Memaparkan catatan dengan label sri begawan kresna. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sri begawan kresna. Papar semua catatan

Selasa, 15 April 2014

Sant Dnyaneswar: Karyanya Dnyaswari


Dari bukti tertulis dalam karya berjudul Dnyaneswari (Bhavartha Dipika), jelas sekali bahawa ulasan mengenai Bhagavadgitam ini disempurnakan pada tahun Saka 1212. Pustaka ini dihasilkan oleh Sant Dnyaneswar yang ketika itu cuma berusia 16 tahun. Pasti perkara ini menimbulkan rasa aneh dalam kalangan  pembaca budiman mengenai bagaimana seorang remaja boleh membincangkan drishti ketika itu, teori-teori kehidupan, adat susila dan vidya orang-orang ketika itu menerusi pustaka ini. Namun, perkara begini sebenarnya juga terjadi kepada Sri Begawan Kresna kita. Baginda ditonjolkan menerusi Bhagavadgitam sebagai seorang yang vicaksana, berjati mulia dengan serba pencapaian yang jelas sekali menunjukkan bahawa baginda itu sedari kecilnya cerdas lagi pintar.

Kalau kita, orang Hindu ini yang percaya dengan jelmaan semula jiva, pastilah menyebut perkara pengetahuan Dnyaneswar itu datang bersama dari kelahiran lampaunya. Walaupun karya budak berhati suci ini merupakan ulasan untuk Bhagavadgitam, namun ia turut menampilkan drishti Hindu secara mandiri berkenaan kehidupan. Bhagavadgitam itu cuma dasar saja kerana semua orang Hindu (termasuk pengikut ajaran Buddha yang berketurunan Hindu) menghormatinya. Pada benarnya, ulasan berkenaan 700 lebih seloka dari Bhagavadgitam itu bertambah menjadi 8500 ovi (seloka Marathi) semuanya menunjukkan yang pustaka itu berdiri mandiri.

Jika contoh tertentu itu dipetik, mungkin kita boleh menggariskan bahawa dalam kandam keenam Bhagavadgitam itu, cuma ada 47 seloka saja dalamnya dengan selebihnya itu 497 ovi bahasa Marathi. Begitu juga, terbitan pikiran Dnyaneswar sendiri sebanyak 1124 seloka dalam kandam ke-10. Banyak lagi contoh tapi yang itu jika berkesempatan, pasti kita cuba paparkan untuk tuan-tuan kita.

Dnyaneswari bukan saja penting dari sudut drishti, tetapi juga merupakan contoh yang baik bagi kekawin yang penuh dengan imaginasi. Penggunaan bentuk bahasanya pun menarik. Perkataan dan bentuk sabdom (ayat) yang dipergunanya sungguh sempurna sehingga tidak sesiapa pun mampu mengarang sebegitu. Bentuk pengucapan seperti perumpamaan dan perlambangan seringkali ditemui dalam karya beliau ini. Semua bentuk pengucapan ini sentiasa saja berada di tempat sepatutnya selain menunjukkan pengetahuan remaja ini bukan calang-calangnya. Beliau menyampaikan ucapan dengan bahasa yang menawan hati pendengar dan penutur bahasa Marathi di tahap kesusasteraan pasti akan terpana demi manisnya bunyi bahasanya.

Dnyaneswar juga nampaknya mahir dalam tapa semadhi. Beliau sering bercakap mengenai yoga siddhanta (teori yoga) seolahnya kedengaran seperti perkara diucapkannya dialaminya sendiri, bukan dari cakap-cakap sekeliling saja. Pada semadhi penghabisannya, sebelum menghembuskan nyawa penghabisannya, beliau menunjukkan kemahiran amalan yoga beliau. 

Beliau tidak mengabaikan sudut kebaktian dalam pemujaan beliau. Beliau melatih diri menerusi latihan bakti pada murthi atau vikraham. Beliau mementingkan keadilan dan menjalankannya di merata saja yang beliau mampu. Beliau turut meminta supaya keadilan sentiasa diwujudkan semoga semua makhluk suka bahagia.

Dari sudut pandangan Rasa, beliau menunjukkan menerusi kandam ke-11, apabila Begawan Kresna menunjukkan kepada Sang Arjuna seluruh jagat raya ini, kelihatan juga perkembangan Rasa di peringkat-peringkat berlainan seperti, Rowdra, Bhayanaka, Shanta dan seterusnya. Perkara ini membuktikan bahawa beliau mengkaji ulasan-ulasan sastra ketika itu.

Karya Dasar Kelompok Warkari

Dnyaneswari ini diperguna sebagai bahan pendidikan asas untuk pergerakan Vaishnava, iaitu pergerakan Warkari. Setiap mereka berbakti yoga kepada Tuhan menerusi begawan Vithoba. Mereka sering merujuk kepada ovi-ovi dari karya ini semasa pembelajaran mereka. Pelajar kesusasteraan bahasa Marathi yang bukan anggota pergerakan kebaktian ini pun turut menyelak-nyelak karya ini kerana kepentingannya dalam perkembangan sastra tempatan. Pelajar kesusasteraan Marathi belum lengkap pengajiannya itu jika belum mengaji Dnyaneswari.

Orang-orang alim Hindu Maratha seperti Namdeo, Eka Natha, Tukaram, dan Ramadas selalu menyebut Dnyaneswari dengan penuh hormat selain berbangga mengakui sebagai pengikut Dnyaneswar. Penulis kawi bahasa Marathi pun sering menulis bahan kekawin agama dengan menceduk umpama, terbitan pikiran dan petikan karya terkenal itu. Mereka pun berbangga mengakui menceduk dan mendapat buah pikiran dari membaca Dnyaneswari.

Selain Bhagavadgitam yang semestinya menjadi bahan inspirasi utama penulisan dan ulasan bagi kavi-kavi di Maharashtra, drishti Dnyaneswari pun turut menjadi bahan penulisan dan penjelasan. Hampir 700 tahun sudah, penulisan Dnyaneswari ini merentangi masa. Setengah perkataannya sudah tidak dimengertikan lagi orang masa kini, maka karya ini semestinya perlu dibaca dengan ulasan dan panduan pula supaya mudah dicerna kita semua.

Rabu, 6 November 2013

Brahmana Siam dan Triwambhawe

Swasti Srih!

 

Pernahkah anda mendengar perayaan Trimbawe ini? Trimbawe atau Tribhawe ini dirayakan oleh orang Siam sekelian terutamanya di ibu kota. Adakah nama ini kelihatan seperti biasa di pendengaran rakan-rakan orang Hindu berketurunan Selatan India? Ia memang terbitan dari bahasa Tamil pun.

Perayaan ini dirayakan selama 15 hari nya antara 14 Disember sampai 12 Januari wulan Margazhi oleh kelompok pedanda Brahmana. Mereka akan membaca sastera suci serta seloka memuji para dewata. Perayaan ini disebut juga sebagai Thiruppawai dan Thiruwembawai

Kotaraya Bangkok merupakan satu-satunya tempat di seluruh loka yang membaca Thiruppawai dan Thiruwempawai semasa wulan Margazhi (Margasira). Bacaan seloka suci dibaca pendanda Brahmana Siam. Mereka ini adalah anak cucu kepada Brahmana Tamil dari Sri Rameswaram, Sri Williputtur dan lain-lain bahagian di India Selatan yang dibawa masuk ke rantau Siam sejak kurun ke-2 M lagi. Bagi memahami kehadiran bangsa Brahmana di Thailand hari ini, perlu lah diselidiki latarbelakang rantau lama di sempadan negara itu.

Setengah orang mungkin mengetahui bahawa rantau yang membentuk Thailand, Kemboja dan Myanmar hari ini sebahagiannya diperintah oleh empayar Angkor sampai kurun ke-13 M. Sejarawan percaya bahawa raja-raja yang dilantik dari Pallawawamsa di Kemboja juga berkaitan dengan yang di India sana. Mereka memerintah orang Khemir di sebelah Indochina.

Samaya Angkor

Raja orang Khemir dari empayar Angkor, merupakan penganut agama Hindu yang mengamalkan ajaran Waisnawa dan Saiwa. Mereka membina Angkor Wat dengan baginda maharaja Suryawarman merupakan penganut ajaran Waisnawa maka dibina Pura Betara Wisnu di kota baginda di Kemboja kini. Raja Kemboja ini memakai konsep Dewaraja dalam pemerintahan dengan raja dipandang sebagai jelmaan Betara Wisnu atau Betara Siwa. Murti dewata dipasak juga bagi mewakili diri mereka sebagai maharaja agung tiada terlawan oleh sahaya rakyat.

Brahmana masuk ke rantau Indochina bersama dengan raja-raja Kesatria sebagai penasihat keagamaan dan adat-istiadat walaupun ada raja-raja yang menganut ajaran Buddha. Raja Pallawawamsa Kemboja memakai khidmat Brahmana dalam istana bagi pengamalan pemerintahan seperti di Jambudwipam. Brahmana akan menjalankan upacara Warathiya Soma bagi menaikkan raja-raja asing yang dilantik menjadi raja ke kedudukan Kesatriya. Raja Kesatria kadangkala juga mengahwini keluarga Brahmana dan bila raja tak ada keturunan, maka anak lelaki dari keluarga Brahmana diraja yang akan dibela menjadi raja baru. Brahmana makanya bukan sahaja menjadi penasihat istana, menteri dan pedanda purohitam bagi perlayanan keluarga diraja sebaliknya juga menjadi penjalan upacara dan pengamalan serta menjadi pemangku raja-raja.

Empayar Angkor selepas 1300 tahun kegemilangannya diperintah raja-raja Hindu jatuh ke tangan orang Siam sekitar 1282 apabila maharaja Sri Jayawarman dikalahkan oleh orang Thai yang membentuk kerajaan Thai pertama di Indochina, iaitu kerajaan Sukhothai. Sepatutnya, pencetusan kerajaan yang melindungi ajaran Buddha ini menghabisi amalan Brahmana yang diamalkan orang Kemboja. Sebaliknya tidak pula! Ia masih hidup... Ia tak mati langsung dengan kejatuhan empayar Angkor.

Sebab

Orang Siam, walaupun penganut ajaran Buddha namun meneruskan juga amalan Dewaraja bagi dua sebab. Disebabkan mereka menjajah Tanah Kemboja, maka mereka tak mahu merubah amalan tanah tersebut dan kemudian dipulaukan orang tempatan. Keduanya, Dewaraja ini bersesuaian dengan niat mereka untuk mendapatkan kekuasaan dalam masa yang segera dan diterima orang ramai. Raja-raja empayar Siam dalam kerajaan terkemudian iaitu kerajaan Sri Ayutthaya berbeda dengan kerajaan Sukhothai. Mereka merupakan bangsa campuran dengan orang tempatan di lembangan tengah Thailand kini. Amalan budaya Brahmana diterima dan pedanda Brahmana dilindungi oleh istana. Raja-raja Kesatria dianggap sebagai jelmaan dewata di samping mereka mengamalkan ajaran Buddha. Keadaan ini berterusan sampai wangsa pemerintah sekarang, wangsa Chakri.

Kini, biarkan sahaja perkara raja-raja purwa itu dulu. Kita teruskan dengan pengajian mengenai Brahmana di Thailand. Brahmana di Thailand hari ini, merupakan kelompok pedanda yang melayan upacara diraja seperti upacara pemahkotaan dan upacara upanayanam keluarga diraja. Mereka juga menjalankan upacara wasthu sastram, upacara membajak, upacara upanayanam penduduk biasa yang mengikut amalan Brahmana dan juga meneruskan amalan upacara Brahmana lampau.

Antara upacara Brahmana yang dijalankan sampai hari ini adalah bacaan Thiruppawai atau dipanggil sebagai Tribhawe atau Triwambhawe. Mungkin ramai dalam kalangan tuan-tuan dan puan-puan belum melawat Dewastanam yang menempatkan murti Sri Wiganeswara, Betara Siwa dan Betara Wisnu di Bangkok. Ia bukan berupa pura atau mandel dewa yang dijaga orang Hindu biasa atau seperti pura Mariamman. Ia merupakan jenis asrama yang dipanggil sebagai Bott Brahmana bedepan dengan Dewa Mandel, sebelah Buai Gergasi. Menariknya, Buai Gergasi itu pernah menjadi tapak upacara Wunjalaattam bagi Betara Siwa sebelum dihentikan disebabkan oleh kecelakaan terjadi di situ. Bacaan Thiruppawai dijalankan di Bott Brahmana selama 15 hari. Bangsa Brahmana seluruh Thailand akan berpusu-pusu ke asrama tersebut dan berdiam di situ selama 15 hari.

Upacara Triwambhawe

Brahmana yang datang dari benua India berkahwin dengan wanita-wanita tempatan dan selepas beberapa lama, rupa anak cucu mereka sudah tak berupa seperti orang India lagi. Mereka bercakap dalam bahasa Siam dan nampak berbeda. Pakaian mereka putih berbeda dengan bhikkhu Buddha di situ. Mereka juga memakai benang suci poonool.

Majlis bermula di Bott Brahmana dengan cara yang sama seperti di pura Hindu lain dengan Thiraparadhanai, tiupan sangkakala dan neiwedhiyam. Penghuung puja baru dibacakan Thiruppawai macam di video yang disertakan. Thiruppawai ditulis dengan aksara Grantha dengan aksara Siam yang disertakan sekali. Tapi cara bacaan Brahmana Siam itu sudah tak sama dengan bacaan Brahmana Tamil kerana Brahmana Siam tak bercakap bahasa Tamil.

Guru Kanchi dengan penuh hormatnya memuji pengamalan upacara membaca Thiruppawai dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya menganuti ajaran Buddha seperti Thailand di Matham Mayawaram Daksinamurti pada 1952. Ulasan beliau, "Walaupun Tamil Nadu pun membaca Thiruppawai, tapi kita tak menjalankannya dalam bentuk perayaan seperti di sebuah negara Buddha beribu batu dari sini perbuat pun".

Atas permintaan Guru Kanchi, sekumpulan sarjana bahasa Tamil pergi ke Thailand dan belajar aksara Thiruppawai dan Thiruwempawai yang dibacakan di Bangkok serta dilaporkan bahawa aksara dipakai Brahmana Siam itu adalah aksara Grantha. Ucapan Guru Kanchi dirujuk dalam pustaka Padma Subramaniyam mengenai pengaruh tarian Bharata Natiyam dalam kesenian tarian klasik Siam.

Pasti ramai yang akan terkejut juga bahawa Brahmana Siam turut membaca Thiruwacagam semasa upacara pemahkotaan maharaja. Jika ingin melihat upacara itu, silalah melawat tempat tersebut pada petang hari nya. Upacara pemahkotaan maharaja bermula pada sekitar jam 19:00.

Sampai pengujung kurun ini pun, bacaan Thiruppawai ini merupakan perayaan kebangsaan negara Thailand bersama dengan Upacara Buaian di Buaian Gergasi. Hari ini, hanya sedikit sahaja orang Thailand yang menyaksikan upacara pemujaan dan bacaan puja yang dijalankan oleh 10 sampai 20 orang Brahmana Siam. Bilangan saksi menurun pun, namun semangat Brahmana tak pernah mati. Ia berada dalam pemandangan upacara yang dijalankan oleh kumpulan Brahmana yang kecil itu yang setia memegang adat-adat Brahmana. Adat yang memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar keagamaan dan falsafah negara ini.