Isnin, 27 Ogos 2012

Kepentingan Gayatri Montram dan Sandhyavandanam

Yang ini dari syarahan Jagat Guru Chandrasekhara Saraswati bukan aku punya wacana nah! Aku hanya mengalihbahasakannya supaya difahami penganut Hindu dan Buddha berbahasa Melayu di Asia Tenggara. Istilah aku gunakan kebanyakannya adalah istilah yang dinyahkan dari pengaruh bahasa Inggeris dan bahasa Arab sebanyak mungkin jadi jika tuan-tuan kurang faham sila lah merujuk kamus bahasa Melayu yang terpakai dalam pembelajaran bahasa Melayu Pertengahan dan Lama. Jagat Guru mengajarkan mengenai kepentingan Sandhyavandanam dan pembacaan Gayatri Montram.

Menurut Jagat Guru: "Jika Gayatri Montram tidak dibacakan selama tiga keturunan dalam keluarga orang Brahmin, makanya penghuni rumah itu akan jatuh jatinya dan tidak lagi layak memegang jati Brahmin! Kawasan tempat orang Brahmin yang tidak patuh itu tidak layak digelar sebagai agraharam. Jika masih belum sampai tiga keturunan dan keluarga Brahmin itu kembali membaca Gayatri Montram maka mereka masih lah lagi orang Brahmin (kaum Brahmana)".

"Dalam cara yang sama juga, jika keluarga Brahmin itu tidak menjalankan upacara Yagna selama tiga keturunan, maka mereka akan jatuh menjadi Durbrahmana jatuh jatinya. Brahmin cuma tinggal nama sahaja bukan pada isinya lagi. Ada pula upacara prayascitta bagi menaikkan semula jati Brahmin yang tidak patuh kepada amalan tradisi nenek moyang. Namun bagi Brahmin yang tidak membaca Gayatri Montram langsung selama tiga keturunan maka tiada maaf lah bagi mu. Seluruh isi rumah jatuh terus jatinya tiada peluang disucikan lagi. Mereka turun tarafnya menjadi Brahmanabandhu atau saudara-saudara atau kawan-kawan golongan Brahmin sahaja. Hal yang sama juga berlaku kepada jati Kesatria dan jati Vaisya jika mereka gagal membaca Gayatri Montram dalam rumah mereka. Mereka cuma menjadi Kesatriabandhu atau Vaisyabandhu".   

Cetusan api untuk Yagna mesti lah digunakan untuk menyalakan unggun api. Cetusan tersebut digunakan hanya untuk unggun api. Sekurang-kurangnya pada setiap hari Ahad, sesiapa yang memakai benang suci mestilah menjalankan japa Gayatri sebanyak 1000 kali. Dilarang memakan makanan yang terlarang dan pantang, dilarang pergi ke tempat tidak suci dan mesti berasa bersalah kerana tidak sempat menjalankan upacara penyucian. Tubuh mestilah dipastikan suci dan berada dalam keadaan baik supaya dapat menyerap kuasa montram.

Walaupun dalam saat bencana atau waktu aman, Gayatri mestilah dibaca sekurang-kurang 10 kali pada waktu terbit sang surya, waktu rembang matahari, dan waktu senjakala. Tiga waktu ini adalah waktu ketenangan. Waktu terbit surya, semua ciptaan termasuk manusia bangkit dan keadaan minda tenang sahaja. Waktu senjakala pula, semua mestilah berada dalam keadaan rehat dan bertenang-tenang selepas seharian bekerja. Waktu rembang matahari, orang ramai pulang ke rumah untuk berehat. Waktu-waktu inilah kita harus bertapa semadi membaca Gayatri, Savitri dan Saraswati.

Waktu pagi-pagi yang hadir itu ada lah Phra Vishnu Narayan. Waktu tengah hari itu, hadir Phra Brahma. Waktu jatuh matahari yang hadir itu, Phra Iswara Siva Mahasangkara. Makanya, mestilah dibacakan Gayatri Montram pada waktu pagi yang diwakili oleh Vishnu, waktu tengah hari diwakili Brahma dan waktu senjakala diwakili oleh Siva.

Gayatri mengandungi tenaga dan semangat bagi semua montra veda. Ia memindahkan kuasa kepada montra-montra lain. Tanpa Gayatri Japa, pembacaan montra lain tiada gunanya. Kita dapati bahawa pemukauan berguna sekali dengan cara kita bercakap semasa kita mengeluarkan kuasa pukau. Gayatri mempunyai tujuan memukau yang membebaskan diri kita dari kewujudan keduniaan selain mengawal kehendak diri dan mencapai matlamat jelmaan. Cetusan api mesti ditiup dan menjadikan Gayatri Japa sebagai vrata. Cetusan akan terpadam jika kita gagal hidup menurut cara sastram dan jika tidak menyucikan tubuh kita.

Gayatri Japa dan Arghya atau sembahan menuang merupakan upacara terpenting dalam Sandhyavandana. Lain-lain bahagian dalam upacara adalah anga atau anggota tubuh. Orang yang sakit sekurangnya perlu menyembahkan Arghya dan membaca Gayatri 10 kali banyaknya. Jangan hanya berhenti pada dua yang terpenting ini. Sikap ini sangat lah tidak baik. Orang terpelajar akan memandang sinis sahaja kepada orang yang hanya menjalankan Arghya dan membaca 10 kali Gayatri Japa disebabkan kedua-dua terpenting ini terpakai hanya kepada orang yang lemah dan tak bernasib baik. Jika terus begini maka orang itu akan terus lemah dan menjadi mangsa bencana yang lain pula. Sandhyavandana mesti lah dijalankan dengan betul-betul pada masa yang tepat. Semasa peperangan Mahabharata, apabila air tiada, para kesatria tetap menjalankan Arghya tepat pada waktunya dengan habuk debu sebagai ganti air.   

Arghya mestilah dipersembah sebelum naik mentari pada waktu tengah hari dan pada waktu mentari jatuh. Suatu ketika dahulu, ada seorang lelaki dikenali sebagai Idaikattu Siddha yang membawa lembu merumput di padang. Katanya: "Kanamar konamar kandu kodu adugan pogutu par". Kanamar di sini ertinya sebelum kamu melihat mentari timbul dan konamar ertinya mentari rembang. Manakala kandu bererti mentari sebelum jatuh. Erti kepada frasa kanamar konamar kandu adalah ada tiga waktu kita mesti menjalankan upacara Arghya. Adugan ertinya mandi di sungai Gangga dan melawat Setu. Pogutu par ertinya papa dosa dibasuh semuanya. Dalam frasa yang terpacul dari mulut Idaikattu Siddha ini, disebutkan tentang adat-adat pergi ke Kasi di Banares. Disebutkan juga tentang menyauk air di Sungai Gangga di Kasi dan melawat Sang Setu atau Rameswaram bagi menjalankan abiseka Ramanathaswamin.

Pengulangan Gayatri yang bersangatan membolehkan kita mengingati montra-montra veda kesemuanya. Japa Gayatri dan Arghya ini mesti dijalankan setiap hari sebolehnya tanpa sebarang halangan. Paling kurang pun sekali dalam kehidupan kita, kita mesti mandi di sungai Gangga dan berdharmayattra melihat Sang Setu.

Kalau seorang itu demam, orang yang menjaganya mesti menuang air dalam mulutnya dan membantunya menjalankan Sandhyavandanam. Hari ini, kita semua nampaknya mengalami demam yang teruk! Apabila suhu badan kita naik tinggi, kita kena ambil ubat. Begitu juga dengan kepentingan Gayatri terhadap diri dan japa ini seperti pengubatan harian. Yang diperlukan adalah air. Sandhyavandanam merupakan cara untuk memastikan kebajikan kita terjaga. Selagi bernyawa selagi itu kena menjalankannya.          

Gayatri dipuja sebagai ibu. Tuhan menjelma dalam rupa pelbagai untuk menganugerahi baktan dengan rahmat dan belas kasihan. Ibu menyayangi anaknya lebih dari dia menyayangi orang lain. Dia tidak tahu takut pun kepadanya dan bercakap bebasnya dengan dia. Dalam semua rupa, Begawan menjelmakan diri-Nya dalam rupa ibu yang dicintai oleh orang semua. Veda-veda mengisytiharkan bahawa Gayatri adalah ibu itu.  

Montra ini mesti diulangi oleh orang lelaki. Wanita mendapat kebaikan dari amalan lelaki yang membaca japa ini. Sama juga dengan triwangsa yang mengamalkan Gayatri Japa, mereka menyebarkan kebaikannya kepada semua jati. Kita tidak akan menerima hasil sekiranya hasil yang sepatutnya dinikmati yang lain-lain hanya dinikmati golongan kita sahaja. Kita tak boleh pula menjalankannya sekiranya amalan dikongsi. Yang diwajibkan menjalankan Gayatri Montram mesti menganggap diri mereka pemegang amanah yang membacakannya untuk mewakili yang lain-lain seperti wanita dan chaturwarna yang tidak diwajibkan. Jika gagal dalam tugas memegang amanah, bererti yang memegang amanah sudah melanggar aturan!

Banyak jenis montram. Sebelum kita mula membaca semua montra ini, kita akan merenung kenapa kita membuat semua ini dan menyebut hasil yang akan dituai darinya. Kebaikan Gayatri Montram adalah untuk menjernihkan pemikiran atau chittasuddhi. Montra-montra lain pun ada tujuan utamanya, tapi chittasuddhi ini merupakan kesan terus dari Gayatri Japam.  

Hari ini, tidak lah sukar hendak menjalankan Sandhyavandanam di waktu awal pagi dan waktu senja. Yang ke pejabat dan pekerja lain mungkin lah tak berada di rumah waktu tengah hari. Jadi boleh menjalankan madhyanika atau vandanam tengah hari. Masanya 2 jam 24 minit lepas terbit matahari dan dikenali sebagai sangavakala

Jangan kita terlepas sandhyavandanam harian kecuali lah jika tidak ditemui ruang untuk menjalankannya. Jika sakit atau berada dalam keadaan lemah tubuh tu, minta lah bantuan yang lain untuk mengendalikan air atau kanji. Yang boleh membantu seperti saudara-saudara atau kawan-kawan untuk menjalankan vandanam bagi pihak kita.

Mari memuja Tuhan supaya kita dikasihani dan semoga api montram jangan terpadam dalam diri kita semoga ia terus bersinar cemerlang dan cerah sentiasa. 

- Gagasan Paramacharya Chandrasekhara Saraswati, alihbahasa oleh Northern Gate

Tiada ulasan:

Catat Ulasan