Jumaat, 9 Ogos 2013

Itihasa Pemakanan pada Bangsa Brahmana

Om Swastiastu!


Mungkin ramai tak paham tentang bangsa Brahmana jadi kita cuba memberi kepahaman. Semoga ia membantu juga bangsa Brahmana lain yang sudah meninggalkan adat istiadat supaya kembali kepada adat jati masing-masing. 

Pemakanan sayuran atau vegetarian ini merupakan bahagian yang terjalin dalm kebanyakan aliran pemkiran agama orang Hindu walaupun ada banyak jenis amalan dan kepercayaan yang senantiasa berubah-ubah menurut samayanya. Dianggarkan, kira-kira 20-30 % orang Hindu adalah pengamal pemakanan sayuran. Setengah aliran agama orang Hindu tak ada pun mengamalkan pemakanan sayuran. Contoh yang tuan dapat lihat ada juga jati-jati bangsa Hindu yang mengambil daging seperti kelompok Nair di India Selatan. Tabiat pemakanan dan juga adat pemakanan ini pun bukanlah penyumbang utama yang memainkan peranan dalam pembentukan, evolusi atau perkembangan rupakara jati Hindu.

Sunder Lal Sagara (1975) dalam bukunya, "Hindu Culture and Caste System" muka surat 49-64 menjelaskan bahawa dari samaya weda sampai ke samaya-samaya awal Dharma Sutra pun, caturwangsa tak ada beza dalam pemakanan dan juga amalan kehidupan. Semua warna pun mempunyai tabiat pemakanan yang sama, dan kedua-dua jenis cara pemakanan vegetarian atau bukan vegetarian pun diamalkan menurut kepada pilihan orang perseorangan. 

Rujukan Weda pada Daging

Sastera Hindu terawal dari samaya weda atau yang merujuk kepada samaya weda awal kebanyakannya datang dari samaya yang berlangsung sampai 500 SM. Secara sejarahnya, agama orang Hindu berdasarkan kepada sastera weda tak pernah melarang pemakanan daging pun sebaliknya diberikan garis panduan pula untuk pemakanan.

Contohnya, Rigweda (10.87.16-19) menyebut tentang daging lembu dan kuda: 
Si setan yang melumur dirinya dengan daging lembu, dengan daging kuda dan tubuh manusia, yang mencuri susu lembu menyusu, wahai sang Agni, koyak-koyakkan kepalanya dengan api panas bergelojak mu!

Lembu yang memberikan susu setiap tahun, wahai manusia jangan biarkan Yatudhana (pengamal santet) merasainya pun! Jika sesiapa yang memberinya susu awal lembu juga, wahai sang Agni, selarlah api mu itu pada bahagian penting tubuhnya apabila dia bertemu kamu nanti!

Biarlah si setan yang meminum racun dari lembu; moga sang Aditi menghapuskan pembuat onar kejahatan. Moga sang Sawitri memberikan kehancuran kepada mereka, dan moga perkongsian tumbuhan dan rempah ratus menafikan mereka!

Wahai sang Agni, dari semenjak dulu lagi dikau menyembelih setan tak pernah pun raksasa sekelian mengatasi engkau. Bakar lah si bodoh itu semua, pelahap daging jangan biar mereka lepas pun dari bidikan panah suci mu!
Setengah orang menganggap ayat sastera weda ini sebagai satu larangan daripada menganiayai lembu, jangan menyembelih lembu dan jangan memakan daging secara umum. Yang lain-lain pula mengambil terjemahan kata yatudhana itu sebagai setan-setan, jin, atau roh jahat yang mencuri lembu dan susu orang. Mereka menyebut juga bahawa pemakanan daging lembu sebenarnya biasa sahaja semasa samaya turunnya sastera weda. Yatudhana juga boleh membawa erti sesiapa yang berkecimpung dengan roh jahat, pengamal sihir, penyantau dan santet. Banyak ayat-ayat sastera Rigweda pun mengandungi rujukan kepada penyembelihan lembu, kuda dan lain-lain binatang serta pemakanan daging.  
Pada hari-hari bulan Magha, lembu susu disembelih, tapi di hari-hari bulan Arjuri pula lembu diwiwahakan dengan pengantin. - Rigweda 10.85.13
Tatkala tiga kali orang lelaki semua berputar sekeliling kuda tunggangan, turutan demi turutan, yang menuju kepada para dewata sebagai semahan yang disuruhkan, kambing didahulukan, kongsian Pusan, dan kepada para dewata omkara sembelihan dibacakan. - Dirghatamas, Rigweda 10.162.4
Bahagian daging kuda tunggangan mana yang dimakan lalat, atau yang ditinggalkan pada bilah kapak atau penetak daging, atau yang melekat di tangan penyembelih atau di kuku-kuku, - dalam kalangan dewata itu jua, moga segala ini bersama dengan engkau. Makanan yang tak dihadamkan meruap dari perutnya, dan sebarang bauan daging mentah bersisa; Yang ini biar si penyembelih kemaskan dan hiaskan sembelihan dengan hidangan sempurna. - Dirghatamas, Rigweda 10. 162. 10
Mereka yang memerhatikan bahawa kuda itu sudah sedia dipanggil lalu berkata, baunya bagus sekali; tanggalkan ia; dan menghendaki daging, menunggu pengagihan, - moga kebenaran mereka itu menggalakkan pekerjaan. Cabang cubaan dicucuk pada daging dalam kawah, bekas-bekas dikeluarkan dan dituangkan kuah ke dalamnya, periuk-periuk panas, penutup hidangan, cangkuk, papan tetak, semua ini bersama dengan pinggan-pinggan kenduri. - Dirghatamas, Rigweda 10. 162.  
Atharwaweda pula melarang  pemakanan daging mentah yang tidak dimasak atau pun daging manusia. Suatu ketika dahulu di rantau Nusantara ini pun terdapat lah jenis orang yang memakan daging manusia termasuk juga dalam kalangan raja-raja Hindu sendiri yang memakan daging tahanan perang mereka.
Mereka yang memakan daging tak dimasak, dan yang memakan daging manusia berdarah, memakan janin, berambut panjang, maka halaulah mereka keluar jauh dari tempat ini! - Atharwaweda 8.6.23
Yajurweda pula menyebut mengenai Aswamedha atau pengorbanan kuda. Juga disebut tentang Purusamedha atau pengorbanan manusia (Yajurweda VS 30-31). Purusamedha atau pengorbanan manusia selalunya murni atas sebab keupacaraan, tapi tak ada pun bukti yang menunjukkan bahawa manusia pernah dikorbankan dalam upacara yang diberi nama Purusamedha ini kerana ia hanya disebut dalam makalah History of Vedic India oleh E. Ragozin terbitan Mittal Publications.

Sastera Kemudian

Setengah sastera suci yang berkanun kemudian juga melarang terus keganasan terhadap binatang ternakan kecuali dalam keadaan tertentu seperti dalam upacara pengorbanan. Pandangan ini jelas digambarkan dalam Mahabharata (3.199.11-12; 13. 115; 13.116.26; 13.148.17), dalam Bhagawata Purana (11.5.13-14), dan dalam Chandogya Upanishad (8.15.1). Sebagai contoh, ramai lah penganut agama orang Hindu yang memberikan cogan kata terkenal dalam Mahabharata berbunyi, "Tiada keganasan itu adikara tanggungjawab hidup kita dan ajaran tertinggi" dalam usaha mengelakkan keganasan serta menggalakkan pemakanan sayuran sahaja demi mengawal nafsu ganas utamanya kerana masyarakat di sebelah barat dunia memang terkenal ganas dan berkepala batu.

Ia turut tercermin dalam Manu Smerti (5.27-44), dan Manu Smerti ini merupakan sastera ternama dalam kumpulan Dharmasastram yang menjadi bahan ajaran kepada pentadbir Hindu dari kelompok Brahmana serta kelompok Kesatria. Sastera ini sangat-sangat melarang dan mengeji penyembelihan binatang serta pemakanan daging!   

Sastera Brahmana

Aitareya Brahmana dari Rigweda menyebut perundangan bagi pengagihan bahagian-bahagian pelbagai dari tubuh binatang sembelihan dalam kalangan pedanda Brahmana:
"Dua tulang pipi dengan lidah diberilah kepada Prastotar, dada dalam bentuk seekor helang kepada Udgatar, tekaknya dengan lelangit kepada Pratihartar..." 
Tersebut bahawasanya, penyembelih wangsa Kesatria dilaranglah makan makanan sembelihannya sendiri atau makanan-makanan korban lain, tapi pedanda wangsa Brahmana boleh memakan bahagian tersebut mewakili dirinya.  

Sutra-Sutra

Mpu Baudhayana dalam Dharmasutranya menyebut, binatang pemakang daging, burung-burung jinak, babi, ayam jantan janganlah kau makan dagingnya. Binatang berjari lima dan binatang bertapak terbelah boleh kau makan tidak pantang contohnya seperti rusa dan kambing. Burung seperti burung helang yang memakan mangsa dengan mencakarkan dan mencengkam kukunya pada mangsa pun boleh kau makan.

Dharmasutra oleh Mpu Apastambha menyenaraikan lagi beberapa contoh binatang yang tak boleh dimakan oleh orang Hindu. Disebut juga semasa upacara Sraddha, daging boleh juga disemahkan untuk nenek moyang. Jika tuan budiman berminat dan terasa rajin, cuba-cuba lah menyelaknya.  

Brahmana India Selatan

Brahmana India Selatan semasa samaya sutra, samalah seperti Brahmana di India Utara. Mereka pun pernah memakan daging juga. Cuma sekarang ini janganlah sebut pasal daging kepada Brahmana India Selatan terutamanya yang ortodoks itu kerana pasti mereka akan meraung seperti dicurahkan air panas pada tubuh. Dalam kekawin Purananuru, bilangan 113 dan 119 tersebut oleh seorang kawi bangsa Brahmana dari negara Tamil sebagai berkata: 
"Tanganku menjadi lembut sebab mereka tak tahu kerja keras melainkan makan nasi dan daging rebus dengan air asam jawa. Bau wangi asapnya itu mungkin bertindak balas pula dengan bau cebisan-cebisan daging..."
Kesan dari Gerakan Ajaran Buddha dan Jina

Bermula beberapa satawarsa sebelum masehi, ajaran Buddha dan ajaran Jina pun menymbang banyak kepada ajaran Ahimsa. Ajaran Ahimsa sangatlah dihargai sehingga menyebabkan kelompok pekerja yang menjadi penyembelih binatang hidup pula dibenci dan dikasari.

Dalam satawarsa ke-4 dan ke-5 M, negara Tamil di India Selatan telah mengalami pergolakan yang mungkin ramai orang tak tahu. Ia melibatkan hal agama. Penganut agama Hindu aliran Waisnawa dan aliran Saiwa sebenarnya berhentam dengan penganut ajaran Jina. Penganut aliran Waisnawa dan Saiwa berpendapat bahawa gerakan agama mereka tak akan dapat mengatasi gerakan ajaran Jina yang sangat ketat mengamalkan Ahimsa dan pemakanan sayuran, jadi mereka pun ikut berenti mengambil daging serta melarangnya di rumah mereka. Di samping itu juga mereka melarang pengambilan tuak dan minuman keras terutamanya bagi bangsa Brahmana. Makanya kini, tuan-tuan budiman dapat lihat Brahmana Hindu yang ortodoks terutamanya dari India Selatan sangatlah ketat memegang prinsip ini.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan