Khamis, 29 Ogos 2013

Pura Hindu Kekurangan Pedanda

Om Swastiastu dan Wanaggam


Aku ada terbelek beberapa keratan akhbar yang membincangkan isu-isu berkaitan orang Hindu tempatan. Masalah ini rasanya berlangsung sejak tahun 2008 lagi. Kita kekurangan pedanda dan terpaksa meminta bantuan pedanda Hindu dari India. Pengerusi Majlis Amanah Pura Sri Maha Mariamman, tuan A Wasudewan Nair menyatakan sukarlah bagi salah satu daripada dua pedanda hendak menjalankan upacara bagi 5,000 sampai 10,000 orang Hindu yang membanjiri pura ramai utamanya jika ada perayaan utama. 

Bahagian imigresen membenarkan pula pekerja-pekerja restoran atau kelompok pekerja seperti tukang gunting rambut dari India untuk masuk dan mendapatkan kebenaran bekerja tapi malangnya pedanda pula menghadapi masalah. Kita dapatilah bahawa orang tempatan sendiri pun tak minat nak menjalankan tugasan pedanda di pura-pura. Semua orang pun hendak bekerja yang bagus-bagus belaka. Jadi pedanda tak glemer macam itu. 

Bila jadi pedanda, maka bukan sahaja tugasnya menjalankan pujai dan upacara tapi perlu juga membantu membersihkan kawasan pura. Yang Kongres India dan Hindu Sangam pula sibuk hendak membangunkan kuil baru sahaja tapi tak pernah nak meminta kerajaan supaya mengkaji dasar bagi memperkukuh komponen-kompenen pura yang sedia ada. Pada tahun 2008, katanya tugas ini terletak di pundak timbalan presiden Kongres India dan Menteri Sumber Manusia, tuan S. Subramaniam tapi nampaknya tak jalan apa-apa pun.

Ada cadangan yang kerajaan pernah merancang untuk menghantar orang Hindu tempatan bagi latihan sebagai pedanda, pemain bunyian di pura dan juga mempelajari kepakaran seni bina Hindu di India bagi tempoh sehari sahaja. Masalah ini, mula menjadi teruk sejak kerajaan berkeputusan membekukan pengambilan pedanda baru dari India.

Masalah yang dihadapi jika melatih pedanda tempatan pula adalah seperti kurang mahir dalam bahasa Sanskerta yang terpakai dalam mantra yang mesti dibaca dalam upacara dan pemujaan. Pedanda pun kurang jika nak dibandingkan dengan orang yang datang menjalani pemujaan. Contohnya lah, seorang pedanda terpaksa melayani 5000 orang pemuja menjalankan upacara. Mungkin pihak berkenaan yang berada dalam jentera pentadbiran perlu juga memberi perhatian kepada keperluan pemuja dan juga keperluan serta kebajikan pura. Bukan hanya sibuk memperbaik, membina semula bangunan pura atau membangunkan pura baru. 

Mungkin membangunkan satu institusi melatih pedanda Hindu secara terancang dengan kurikulum kehinduan menurut cara Siwa Siddhanta atau kemungkinan yang lain bagi mengatasi masalah? Kalau dah dibangunkan institusi mungkin persoalan lain pula timbul. Contohnya berapa ramai pelajar yang berminat mempelajari agama, upacara dan lain-lain yang berkaitan dengan pura? Sara hidup pedanda pun datang dari para pemuja, bukannya dibantu kerajaan. Jadi mungkin banyak perkara yang perlu dikaji juga sebelum perlaksanaan sesuatu dasar itu. Ini sebahagian daripada luahan yang kita dapati lah dari laporan-laporan warta berita. Harap mendapat perhatian sewajarnya supaya masalah dapat diatasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan