Rabu, 10 Julai 2013

Sanatana Dharma: Jalan Semulajadi yang Nirandra

Om Swastiastu!


Sanatana Dharma: Jalan Semulajadi yang Nirandra

Bagi agama orang Hindu ini, disebutlah oleh orang-orang Hindu sebagai Sanatana Dharma. Untuk pembacaan tuan-tuan budiman yang berbahasa Inggeris, bolehlah disemak pustaka berjudul "Sanatana Dharma: The Eternal and Natural Way" cetusan pemikiran Acharya Seri Dharma Parvataka.

Pustaka ini boleh menjadi panduan kepada loka Yoga, Vedanta, pertapaan dan juga agama kepercayaan orang Hindu itu sendiri. Ia merayakan segala tradisi yang ada dalam jalan kerohanian orang-orang benua Hindu sekelian. Dibekalkan juga oleh acharya kepada kita dengan pengenalan kepada dresti dan amalan-amalan yang diamalkan dalam jalan kerohanian purba ini.

Cara penerangannya lebih tersusun dan pendedahan drestinya pun menyeluruh tatkala menyentuh tradisi-tradisi kerohanian benua Hindu kita. Tak pasti jika di negara Indonesia mempunyai anuvada (terjemahan), tapi aku percaya mereka cepat sekali membuat anuvada bagi segala tradisi kehinduan berbanding dengan di sini yang terlalu bergantung dengan bahasa Inggeris. Di India pun sebenarnya begitu jua...

Pengertian Ringkas

Sanatana Dharma ini pada dasar sabdawalinya pun tiada cenderung kepada aliran-aliran atau pembahagian buah pikiran atau ideologi. Dua perkataan Sanatana Dharma itu pun terbitlah dari kata bahasa Sanskerta Purwa. Sanatana itu merupakan kata yang menunjukkan sesuatu yang anadi atau tiada permulaan dan anantha atau tiada penghujungnya atau yang nirandra.

Dharma pula sungguh banyak abhidanamnya sehingga tidak mampu dianuvadakan ke bahasa lain. Sudahlah kita bicarakan bahawa kata Dharma ini terbitan dari kata dhri yang bererti memegang dan memelihara. Erti yang lebih kurangnya itu adalah "Undang-Undang Semulajadi" atau Niyama Vaswavikata Lokam yang semulajadi bagi Jagat Raya. Makanya, sabdawali ini bolehlah dianuwadakan sebagai, "Jalan Purwa yang Semulajadi lagi Nirandra". Makanya inilah agama orang Hindu sekelian.

Tatkala dianuvadakan ke bahasa Melayu ini maka, Sanatana merujuk kepada nirandra, brahmasi, tiada mula tiada hujung, yang nilakada, sejagat, yang selamanya ada, tiada pernah terhapus, semulajadi serta tahan lama melalui samaya. Dharma ertinya anusarana, jalan, kebenaran, belas kasihan, jalan semulajadi, kebajikan, ajaran-ajaran, parampara, sampradayam, dresti, aturan, sejagat, aliran, agama, kebijaksanaan, menepati divyam, adarsa brahmandiyam, aturan paksi dan kejadian, adhikaram serta tugasan setiap kejadian.     

Rupakara Sanatana Dharma

Sanatana Dharma ini bukannya menunjukkan kepercayaan seperti Kristian atau Islam. Ia mewakili satu kod perundangan tindakan dan rupakara nilai yang dasarnya adalah kebebasan kerohanian. Sebarang jalan atau pandangan kerohanian yang menerima kebebasan jiwa atau rohani dari jalan-jalan lain pun diperkiralah sebagai Sanatana Dharma tapi bukan bahagian kehinduan kerana kehinduan itu terjadi bila berada dalam lingkungan Mahabharata.

Sedikit bahagian itihasa samaya pertengahan benua Hindu apabila Sikandar Lodi pemusnah vigraham yang merupakan seorang pemerintah wangsa Lodi di Delhi pernah membakar seorang sadhu bernama Sang Bodhana hanya kerana berkata bahawa agama orang Hindu dan agama Islam itu setaraf dan diterima sahaja oleh Sang Hiyang Maha Agung asalkan beriman dengan hati yang ikhlas.

Keadaan ini sebenarnya menunjukkan bahawa pemerintah beragama Arab yang berketurunan sebelah bapanya dari keturunan Afghanistan manakala ibunya Punjabi Hindu itu tidak memahami tuntunan agama yang dianutinya itu sendiri. Sebaliknya, sadhu Hindu yang dibakar hidup-hidup sampai mati itu yang menyebut semula perkara yang diterangkan dalam agama orang Arab itu yang berbunyi, "untuk kamu agama kamu dan untuk aku agama aku". Hanya sedikit kilasan pada ayat sahaja menjadikan penganut agama Arab itu yang bukannya berbangsa Arab menjadi dungu dan berhenti fikirannya. Kejadian ini sungguhlah pelik sekali, memandangkan ia menjadi pemerintah atau raja pula bagi suatu wangsa. Bagaimana boleh seorang raja yang dungu memerintah lingkungan mandalanya?

Utamanya, Sanatana Dharma ini adalah anadi iaitu tanpa permulaan dan juga apauruseya. Apauruseya itu ertinya, tiada pengasas dalam kalangan manusia pun. Ia dinirwacanakan melalui pencarian kebenaran brahmandiya atau menerusi renungan pada cakerawala. Tiada beda sangat pun dengan pencarian kebenaran yang menirwacanakan sains moden. Catitan awal tentangnya adalah Rigweda. Rigweda ini merupakan catitan perkara yang didengari oleh rei-reṣi purwa yang dalam pelbagai cara cuba mempelajari kebenaran tentang jagat raya atau alam semesta, dalam hubungan-hubungan antara kedudukan manusia dengan kramabhadda (susunan alam semesta). Mereka melihat kepada sifat-sifat atau ciri bagi segala hidupan dan kejadian dalam jagat raya sebagai sebahagian daripada persamaan sejagat yang tercetus dari Kesedaran Tertinggi.

Pencarian para reṣi ini tiada permulaan sejarahnya; tiada juga penemu sejarahnya. Kenyataan ini bukanlah menunjukkan bahawa Rigveda itu tak berada dalam bentuk karya kesusasteraan. Kenyataan ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh menunjukkan atau menyatakan masa tertentu atau orang tertentu dalam sejarah lalu berkata, "Sebelum terpacul perkara ini, segala yang tersebut dalam Rigveda itu tak pernah wujud". Pemahaman dalam kenyataan begini sebenarnya sama dengan pemahaman orang pada samaya moden ini kerana mereka menurut pula kepada logik orang Barat yang menyebut sesuatu itu hanya wujud selepas ia "dituliskan" dan "dibukukan".

Ciri Sanatana Dharma dalam Agama Orang Hindu
  • Lebih bertumpu kepada Sang Hiyang Widdhi berbanding dengan tumpuan lebih kepada reṣi atau nabi dalam bahasa Arab.
  • Lebih berdasarkan kepada pengalaman berbanding dengan percaya kepada kenyataan orang lain semata-mata.
  • Permulaannya melampaui sebarang tanggal dalam sejarah dan tak ditemui pun dalam sejarah.
  • Proses perkembangannnya datang dari biji yang bertunas dan dresti ini bolehlah dilihat dalam ceritera seperti Hiranyagarbha serta sebagainya.
  • Wujud dalam dan termasuk dalam segala jalan kehidupan.
  • Wujud di loka ini tetapi dalam masa yang sama lebih tinggi daripada loka maya.
  • Wujud dan mencakupi loka segala.
  • Wujud pada seluruh atau pada bahagian-bahagian jagat.
  • Mencintai segala dan tiada mengecualikan barang sesuatu kejadian pun. 
Mula Siddhanta Sanatana Dharma
Sanatana Dharma mengenalpasti bahawa bahagian terbesar dalam cita keagamaan manusia itu selalunya tidak diketahui, tiada nirwacanam bahkan melebihi sebarang kepercayaan yang diinstitusikan. Aliran jagat Dharma, tak mengira nama apa pun dipanggil baginya, sama ada Dharma atau dengan nama lain sebenarnya senantiasa wujud. Ia sudah wujud sebelum sebarang guru agung terjelma atau dilahirkan ke loka ini pun. Ia bukan lebih baik daripada yang lain atau menjadi jalan yang lain bagi yang lain sebaliknya ia berada dalam semua. 
Dari Dharma ini, terpacullah bumi kita dan kemanusiaan ini. Dharma bukan sahaja sebagai Dharma, tetapi senantiasa dan akan senantiasa begitu sahaja. Untuk hidup dalam penjajaran dengan jagat raya, dan untuk mengetahui tentang ciri-ciri sebenar Sanatana Dharma itu maka perlu seseorang itu mengenalpasti bahawa Sanatana Dharma itu adalah satu daripada jalan yang menerangkan tentang matlamat tertinggi dalam kehidupan sesuatu kejadian.

Sanatana Dharma menghormati pengalaman kerohanian perseorangan melebihi vada upacara rĕsmi. Di mana sahaja terjelmanya Kebenaran Sejagat maka di situ ada Sanatana Dharma. Sama ada ia dalam lapangan agama, kesenian, sains atau pun dalam kehidupan orang perseorangan atau masyarakat.  Apabila Kebenaran Sejagat itu tidak dikenalpasti di sebarang tempat pun tak mengira sama ada di benua Hindu atau di mana-mana, atau disempitkan kepada kumpulan tertentu, pustaka sastera, upacara tertentu sahaja atau orang perseorangan walaupun dengan nama Sang Hiyang Tertinggi, maka Sanatana Dharma itu akan berhenti perjalanannya. 

Sanatana Dharma itu mengandungi perundangan kejiwaan atau kerohanian yang mentadbir kewujudan manusia. Sanatana Dharma bagi kehidupan manusia itu samalah dengan undang-undang jagat raya yang berlaku pada fenomena fizikal bahan dalam jagat raya ini. Boleh juga dicontohkan dengan fenomena hukum graviti yang sudah pun wujud sebelum diketahui dalam bentuk ayat dalam teori graviti Newton. Perundangan jiwa dalam kehidupan sebagai perundangan-perundangan yang anadi atau abadi itu sudah ada sejak sebelum ditemui oleh para reṣi purwa pada samaya vaidika. Sanatana Dharma mengisytiharkan bahawa sesuatu yang tak boleh diterbitkan dari sesuatu atau jagat raya itu sendiri adalah jelmaan dari kejadian divyam atau jelmaan dari kejadian Sang Hiyang. 

Sejak Sanatana Dharma dirujuk kepada jalan-jalan kehidupan yang wujud pada masa yang sama dengan Yang Purna, dan Perundangan Svayan Siddha; makanya sabdawali Sanatan Dharma ini tidak merujuk kepada sesuatu yang terbuka kepada pindaan-pindaan. Sama seperti undang-undang graviti, matematik atau logik pun tak terbuka kepada debat aliran pemikiran atau pendapat berkaitan. Graviti sebagai contoh merupakan perundangan terwujud dalam alam semesta tak mengira sama ada seorang itu percaya kepada perundangan (hukum) graviti atau tidak. Sama juga dengan undang-undang Tuhan yang halus pun, ia melepasi segala cita pakapātapura atau pihak-pihak yang memecahkan diri mereka dengan aliran-aliran pemikiran atau perundangan dalam jagat raya.

Loka dan segala yang tercetus dari loka ini terbentuk dengan tiga kecenderungan yang kita panggil sebagai guna-guna iaitu sattvika, rajasika dan tamasika. Sattvika ini merupakan kecenderungan yang condong kepada bersih, molek, sempurna, tenang dan śantipriyam. Rajasika pula merupakan kecenderungan ke arah yang giat, bergerak, keraguan dan penuh paksaan. Tamasika pula merupakan kecenderungan kejadian ke arah kemalasan, lembap, mandom, lengai dan gelap. Jikalau tiada tiga guna ini, maka tak wujudlah kejadian segala termasuklah kita semua. Segalanya merupakan campuran tiga guna yang ini. Seorang muni yang pada dasarnya sattwika pun tetap mempunyai tahap-tahap rajasika dan tamasika dalam dirinya walaupun sebesar butir pasir sahaja.

Sanatana Dharma memperguna yogacara sebagai cara mencapai moka atau kesedaran mengenai Tuhan. Yoga diterjemahkan secara lemahnya menjadi "kesatuan" ke dalam bahasa bukan bahasa Sanskerta. Yoga merangkumi yang lebih daripada itu. Yoga itu merupakan tindakan yang membawa kepada pencapaian kesatuan dengan Brahman. Ia merangkumi pengalaman sebenar membebaskan diri daripada keterikatan lokamaya yang menyebabkan "jiwa" tidak menyedari bahawa Brahman itu sedang mengawasinya.
Seterusnya nanti kita akan membicarakan mengenai Yuga Dharma pula. Apakah Yuga Dharma itu dan bagaimana bentuknya? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan