Jumaat, 5 Julai 2013

Hindu Dharma Tidak Tepat


Sebelum ini, kita sudah menelusuri pengertian dharma tapi ia merujuk kepada sabdawali ajaran Buddha. Aku mendapati, ramai juga lah penganut ajaran Buddha di rantau aku ini yang agak kelam-kelam mengenai agama Hindu dan tradisi Brahmana sebaliknya bulat-bulat menerima bahan dari benua India.

Contohnya pun bolehlah dilihat apabila penulisan karya Phra Malai pun dipandang sebagai dongeng yang tiada ertinya walaupun pada dasarnya ia mengajarkan mengenai kebebasan dari karma. Kita bukan tidak tahu mengenai propaganda tuan Ambedkar Rao yang berasakan bahawa jatidiri bangsanya itu diluputkan penganut agama Hindu di rantau Maharastra tapi adakah itu salah semua penganut bahagian Brahmana sehingga segala yang berbau Brahmana dibenci dan dimusuhi bak seteru? Ada juga pihak yang ingin memurnikan ajaran Buddha yang aku lihat tiada salahnya namun jika agak melampau maka haruslah ditegur dan diperingat bahawa penganut Buddha senantiasa disuguhkan dengan ajaran supaya berada pada bahagian pertengahan dua lapisan melampau. Kini kenapa pula ada yang cuba melanggar lapisan melampau? 

Bila disebut sahaja mengenai agama Hindu ini, pastilah ramai yang beranggapan bahawa ia melibatkan murti-murti sahaja. Atau melibatkan mengenai jatiniyam dan pembahagian kelas pekerjaan. Ada caturwangsa seperti bangsa Brahmana, ada bangsa Kesatria, ada bangsa Waisya dan bangsa Sudra walaupun pengelasan ini sebenarnya ada sahaja dalam mana-mana masyarakat loka ini. Bila melibatkan agama Hindu, pasti ia akan melibatkan Betara Siwa atau Betara Wisnu kerana kedua-dua tokoh ini yang terutama pada masa kini. 

Persoalannya biarlah kita tempekkan di sini sahaja. Ada saja orang keliru tentang agama Hindu. Nanti keluarlah persoalan dari pengamatan orang ramai, "Aku ini ada kenalan beberapa orang penganut "agama" Hindu tapi mereka pun menyental segala mak neneknya daging sedangkan di sebelah bahagian pula kelihatan orang Hindu dilarang menyental daging? Aku melihat ada yang merokok, meminum minuman keras dan juga tak bertuhan tapi masih mengaku diri mereka Hindu. Apa bolehkah seorang yang tak bertuhan atau ateis itu mengakui dirinya Hindu?

Jawapan kita, mudahlah orang ramai terkeliru bila disebut bahawa ini Agama Hindu atau Hindu Dharma! Kerana bukan ada satu jenis agama sahaja yang dipanggil agama Hindu di loka ini. Ada banyak jenis parampara atau tradisi yang berbeda-beda, dikumpulkan bersama dan dipayungkan di bawah sabdawali Hindu. Walaupun ada ciri-ciri persamaan antara dreśti tapi banyak pula perbedaan dan percanggahan sesama sendiri. Lainnya, agama Hindu ini bererti agama benua India. Perkataan "Hindu" ini pun sebenarnya tak kedapatan dalam sebarang pustaka keagamaan di India. Perkataan Hindu ini merupakan panggilan orang Parsi kepada orang-orang di Lembangan Sindhu dan orang Parsi tidaklah pandai menyebut "Sindhu" maka yang keluar dari mulut mereka itu cumalah Hindu. Pada samaya terkemudiannya, orang Inggeris mengambil kata ini selepas mereka masuk ke bahagian benua Hindu di India sekarang ini lalu disabdakosakanlah mereka sabdawali ini bagi memanggil keagamaan orang-orang di benua Hindu sekelian. Makanya, tuan-tuan sekelian turut melihat bahawa aku menyebut juga rantau Indo-China, Nusantara dan lingkungan Mancanegara itu sebagai Hindu kerana memang tuan-tuan di bahagian itu juga termasuk bangsa Hindu Raya jua.

Bila disebut Hinduisme itu samalah seperti menyebut Arabisme atau agama Arab bagi menggambarkan kepercayaan berbeda-beda orang di rantau Arab. Di rantau Arab purwakala ada lah pengikut pahaman monoteisme, pengikut pahaman yang mempercayai dewa-dewi, pengikut pahaman Kristian, pengikut pahaman Yahudi, pengikut pahaman menurut bintang-bintang, pemuja bulan, pemuja matahari, serta sebagainya. Semua ini sebagai contoh, kita kumpulkanlah sebagai agama Arab. 

Keadaannya itu samalah seperti di benua Hindu. Ada pengikut ajaran Mahawira Jina, ada pengikut ajaran Siddharta Gautama, ada pengikut kepada rei yang ini dan rei yang itu. Ada pemuja Betara Siwa, ada pemuja Betara Wisnu, ada pemuja Dewi, pemuja Sakti, pengikut Mpu Adi Sankara serta sebagainya. Semua ini dikumpulkan dan dipayungi oleh sabdawali Hindu walaupun pada pengajarannya ada beda-beda pada warnakadi nya. 

Pada dasarnya menyebut keagamaan ini sebagai Agama Hindu atau Hindu Dharma itu adalah tidak tepat sama sekali serta mengelirukan. Dan dalam ajaran suci, tiadalah tersebut bahawa semua orang dalam lingkungan "kehinduan" itu mesti memakan sayuran sahaja. Ia cuma dicadangkan sahaja tanpa paksaan, tetapi hanya bangsa Brahmana yang mesti ketat mengikutinya.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan