Puri Ratha Yatram ini merupakan perayaan kehinduan yang dirayakan pada 10 Julai 2013 di kota Puri. Ia dirayakan bukan sahaja di negara India tetapi juga di seluruh dunia yang terdapat penganut agama Hindu. Ratha Yatram ini merupakan hari yang mana penganut agama Hindu dilarang memasuki pura bagi darsana dewata. Ia merupakan perayaan yang menjadi lambang sama rata dan jalinan dalam masyarakat seluruhnya.
Dalam ceritera perayaan ini, Betara Jagannatha, kakandanya Betara Balabhadra dan adinda mereka Subhadra Dewi dipujalah dalam kawasan pura dan murti mereka diarak dengan rata di jalan raya di Puri di Kalinga. Dengan cara ini, orang ramai dalam sekelian bangsa berpeluanglah melihat murti dewata sekelian. Tridewata ini memulakan perjalanan tahunan ke Pura Gundicha yang letaknya 2 km dari Pura Sri Jagannatha. Pura Sri Jagannath merupakan salah satu daripada empat tapak suci di negara India yang kita sebut sebagai Catur Dhama bagi Dharma Yatram sekali seumur hidup. Lagi tiga lagi adalah Sri Rameswaram di Selatan, Dwarika di Barat dan Badrinatha di Utara.
Perayaan bermula dengan upacara bacaan mantera di pagi hari dan rata akan ditarik di jalanan di Puri pada rembang tengah hari. Tridewata dibawa dengan rata-rata yang berbeda. Rata Betara Jagannatha dinamakan Nandi Ghosa dengan 18 roda dan setinggi 45.6 kaki, rata Betara Balabhadra bernama Tala Dhwaja dengan 16 roda berketinggian 45 kaki dan rata bagi Subhadra Dewi pula bernama Dewa Dalana dengan 14 roda berketinggian 44.6 kaki. Setiap tahun, akan ada sanggar-sanggar diperbuat daripada kayu yang diletakkan di atas rata dan diperbuat baru setiap tahun.
Murti dewata bertiga ini juga diperbuat daripada kayu dan akan ditukar dengan yang baru setiap 12 windu pusingan tahun sambil diiringi upacara keagamaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan