Jumaat, 30 Ogos 2013

Hari Raya Dipawali: Puja Laksmi

Om Swastiastu


Sebelum bermulanya perayaan Hari Raya Dipawali, rumah kita hendaklah disuci bersihkan. Diperbuat Rangoli yang berwarna warni menyambut ketibaan Sang Hiyang Haji Dewi Sri. Bahan keperluan yang perlu tuan budiman sediakan pada penghormatan puja kepada dewata kahiyangan:

Bahan
  • Matawang emas, perak, dan lain-lain pada perlambangan kewangan
  • 10 biji buah pinang atau supari
  • Beras
  • 5 gulungan daun sireh atau dedaunan mangga
  • Barangan pinang bagai itu semua boleh disusun dalam tepak sireh
  • Sebiji buah nyior
  • Air dalam kendi kecil atau lotah
  • Kumkum atau debu merah untuk dipakai buat tilagam
  • Serbuk-serbuk warna yang diperguna semasa Raya Holi
  • Mithai atau manisan-manisan tempatan
  • Kapur barus dan yang ini semua ada saja di perumahan anda itu
  • Agarbatti atau colok wangian
  • Buahan kering seperti buah badam atau biji gajus
  • Thali atau pun hidangan yang dilungguk pada dulang berisi dengan nasi, kacang, sayur ulaman, susu kental dan lain-lain makanan bersih
  • Panjut pelita atau diyam pasang sekeliling laman rumah
  • Bunga berkelopak contohnya macam bunga mawar
  • Raksa Sutram iaitu buku catitan baru
  • Panchamrutam
  • Sehelai kain warna merah sebesar alam untuk meletakkan barangan pemujaan
  • Minyak sapi untuk nyalaan panjutan pelita dan lampu-lampu minyak
  • Air mawar
  • Air biasa
  • Lambang Sri Wiganeswara, Sang Hiyang Haji Saraswati, Sang Hiyang Haji Laksmi dan lambang Sang Hiyang Wisnu Narayana
Langkah Menjalankan Puja

Kalau tak jumpa orang Brahmana maka boleh perbuat sendiri. Tapi kena jelas dahulu lah. Mulakan pemujaan dengan menebarkan sehelai kain baru pada para yang terangkat dari lantai. Buatlah macam mana pun asalkan terangkat. Tabur pula segenggam bijirin macam beras di tengah kain itu dan letakkan kalasa atau jug yang terbuat dari emas, perak atau tanah liat. Isikan tiga perempat air dalam kalasa itu. Kemudian letak dalam kalasa itu sebiji buah pinang, sekuntum bunga mawar, sekeping matawang dan beras dalamnya. Lukis gambaran bunga teratai dengan serbuk kunyit pada beras lalu letakkan lambang Dewi Sri atasnya bersama dengan matawang.   

Letakkan lambang Ganesa di depan kalasa anda, pada sebelah kanan kalasa ikut arah mata angin barat daya. Letakkan bekas dakwat atau buku kira-kira yang berkaitan dengan perniagaan atau pekerjaan tuan pada para itu. Nyalakan pelita dan mulakan pemujaan dengan menyemahkan serbuk kunyit, kumkum dan bungaan pada para pemujaan yang diletak bersama dengan kalasa. Seru sekali dewi sungai untuk menjelma dalam air yang terdapat dalam kalasa.  

Seru Sang Hiyang Haji Laksmi dengan membaca mantraweda yang ditujukan untuk baginda. Boleh jua membaca mantra yang terdapat dalam purana atau lagi senang ambil sahaja bungaan pegang di tangan puspanjali lalu tutup mata tuan. Pikir hanya bertumpu kepada Dewi Sri dan jalankan abisekam secara mental memandikan baginda dewi dengan matawang emas di antara gajah duduk sambil menyebut nama baginda. Kemudian semahkan bungaan kepada lambang Dewi Sri.  

Letakkan lambang Sang Hiyang Haji Laksmi dalam  piring dan siramkan dengan air, panchamrutam yang terdiri daripada susu, susu kental, minyak sapi atau mentega suci, madu dan gula. Kemudian siramkan air yang direndam dengan barang kemas atau mutiara. Lapkan kering lambang itu dan letakkan kembali di atas kalasa. Cara lain yang lagi mudah, percik sahaja air dan panchamrutam pada lambang itu sambil letakkan sekuntum bunga.

Semahkan sebatian cendana, sebatian safron, wangian, serbuk kunyit, kumkum, abir dan gulal pada lambang dewi. Semahkan ikatan putik kapas pada lambang dewi. Semahkan bunga, utamanya bunga tahi ayam dan dedaunan pokok Maja. Nyalakan colok dan pendupa. Semahkanlah manisan, buah nyior, buah-buahan dan tambul

Semahkan bertih beras dan juga batasha. Taburlah sedikit bertih nasi, batasha, biji ketumbar, dan jintan atas lambang. Kemudian jalankan pemujaan pada simpanan barang kemas dan juga wang tuan yang ada di rumah. Kalau ada tabung tu, bawa keluar dan jadikannya sebagai lambang Datu Kuberan. Tujuannya meminta Datu Kuberan melindungi peti simpanan, tabung dan sebagainya.     

Penghujung upacara, bolehlah jalankan arti bagi Sang Hiyang Dewi Sri. Harus diingat bahawa baginda pantang bunyi yang terlampau kuat. Jadi, arti boleh dijalankan dengan gemerincing loceng kecil sahaja. Jangan tepuk tangan macam diperbuat dalam arti dewata lain. Pastikan keadaan berada dalam terkawal, tenang dan tidak bising-bising semasa puja hari Dipawali. Jangan nyalakan mercun atau benda bising semasa pemujaan berjalan atau sejurus selepasnya. Jika, pantang dilanggar maka baginda dewi akan menjauhkan diri dan lari.


Kalau di sebelah Siam sini, keadaan nya sama. Kawasan jelapang padi yang menyimpan kepuk padi kita tak boleh orang bising-bising. Baru aku ingat pernah dimarahi orang kerana berbuat bising di jelapang padi. Di rumah nenek aku dulu pun memang ada jelapang padi di antara rumah beliau dengan sawah padi. Jelapang padi itu bentuknya seperti bangsal kecil yang dibangunkan atas pancang. Kalau berada di situ mesti bersopan santun. Di situ dikatakan tempat Dewi Sri berdiam dan lalu-lalang. Ada juga orang yang menyeru Dewi Sri yang berbunyi lebih kurang, "maa maa mani ork cha maa" meminta Dewi Sri keluar memberi karunia jika sudah selesai menuai tanaman padi. Memang orang-orang di Siam terutamanya di Selatan berdepan dengan laut Andaman merupakan penganut ajaran Buddha, namun tradisi Brahmana masih lagi terdapat di kampung-kampung.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan