Khamis, 29 Ogos 2013

Pengertian Koil

Om Swastiastu


Perkongsian kita pada pagi ini adalah mengenai pengertian kowel atau aalayam dalam bahasa Tamil di sini. Perkataan aalayam ini datang dari kata "anma" yang membawa erti "roh" dan layam pula bererti tempat di mana anma itu dapat mencari perlindungan dan ketenangan. Mungkin kata ini selari dengan kata "pura" di sebelah pulau Bali sana kerana pura itu ertinya kubu atau benteng perlindungan. 

Kata kowel pula datang dari kata ko yang membawa erti Sang Hiyang manakala wel atau yel ertinya itu tempat. Kowel, koil, koyil, kohyel dan sebagainya dieja dalam tulisan Roman sesuka hatinya itu bererti "Kediaman Tuhan". Bagi seorang Hindu itu, pura ini bukan sahaja tempat memuja Sang Hiyang. Tetapi juga merupakan tempat yang dipilih sebagai tempat berdiamnya Sang Hiyang yang memerintah jagat raya. Seorang Hindu itu memilih tiga tempat pemujaan Sang Hiyang iaitu:

1. Dalam hatinya
2. Di rumahnya
3. Di pura yang dibangunkan dan dipawitrakan perletakannya 

Struktur binaan pura itu sendiri dipandang sebagai jagat raya, dengan pembinaan dasarnya, rupanya dan hiasannya segala serta upacara yang dijalankan di sebalik tembok-temboknya itu semuanya bertujuan bagi mencapai kehalusan. Pada seni binanya, pura Hindu itu merupakan satu bentuk kesenian purwa yang tercetus dari tradisi keagamaan yang agung. Binaannya itu berubah sedikit demi sedikit menurut kurunnya. 

Struktur pura itu dibina menurut keserupaan pada tubuh manusia yang berbaring di atas belakangnya dengan hujung kepalanya itu dihadapkan ke Barat sedangkan kakinya menghadap ke Timur. Susunan begini tersirat dalam perlambangan kedudukan pura Hindu.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan