Dalam Bhagawata Purana, diceritakan mengenai cetera Ajamila yang dibesarkan menurut kepada adat-istiadat Brahmana. Dia dilatih sebagai seorang Brahmana dan mempunyai seorang isteri yang baik dan taat beragama.
Namun, suatu hari, dia keluar ke padang mengutip bungaan bagi memuja dewata, dia ternampak seorang Sudra mabuk dan seorang pelacur sedang berpelukan dengan ghairah. Ajamila berasa tertarik dan bernafsu melihat hal itu, maka pikirannya pun mula terikat kepada wanita pelacur tersebut. Dalam Bhagawata Purana tersebut bahawa jika seorang itu merenung kepada bahan deria, maka dia akan tersangkut kepadanya. Walaupun Ajamila adalah seorang Brahmana yang dilatih dengan tegas namun dia mula terikat dengan deria apabila dia melihat lelaki dan wanita itu terlibat dalam kegiatan nafsu berahi.
Berikutannya, dia mengambil pelacur itu untuk menjadi pembantu rumahnya. Akhirnya dia mula lupa diri dan meninggalkan keluarganya, isteri serta anak-anak pergi kepada pelacur itu. Disebabkan hubungan berahinya dengan pelacur itu, dia telah kehilangan semua ciri-ciri kebaikan dalam dirinya dan keturunannya. Dia menjadi seorang penyamun, seorang penipu, pemabuk dan juga pembunuh. Dia terlupa langsung bahawa dia itu adalah seorang Brahmana dan dilatih hidup sebagai Brahmana. Hidupnya hancur terus!
Ajamila jatuh dari kedudukan Brahmana dan dia melahirkan ramai anak haram bersama dengan pelacur. Sehingga hampir ajalnya ketika berusia 80 tahun, dia masih lagi berhubungan berahi dan membiakkan anak haram. Semasa ajal menjelma, dia mula memanggil anak manjanya bernama Narayana. Narayana merupakan nama lain bagi dewa Wisnu atau Begawan Kresna. Tatkala itu, Yamaduta menjelma di biliknya. Mereka mengikat roh Ajamila dan menyediakannya untuk diadili oleh Yamaraja. Ketika itu juga, disebabkan dia memanggil nama Narayana, maka muncul Wisnuduta di situ.
Para Yamaduta berasa terkejut lalu mempersoal, "Kenapa tokoh-tokoh gemerlapan dan indah ini muncul di sini memeriksa tindakan kita? Tugas kita ini memang membawa pendosa ke Yamaraja supaya dihukum. Kemudian mereka akan diberikan tubuh kasar semula di kehidupan mendatang supaya mereka merasai kesan perbuatan dosa mereka". Lalu tercetuslah perbincangan antara para Yamaduta dengan Wisnuduta. Penyelesaiannya, walaupun Ajamila itu pendosa sepanjang kehidupannya lalu melepaskan kehidupan berbaktinya kepada agama, kepada keluarga dan membiakkan anak-anak haram, dosanya itu disucikan pada saat dia menyebut nama dewa Wisnu.
Jika sekali sahaja sebutan empat suku kata "Na-ra-ya-na" boleh mengubah kehidupan selepas kematian, betapa lagi besarnya jika seseorang itu dapat menjalani kehidupan aryadharma dengan jayanya sambil mengingati Nya? Hal ini lah yang ditonjolkan dalam cetera Ajamila. Pada saat dia meninggalkan segalanya yang mengikatnya pada keduniaan itu, dia pergi lah ke Benares, lalu menjalani tapa semadhi dan pada kalanya itu sampai ke Waikuntha.
Wajar diperhatikan bahawa, pendosa itu diberikan peluang membetulkan dirinya dan oleh itu dia boleh hidup dengan kehidupan aryadharma sebelum mencapai keselamatan. Bukanlah pendosa itu mendapat anugerah kerana menyebut nama-Nya ketika ajalnya sebaliknya karma baik sebelumnya itu lah yang membantunya mengingati semula siapa dirinya dan membawanya kembali ke kedudukan sebelumnya. Namun, perlulah seseorang berusaha dahulu menjalankan karma yang baik sebelum menerima keselamatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan