Jumaat, 30 Ogos 2013

Laksmi Puja

Om Swastiastu


Pemujaan Sang Hiyang Haji Laksmi atau Dewi Sri ini merupakan upacara yang dilaksanakan semasa Hari Raya Dipawali. Menurut tradisi, orang ramai akan menyalakan panjutan pelita di luar rumah mereka semasa hari Dipawali dengan harapan moga Sang Hiyang Dewi Sri turun memberkati mereka sekeluarga.

Dewi Sri Laksmi dipujalah oleh mereka yang ingin mendapatkan tuah dalam perjalanan mendapatkan kemewahan atau mengekalkan kemewahan kemakmuran mereka. Dipercayai bahawa Dewi Sri akan pergi ke rumah yang bersih dan rumah mereka yang rajin bekerja. Baginda Dewi Sri tidak inginlah pergi ke tempat yang kotor, tak bersih dan orangnya pemalas. 

Dalam falsafah Sri Waisnawa pula, Dewi Sri ini dihormatilah sebagai "Eswari sarwa bhutanam" yang ertinya itu Dewi Agung dan bukan sekadar sebagai dewi pembawa tuah kemewahan. Ini adalah perbedaan yang penting antara falsafah Sri Waisnawa dengan falsafah kebendaan lain. 


Ketika Bertuah

Hari ketiga Hari Raya Dipawali merupakan hari penting dalam pemujaan Dewi Sri dan ia seluruhnya ditujukan hanya kepada Dewi Sri. Pada hari matahari masuk ke gelungan kedua dan melepasi bintang Tularasi (Libra) yang diwakili oleh timbangan.

Makanya, lambang timbangan ini dipercayai menjadi lambang kepada buku kira-kira dan penutupan kira-kira. Walaupun hari itu jatuh pada malam gelap amawasya, namun ia masih dianggap sebagai ketika bertuah. Bunyian-bunyian yang menyenangkan hati dari genta, serunai dan gendang memenuhi pura pada pemujaan menyeru Dewi Sri dalam upacara perlambangan hati bermandi cahaya suci. Diceterakan bahawa Sang Dewi turun dari kahiyangan ke bumi dengan tangga-tangga bercahaya menyinari bumi sambil diiringi dengan bacaan mantra weda. 

Cahaya halus weda pengetahuan menyinari kemanusiaan dan pencerahan diri ini nanti ditonjolkan menerusi panjutan pelita yang dipasang dengan bermacam-macam cara oleh penganut agama orang Hindu. Kalau di Asia Tenggara, dipasanglah panjut pelita, pelita minyak tanah dalam rupa yang kita lihat seperti biasanya di Hari Raya. Kalau di India, dengan pelita minyak India itu lah. Sinaran cahaya lampu itu menyinari istana-istana orang kaya dan begitu jua lah gubuk-gubuk orang miskin. Dipercayai, Dewi Sri berjalan menerusi padang-padang menghijau dan berhenti-henti sebentar menerusi jalan-jalan bagi memandikan karunianya kepada manusia supaya mereka bertuah dengan kemewahan dan kemakmuran.   

Puja Dewi Sri ini merupakan peristiwa utama di Utara dan Barat India. Ia penting sekali bagi memastikan rumah penganut bersih dan murni pada Hari Raya. Dewi Sri sukalah dengan kebersihan, dan baginda melawat rumah yang paling bersih dulu. Makanya, penyapu pun ditabik pada hari ini dengan semahan debu kunyit dan kumkum. Pelita dipasang pada petang hari menyambut Sang Haji Dewi. Ia dipercayai menerangi laluan Dewi Sri yang memang sudah gemerlapan sinarannya.   

Pemujaan Dewi Sri mengandungi pemujaan gabungan lima dewata semuanya. Sang Ganesa dipuja pada mula setiap upacara sebagai tindakan membuka tuah apabila baginda nanti berperanan menjadi Sri Wiganeswara. Dewi Sri dipuja dalam tiga rupa baginda iaitu Mahalaksmi bagi mewakili wang dan tuah kemewahan, Mahasaraswati mewakili pustaka weda dan pembelajaran serta Mahakali. Kuberan yang menjadi bendahari bagi Sang Hiyang Dewata sekelian dipuja jua dalam pemujaan Dewi Sri Laksmi walaupun baginda ini dari kelompok asura.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan