Manas

Manas adalah akal yang rendah. Melaluinya, akal akan berinteraksi dengan dunia luar tubuh dan menerima maklumat serta pandangan-pandangan hasil dari interaksi deria dengan dunia luar. Manas akan mempersoal dan menimbulkan kesangsian, menimbulkan kesukaran kepada empunya tubuh sekiranya kecenderungan itu berlebih-lebihan.
"Manas itu adalah pemantau terus bagi deria dalam kilang dalaman tubuh"
Manas adalah pemantau terus bagi deria-deria. Ia menjadi pemantau dalam kilang kehidupan (tubuh) dan memberikan arahan kepada 10 indriya atau deria. Manas menjalankan tugas dengan baik dalam melaksanakan arahan-arahan, namun ia tidak sepatutnya menjadi pembuat keputusan utama dalam kilang kehidupan. Tugas membuat keputusan terletak di pundak Buddhi. Jika Buddhi itu berkabut, maka tabiat Manas yang mempersoalkan secara terus-terusan itu tidak berhenti kerana ia mencari arahan dan petunjuk yang baik. Manas cenderung untuk mengikut arahan dari sesiapa yang bersuara lantang dalam kilang tersebut. Yang lantang bersuara itu selalunya adalah 'idaman, keinginan, hawa nafsu, tarikan duniawi dan rasa meluat' yang tersimpan dalam simpanan ingatan Chitta.

Berhati-hati dengan tindakan dan kata-kata. Satu cara yang baik untuk memupuk pantauan ke atas Manas adalah dengan berhati-hati dengan tindakan serta kata-kata. Selain itu, berhati-hati juga dengan bau, rasa, penglihatan, sentuhan dan pendengaran. Dengan pemerhatian deria-deria ini, maka kita akan dpaat melihat bagaimana Manas mengaturkan tindakan-tindakan dan deria-deria ini. Oleh itu, Manas ini adalah seperti seorang mandur yang memantau pekerja-pekerja di sebuah kilang. Manas bukan seorang majikan, sebaliknya Manas adalah mandur atau pemantau. Manas menyampaikan arahan terus kepada deria-deria akal dan deria-deria giat tindakan pada kilang tubuh manusia.