Sabtu, 24 Ogos 2013

Dewata Hindu: Dewi Pratiyangira

Om Swastiastu


 

Dewi ini berkaitan dengan Sakti. Sakti adalah konsep agama orang Hindu yang menyentuh tentang tenaga dalam jagat raya yang merupa wanita. Baginda dewi Pratiyangira ini digambarkan bermuka singa dan bertubuh manusia. Gabungan singa dan manusia ini mewakili pertimbangan kebaikan dan kejahatan. Nama lain dewi ini adalah Sri Atharwana Bhadrakali yang dikenalpasti dalam Atharwaweda sebagai rupa jelmaan Kali.

Itihasa

Seperti tercatat dalam Markandeya Purana. Pada permulaan Satya Yuga, begawan Narasimha iaitu jelmaan Betara Wisnu membunuh raja Hiranyakasipu dengan mencarik-carikkan tubuhnya dan meminum darahnya. Sebab dendam yang ada dalam tubuh raja Hiranyakasipu dan juga kesan darah manusia itu, begawan Narasimha menjadi mabuk darah dan tak berhenti-henti minum darah. Bagi menenangkan baginda, Betara Siwa dengan kesaktian kasih sayang turun sebagai begawan Sarabeswara berupa burung dan manusia.

Tatkala dilihatnya begawan Sarabeswara, begawan Narasimha pun mencetuskan Ganda Berunda iaitu burung berkepala dua yang berlawanan dengan begawan Sarabeswara. Disebabkan itu, begawan Sarabeswara menjadi murka lah lalu berubah menjadi Bhairawa dan mencetuskan dewi Pratiyangira dari mata ketiga baginda. Dewi itu memakan burung itu, murka amatlah dewi itu sehinggakan dewata kayangan lain pun tak pernah nampak sesiapa pun semurka dewi itu. Dewata kayangan sekelian memujinya kerana berjaya menenangkan begawan Narasimha dengan duduk di ribaannya. 

Setengah orang pula percaya pada samaya purwa apabila dua resi bernama Pratiyangira dan Angiras bertapa semadi lalu ditemui seorang dewi menerusi mula mantram yang tak bernama. Dewi itu memberi penghormatan kepada mereka dengan dipanggil dewi itu sempena nama mereka maka melekatlah nama Pratiyangira kepada panggilan dewi itu.    

Nama lain lagi bagi dewi ini adalah Narasimhika yang merujuk rupa baginda seperti singa tapi bertubuh manusia. Dipercayai baginda dewi mengibas-ngibaskan rambutnya sehingga terseret-seret bintang di jagat raya. Dewi ini dipercayai sangatlah sakti pada menawarkan pengaruh yang dijana oleh santet. Dalam pemujaan Sri Cakram, baginda dewi melindungi pemuja baginda daripada masalah dan menolong mereka menuju kepada jalan kerohanian. Baginda dewi selalunya dilambangkan sebagai karunia dalam aksara "ksham".

Dalam Sastera

Baginda dewi ada tersebut dalam Ramayana. Tatkala Indrajit menjalankan Nikumbala Yagam atau upacara suci memuja baginda dewi Pratiyangira manakala Seri Rama dan tentera sekelian berperang di Langka Dwipa. Sang Hanuman lantas turun menghentikan upacara yang dijalankan Indrajit itu kerana diketahui bahawa Indrajit akan mendapat karunia halimunan jika upacara diselesaikan.  

Dalam Sri Lalita Sahasranama pula, judul Mahabhairawa Pujitha dikenalpasti merujuk kepada dewi ini. Baginda juga digelar Bhairawapatni atau isteri Bhairawa. Lain-lain nama rujukan baginda adalah Daksa Yagna Winasini iaitu dewi pemusnah korban Daksa.

Pura Dewi

Ada tiga pura yang ditujukan bagi dewi ini di India. Biasanya pura mengandungi arca dewi Pratiyangira dan di pura lain ada Sri Maha Prathiyangira Sannidhi.

Pura Raya dewi ada di Ayyawadi dekat Kumbakonam. Itu adalah tempat Indrajit melaksanakan pemujaan Nikumbala Yagam dan keluarga yang kini menjaga pura itu telah pun berbuat demikian sejak 5000 tahun lampau sejak sebermulanya Kali Yuga. Di situ, arca dewi Pratiyangira diapit dengan dewi Laksmi dan Saraswati. Homam sahaja yang akan dipersembahkan kepada dewi ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan