Selasa, 23 Julai 2013

Kencana Bumi: Kerajaan Orang Mon

Swasti Srih!


Sebelum ini, sudah dibicarakan sedikit sebanyak mengenai kerajaan-kerajaan yang berkaitan dengan kerajaan orang-orang ini dalam rantau benua Siam. Maka, kini kita berbicara pula tentang mereka di jajahan Myanmar. 

Kerajaan-kerajaan orang Mon ini merupakan tapak politik bagi orang-orang benua yang berbahasa dengan bahasa Mon. Mereka ini memerintah sebahagian besar Myanmar yang kita lihat pada hari ini dalam kebanyakan satawarsa sampai ke satawarsa ke-12 M. Kerajaan dan negara-negara kota ini semua mempunyai tatasusunan masa pula dari Kerajaan Thathon (s. ke-9 sehingga 1057), Kerajaan Hamsawati (1287-1539) serta Kerajaan Hamsawati Baru (1740-1757).

Negara Kota Pertama

Rekod terawal kerajaan orang-orang ini dikaitkan dengan orang Mon di negara Dwarawati yang berada dalam Siam yang kemudian. Ia terusan makmur sampai 1000 M sebelum ibu kota di dalam benua Siam kemudian dihancurkan oleh anacakra orang Kemboja. Sebahagian penduduk terpaksa melarikan diri ke barat benua yang kini berada dalam jajahan Myanmar Bawah seterusnya membangunkan pula kerajaan baru di situ.

Kerajaan Thathon


Kesarjanaan arus perdana menyebut bahawa suku bangsa Mon ini mendirikan negeri-negeri di Myanmar Bawah. Kedua-dua kota Thathon dan Pegu dipercayai dibangunkan semasa satwarsa ke-9 M. Negeri-negeri ini menjadi pusat perdagangan penting antara Laut Hindi dan juga Tanah Besar Asia Tenggara. Menurut kepada pembinaan semula itihasa tradisional, negeri-negeri orang Mon ini kemudian ditundukkan oleh kerajaan Pagan dari utara pada 1057. Kesusasteraan negeri Thathon dan juga tradisi keagamaannya itu turut mempengaruhi acuan kebudayaan kerajaan Pagan.

Sekitar 1050 dan 1085, karyawan bangsa Mon banyak membantu dalam pembangunan dua cetiya agung di negeri Pagan. Cetiya-cetiya itu kini menjadi saingan pula kepada keagungan Angkor Wat di Kemboja sana. Aksara tulisan bahasa Mon yang berdasarkan aksara Pallawa turut menjadi sumber kepada aksara penulisan bahasa Burma dengan rekod awal dari tahun 1058 iaitu selepas setahun negeri Thathon ditawan oleh penjajah Burma.

Namun, kajian baru yang masih belum terkenal ada juga mendakwa bahawa pengaruh orang Mon ke atas negeri Pagan selepas penaklukan Raja Anuradha cuma lah cetera-cetera yang digembar-gemburkan sahaja selepas itu. Pada sebenarnyaa juga, Myanmar Bawah kurang kemerdekaan bernegeri itu pun adalah disebabkan oleh perluasan kuasa kerajaan Pagan. Kemungkinannya juga, samaya itu terjadi delta yang menyebabkan sungai berkeladak dan ia terjadi sepanjang tiga batu di pantai dan merebak sampai ke dalam kawasan perhuluan. Keadaan ini terjadi kerana penempatan manusia yang sesak ketika itu. 

Bagi rekod terbitan tulisan Burma itu, yang awal sekali adalah dari tahun 1035, dan ada lagi yang lebih awal iaitu pada 984 M. Kajian terbaru mendakwa bahawa aksara yang terpakai dalam bahasa Burma kini bukan askara bahasa Mon sebaliknya aksara bahasa Pyu.

Walaupun ukuran dan kepentingan negeri-negeri ini masih dalam perdebatan, semua sarjana menerima bahawa pada satawarsa ke-11 M itu kerajaan Pagan sudah berkuasa di Myanmar Bawah. Penaklukan ini membawa kepada pertukaran kebudayaan, jika bukan dengan bangsa Mon yang merupakan penduduk tempatan di situ pun pastinya dengan orang Hindu dan juga dengan orang Langka Dwipa yang menyebarkan ajaran Buddha aliran Therawada. Dari sudut pandangan geopolitik pula, penaklukan Anuradha ke atas negeri Thathon itu menghalang kemaraan orang Kemboja masuk ke pantai Tanah Seri (Tenasserim).

Kerajaan Hamsawati

Peta pada satawarsa ke-14

Pada 1287, empayar Pagan mula menghadapi kejatuhan berikutan kekacauan yang disebabkan oleh orang Mongol dari rantau China. Negeri-negeri yang dijajah oleh kerajaan Pagan mula memberontak dan membebaskan diri. Di sebelah Myanmar Bawah kini, panglima Wareru menerbitkan kerajaan yang dihuni oleh kebanyakan orang berbahasa Mon dengan nama kerajaan Ramannadesa atau negeri Raman. Panglima Wareru sendiri bukanlah berbangsa Mon sebaliknya berbangsa Shan (Tai-Kadai). Kerajaan ini mengabungkan semua tiga rantau berbahasa Mon di Myanmar Bawah iaitu negeri Martaban (Mortama), Pegu (Bagu) dan juga delta Irrawaddy.

Ibu kota pertama kerajaan ini terletak di Martaban tetapi kemudian ia berpindah ke Pegu pada 1369. Untuk 100 tahun awalan, kerajaan ini cuma merupakan bentuk kumpulan rantau yang berbahasa Mon dengan pemerintahan kerjasama sahaja. Raja-raja tinggi di ibu kota mempunyai sedikit kuasa yang membolehkannya mengawal negeri-negeri kecil lain. Dari 1363-1389 pun selalu sahaja ibu kota Martaban menghadapi pemberontakan dan kekacauan. Kemudian muncul seorang raja, iaitu raja Razadarit yang berjaya menyatukan kembali rantau berbahasa Mon yang tiga itu selain menghalang negeri berbahasa Burma sebelah utaranya, kerajaan Awa daripada menang dalam Perang 40 Tahun (1385-1424). 

Kesan peperangan itu amatlah buruk, tapi kerajaan Hamsawati menang apabila kerajaan Awa berputus asa hendak mengembalikan kegemilangan empayar Pagan mereka. Dalam tahun-tahun berikutnya pula, negeri Pegu membantu negeri-negeri jajahan di selatan negara Awa seperti negeri Prome dan negeri Taung U dalam pemberontakan tetapi menjalankan perancangan secara teliti jangan sampai terlibat dalam perang besar. 

Selepa perang, kerajaan Hamsawati memasuki era keemasannya apabila kerajaan Awa yang menjadi saingannya mula jatuh. Dari 1420-1530-an, kerajaan Hamsawati menjadi kerajaan yang mewah dan berkuasa sekali dalam semua kerajaan-kerajaan negeri selepas kejatuhan empayar Pagan. Dengan pemerintahan raja-raja yang berkebolehan seperti raja Binnya Ran I, Shin Saw Bu, Dharmmaseti dan Binnya Ran II maka kerajaan ini menikmati ayukencana serta mendapat keuntungan laba dari perdagangan asing. Pedagangnya berdagang dengan pedagang dari seluruh pelosok Lautan Hindi, memenuhkan cerpu dan kantung raja mereka dengan cukai dari emas dan perak, sutera, rempah ratus serta segala barangan yang terkenal ketika itu. Kerajaan Hamsawati menjadi pusat pengajian ajaran Buddha aliran Therawada terkenal. Ia menjalinkan hubungan erat dengan Langka Dwipa dan menggalakkan pembaharuan yang kemudiannya tersebar ke seluruh pelosok negerinya.

Kerajaan ini kemudian jatuh jua selepas diperintah raja Takayutapi yang tak berpengalaman. Kerajaan Hamsawati ditawan oleh kerajaan negeri yang lebih kecil dari utara iaitu kerajaan Taung U pada 1539. Kerajaan Taung U diperintah oleh raja Tabin Shweti dan amangkubuminya, panglima Burennaung. Negeri Taung U menjajah delta Irrawaddy dan negeri Pegu pada 1538-1539. Kemudian mereka mara ke Martaban pada 1541. Kerajaan Hamsawati dihidupkan semula selepas raja Tabin Shweti mangkat. Namun, pemberontakan orang-orang Hamsawati dapat dipadamkan segera oleh panglima Burennaung yang kemudian naik menjadi raja pada 1552.

Kerajaan Hamsawati Baru


Walaupun negeri-negeri berbahasa Mon di sebelah Myanmar Bawah diperintah oleh raja-raja negeri Taung U sampai satawarsa ke-18 M, ayukencana nya itu masihlah dikenang oleh penduduk suku bangsa Mon sekelian. Pada 1740, mereka memberontak lagi apabila wangsa Taung U menjadi lemah. Akhirnya berjaya jua mereka menghidupkan kembali kerajaan Hamsawati.

Mereka dibantu oleh kuasa imperial Perancis dari segi peralatan dan sokongan. Sebaik sahaja mendapat ruang di sebelah Myanmar Bawaha maka mereka segera naik ke utara. Pada 23 Mac 1752, mereka menakluki negeri orang Burma di Awa lalu menghentam terus sampai jatuh wangsa Taung U yang berusia 266 tahun itu.

Selepas jatuh wangsa Taung U, bangkit pula wangsa baru iaitu wangsa Konbaung yang diperintah oleh raja Alaungpaya di Myanmar Atas. Mereka di utara cuba mencabar kuasa-kuasa negeri selatan dan mereka menundukkan seluruh kawasan Myanmar Atas menjelang 1754. Selepas kegagalan kedua orang Myanmar Atas (Burma) mengalahkan kerajaan Hamsawati Baru pada Mei 1754, seluruh anggota kerabat diraja wangsa Taung U dan semua suku bangsa Burma di negeri selatan ditangkap dan dibunuh. Keadaan ini sebenarnya membakar semangat raja Alaungpaya.

Pada 1755, raja Alaungpaya menakluki Myanmar Bawah. Tentera wangsa Konbaung menakluki delta Irrawaddy pada Mei 1755. Pada Julai 1756, Perancis mempertahan pelabuhan Thanleyin. Kemudian ibu kota Pegu pula menerima ancaman pada Mei 1757. Kejatuhan kerajaan Hamsawati Baru itu menjadi titik penghujung bagi penguasaan suku bangsa Mon yang lama menguasai rantau Myanmar Bawah. 

Tentera wangsa Konbaung yang mengamuk menyebabkan penduduk berbahasa Mon melarikan diri ke benua Siam. Antara orang Mon yang lari ke benua Siam dari negeri Martaban adalah keluarga datuk sebelah bonda kepada perdana menteri pertama negara Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman. Ibunda baginda adalah puteri kepada kerabat diraja Martaban yang dipelihara dalam istana Siam kerana hubungan kebangsaan antara istana Siam wangsa Chakri (1782) dengan orang Mon sebelah Myanmar. Menjelang awal satawarsa ke-19 M, asimilasi, perkahwinan campur dan juga perpindahan besar-besaran keluarga suku bangsa Burma dari utara ke selatan telah mengurangkan kependudukan suku bangsa Mon yang selanjutnya menjadi suku bangsa minoriti sahaja.  

* Tunku Abdul Rahman adalah anakanda bongsu kepada Sultan negeri Kedah Darul Aman yang sebelum tahun 1948 merupakan negeri Melayu Siam yang dilindungi oleh empayar British Raya. Ibunda baginda berbangsa Mon dari terbitan pelarian kerabat diraja negeri Martaban di Myanmar Bawah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan