau orang-orang alim serta bongkak dengan dirinya sambil menghina orang lain yang layak akan diseksa dengan diikat terbalik kaki ke atas kepala di bawah sambil dipukul teruk oleh penjaga neraka.

Rashoganam

Barangsiapa yang melakukan yagna (korban) manusia dan haiwan akan diseret ke sini. Sesiapa yang memakan daging korban-korban ini juga akan diseksa. Yang membunuh haiwan akan berubah menjadi haiwan yang dibunuh. Yang dibunuh itu akan merupa manusia dan mengoyak daging pembunuh itu lalu makan dan minum darahnya.

Sulapurohtham

Barangsiapa yang menipu orang tak berdosa yang mempercayainya, mereka yang membunuh diri dengan menusukkan trisulo ke badannya akan diseret ke sini. Trisulo dan burung yang berparuh tajam akan menusuk mereka.

Thanthasukam

Pendosa akan dihantar ke neraka yang ada makhluk beracun dengan kepala lima atau tujuh. Makhluk-makhluk yang memenuhi tempat seksaan ini akan memakan pendosa.

Vadaarohtham

Yang menyeksa haiwan yang tinggal di gua, lembah, dan jalinan sarangnya akan dihantar ke lubang berapi mengeluarkan asap, dan diseksa dengan racun di dalamnya.

Paryaavaathanagam

Yang merungut apabila tak puas hati dengan tuan mereka walaupun makanan dihantarkan oleh tuan kepada mereka akan dihantar ke sini. Matanya akan dipatuk oleh burung gagak sehingga tercabut biji matanya.

Susimukam

Barangsiapa yang bermegah sombong dengan harta kekayaannya, yang menunjukkan benci kepada yang papa miskin, yang menanam hartanya dan menyuruh jin menjaga hartanya, serta enggan memulangkan harta benda yang dipinjamnya akan diheret ke neraka ini. Pendosa ini akan diikat dengan tali dan badannya akan dikerat-kerat.

Agni Guudam

Barangsiapa yang mengambil hak orang lain secara paksa akan dibawa naik ke tempat seperti loteng dalam neraka dan akan dibakar tidak henti-henti.

Vaitharani

Barangsiapa yang tidak hormat pada sastram akan dilempar masuk dalam sungai yang dipenuhi dengan darah, lemak, nanah, daging busuk, rambut, tulang dan tali perut. Yang melakukan jenayah ini tidak akan dapat naik ke tebing kerana tiada siapa akan membantunya keluar.

Puuyohtham

Barangsiapa yang meninggalkan budayanya, berhubungan haram dengan wanita kasta rendah, yang tidak menjaga disiplin diri menurut dharma hidup sebagai burung atau haiwan bebas akan diheret ke neraka untuk memakan isi perut, minum darah, minuman kencing, dan nanah.

Prinarohkam

Barangsiapa yang membela keldai dan anjing serta menggunakan binatang-binatang ini untuk berburu akan menjadi sasaran busur panah penjaga neraka.

Visasnum

Penjaga neraka akan melibas barangsiapa yang mengorbankan lembu untuk berbangga-bangga.