Dharma yang ini adalah pandangan dreśti orang Hindu kerana sebelum ini aku sudah paparkan mengenai dharma pada pandangan ajaran Buddha. Untuk kita pahami dharma ini apa, tak cukup dengan sekadar memahaminya menerusi ajaran Buddha sahaja.
Dharma menurut kepada pemahaman Brahmana adalah Perundangan yang "mendukung, menyokong atau memelihara susunan aturan Jagat Raya". Dharma ini terbit dari kata akar "dhri" yang bererti "tapak untuk dipasak" atau "yang memelihara keseimbangan dan kebersamaan dalam Jagat Raya". Kata dharma ini sudah terpakai pada samaya Waidika dan ia dijelmakan sebagai salah satu ciri daripada Arta. Bhawana dharma ini merupakan tapak bagi segala agama orang Hindu: Brahmana, Jina, Buddha dan Sikh.
Dalam ajaran Buddha dan agama orang Hindu umumnya, dharma merujuk kepada pemurnian dan perubahan susila seseorang manusia. Mungkin dalam beberapa keterangan itu terdapat perbedaan. Tetapi kedua-duanya masih menekankan bahawa tujuan utama kehidupan makhluk atau manusia itu adalah untuk mencapai keselamatan dalam bentuk mokṣa atau nirwana. Dalam ajaran Sikh, pembebasan jiwa bukannya matlamat terakhir. Sebaliknya, ia merupakan tujuan penganut ajaran Sikh itu untuk melepaskan diri daripada segala keterikatan loka maya dan masuk ke bawah limpahan karunia duli baginda Guru.
Dharma ini bukan macam agama berbentuk dogma seperti Kristian atau lain-lain. Dalam pandangan orang Hindu juga, setiap benda dalam rupakara Jagat ini mempunyai dharma tertentu. Dari elektron, yang mempunyai dharma pergerakannya yang menurut cara tertentunya, sehinggalah kepada awan, nakchatara mandalam (galaksi), tumbuhan, serangga dan sudah tentunya manusia. Pemahaman manusia terhadap dharma bagi bahan tak bergerak pula dipanggil dalam pengajian sains moden kini sebagai, Fizik. Aku tak pasti sabdawali Arab untuk benda ini apa. Kalau mengikut kepahaman bahasa Melayu aku yang tercakup dengan jenis bahasa Melayu Purwa, Klasik sampai ke Moden di negara ini, mungkin erti dharma ini hampir sama dengan fitrah. Sebab itu aku selalu berasa pelik melihat orang merujuk kepada ajaran guru-guru, para jina dan buddha sebagai agama itu agama ini. Pada tapak pandanganku, setiap benda itu tak mengira bernyawa atau bernyawa mempunyai dharmanya sendiri. Dalam pandangan ajaran Buddha, dharma boleh juga diertikan sebagi kejadian-kejadian, prākṭhakarāṇa, wisayalana, fenomena dan sebagainya.
Latarbelakang
Dalam Rigweda, perkataan yang muncul sebagai akar nama, dharman, mempunyai pelbagai lapisan erti mencakupi "sesuatu yang kukuh tapaknya seperti sebatang silinder yang tercacak dengan pasak atas dan pasak bawah". Secara perlambangannya pemelihara atau pendukung dari dewata. Secara tatabahasanya, sama dengan kata bahasa Yunani iaitu ethos yang bererti perundangan, sasana, dan aturan. Dalam bahasa Sanskerta Klasik, kata nama ini menjadi kata yang menurunkan perkaitan-perkaitan erti lain iaitu dharma.
Dalam bahasa Parsi lama pula, kata akar dhar mempunyai erti memperketat, menyokong atau memegang. Ia turut berkaitan juga dengan bahasa Awesta yang kata rupanya "dar" membawa erti memegang. Bahagian adat-istiadat orang Parsi Purwa seperti penghormatan kepada api turut terdapat dalam adat-istiadat Hindu Brahmana. Dalam Atharwaweda pula, kata akar bertema ini disebut sebagai dharma dan dalam bahasa Bali kita sebutnya sebagai dhamma.
Nirwacanam
Dharma ini merupakan bhawana utama dalam dreśti orang Hindu dan keagamaannya. Susah untuk diberikan erti sempurna bagi kata dharma kerana kata ini mempunyai itihasa yang lama dan pelbagai. Ia memerlukan pula kepada susunan pengertian dan penafsiran yang rumit.
Selain daripada merujuk kepada Perundangan dalam Jagat Raya atau deria-deria abstrak atau Nama Dharma, kata dharma ini turut menerangkan tentang sikap yang dianggap perlu bagi memelihara susunan semula jadi semua bahan dalam Jagat Raya. Dharma mungkin mencakupi buah pikiran seperti tugasan, agama, kerjaya, dan segala sikap yang dianggap sebagai sesuai pada Jagat, benar atau pun menurut susila. Lawan bagi dharma ini adalah adharma ertinya tiada teratur tiada semulajadi, dibuat-buat atau dipaksakan.
Terbitan
Kata dharma sudahlah diguna pada samaya waidika, terbitlah ia sebagai salah satu daripada ciri Aṛta. Etika-etika dalam weda-weda ini adalah berdasarkan kepada bhawana Satyam dan Aṛta. Satyam ini merupakan prinsip jalinan yang berakar dalam Yang Mutlak manakala Aṛta itu adalah ungkapan kepada Satyam yang menyusun dan mengatur gerakan Jagat Raya dan segala yang terkandung dalamnya. Menurut kepada Aṛta membolehkan kita mencapai kemajuan dalam gerakan kita dalam Jagat manakala melawannya pula akan membawa kepada malapetaka!
Buah pikiran bahawa dharma sebagai tanggungjawab atau kesesuaian ini ditemui dalam aṛthasastram dan juga sastera-sastera agama orang Hindu yang lain. Dijelaskan bahawa memang ada susunan yang ditetapkan secara kedewataan pada alam semulajadi ini yang kita panggil sebagai Aṛta dan ada keadilan, keharmonian sosial dan kebahagian yang memerlukan orang ramai membedakan dan hidup dengan menurut aturan yang itu!
Panduan dan undangan berkenaan ini terkumpul dalam Dharmasastram. Dalam teks-teks ini, perundangan kemasyarakatan dihubungkan secara tidak langsung dengan agama orang Hindu sekeliannya. Maka, dapat dilihat bahawa pada samaya purwa di Nusantara ini raja-raja membuat penafsiran pada dharmasastram yang diajarkan oleh bangsa Brahmana kepada mereka itu bagi menjalankan pemerintahan dalam negeri dan segala hukuman walaupun pada dasarnya raja-raja yang berbangsa Melayu itu merupakan penganut ajaran Buddha. Sastram segala ini memuatkan arahan-arahan bagi jalan benar untuk perlaksanaan istiadat agama dan upacara serta jalan untuk menempuhi kehidupan secara berśila dan sattwika.
Penggunaan
Sabdawali dharma ini dipergunalah dalam semua pandangan hidup orang Hindu serta agama yang terbit di benua Hindu seperti aliran Saiwa, aliran Waisnawa, aliran Sakti, aliran Kaumara, ajaran Buddha, ajaran Jina, agama Sikh dan sebagainya. Dalam ajaran Buddha dan ajaran Jina, ia merujuk kepada ajaran yang tercetus dari Siddhartha Gautama dan Mahawira.
Dalam agama orang Hindu yang umumnya, ia bererti peraturan keagamaan dan silsila atau undang-undang alam semulajadi yang mengatur kehidupan seseorang sama ada tatkala dia berseorangan atau berkumpulan. Dharma yang berseorangan itu beda pula dengan dharma yang berkumpulan! Yang ini banyaklah manusia tidak memahaminya walaupun mereka itu belajar agama sampai setinggi kayangan. Erti kasarnya dari bahasa Sanskerta itu adalah kuasa undang-undang yang dikeluarkan sesuatu pihak atau adat-adat. Dalam masyarakat Hindu yang tradisional, dharma ini sudah pun terjalin dalam kehidupan mereka sejak samaya sejarah dengan peristiwa-peristiwa seperti yagna atau pengorbanan, silsila atau nilai-nilai akhlak mulia, sikap tabiat dan tanggungjawab menurut kepada jatiniyam seseorang, serta perundangan kemasyarakatan dan perundangan jenayah.
Erti biasanya lagi, mencakupi dua buah pikiran utama iaitu kehidupan kemasyarakatan itu disusun melalui rupakara warna yang sudah pun dinirwacanakan secara lengkap sempurna serta kehidupan orang perseorangan yang terdapat dalam sesuatu warna itu pula tersusun ke dalam tahap-tahap kehidupan yang dikenali asrama. Dharma ini pula bersesuaian dengan tahap umur, jati, pekerjaan dan juga jantina makhluk. Dewasa ini, kata dharma cuma digunakan bagi mengertikan "agama" contohnya seperti agama Hindu, agama Buddha, agama Kristian atau agama Islam. Tapi erti sebenarnya itu bukan semudah itu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan