Sabtu, 31 Ogos 2013

Pura India Selatan: Sri Maha Mariamman

Wanaggam


 

Koil Sri Mahamariamman ini merupakan pura Hindu tertua di Kuala Lumpur di negara Malaysia. Ia dibangunkan pada 1873, bertempat di hujung pekan Cina Jalan Bandar. Pada 1968, bangunan baru iaitu Raja Gopuram dibina menurut gaya binaan India Selatan. Pura ini mulanya memberi khidmat pelayanan bagi pemujaan masyarakat Tamil yang berhijrah ke Tanah Melayu pada awal abad ke-19 M. Ia kini menjadi pusat kebudayaan Hindu dan juga warisan kebangsaan negara moden ini. Video oleh Encik Marcus Vinicius Carvalho.  

Itihasa

Pembangun awal pura ini, tuan K. Thambusamy Pillai menggunakan kawasan itu sebagai tempat pemujaan keluarganya. Kemudian keluarga Pillai membuka pintu pura keluarga mereka untuk pemujaan orang ramai pada lewat 1920an dan kemudian pengurusan pura diserahkan kepada badan amanah.

Pura ini merupakan antara pura yang paling tua berfungsi semula di Malaysia. Ia diperkatakan sebagai antara terkaya sekali dalam negara. Sebelum itu, ia terletak dekat-dekat dengan Stesyen Kereta Api Kuala Lumpur. Kemudian ia berpindah ke lokasi terkini di Jalan Tun H.S. Lee pada 1885. 

Struktur atap pura diruntuhkan pada 1887 dan sebuah bangunan batu-bata didirikan di situ. Kemudian ia dirobohkan lai bagi memberikan ruangan yang lebih baik kepada bangunan pura yang seperti kini sejak 1968. Gerbang masuk ke pura itu dikenali sebagai gopuram, siap terbina pada 1972. Bangunan pura yang baru dibuka semula pada 1973. 

Senibina

Gopuram

Terbina dengan gaya India Selatan. Ia mempunyai lima lapisan semuanya. Antara yang tertinggi dalam pura tersebut iaitu 22.9 m atau 75 kaki. Bentuknya seperti piramid menegak, dihiasi dengan gambaran dewata sekelian oleh tukang-tukang ukir Selatan India. Kepala tukang ukir, mendiang tuan S. T. Muniappa dari Tamil Nadu dan beliau bertanggungjawab mengukir 228 lambang dewata pada gopuram pura itu.

Garbagraham

Pura ini menyerupai rupa manusia berbaring dengan kepalanya mengadap ke Barat dan kaki ke Timur. Gopuram lima lapisnya itu bertindak seperti kaki manusia. Ia menjadi gerbang antara loka kebendaan dengan kejiwaan. Pada sisinya pula ada garbagraham atau lapangan pemujaan. Ia bertindak sebagai kepala. Ia merupakan bangunan yang sendiri dengan bumbung dan tembok sendiri serta ada pintu masuk satu yang menghadap ke Timur. Tapak ini merupakan tapak suci dalaman yang menempatkan lambang dewi Sri Maha Mariamman. Pedanda selalunya akan berdiri di depan garbagraham tatkala menjalankan puja.

Dalam pura ada lapangan pemujaan utama yang lelangitnya sarat dengan hiasan. Kedudukan tiga bangunan suci dalam pura utama itu ditandai dengan bumbung bentuk kubah bawang yang kelihatan di luar. Ada empat lagi bangunan suci dalamnya yang tersusun secara mengelilingi bangunan pura utama. Sang Pillaiyar (Ganesa) ada dalam bangunan suci yang ke kiri dan Sang Muruga (Skandha) pula di sebelah kanan. Sang Pillaiyar juga ditemui pada pintu masuk bertindak sebagai Wiganeswara menolak malang dan halangan. Lapan patung wanita menghiasi dinding-dinding dalaman pura pula adalah lambang Dewi Sri Laksmi. Sekali dalam 12 tahun menurut tradisi Hindu, pura akan disucikan semula.

Pedati Perak

Pedati perak juga turut dirumahkan di pura ini. Pedati ini akan diperguna semasa perayaan Thaipusham. Ia akan menanggung vigraham Sang Muruga dan peneman baginda, Si Walli dan Si Deiwayanni menerusi laluan di bandar itu sehingga ke Batu Malai. Ia terbuat pada 1893 dengan menggunakan 350 kg perak berharga RM350,000. Pedati ini ditukangkang pandai dari India dan dikapalkan ke Kuala Lumpur dengan 12 bahagian tercerai yang disambungkan di situ. Tinggi pedati itu 6.5 m dengan 240 loceng bersama dengan sepasang kuda padanya. Sebelum pedati perak diperguna, pedati kayu yang diperbuat pada 1930 oleh seorang tukang India berharga RM50,000.  

Bangunan Mariamman

Baru-baru ini, Pura Sri Maha Mariamman selepas 40 tahun penantian akhirnya mendapat bangunan tersendiri. Sebanyak RM13 juta diperuntukkan bagi pembinaan enam tingkat bangunan di belakang pura itu di Jalan Tun H. S. Lee. Ia diresmikan oleh Menteri Kerja Raya dan Presiden Kongres India, Datuk Sri S. Samy Wellu.

Pengerusi pura, R. Nadarajah berkata bahawa idea membina bangunan itu sebenarnya diutarakan oleh Datu Sri S. Samy Wellu sendiri sejak 38 tahun lalu tatkala beliau menjadi jawatankuasa pura tersebut. Bangunan itu dipanggil Bangunan Mariamman dibina sebelah Stesen Bas Klang dan berdepan Stesyen LRT Putra. Ia dihubungkan dengan pura dan ada dua tingkat tempat letak kereta bawah tanah, serta tiga tingkat untuk dua auditorium serta ada satu dewan keramaian.

Dewata Pura

Dewi Maha Mariamman terkenal dipuja dalam kalangan orang Hindu yang berada di luar India. Terutamanya dalam kalangan orang Tamil. Baginda dilihat sebagai pelindung semasa mereka berada di tanah asing. Dewi Maha Mariamman merupakan jelmaan dewi Parwati yang merupakan rupa kepada ibu pertiwi yang berkuasa mengawal persekitaran. Baginda dewi dikaitkan dengan penyakit, wabah demam, dan melindungi pemuja baginda daripada kekotoran dosa serta kejadian-kejadian yang disebabkan oleh asura.

Pengurusan Pura Hindu

Pura Sri Maghaa Mariamman ini diuruskan oleh Badan Pengurusan Pura Sri Maghaa Mariamman Dewastanam. Badan pengurusan ini turut menguruskan Pura Sri Subramaniam Batu Malai dan juga Pura Kortumalai Pillaiyar. Badan pengurusan ini juga memainkan peranan sebagai Konsultan Keagamaan Hindu bagi Kerajaan Persekutuan Malaysia terutamanya dalam perkiraan bintang, purnima dan penentuan penanggalan Hindu bagi Hari Raya Hindu.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan