Jumaat, 5 April 2013

Gua Ellora: Biara Buddha


Dalam bahasa Marathi, kita menyebutnya sebagai gua Werul. Ia merupakan tapak carigali sejarah yang letaknya 29 km ke Barat Laut bandar Aurangabad di negeri Maharstra di Republik India. Ia terbina ketika pemerintahan wangsa Rastrakuta. Tapak sejarah ini merupakan antara tapak warisan dunia. Ia memaparkan senibina potongan batu orang Hindu. Nama asal kepada kompleks-kompleks keagamaan Hindu ini adalah Elapura. Mungkin disebabkan penduduk tempatan malas menyebut nama panjang berjelanya maka namanya yang enak di telinga menjadi Ellora sahaja.  

Untuk pengetahuan tuan-tuan pembaca budiman, gua ini sebenarnya terbahagi kepada 34 gua. Ia digali keluar dari muka mencancang di bukit Charanandri. Ada koil-koil orang Hindu, pengikut ajaran Buddha, dan pengikut agama Jina serta biara dan matham yang terbina sekitar abad ke-5 M sampai ke-10 M. Sebanyak 12 gua merupakan kompleks keagamaan pengikut Buddha iaitu gua pertama sampai ke-12, gua ke-13 sampai ke-29 merupakan kompleks keagamaan orang Hindu yang umum, dan gua ke-30 sampai ke-34 pula kompleks keagamaan pengikut Jina Mahawira. Hal ini mencerminkan keharmonian beragama kerana penduduk mengamalkan ajaran agama masing-masing dalam satu kawasan yang sama. Bukit Chandanandri ini diwartakan sebagai kawasan dilindungi oleh Kaji Selidik Carigali Purba India.

Gua Keagamaan Buddha

Gua-gua ini dipahat semasa abad ke-5 sampai ke-7 M. Mulanya, ramai orang yang ingat bahawa gua-gua keagamaan Buddha ini merupakan binaan-binaan awal yang tercetus semasa abad ke-5 hingga ke-8 M, dengan gua pertama sampai kelima dalam fasa pertama, dan gua ke-6 sampai ke-12 tercetus dalam fasa keduanya sekitar abad ke-7 sampai ke-8 M. Kini ramai sejarawan moden mendapat gambaran jelas pula bahaawa setengah gua-gua Hindu iaitu gua ke-27, ke-29, ke-21, ke-28, ke-19, ke-26, ke-20, ke-17, dan ke-14 sebenarnya dibina lebih awal daripada gua-gua keagamaan Buddha di situ.

Gua Buddha terawal adalah gua ke-6, diikuti ke-5, ke-2, ke-3, dan ke-5 di bagian sayap kanan. Kemudian gua ke-4, ke-8, ke-10, dan ke-9. Gua ke-11 dan ke-12 merupakan yang terakhir dipahat dalam bahagian penganut Buddha. Semuanya dibina antara tahun 630 M sampai tahun 700 M.

Semua binaan ini kebanyakannya merupakan binaan biara. Besar-besar dan banyak belahan dipahat dalam muka bukit, termasuklah ruang pertemuan, kuti, dapur dan bilik-bilik lain. Sesetengah biara dalam gua ini mempunyai pawitrastana yang menempatkan pahatan rupa Gautama Buddha, Bodhisatwa dan orang suci lain. Dalam kebanyakan gua, pengarca cuba menjadikan batu-batan gua kelihatan seperti kayu-kayan. Gua ke-10 adalah gua yang terkenal sekali. Ia merupakan sebuah dewan chetiya atau chandrasala. Dikenali juga sebagai gua Wiswakarma atau Gua Tukang Kayu. Di langit atas gua ini terdapat pahatan seolah-olah garisan-garisan kayu. Di tengah gua ini ada rupa Buddha dalam asana duduk berceramah sepanjang 15 kaki. Gua pertama sampai ke-9 adalah biara-biara. Gua ke-11 dan ke-12 mempunyai tiga bahagian setiap satunya.  

Gua Pertama

Gua ini merupakan sebuah biara dengan lapan kuti, empat di dinding belakang dan di dinding kanan. Ia juga mempunyai beranda terjulur di depan dengan satu lai kuti. Mungkin ia dipahat sebagai tempat simpanan bekalan makanan untuk biara-biara lain.  

Gua Wiswakarma

Gua ini adalah gua ke-10 yang satu-satunya menjadi griha chetiya antara semua kumpulan gua. Orang tempatan menyebutnya sebagai Wiswakarma atau pun Sutar ka Jhopda bermaksud Gubuk Tukang Kayu. Ia mencontohi rekabentuk binaan gua ke-19 dan ke-26 dari kawasan Ajanta. Menurut kepada kesenian rekabentuknya, didapati bahawa ia mungkin sekali terbina pada tahun 700 M. Chetiya ini pernah mempunyai dinding paparan tinggi yang sudah pun hancur hari ini. Bahagian laman depannya dipotong dari sebuah batu, orang boleh masuk ke dalamnya dengan tangga gantung. 

Di kedua-dua bahagian ada juga beranda bertiang dengan bilik-bilik di belakang dinding. Mungkin pemahat mahu membuat pawitrastana tambahan tetapi tidak sempat disempurnakan. Beranda bertiang dari chetiya mempunyai pawitrastana kecil di kedua-dua penghujungnya dan satu kuti tunggal dalam penghujung akhir dinding belakang. Liku sepanjangnya pula ada pallawa ghata.

Dewan utama merupakan sebuah maherabadra yang dirancang dan dibahagikan kepada pusat dan ruangan tingkap oleh 28 stambha astakona dengan tiang tinggi berkurung. Di penghujung maherabadra di dewan chetiya pula ada stupa di mukanya dengan ketinggian 3.30 m. Di stupa itu, didudukkan pula pahatan rupa Sang Buddha dalam kedudukan wiyakhiyana mudra atau kedudukan mengajar ajaran. Sebuah pahatan pokok Bodhi yang besar pun ada di belakangnya. Dewan itu mempunyai bumbung berkubah yang rangka rusuknya itu dipahat seakan-akan diperbuat dari kayu.         

Tiada ulasan:

Catat Ulasan