Kerajaan Dharmasraya merupakan sebuah negara kota yang berada sekitar rupakara Sungai Batang Hari di negeri Jambi dalam Sumatra Barat kini. Kerajaan ini boleh dikenalpasti juga dengan nama Bhumi Malayu atau Suwarnabhumi menurut Prasasti Padang Roco. Rujukan nama Malayu ini menyatakan bahawa kerajaan ini berkedudukan atas tapak kerajaan yang lebih lama iaitu kerajaan Malayu. Sebelum terserap masuk dalam mandala jajahan Sriwijaya lewat kurun ke-7 M. Keadaan ini memberi gambaran seolahnya kerajaan Dharmasraya ini merupakan penerus pusaka kerajaan Malayu. Dharmasraya bebas sepenuhnya selepas Sriwijaya berantakan pada 1025 M.
Pembentukan
Selepas penaklukan maharaja Rajendra Chola dari Koromandel, pemerintah Sailendrawamsa mengambil alih pulau Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu yang mula lemah. Tak lama kemudian, datang pula wangsa baru yang mengambil alih peranan Sailendrawamsa iaitu Mauliwamsa. Kerajaan Dharmasraya ini boleh disebut sebagai pengganti Sriwijaya.
Prasasti tertua mempunyai pahatan nama maharaja Mauli adalah Prasasti Grahi dipahat pada 1183 M ditemui di rantau Chaiya dalam Semenanjung Tanah Melayu bahagian Thailand. Prasasti mempunyai pahatan perintah Maharaja Srimat Trailokiyaraja Maulibhusana Warmadewa kepada bhupati di Grahi bernama Mahasenapati Galanai supaya membangunkan Om Rupa Buddha seberat satu bahara dua tula dengan nilaian 10 emas tamlin. Karyawan yang bertanggungjawab mencetuskan om rupa suci itu adalah Mraten Sri Nano. Prasasti kedua dari Mauliwamsa pula dipahat seratus tahun selepas itu iaitu lewat 1286 M. Prasasti itu menamakan kerajaan Dharmasraya dan nama raja, Srimat Tribhuwana Mauli Warmadewa ditemui dekat kawasan kepala air Batang Hari di Padang Roco.
Pengaruh
Dalam manuskrip orang Cina berjudul Chu Fan Ch'i karya Chau Ju Kua tahun 1225, disebut bahawa negeri Sriwijaya itu mempunyai 15 jajahan iaitu Kemboja, Grahi, Tamralingam, Langkasuka, Kelantan, Cherating, Terengganu, Muara Sungai Dungun, Semawe di pantai timur Semenanjung Malaya, Sungai Paka, Pahang, Lamuri, Jambi dan Sunda. Kekuasaan jajahan mereka terbentang dari Kemboja, Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera sampailah ke Sunda.
Rujukan
Istilah Sriwijaya yang terpakai semasa wangsa S'ong di China tahun 990-an ketika itu masih merujuk kerajaan Sriwijaya yang wangsa lama. Namun, pada 1025 M, Sriwijaya mula mundur. Istilah Sriwijaya masih lagi terpakai dalam sastera Cina bagi merujuk Sumatera. Keadaan ini bertentangan dengan Prasasti Tanjore 1030 M yang mewartakan bahawa Sriwijaya sudah hilang kuasa atas Sumatera dan Tanah Melayu. Selain itu senarai negeri Sriwijaya ditemukan juga nama Palembang. Palembang itu memang ibukota Sriwijaya di Sumatera jadi tak mungkin ia adalah jajahan Sriwijaya kerana memang ia adalah negeri Sriwijaya. Catitan Cina menyebut pada 1079 M dan 1088 M, Sriwijaya masih menghantar duta ke Jambi dan juga ke Palembang.
Catitan Cina judulnya Sung Hui Yau menyebut kerajaan Sriwijaya menghantar duta ke China pada 1082 M yang diperintah oleh maharaja Yu'en Fong. Duta menyampaikan surat raja Jambi yang menyembah ke Sriwijaya serta menghantar pula 227 tahil hiasan, rembia, dan 13 persalinan kain. Duta dihantar lagi tahun 1088 M. Senarai negeri bawahan langsung tak menyebut nama Malayu atau nama lain yang hampir sama dengan nama kerajaan Dharmasraya. Demikiannya, istilah Sriwijaya pada 1025 M itu sebenarnya tidak sama lagi dengan Sriwijaya lama. Melainkan kerajaan Dharmasraya yang memegang tampuk kekuasaan Sriwijaya ketika itu. Senarai 15 negeri yang tersebut itu sebenarnya merujuk kepada negara-negara jajahan kerajaan Dharmasraya kerana sebaik sahaja dihentam oleh empayar Chola dari India Selatan itu, wangsa lama sudah beralih ke wangsa baru pula. Istilah Sriwijaya itu dipakai wangsa Ming dari China dalam catitan mereka kerana mereka tidak tahu cerita.
Pada kurun ke-14 M, samaya kerajaan Hindu Majapahit itu, catitan sejarah Majapahit berjudul Negarakertagama tahun 1365 M langsung tidak pernah menyebut pun nama kerajaan yang bernama Sriwijaya kecuali disebut nama kota Palembang sahaja.
Senarai Raja Mauliwamsa
Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa memerintah 1183 M dari negara Dharmasraya di Jambi.
Srimat Tribhuwana Raja Mauli Warmadewa yang memerintah 1286 menghadapi kempen ketenteraan kerajaan Singosari dari Pulau Jawa selepas mereka melawan dan enggan menyembah ke Singosari.
Srimat Sri Udayadityawarman Pratap Parakrama Rajendra Mauli Warmadewa memerintah 1347 M. Ibu kota Dharmasraya dipindahkan ke Pagar Ruyong semasa pemerintahan baginda ini. Baginda turut memerintah diperbuat Om Rupa Buddha Amoghapasa.
Tiga ini sahaja dikesan sebagai pemerintah dari negara Dharmasraya dan wangsa Mauli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan