Selasa, 26 Jun 2012

Dewata Hindu: Dewa Ayyappa


Pengenalan
Dewa Ayyappan juga dipanggil sebagai Sarvatu atau Sasta merupakan salah satu dewata Hindu yang dipuja di kuil-kuil serata negara India di India Selatan. Dewa Ayyappa dipercayai merupakan penjelmaan Dharma Sasta. Dharma Sasta adalah pancaran dari Siva dan Vishnu. Dewa Vishnu menjelma menjadi rupa wanita, Mohini. Dewa Ayyappa selalu digambarkan dalam kedudukan beryoga serta memakai kalung berloceng di lehernya. Dewa Ayyappa mungkin mempunyai hubungan juga dengan Dewata Aiyanar dalam negeri Tamil.  

Bermula abad ke-20 M, wujud ramai bhakta atau pengikut dewata ini dari pelbagai jenis kumpulan agama. Hal ini menjadi semakin rancak dengan perkembangan pengangkutan dan perhubungan di negeri-negeri selatan India. Perayaan tahunan dewa Ayyappa merupakan saat di mana para bhakta yang terdiri daripada lelaki-lelaki dari selatan India berkumpul. Kuil yang terutama bagi dewa ini berada di Sabarimala di pergunungan Pathanamthitta di negeri Kerala atau negeri Malayala. Di kawasan pergunungan itu sahaja, sekurang-kurangnya lebih daripada 30 juta orang penganut membanjiri kawasan itu setiap tahun. Para penganut akan berpuasa dan berada dalam pantang di bawah pantauan seorang guru untuk beberapa minggu kemudiannya beryatra ke kuil untuk darshan dewa Ayyappa.

Tiket bas susah lah hendak didapati kerana beberapa minggu sebelum kebaktian dijalankan, orang ramai berpakaian kain dhoti berwarna-warni memenuhi pengangkutan awam untuk ke kuil berbakti kepada sang dewata. Kata nama Ayyappa merupakan kata penghormatan dalam bahasa Malayalam. Bahasa Malayalam dituturkan di negeri Kerala di India Selatan. Orang ramai akan membaca mantra Swamiye sharannam Ayyappa yang membawa maksud "Wahai Ayappa, aku mencari perlindungan dengan mu".

Asal-Usul

Dewa ini juga dikenali sebagai Hariharasuta kerana baginda merupakan anakanda kepada Hari atau dewa Vishnu dan juga anakanda kepada Hara atau dewa Siva. Nama biasa Nya adalah Manigantha kerana raja Pandalam menemui dewa Ayyappa semasa baginda masih kecil dalam sebuah hutan. Baginda melihat ada mani (permata) tergantung di leher dewa Ayyappa. Sebagai Dharma Sastha pula, setengah orang berpendapat bahawa baginda tercetus dari kesatuan antara Mohini atau jelmaan dewa Vishnu dengan dewa Siva.     
Lagenda Berkaitan dengan Dewa Ayyappa

Versi Pertama

Puteri asura, Maheshi berada dalam amarah disebabkan oleh muslihat para dewa ke atas saudaranya iaitu raja asura, Mahesasura. Disebabkan Mahesasura diberkati dengan kebal maka para dewa menghantar Durga Dewi bagi memerangi dan menghapuskannya. Jadi Maheshi mula menjalankan kebaktian yang menakutkan bagi memaksa Dewa Brahma muncul menunaikan hasratnya. 

Apabila dewa Brahma muncul, baginda menyatakan bahawa tidak mungkin baginya menunaikan hasrat Mahishi itu. Jadi Mahishi membuat rencana dan meminta balasan pahala baktinya supaya dia kebal dengan semua lelaki tetapi hanya akan lemah dengan anakanda kepada Siva dan Vishnu.   

Dewa Brahma memberi perkenan kepada Mahishi yang membolehkannya memerintah jagat raya dan kebal kecuali dengan anakanda Siva dan Vishnu. Disebabkan orang sebegitu tak wujud maka Mahishi fikir bahawa dia selamat dan mula menakluki dan menjarah dunia. Para dewa memohon supaya Siva dan Vishnu menyelamatkan semua dari bencana itu. Vishnu menemui satu penyelesaian bagi masalah itu. Maka Vishnu mengambil jelmaan menjadi kura-kura. Selepas itu baginda menjelmakan dirinya menjadi Mohini, si gadis pemikat. Ia bagi tujuan menyelamatkan amrit keabadian daripada para asura yang tak mahu berkongsinya dengan para dewa. Jika Vishnu menjadi Mohini semula maka Mohini boleh melahirkan anak dengan perkongsian dengan dewa Siva. Dengan itu kekuasaan sakti mereka dapat lah menghapuskan Mahishi.

Versi Kedua

Setengah versi ceritera lebih terperinci pula menceriterakan gabungan antara Siva dan Vishnu. Satu versi menceriterakan tentang Bhasmasura yang memuaskan hati dewa Siva dengan kebaktian lalu dewa Siva memberi karunia kepadanya apa sahaja yang dipinta. Bhasmasura meminta kebolehan untuk membakar sehingga menjadi abu sebarang benda yang terkena tangannya. Tak lama selepas itu dewa Siva terus memberi perkenannya. Dari itu, Bhasmasura mula mencari dewa Siva dan mengugut membakarnya menjadi abu. Dewa Siva meminta bantuan dewa Vishnu dan menyembunyikan dirinya dalam pokok Pipal sementara Bhasmasura mencarinya ke sana ke mari. Vishnu menyedari hal itu, lalu baginda berkeputusan menjelma menjadi rupa wanita iaitu Mohini bagi menjatuhkan kuasa asura itu. Apabila Bhasmasura terpandang Mohini, dia mula tertawan. Dia cuba untuk memikatnya. Vishnu dalam jelmaan Mohini mengarahkan Bhasmasura untuk meletakkan tangannya ke atas kepalanya dan bersumpah setia. Disebabkan perbuatan ini, Bhasmasura sendiri terbakar menjadi abu. 

Vishnu lantas menemui dewa Siva dan menceritakan hal tersebut kepada dewa Siva. Dewa Siva meminta kebenaran untuk melihat dewa Visnu dalam rupa Mohini. Apabila dewa Vishnu menjelma menjadi Mohini, dewa Siva pun tertawan dengan kecantikannya. Lalu mereka berdua bersatu menjadi Harihara Murthi. Dari kesatuan ini, tercetuslah dewa Sri Dharma Sasta dan dewa Ayyappa merupakan penjelmaan bentuk asas kedua-dua dewa Siva dan dewa Vishnu dari Sri Dharma Sasta.

Sri Ayyappa adalah ahli dalam masyarakat diraja Pandya. Baginda adalah ketua kepada satu jati. Dipercayai Ayyappa menitis menjadi Sri Dharmma Sasta. Dewa Vishnu mengaruniakan dewata yang baru tercetus itu dengan rantai leher dengan loceng permata. Jadi dewa ini dikenali juga sebagai Maniganthan Swami. Di India Selatan baginda dikenali juga sebagai Shasthappan.         

Dalam kebanyakan penceritaan Tamil, lagenda ini berakhir dengan kelahiran dewa ini dengan laluannya di seluruh kawasan orang Tamil. Tapi di negeri Kerala pula, cerita bersambung lagi dengan dewa Ayyappa dibela menjadi anak angkat oleh raja Pandalam serta kisah peperangannya dengan Mahishi.  

Versi Ketiga

Ceritera Dewa Ayyappa dalam Kerajaan Pandalam

Pada ketika, raja Rajashekhara memerintah kerajaan Pandalam. Semasa baginda berburu di hutan pada suatu hari, raja terdengar bunyi seperti bayi menangis di dalam hutan di tebing sungai Pampa. Baginda ke tempat yang ada bunyi itu dan terkejut apabila mendapati ada bayi di situ. Raja mendapati wajah bayi tersebut bersinar cemerlang dan ada batu permata di sekeliling lehernya. Raja yang kuat berbakti, berkebajikan dan penuh kepercayaan kepada dewa-dewa itu tidak lah mempunyai turunan. Makanya baginda mengambil bayi tersebut dan menganggapnya sebagai karunia dewa-dewa yang membalas segala permohonan pujanya bagi mendapatkan pewaris takhtanya. Bayi tersebut diberi nama Maniganthan. 

Maniganthan membesar dalam istana dan berbakat dalam kesusasteraan dan ilmu pertahanan diri. Sementara itu permaisuri raja melahirkan seorang putera pula. Raja menganggap Maniganthan sebagai putera sulungnya. Baginda ingin menjadikan Maniganthan sebagai Yuvaraja. Dalam pada itu ada menteri jahat dalam istana yang tidak suka kepada Maniganthan. Menteri itu menghasut permaisuri menyatakan yang Maniganthan akan menjatuhkannya sekiranya baginda dilantik menjadi Yuvaraja sedangkan kerajaan tersebut kepunyaan puteranya.   

Mereka berencana buruk hendak menghapuskan Maniganthan sebolehnya segera mungkin. Mereka merasuah tabib diraja untuk bersubahat dengan mereka. Permaisuri berpura-pura sakit perut dan tabib menyatakan bahawa hanya susu harimau sahaja yang boleh memulihkan permaisuri. Raja tahu tiada siapa lagi yang mampu mendapatkan susu harimau. Maniganthan maju ke hadapan dan menawarkan dirinya untuk mendapatkan susu harimau bagi permaisuri. Walaupun dibantah oleh baginda raja, namun baginda Maniganthan tetap berdegil masuk ke hutan.

Beberapa hari kemudiannya, Maniganthan masuk ke istana dengan menunggang seekor harimau betina yang garang diikuti sekumpulan anak harimau. Golongan yang berkomplot menghapuskan Maniganthan berasa takut lalu mengakui perbuatan serta niat buruk mereka. Mereka dan yang lain-lain tidak tahu bahawa Maniganthan bukan sebarangan orang. Mereka yakin lah selepas itu bahawa Maniganthan adalah seorang dewa. Mereka memohon kepadanya supaya berada bersama mereka dan jangan pergi demi keselamatan negara mereka. Tapi Maniganthan sudah bertekad ingin pergi dari negara tersebut.  

Dengan perasaan bahagia, kesal, rasa takjub, kagum dan kebaktian, baginda raja negara Pandalam merendahkan dirinya memohon belas kasihan daripada Maniganthan. Baginda bertaubat kerana tidak menyedari sepenuhnya kuasa kedewataan Maniganthan dan berulang kali memintanya mengampunkannya kerana menganggap baginda Maniganthan hanya sebagai anakandanya. Dewa memeluk raja yang terus memohon dan memuja kepadanya dengan kasih sayang. Raja memohon: "Wahai dewa, tolonglah berkati aku bebaskan aku dari ego aku dan bebaskan aku dari keduniaan dan kelahiran semula. Karuniakanlah aku dengan moksha. Teruslah menjadi penyelamat keluarga aku dan terus kekal dalam kerajaan ku".

Maniganthan kemudian menerangkan lagi kepada raja tentang jalan menuju kepada moksha. Kata-kata dewa itu mengandungi Bhutanathagitha. Kepada raja yang ketika mendengarnya sudah suci jiwanya dan berada dalam keadaan bakti kepada dewa. Dewa Ayyappa berkata : "Aku ini akan membebaskan kamu dari segala kesedihan duniawi dan kebimbangan. Akan aku karuniakan engkau dengan moksha. Barangsiapa yang berada dan lahir dalam keluarga mu akan menerima karunia aku. Aku akan sentiasa dihubungi untuk kebaktian dan hanya bagi yang bakti". Dewa memberitahu raja bahawa baginda boleh membina kuil baginya di Sabarimala di utara sungai suci Pampa dan memasang rupa baginya di situ. Dewa Ayyappa menerangkan tentang cara bagaimana menjalankan dharmayatra di situ dengan menekankan kepada kepentingan vrutham dan apa yang boleh dicapai melalui darshan

Dewa lantas menenangkan raja seraya berkata bahawa para bakthan yang menerimanya dan keturunanya dengan kebaktian akan juga berbakti kepada dewa Ayyappa. Dewa Ayyappa atau Maniganthan memberkati raja dan semua yang berada di situ lalu menghilang. Raja mengarahkan pembinaan kuil di Sabarimala untuk dewa Ayyappa.

Ada banyak lagi ceritera berkaitan dengan dewa Ayyappa dari penemuan bayi di Pampa, kisah zaman remaja Maniganthan di istana Pandalam, karunia kuasa pendegaran dan pertuturan kepada anak lelaki gurunya, Guru Dakshina yang pekak dan bisu, persahabatannya dengan Vavar, membawa pulang susu harimau, menghapuskan Maheshi, menghapuskan penjahat Udayanan dalam hutan, memberi karunia moksha ke atas Sabari, memberi berkat kepada bapa angkatnya dengan moksha serta sebagainya. 

Lagenda juga menyebut tentang Maniganthan yang dikatakan sebagai penjelmaan dewa Dharma Sasta sementara bapa angkatnya, raja Rajashekhara pada kelahiran lampau merupakan seorang Brahmin kaya dan beragama dikenali sebagai Vijayan yang teguh sekali kepercayaannya terhadap dewa Dharma Sastha.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan