Jarang kita ketahui tentang Mranma atau Myanmar. Yang diketahui oleh kita bahawa Myanmar ini merupakan satu kesatuan negara-negara bangsa yang pernah dijajah atau dilindungi oleh empayar British. Suatu ketikanya ia pernah diletakkan oleh British dalam pemantauan pentadbiran di India. Tahukah anda bahawa mereka ini mempunyai perkaitan yang agak rapat juga dengan orang-orang di Semenanjung Tanah Melayu selain daripada orang-orang di sebelah Kemboja dan juga Thailand?
Bukti carigali awal menunjukkan bahawa wujud pelbagai jenis kebudayaan di Kencana Bumi sebelah Myanmar ini dan ia sudah bermula sejak satawarsa ke-11 SM. Kebanyakan kawasan kering di tengah didapati pernah dihuni oleh manusia dan ia bertaburan sekitar kawasan lembangan Irrawaddy. Kebudayaan samaya batu di Myanmar dikatakan selari dengan samaya Paleolitik rendahan dan tengahan di Eropah sana. Samaya Neolitik atau Samaya Batu Baru didapatilah bahawa tumbuhan dan binatang dimasak dan disediakan menggunakan peralatan batu yang diasah baik. Buktinya ada dalam gua-gua di Taung Gyi di sebelah hujung lembangan Shan dari satawarsa 10000 sampai 6000 SM.
Kira-kira dalam satawarsa 1500 SM, orang ramai di rantau itu mula berubah pula kepada peralatan tembaga dan seterusnya ke gangsa. Mereka menanam padi, membela ayam dan juga sungkur atau babi. Manusia di sini merupakan antara jenis manusia pertama dalam loka yang berbuat begini. Menjelang satawarsa 500 SM, muncul pula penempatan karya besi di sebelah selatan Mandalay hari ini. Keranda bertatahkan gangsa dan juga tapak pengebumian dipenuhi dengan tajau tempayan turut ditemui oleh para pencarigali sejarah. Bukti carigali di lembah Samon di selatan Mandalay mencadangkan bahawa penempatan yang menanam padi sudah menjalankan perdagangan dengan benua China antara satawarsa ke-5 sampai ke-2 SM.
Pra-Sejarah
Diperkirakan bahawa Orang Semang atau Homo Erectus yang terbit dari rantau Afrika sudah pun berpenempatan di sekitar Myanmar moden ini sejak 750,000 tahun SM. Mereka melampaui kedatangan Manusia atau Homo Sapiens yang kemudiannya turut terbit di rantau Afrika sana. Setakat ini masih belum ditemui lagi bukti penempatan Homo Sapiens sebelum milenia ke-11. Pra-perpindahan yang terjadi di rantau ini terjadi antara 11,000 SM sampai 4000 SM sebelum perpindahan besar-besaran terjadi. Yugam ini ditandai dengan kebudayaan peralatan batu yang kemudian muncul maju sebagai kebudayaan besi dan gangsa.
Rupakara upacara dalam gua kemudian terpakai jua dalam gua-gua penganut ajaran Buddha. Dipercayai tradisi ini sebenarnya berakar umbi dari tamadun awal dari yugam ini. Kesannya ada saja di merata-rata pada hari ini. Bukan saja di Myanmar sana, malahan sebelah Thailand dan di sebelah Malaysia pun ada gua yang dijadikan tapak pemujaan dan semadi.
Pembahagian Samaya dalam Tamadun Rantau Mranma
Mesolitik
Banyak jenis batu yang pelbagai ukuran dan diasah ditemui di sekitar negara Shan sebelah timur Kesatuan Myanmar hari ini. Peralatan dari batu kerikil, termasuklah peralatan cincang ditemui dalam teres-teres masukan era Plestocene di lembangan Irrawaddy di Myanmar Atas. Tapak-tapak ini dipanggil sebagai Anyathiyan dan kebudayaan di sini dipanggil sebagai kebudayaan Anyathiyan. Kebudayaan Anyathiyan awal dicirikan dengan penggunaan peralatan yang berhulukan kayu sisa fosil dan juga bahan sisa gunung berapi. Tabiat membela binatang ternakan dan juga batu berasah tak ditemui lagi sehinggalah penemuan gua-gua Padah Lin di selatan negara Shan yang menandakan permulaan kebudayaan Neolitik.
Neolitik
Tiga gua bertempat dekat dengan Taung Gyi di hujung lembah Shan menggambarkan permulaan samaya Neolitik apabila pertanian, ternakan binatang untuk makanan dan sebagainya serta peralatan batu berasah ditemui di sini. Semuanya dikesan dengan radiokarbon dari samaya 11,000 sampai 6,000 SM. Yang menonjol ditemui di gua Padah Lin. Sebanyak 1600 biji batu dan juga lukisan pada dinding gua ditemui. Lukisan ini setinggi 10-12 kaki dari lantai gua memberi gambaran dua tangan manusia warna kuning, seekor ikan, lembu, kerbau hutan, seekor pelanduk dan mungkin juga gajah India.
Lukisan pada gua menunjukkan bahawa gua tersebut mungkin terlibat dalam upacara agama. Jika benar, maka gua-gua ini mungkin merupakan antara tapak pemujaan terawal di sebelah Myanmar sana. Penggunaan gua untuk tujuan keagamaan berterusan sampai berkurun-kurun lamanya. Penganut ajaran Buddha Burma contohnya menggunakan gua sebagai tempat pemujaan dan amalan ini mungkin terbit sejak samaya sebelum kedatangan ajaran Buddha lagi.
Samaya Gangsa
Penemuan kapak-kapak gangsa di Nyaung Gan dekat dengan perbandaran Shwe Bo menunjukkan bahawa samaya gangsa di Myanmar bermula sekitar 1500 SM selari dengan tahap-tahap awal penghasilan barangan gangsa di rantau lain dalam Asia Tenggara. Samaya ini berjarak dari 1500-1000 SM. Ketika ini pengetahuan melebur dan juga mengukir gangsa serta bijih besi nampaknya merebak meluas sejak terjadinya pergerakan manusia keluar dan masuk pada samaya Neolitik.
Tapak lain pula di kawasan Taung Thaman dekat sungai Irrawaddy dalam tembok-tembok ibu negara satawarsa ke-18 M iaitu Sri Amarapuram. Ia pernah dihuni sejak samaya Neolitik lewat menerusi samaya besi, sekitar pertengahan milenia SM yang pertama. Perdagangan kecil-kecilan, tukar barangan dan juga animisme (tantrayana) pun bermula pada samaya ini.
Samaya Besi
Samaya kebudayaan besi dan gangsa sebenarnya bertindan di rantau ini. Yugam yang ini menyaksikan pertumbuhan pertanian dan juga carigali sumber-sumber tembaga di bukit-bukit dalam negara Shan. Turut dicarigali juga adalah batu-batu separa berharga dan bahan-bahan bijih besi di lembangan Gunung Popah. Garam pula dicari dekat Ha Lin.
Kemewahan ini tampak ketara sekali pada barangan kuburan yang dibeli dari kerajaan-kerajaan kecil dalam benua China. Ciri menonjol orang-orang pada yugam yang ini adalah, mereka mengebumikan orang mati dalam tajau-tajau berhias serta bersama dengan barangan kegunaan rumah seperti mangkuk serta camca. Aku lihat tentang tamadun awal di Semenanjung Tanah Melayu pun begitu di sebelah Borneo pun begitu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan