Jumaat, 2 Ogos 2013

Perayaan Hindu: Naga Panchami

Om Swastiastu!


Sebelum ini sudah ku bicarakan tentang perayaan Puri Ratha Yatra dan Guru Wiyasa Purnima yang berlaku dalam bulan Julai menurut penanggalan Barat. Kini aku ingin bicarakan sedikit tentang perayaan dalam bulan Ogos. Ini baru sahaja perayaan menurut penganut Hindu umum. Bukan lagi perayaan menurut kepada ajaran Buddha dan ajaran Jina Mahawira.

Naga Panchami


Naga Panchami ini merupakan perayaan yang dirayakan oleh penganut agama orang Hindu di beberapa bahagian negara India yang memuja ular tedung sama ada yang hidup atau dalam bentuk murti. Ular kita panggil secara umumnya sebagai naga dalam bahasa Sanskerta. Ia berlaku pada hari kelima selepas Amawasya dalam bulan Srawana. Tahun ini, ia jatuh pada 11 Ogos 2013 dalam Wara Adittiya. Biasanya, kaum wanita muda yang sudah berkahwin akan melawat keluarga ibu bapa mereka bagi merayakan perayaan ini. Utamanya di kampung-kampung, perayaan ini turut dirayakan dengan kaum wanita berendui atau berayun pada ayunan buaian yang digantung di cawang-cawang pokok.

Naga

Menurut kepada purana-purana, anakanda Sang Brahma bernama Resi Kashayapa mempunyai empat isteri. Isteri pertamanya melahirkan bangsa dewata. Isteri keduanya melahirkan bangsa Garuda. Isteri ketiganya melahirkan bangsa Naga. Isteri keempat melahirkan bangsa Daitya. Bangsa Naga ini menjadi pemerintah di Petala Loka

Sembilan Naga Agung antaranya tokohnya adalah:

1. Sang Ananta Bhoga
2. Wasugi
3. Sesha Naga
4. Seri Padmanabha
5. Kambala
6. Sangkapala
7. Dhartarastra
8. Taksaka
9. Kaliya

Purana-purana menyebut bahawa Begawan Kresna Wasudewa Yadawa berjaya mengalahkan Naga Kaliya. Maka angkara Naga Kaliya pun dihapuskan pada hari itu yang kini dipanggil sebagai Naga Panchami. Tradisi menyebut bahawa suatu ketika dahulu di lembah Kathmandu di Nepal itu pernah ada tasik yang sangat luas. Tatkala manusia mula mengeringkan tasik itu untuk membuat penempatan, maka mereka telah menyebabkan naga-naga yang menghuni tasik itu mengamuk. Bagi melindungi diri mereka daripada amukan para naga, maka mereka pun menjadikan beberapa kawasan di situ sebagai tempat suci bagi menjaga hati ciptaan Sang Hiyang lain dalam loka maya ini.

Purana-purana juga menyebut bahawa, seorang raja pernahlah menggunakan kesaktian tantranya untuk memaksa bangsa Naga kembali ke tanah mandalanya serta mengawal hujan. Para naga lalu bersetuju dengan raja tersebut dengan syarat bahawa kebolehan mereka mengawal hujan itu diiktiraf dan dihormati. Jadi, raja pun memberi penghormatan dan tabiknya kepada bangsa Naga dalam hari Naga Panchami. Dalam ajaran Buddha dan juga ajaran Jina pun, ular dianggap sebagai ciptaan yang suci dan mempunyai nilai-nilai kedewataan. Dipercayai bahawa ular tedung pernah menyelamatkan nyawa Siddhartha Gautama yang dicerahi. Yang lainnya juga pernah melindungi seorang muni agama Jina, Seri Parswanatha.

Bentuk Pemujaan


Semasa perayaan Naga Panchami, orang Nepal biasanya akan meletakkan gambaran Naga di atas pintu rumah mereka bagi menghalau hantu dan semangat jahat yang biasanya suka membuat kacau dalam hari perayaan. Mereka akan menjalankan pemujaan kepada para Naga, memberikan dana semahan makanan kepada ular-ular seperti susu dan madu di padang-padang yang didiami ular. Beberapa orang lelaki akan memakai topeng setan menari di lorong-lorong sebagai sebahagian daripada upacara pemujaan. Orang Hindu di Nepal juga mempunyai lagenda atau kimwadanti sendiri berkaitan dengan Naga sama seperti orang Hindu di Tanah Melayu dan juga di kawasan rantau lain. Keadaan ini membolehkan perayaan ini dirayakan secara besar-besaran dan seragam di seluruh dunia.

Bagi India Selatan seperti di negara Tamil, negara Karnataka, negara Andhra Pradesh dan negara Kerala pula, perayaan ini merupakan suatu perayaan yang dirayakan bersama dengan keluarga rapat serta hari meminta kesejahteraan bagi semua ahli keluarga. Perayaan ini dirayakan pada hari kelima bulan Srawana dalam penanggalan Hindu umum juga selepas Amawasya tapi dalam bulan Asadha. Pada hari ini, wanita-wanita yang sudah berkahwin dan anak gadis akan bangun awal untuk mandi tirtham, menyediakan pemujaan semah dan pergi ke busut-busut jantan terdekat. Busut jantan ini merupakan tempat tinggal ular. Di situ nanti akan dijalankan pemujaan dan semahan diberikan kepada Nageswaran atau jelmaan Betara Skandha (Dewa Muruga). Biasanya mereka akan membuat semah supaya keluarga sihat sejahtera dan mendapat karunia limpahan tuah.

Naga Panchami ini bagi orang Hindu India Selatan lebih kurang perayaan Raksha Bandhan bagi orang Hindu di India Utara sana. Jika tak ada busut jantan berdekatan rumah, maka semahan dibuat di murti-murti ular yang dipacak di pura-pura berdekatan penempatan. Sebahagian susu akan digunakan bagi semahan puja ular manakala sebahagian lagi dibawa pulang ke rumah lalu disemahkan kepada semua ahli keluarga sebagai lungsuran atau prasadam. Kaum wanita juga akan menjemput saudara lelaki kandung mereka ke rumah mereka. Mereka akan mencelup bunga ke dalam sisa-sisa susu dalam bekas lalu ditempelkan pada belakang saudara lelaki mereka, kemudian mereka akan menjalankan aarti dan memberi hadiah kepada saudara lelaki mereka. Manisan seperti Kadabu (Kudumulu) dan Nuchununde (Kanduntalu) disediakan dan disemahkan kepada Begawan Kresna yang mewakili Betara Wisnu Narayana. Lalu akan diedarkan kepada tetamu yang berada di sekitar sebagai dana lungsuran.

Pemujaan Busut Jantan di Tanah Melayu


Di sebelah Tanah Jawa mahupun di Bali aku agak kurang pasti dan tak boleh membuat sebarang ulasan tentangnya. Utama sekali aku tak pernah langsung ke sana. Tapi di tanah besar seperti di Tanah Melayu ini, aku mengetahui serba sedikit tentang adat istiadat Hindu tempatan yang diamalkan oleh sesetengah orang Melayu yang masih berkepercayaan tradisional walaupun sudah menganut agama lain. 

Contohnya seperti di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu di negeri Terengganu, ada saja amalan pemujaan busut jantan di Bukit Payung, Marang. Biasanya busut jantan dipuja bagi tujuan tertentu tapi masa pemujaan aku tidak ketahui pula kerana tak pernah bercakap dengan pemuja busut tersebut. Mungkin kerana mereka menjalankan upacara puja dengan bertanya kepada dukun atau bomoh yang berpengetahuan. Kedudukan busut jantan biasanya di kawasan belukar yang terlindung daripada pandangan umum atau di kawasan kuburan. Busut selain menjadi tempat kediaman yang ditunggu ular, juga merupakan gambaran kediaman Sang Sambu (Betara Siwa) atau disebut sebagai Hantu Raya (Semangat Agung) yang dari segi kebahasaannya apabila disebut oleh orang-orang yang berlagak suci tatkala sudah menganuti agama lain itu sudah tergelincir daripada erti awalnya yang membawa pengertian bahawa tanah-tanah berada dalam mandala pengawasan-Nya.

Ada juga peralatan seperti sudu perak yang diletakkan dalam buah nyiur yang dibelah dua di atas busut jantan bersama dengan puluhan biji telur ayam yang disemahkan kepada penunggu busut jantan. Jika nak buka tanah baru pun, kebetulannya ada busut jantan maka pemujaan dan semahan dijalankan juga di busut tersebut. Jika hendak nombor ekor pun, setengah orang akan membuat semahan di busut jantan. Yang puja nombor ekor itu sudah pastilah orang-orang tak guna yang menyalagunakan loka maya demi tujuan peribadi yang membawa loba. Mereka memuja harta benda akibat kebodohan dan mereka layak ditabuh-tabuh sahaja kerana memberi gambaran buruk kepada tradisi tabik hormat kepada sesama ciptaan untuk kewujudan harmoni dalam istiadat kehinduan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan