Rabu, 16 Mei 2012

Ashthangika Ariya Margga


Lapan Jalan Mulia Berlapis

Ini adalah lantaran dari Ariya Chattwari Sattyani yang keempat. Iaitu cara menghapuskan derita atau dukkha. Ada lapan bahagian semuanya bermula dengan perkataan samyak atau bererti dengan betulnya atau dengan baiknya.  

Ia dibahagikan kepada latihan tertinggi yang tiga. Dalam masukan yang ini kita akan menggunakan perkataan bahasa Sanskrit bagi mewakili aliran Mahayana walaupun kita lebih cenderung ke Theravada:

Prajnya

Hikmat yang menyucikan minda pemikiran membenarkannya mencapai penglihatan kerohanian dan melihat ke dalam sifat segala mata benda. Ia termasuklah:

1. Drishti bermaksud melihat hakikat sebagai hakikat bukan sebagai sesuatu yang kelihatan di penglihatan sepintas lalu kita.  
2. Sangkalpa bererti niat untuk melepaskan, kebebasan dan tidak memberi sebarang kesan yang berbahaya.

Sila

Etika dan akhlak mulia. Menegah perbuatan yang tak semenggah dan tak sihat. Ia termasuklah:

3. Vaac bererti bercakap perkara sebenar dengan cara yang sopan-santun.
4. Karman maksudnya bertindak dengan jalan yang tidak kasar.
5. Aajivana ertinya kehidupan yang tidak menyusahkan orang tidak menyakiti sekeliling.  

Samadhi

Disiplin latehan mental dan rohani diperlukan untuk mengembangkan penguasaan minda kita sendiri. Ia dilakukan dengan pelbagai amalan berbentuk renungan dan tapa. Antaranya termasuklah dalam:

6. Vyaayaama maknanya berusaha ke arah yang lebih baik. 
7. Smartih atau kesedaran untuk melihat benda tersebut seadanya dengan kesedaran yang jelas, sedar akan hakikat kini dalam sesuatu tanpa ada sebarang keinginan atau menghindarinya.
8. Samadhi atau tapa yang betul atau memberi tumpuan dalam pertapaan. Ia dijelaskan dalam bahagian awal empat jhana.

Amalan Jalan Berlapis ini difahami dalam dua cara sama ada perkembangannya secara serentak (semua lapan jalan diamalkan serentak) atau secara langkah demi langkah melalui tindakan pengamalnya. Kemuncak kepada satu langkah akan memulakan satu lagi tahap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan