Sabtu, 31 Ogos 2013

Dewata Hindu: Betara Indera

Om Swastiastu


Betara Indera ini dikenali jua sebagai Sang Śakra dalam weda-weda. Betara Indera merupakan ketua kepada para dewata serta menjadi raja Sorgaloka atau Kahiyangan menurut pemahaman agama orang Hindu. Betara Indera mengawal hujan dan juga petir. Baginda memegang wajra dan menunggang wahana seekor gajah puteh yang dikenali sebagai Airawata.  

Betara Indera merupakan salah satu kepala dewata dan merupakan saudara kembar kepada Sang Agni. Baginda merupakan salah satu anakanda kepada Sang Aditi dan termasuk dalam bangsa Aditya. Baginda berdiam di Gunung Meru di kahiyangan. Banyaklah nama lain merujuk baginda seperti Wersan Sang Lembu, Wertahan Penyembelih Wertra, Meghawahana Yang Menunggang Awan atau Dewapati Kepala Dewata.  

Nama Indera turut muncul dalam agama orang Parsi yang merujuk kepada bangsa dewa. Manakala nama lain baginda, Werethragna, merujuk kepada dewa kejayaan dalam agama orang Parsi. Sang Indra dipanggil sebagai Sang Śakra dalam weda-weda dan sastera ajaran Buddha. Baginda dikenali sampai ke Cina dan Jepun sana. Baginda dibesarkan sebagai pencetus yang menolak langit ke atas, melepas Sang Usas atau Subuh dari gua Wala serta menyembelih Si Wretra. Perlepasan Sang Usas dan penyembelihan Si Wertra ini menjadi tindakan yang diperingati dalam pengorbanan Soma. Baginda dikaitkanlah dengan Sang Wajrapani iaitu Kepala Dharmmapala atau Pelindung dan Penjaga Sang Buddha, Dharma dan Sangha yang menyelubungi kesaktian para Dhyani Buddha.

Di samping itu, baginda juga melakukan kilbiṣa atau kekacauan yang menyebabkan baginda kadang-kala didenda. Ceritera Purana menyebut baginda Betara Indera ini sebagai seorang adiwira yang ada masanya kurang ajar, suka bangga diri dan mudah jatuh cinta. Dalam agama orang Brahmana, baginda ini mempunyai pengaruh terutama seperti yang dapat dilihat pada peranan baginda dalam keagamaan orang-orang Brahmana purwa di Kemboja, Myanmar dan di Siam. Peranan baginda mula merosot selepas pengenalan konsep Trimurti dalam agama orang Hindu sekelian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan