Sabtu, 3 Ogos 2013

Dresti Buddha: Klesa dalam Sastera Mahayana

 
Dalam sastera Mahayana dan sastera bahasa Sanskerta aliran Srawaka pun ada juga tersebut mengenai tiga racun. 

Tiga Racun

Tiga racun ini terdiri daripada kejahilan, keterikatan pada idaman hati dan juga kebencian yang dirujuk lah dalam sastera aliran Mahayana yang berbahasa Sanskerta sebagai triviṣa. Dalam aliran Therawada tadi disebut sebagai akuśala mūla. Tiga jenis racun atau akar tindakan negatif ini dianggap sebagai terbitan bagi segala macam racun yang lain.

Lima Racun

Dalam tradisi aliran Mahayana yang terkenal di rantau bawah pengaruh kemaharajaan Sriwijaya yang terkenal, lima racun utama itu dirujuk sebagai pañca kleśaviṣa. Lima racun ini adalah tambahan dua lagi racun selepas tiga racun yang diterangkan ini. Tambahan racun itu adalah sikap bongkak dan suka dengki. Senarainya:

1. Moha Awidya

Jerangkap kejahilan diakibatkan dari kurangnya kemampuan untuk membuat pertimbangan adil pada pandangan. Tidak memahami cara bagi segala perkara di sekeliling.  

2. Raga

Terikat atau keinginan terhadap idaman hati kita. Ia datang dengan nafsu dan juga minat mendalam terhadap sesuatu perkara. Makanya dalam ajaran Buddha diajarkan tentang sunyata iaitu menumpukan perhatian terhadap "perkara yang tiada berupa" pada hati dan pemikiran kita bagi mencapai tahap jñana

3. Dwesha

Rasa benci dan meluat kerana kita tak suka sesuatu atau benci perkara yang menghalang kita mendapatkan keinginan atau idaman kita. Kesan kepada hal ini, maka timbulnya benci, dendam dan kemarahan.

4. Mana

Keangkuhan ini bererti kita mempunyai pendapat persendirian yang melampau dan juga sikap yang tidak hormat terhadap makhluk lain. Kesannya, sikap membesar diri dan juga sikap hairan diri sendiri pun timbul. Terpamerlah ia dalam perbuatan seperti ucapan dan juga tingkah laku kita. 

5. Irshya

Rasa dengki atau cemburu berlaku apabila kita tak boleh mendapat pencapaian atau rasa tak senang yang timbul selepas kita melihat orang lain lebih bertuah daripada kita.

Abhidharma Kośa: Enam Pencetus Klesa

Dapat kita kenalpasti ada enam mūlakleśa atau pencetus racun:
  • Raga atau keterikatan
  • Pratigha iaitu kemarahan
  • Awidya dari kejahilan
  • Mana atau membesar diri dan bongkak
  • Wicikitsa kerana keraguan
  • Dresti iaitu pandangan yang salah dan terlampau taksub pada pendapat yang diyakini diri sendiri
Dalam konteks aliran Yogacara, MulleR (2004: ms. 207) menyebut bahawa enam racun yang mencemari jiwa ini timbul disebabkan oleh "... menjelmanya "diri yang dikhayalkan" atau dalam bahasa Sanskertanya kita sebut sebagai satkaya dresti.

Dua Kekaburan

Sastera Mahayana selalunya mencirikan juga hitungan "dua kekaburan" iaitu:
  • Kleśawaraṇa atau kekaburan disebabkan oleh emosi yang bertelingkahan.
  • Jñeyavaraṇa atau kekaburan melibatkan perkara yang boleh diketahui.
Mengatasi Klesa

Semua aliran ajaran Buddha pun mengajarkan bahawa menerusi samatha atau pun tapa ketenangan sahaja maka klesa ini dapat diamankan. Walaupun ia tak dapat dipadamkan pun, tapi menerusi Wipassana atau renungan diri maka ciri sebenar bagi klesa dan juga ciri keadaan minda yang dicemari itu dapat kita kenalpasti sendiri. Apabila ciri-ciri kekosongan Jiwa dan Minda itu dipahami sepenuhnya, maka tak ada lah lagi pencetus kepada perasaan yang mengganggu yang mengikat jiwa dan tubuh kita. Perasaan mengganggu itu sendirinya akan longlai cengkamannya bagi mengganggu jiwa serta menghalang tumpuan minda kita kepada pengembangan jiwa kita ke tahap tertinggi.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan