Ahad, 16 April 2017

Jalan Hidup Siddha


Apakah Siddha? Siddha ini adalah perkataan bahasa Sanskrit bermaksud seorang ahli hikmah. Mereka ini selalunya digambarkan sebagai orang yang dicerahi jiwanya. Resi Agastiyar contohnya adalah seorang ahli hikmah. Yang lain-lain seperti Ramalinga Swamigal, Siddhartha Gautama, Guru Nanak, Thiruvalluvar, Confucius dan lain-lain semuanya adalah ahli hikmah. Mereka ini berkongsi pengalaman jiwa dan rohani mereka dengan masyarakat umum. Mereka wujud dalam rupa rohani dan juga rupa jasad.

Sesetengah mereka menjauhi orang ramai kerana mereka sensitif dengan persekitaran mereka. Keadaan sensitif mereka ini menyebabkan mereka mudah berasa terganggu. Oleh itu, mereka cuma bergaul dengan sesetengah orang yang terpilih sahaja dan mereka lebih suka berseorangan. Para Siddha terganggu dengan orang yang tidak bertanggungjawab. Manusia hari ini menjadi mementingkan diri, bongkak, jahil, bersikap berat sebelah serta cenderung mencederakan jiwa serta makhluk lain. Keikhlasan akan membawa keikhlasan. Karma baik dan buruk itu terkandung dalam hukum alam. Oleh itu, dekatilah mereka dengan ikhlas nescaya mereka akan memberi tindakbalas baik.

Jalan Siddha ini bukanlah sejenis agama anutan sebaliknya ia adalah sejenis jalan kehidupan.  Siddha menumpukan perhatian kepada kehidupan yang baik dan berkebajikan pada semua makhluk. Ia mengandungi panduan kepada barangsiapa yang ingin hidup dengan kehidupan yang baik, harmoni, tenang fikirannya, menerima pencerahan jiwa selanjutnya mencapai keabadian jiwa.

Faedah menjalani kehidupan mengikut jalan Siddha ini adalah:
  • pembersihan karma
  • membuang segala halangan negatif
  • kehidupan yang tenang, sentiasa sedar jiwanya
  • kehidupan yang mulia
  • mencapai pencerahan jiwa dan batin
Mereka yang tertanya-tanya mengenai "siapakah aku?" atau para pencari batin yang ingin mendapatkan jawapan dari persoalan hidup yang penting bolehlah mengikuti jalan hidup Siddha ini. Hidup Siddha tidak memerlukan amalan pengorbanan seperti yang terdapat dalam pemujaan di pura sebaliknya cuma perlu mengamalkan renungan jiwa, samadhi dan kehidupan yang baik. Jalan hidup ini tidak memerlukan seseorang itu meninggalkan kehidupan duniawi. Resi Agasthiyar dan rakan-rakan beliau sebagai contoh tidak percaya dengan jalan meninggalkan duniawi. Beliau berpendapat bahawa keluarga itu sama pentingnya dengan perkembangan jiwa seseorang. Seorang yang mengikuti amalan hidup Siddha mesti memahami ajaran agama lain serta cara hidup lain supaya kesukaan, penerimaan dan harmoni dapat terus wujud di dunia ini.

Rujuk:
Gambar: Pemerupaan Sang Yamāntaka, Petir Pemanah Ketakutan