Sabtu, 19 Oktober 2013

Karwa Chauth: Cetera


Banyaklah cetera-cetera menyelubungi perayaan Karwa Chauth ini. Dalam setengah penceteraan itu, ada yang berhubung kait pula dengan yang lain. Satunya bertindak menjadi bingkai kepada cetera yang lain.

Cetera Ratu Wirawati

Suatu ketika, ada seorang ratu yang cantik sekali dipanggil Wirawati. Baginda cuma seorang sahaja perempuan dalam kalangan delapan saudara kerana yang lainnya itu semua laki-laki. Baginda menghabiskan separuh mula hidupnya itu sebagai wanita berkahwin di istana ayahanda baginda.

Baginda memulakan puasa yang ketat sekali sejurus naik mentari namun pada petangnya bulan tak muncul tiba. Baginda keletihan dan kelaparan tapi tidak dapat keluar dari wratam puasa baginda kerana bulan tiada. Kakanda baginda bertujuh itu sangatlah kasihan melihat adinda nan menderita lantas meletakkan cermin di pohon Pipal sehingga kelihatannya seperti bulan mengambang.

Demi melihat cermin itu, disangkanya bulan lantas berbuka puasalah baginda ratu. Tatkala menjamah santap makanan tiba-tiba sampai berita bahawa suami baginda, sang raja sudah mangkat. Patah ranap hati baginda, berteriak sepanjang malam sampai sakti baginda itu memaksa seorang dewi menjelma lalu dewi bertanya apa sebabnya tuanku berteriak hiba? Dijelaskanlah bahawa suami baginda sudah mangkat. Dewi pula mendedahkan bahawa baginda sudah diperdaya saudara-saudara baginda yang menyebabkan baginda berbuka puasa sebelum masanya. Lalu, diarahkan supaya mengulangi semula Karwa Chauth bagi menyempurnakan bakti. Bila diteruskan puasa baginda, Sang Yama terpaksa pula mengembalikan roh suami baginda Wirawati ke tubuh kakunya kerana kebaktiannya yang tinggi itu.

Dalam cetera lain, disebut bahawa kakang saudara Wirawati membuat unggun api besar-besaran di belakang sebuah gunung supaya adinda mereka terpedaya lalu berbuka puasa. Baginda berbuka puasa lantas sampai berita bahawa suami baginda mangkat. Baginda terus bergegas ke istana suami baginda tapi pada separuh jalan baginda dipintas oleh dewi sakti, Parwati. Dewi Parwati mendedahkan bahawa baginda telah diperdaya, lantas dewi Parwati mengerat sedikit jari baginda sampai menitis pawitra darah baginda. Diarahkan supaya diambil dan disimpan tatkala menyambung semula puasa baginda. "Darah" dewi Parwati itu kemudian direnjis sedikit ke tubuh suami baginda Wirawati, lalu sampai berita di istana Yama pula supaya mengembalikan roh raja itu ke tubuhnya biar bersatu dengan sang permaisuri.

Cetera Mahabharata

Kepercayaan dalam puasa ini juga diperkait lagi dengan cetera yang lebih boran (purwa) sebelum munculnya Mahabharata. Diperkatakan bahawa Draupadi pun pernah berpuasa. Sekali, Sang Arjuna pergi ke Nilgiri bagi kebaktian dan seluruh para Pandawa menghadapi masalah kerana ketiadaan baginda. Draupadi kerana begitu terdesak lantas teringat akan Begawan Kresna dan memohon bantuan. Begawan Kresna mengingatkannya bahawa dalam kejadian yang lebih awal, dewi Parwati pun pernah meminta petunjuk Betara Siwa disebabkan keadaan yang sama. Lalu dinasihati supaya berpuasa Karwa Chauth.

Dalam penceteraan lain, Betara Siwa dikatakan menceterakan mengenai Wirawati kepada dewi Parwati bagi menggambarkan tentang bagaimana cara berpuasa Karwa Chauth. Draupadi kemudian menurut perintah dan menjalani puasa dengan segala upacaranya sekali. Kemudian, barulah para Pandawa melalui segala masalah dengan lancar.

Cetera Karwa

Seorang wanita namanya Karwa sangatlah bakti kepada suaminya. Cinta bersangatan dan kebaktian pada suaminya memberinya sakti. Sementara mandi di sungai, suaminya itu telah dicengkam seekor buaya. Karwa mengikat buaya itu dengan belitan benang kapas dan meminta Sang Yama menghantar buaya itu ke neraka! Sang Yama enggan, lalu Karwa mengancam untuk menyumpah Sang Yama dan menghapuskannya! Sang Yama yang terkejut dan bimbang dimakan Patiwratam maka menghantarlah buaya itu ke neraka dan mengarunia suami Karwa usia panjang. Hidup mereka dalam usia perkahwinan bahagia. Sampai hari ini, wanita Hindu utamanya di India Utara merayakannya dengan penuh keyakinan dan kepercayaan demi cinta pada suami.

Cetera Satyawana dan Sawitri

Sang Yama datanglah hendak memungut jiwa Satyawana. Sawitri, isterinya itu merayu-rayu jangan diambil suaminya. Sang Yama enggan dan tetaplah diambilnya nyawa Satyawana. Sawitri berhenti makan dan minum lalu mengikut Sang Yama sekali membawa suami beliau. Sang Yama berkata bahawa kau mintalah apa sahaja pahala pun, tapi suami kau takkan dihidupkan kembali. Sawitri meminta supaya beliau dikarunia dengan anak-anak. Sang Yama setuju lah. Menjadi Patiwratam atau isteri yang setia bakti itu, Sawitri tidak mau lelaki lain pun melainkan suaminya itu saja menjadi bapa anak-anaknya. Jadi, Sang Yama tiada pilihan lain melainkan memulangkan semula nyawa Satyawana biar mereka beranak-pinak berketurunan pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan