Semua sekali ada 12 kota berkubu yang digali semula oleh para pengkaji sejarah sejauh ini. Lima daripadanya itu kekal sebagai kota terbesar dalam negeri-negeri orang Pyu di rantau Myanmar. Antaranya adalah Beikthano, Maingmaw, Binnaka, Halingyi dan Sri Ksetram.
Negara Kota Beikthano
Ia terletak dalam rantau Minbu yang disaliri (kini di Taungduingyi) dengan laluan darat yang terus ke lembangan Chaukse yang disaliri air sehingga ke timur lautnya. Ia merupakan tapak perbandaran tertua yang sejauh ini telah ditemui dan dikaji menurut cara saintifik.
Tinggalan dalam kota ini seperti struktur bangunan purwa, bahan-bahan arca tanah liat, dan rangka manusia yang dikirakan dari satawarsa ke-200 SM sampai 100 SM. Kota ini sebenarnya sebutan bahasa Sanskerta bagi orang Myanmar, iaitu Kota Wisnu. Ia merupakan kota terawal yang secara budayanya dan mungkin juga politiknya itu berada dalam keadaan selaras dalam Itihasa Burma.
Ia merupakan penempatan yang dibina dinding sekelilingnya, dengan ukuran kira-kira 300 hektar di dalam dinding empat persegi (3 km x 1 km). Dinding dan kubu-kubunya itu diukur berketebalan enam meter, dan radio karbon mencatatkan bacaan dari satawarsa ke-180 Sm dan 610 SM. Seperti kota-kota berikutnya, gerbang utama ke dinding-dinding ini menuju ke istana yang mengadap ke timur. Cetiya dan bangunan biara juga ada ditemui dalam carigali di kota berkubu ini.
Negara Kota Maingmaw
Negara kota ini letaknya di rantau Chaukse, dalam bentuk bulatan dan dianggarkan dari milenia pertama SM. Pada ukur lilit 2.5 km dan seluas 222 hektar, kota ini merupakan salah satu daripada kota purwa yang terletak dalam seluruh rantau Chaukse.
Ia ada dua dinding berlapis, di sebelah luarnya itu empat persegi sementara yang dalamnya pula bulatan. Rekabentuk bulat dalam empat persegi itu memberi gambaran ada lambang zodiak yang mewakili sorga-sorga dari sudut pandangan matahari. Rekabentuk ini juga terpakai dalam pembangunan bandar Mandalay hari ini.
Di pertengahan yang hampir mati jalannya, ada sebuah biara dikenali dengan nama Nandawya Paya kemungkinanya dibina semula pada satawarsa ke-19 M dari tinggalan biara purwa. Kota ini dikunci dua dengan satu terusan, dipikirkan menyaliri kota rekabentuk kontemporari walaupun tak ada pentarikhan karbon yang mengesahkan tanggal terbangunnya.
Carigali pertama pada 1979 membongkar banyak artifak purwa termasuklah barang kemas, matawang perak, serta tajau pengebumian. Kebanyakan dari artifak purwa seperti matawang dan tajau pengebumian ini nampak seperti sama saja dengan yang ditemui di kota Wisnu dan Binnaka.
Negara Kota Binnaka
Negara kota Binnaka ini terletak lah juga dalam rantau Chaukse. Ia nampak sama seperti jirannya iaitu negara kota Maingmaw dalam banyak perkara. Ada struktur batu-bata yang berkongsi rekaan yang sama dengan kota Wisnu dan lain-lain tapak negara kota.
Carigali membongkar artifak pra-Buddha, rantai leher emas, batu-batu manikam dengan ukiran gajah, singa dan penyu, barangan tembikar Pyu, papan-papan tanah liat guna buat menulis dengan tulisan yang nak serupa dengan aksara Pyu, dan lain-lain manik bersama dengan delima dan batu jed. Ditemui juga pembentuk perak yang diperbuat daripada perak dan emas dengan hiasan bungaan terukir, lilitan emas pada mangkuk perak yang bertulisan bahasa Pyu dan tajau pengebumian yang serupa seperti di negara kota Wisnu dalam negara kota Binnaka.
Kedua-dua negara kota Maingmaw dan Binnaka ini kemungkinannya kota kontemporari dengan kota Wisnu. Babad-babad yang tak menyebut langsung tentang negara kota Wisnu ada menyebut tentang dua negara kota berikutnya walaupun tak menyebut dengan terperinci mengenai kota-kota orang Pyu. Babad menyebut bahawa pemerintah di Binnaka bertanggungjawab terhadap kejatuhan kota Tagaung, kota yang dikenalpasti dalam babad sebagai kota awal orang Burma berpendudukan di situ. Kota Binnaka dihuni sampai satawarsa ke-19 dan tercatat dalam sittan atau rekod daun lontar semasa samaya pemerintahan wangsa Konbaung yang ditemui di situ.
Negara Kota Halingyi
Negara Kota Halingyi
Ia terletak di lembah Mu, merupakan salah satu rantau disaliri air di Myanmar sebelum samaya penjajahan British. Ia juga merupakan kota orang Pyu di perbatasan utara yang sejauh ini dapat dikesan. Artifak purwa di kota ini antaranya adalah gerbang-gerbang kayu dengan pemeriksaan radio-karbon sekitar 70 M. KOta ini bentuknya segi empat dengan sudut-sudut berlengkung serta kubu dari batu-bata.
Dinding-dinding yang dicarigali sekitar 3.2 km panjang di paksi utara-selatan dan 1.6 km di timur-barat. Di 664 hektar tanah itu, kota itu hampir dua kali ganda besarnya daripada kota Wisnu. Ada empat gerbang utama di titik-titik berbilangan dengan semuanya ada 12 gerbang, berdasarkan kepada zodiak 12 binatang menurut orang samaya purwa. Sebatang sungai atau terusan menyaliri kota itu. Kesan-kesan parit besar pun ada di semua bahagian kecuali di sebelah selatan kerana mungkin di situ tak diperlukan dan tanah diempangkan supaya menakung tadahan air.
Bentuk kota ini sebenarnya mempengaruhi perancangan bandar di kota-kota orang Burma terkemudian dan juga kota orang Siam seperti negara kota Sukhothai. Sebagai contoh, beberapa gerbang dan juga jalinannya juga ditemui di ibu kota orang Burma seperti di empayar Pagan pada satawarsa ke-11 M dan di Mandalay pada 19 M. Jalinan pembentukan kota ini juga ada dalam kota-kota purwa semasa dengannya seperti kota Maingmaw dan kota Wisnu dalam negeri-negeri orang Pyu dan juga di Danyawaddy dan Wesali di sebelah rantau Arakan. Begitu juga dalam negara kota Sukhothai di Siam kemudiannya.
Tinggalan berstruktur cetiya dan biara di Halingyi juga turut kelihatan dalam pengaruh binaan biara di empayar Pagan pada satawarsa ke-11 dan ke-13 M. Artifak yang digali itu menunjukkan bentuk aksara Pyu yang diguna di negara kota ini merupakan rupakara tulisan terawal dalam rantau Pyu dan juga Myanmar. Ia berdasarkan kepada aksara Brahmi dari empayar Maurya dan empayar Gupta. Prasasti di kota Sri Ksetram menunjukkan bentuk aksara terbaru dari aksara yang lama itu.
Sri Ksetram kemudian menandingi negara kota ini lalu menjadi negara kota pertama dalam negara Pyu pada satawarsa ke-7 M. Dari catitan orang Cina, Halingi masih kekal sebagai pusat dalam negara orang Pyu sampai satawarsa ke-9 M. Lepas itu, rantau Pyu dilanda serangan kerajaan Nanchao dari selatan China. Catitan orang Cina mencatatkan bahawa kota ini dimusnahkan oleh pahlawan Nanchao pada 832 M, dengan 3000 penduduknya diculik. Tapi pemeriksaan radiokarbon mengesan kegiatan manusia di situ masih berlaku kira-kira pada 870 M, dekat-dekat empat dekad kejadian negara kota ini dipukul oleh kerajaan Nanchao.
Sri Ksetram
Terletak 8 km ke selatan Prome (Pyay) di kampung Hmawza. Ia merupakan ibu kota negara Pyu yang terakhir dan paling selatan sekali. Kota ini dibangunkan sekitar kurun ke-5 dan ke-7 M. Keadaannya sebagai ibu kota utama kemudian berubah selepas ketibaan orang Myanmar dari kerajaan Nanchao. Negara kota ini mempunyai dua atau mungkin tiga wangsa pemerintah. Yang pertama adalah wangsa Wikrama yang dipercayai melancarkan penanggalan awal Pyu dan seterusnya terpakai juga dalam penanggalan Burma atau Myanmar pada 22 Mac 638. Wangsa kedua pula adalah wangsa Sri Duttabung yang bermula pada 25 Mac 739 M (wulan mengambang ka ekadasi Tagu 101 MS).
Sri Ksetram merupakan tapak kota Pyu yang terbesar ditemui setakat ini. Hanya kota Wisnu dan kota Sri Ksetram sahaja yang banyak digali pun sebenarnya. Lain-lain kota tak mengeluarkan banyak artifak seperti kedua-dua kota purwa ini. Ia meliputi kawasan yang turut merangkumi empayar Pagan yang muncul kemudiannya pada kurun ke-11 M atau kawasan Mandalay pada kurun ke-19 M. Bentuk bandarnya bulatan dengan ukur lilit 13 km dan tiga ke empat km melintasi lebarnya atau kawasan tercakup 1400 hektar. Dinding batu bata kota ini berketinggian 4.5 m dan ada 12 gerbang dengan dewata besar gadang melindungi gerbang itu dan setiap cetiya ada empat sudut. Ia juga ada pintu masuk melengkung, seperti yang ada di Halingyi dan Wisnu.
Di tengah kota kebanyakan sarjana pikir bahawa ia mewakili tapak kepada istana, 518 m dengan 343 m, melambangkan mandalam dan juga satra kota seperti di Maingmaw. Hanya separuh bahagian selatan kota diambil sebagai kawasan istana, perumahan dan biara manakala bahagian utara seluruhnya mengandungi sawah padi. Bersama dengan parit besar dan dinding-dinding, susunan ini memastikan kota selamat daripada ancaman seteru yang menyerang dalam jangkamasa lama.
Sri Ksetram ini merupakan pusat entreport terpenting antara India dan China. Ia terletak di dataran Irrawaddy tak jauh dari lautan dan ketika itu delta Irrawaddy masih belum terbentuk. Kapal-kapal dari laut Andaman dan lautan Hindi akan singgah di Prome bagi perdagangan dengan negara Pyu dan empayar China. Perdagangan dengan orang Hindu dari India membawa perhubungan kebudayaan mendalam. Sri Ksetram mempunyai banyak tinggalan ajaran Buddha aliran Therawada. Bentuk kesenian agama menggambarkan bahawa terdapat beberapa gelombang pengaruh dari Tenggara India dan kemudiannya dari Barat Daya India yang mempengaruhi penduduk negara kota Pyu sekelian. Pada kurun ke-9 M pula, datang pengaruh dari kerajaan Nanchao.
Catitan orang Cina menulis tentang keadaan di rantau Pyu ketika tinggal di kota Sri Ksetram. Seorang pengembara Cina yang berdharmayatram dikenali sebagai Hsuantsang pada 648 bersama dengan Iching pada 675 M melaporkan bahawa negara kota orang Pyu ini merupakan antara kerajaan Hindu yang menganut ajaran Buddha di Asia Tenggara. Catitan babad empayar Tang menyebut ketibaan rajaduta dari ibu kota negara Pyu tiba di China pada 801.
Penempatan Kecil
Banyak penempatan kecil bangsa Pyu ini ditemui di seluruh Myanmar Atas. Termasuklah dii Wati (kawasan perbandaran di timur kota Maingmaw), Ayadawkye Yuwa di lembah Mu, barat Halingyi dan selatan pula ditemui tapak samaya gangsa dipanggil Nyaunggan serta beberapa pekan di Myinmu, yang mengawal mulut sungai Mu. Tapak lain yang walaupun kecil tapi tak kurang pentingnya adalah Tagaung di Myanmar sebelah utara, 200 km ke utara Mandalay. Di situ ditemui tajau pengembumian. Kepentingannya dalam babad Burma, disebut bahawa ia merupakan kerajaan Burma pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan