Jumaat, 26 Ogos 2011

Ajaran Jain


Asal-Usul dan Sejarahnya

Ajaran Jain merupakan antara ajaran yang lama berasal dari timur benua kecil India. Penyebarannya sekitar abad ke-6 SM disebabkan oleh ramai orang yang pada mulanya menentang susunan atur masyarakat dan upacara yang dijalankan dalam ajaran Brahmana.

Pekataan Jain berasal dari kata Jina bermaksud yang berjaya menakluki diri dalamannya sendiri dan dunia luaran. Para Jina dihormati dan disembah melebihi sembahan kepada para dewa. Ada seramai 24 Tirthankara atau orang alim menurut ajaran Jain. Yang terakhir sekali dalam Thirthankara tersebut adalah Mahawira (599-527 M) yang merupakan pengasas Jain hari ini.

Sastera suci pengikut ajaran Jain merupakan hasil kumpulan tulisan Mahawira dalam bahasa Sanskrit. Selepas kematian Mahawira, terjadi lah perpecahan antara masyarakat Jain kepada dua aliran yang terbesar. Aliran-aliran tersebut adalah aliran Swetambara dan Digambara. Perpecahan ini terjadi kerana masalah ketidaksefahaman dalam hal tatacara kebiaraan.

Kaum Swetambara percaya bahawa sami dan sami wanita haruslah memakai pakaian warna putih manakala kaum Digambara percaya bahawa Mahawira sebagai seorang sami mengembara dengan tiada berpakaian langsung dan wanita tidak boleh menjadi sami kerana seorang itu tidak boleh mencapai kebebasan rohaniah dalam jasad wanita. Makanya aliran Digambara ditendang keluar oleh aliran Swetambara dari perhimpunan Jain Ortodoks.

Kira-kira 4 juta lebih penganut ajaran Jain tinggal di negara India masa kini manakala yang selebihnya merupakan penduduk di negara seperti Britain, Amerika Serikat, dan Europa. Ramai juga orang Jain yang disalah laporkan sebagai penganut ajaran orang Hindu berasaskan tradisi Brahmana kerana kepercayaan asas mereka sama.

Masyarakat Jain tetap menjadi masyarakat terpencil dari masyarakat lain. Walau bagaimanapun, mereka ini merupakan golongan yang berpengaruh dalam bidang kewangan dan perdagangan selain ramai yang kaya-kaya.

Kepercayaan

Jain merupakan kepercayaan yang percaya kepada penaklukan segala godaan dan musuh dalaman seperti kemarahan, ketamakan, dan kebongkakan dengan meninggalkan keinginan duniawi serta hidup harmoni dengan alam. Mereka lebih teliti dalam menjaga keselamatan alam jika dibandingkan dengan penganut ajaran-ajaran dari guru-guru Brahmana atau orang Hindu biasa.

Mereka ini menekankan kepada ketidakganasan atau ahimsa. Ahimsa juga menyerap masuk dalam ajaran Buddha dan ajaran-ajaran lain yang berasal dari benua kecil India purba. Oleh itu, perkataan ahimsa juga ada ditemui pada lambang Jain yang berbentuk telapak tangan terbuka yang bermaksud berhenti. Walaupun ahimsa merupakan amalan dalam kebanyakan ajaran yang berasal dari benua kecil India, namun ajaran Jain lebih luas lagi konsep tidak ganasnya. Ia melibatkan segala jiwa di bumi termasuklah tanah, kuman-kuman, dan tumbuhan. Pemakanan mereka sangat dijaga agar tidak mencederakan jiwa yang lain. Mereka hanya memakan makanan seperti buah-buahan, kekacang dan susu. Mereka tidak menebang pokok, tetapi hanya mengambil apa yang gugur dari tumbuhan. Sesetengah orang Jain memakai penutup mulut dan hidung bagi menghalang benda-benda halus disedut oleh nyawa mereka dan membunuh benda-benda halus tersebut. Hal ini tidak bagus untuk karma.

Kepercayaan mereka terhadap karma sama dengan kepercayaan penganut ajaran Buddha dan penganut aliran agama orang Hindu yang lain cuma mereka lebih teliti. Karma merupakan perundangan perbuatan alam jagat yang mana perbuatan baik dan buruk itu memberikan kesan terhadap pelakunya. Dalam hal ini, karma boleh juga mempengaruhi penjelmaan roh dalam jasad pada masa akan datang. Karma yang baik akan menjelmakan roh dalam jasad yang baik serta menjaga roh tersebut manakala karma yang tidak baik pula sebaliknya.

Hidup dan Selepas Mati

Pemikiran Jain berpandangan bahawa jiwa atau roh itu terikat dengan jasad. Roh mempunyai ukuran yang boleh dibentur jadi roh yang sama dalam jasad seekor kucing misalnya boleh juga dimasukkan dalam jasad manusia.

Sastera suci Jain menyatakan bahawa ada lebih kurang 8.4 juta jenis jiwa atau roh. Jiwa sebenarnya tidaklah diciptakan sebaliknya abadi dan mempunyai kuasa tidak terhad, serta pengetahuan. Oleh itu, jiwa mempunyai potensi yang sama dengan ketuhanan.

Ada lima tahap dalam perkembangan manusia:

Sadhu dan Sadhuwi

Peringkat menjadi sami, kedua-dua lelaki dan wanita menjadi sami menurut aliran Swetambara.

Upadhyaya

Guru-guru sastera suci dan falsafah.

Acharya

Ketua kepada masyarakat kebiaraan.

Arihanta

Jiwa yang terbebas dan menerima keselamatan. Orang biasa dan Thirthankar menerima ketuhanan. Mereka yang menjadi Arihanta boleh membantu orang lain. Sehingga kematian mereka, mereka akan menjadi Siddha.

Siddha

Siddha bermaksud roh atau jiwa yang bebas tinggal di surga tertinggi sekali. Mereka sudah tiada rupa lagi serta tiada kaitan dengan bumi.

Tujuan kehidupan pengikut ajaran Jain sama seperti orang Hindu biasa. Mereka ingin mencapai Moksha. Moksha bermaksud menerima keselamatan dan bebas dari dijelmakan semula dalam kesengsaraan di semua triloka. Mereka harus menghapuskan karma yang menghalang jiwa mereka bebas. Untuk mencapai keadaan ini, seseorang itu haruslah hidup dengan tidak mencederakan jiwa dalam jasad lain serta berada dalam keadaan manusia. Jika seseorang itu tidak menerima moksha, selepas kematian jasad, rohnya akan dijelmakan semula atau terseksa dalam neraka. Neraka itu ada lapan tahap semuanya, setiap tahap akan menjadi semakin sejuk. Penyeksaan dalam neraka tidak kekal. Selepas diseksa roh seseorang itu dalam neraka, ia akan dijelmakan semula dalam bentuk lain di dunia. Ada banyak jenis surga juga untuk karma baik, ia juga tidak kekal.

Pahaman Ketuhanan dan Pandangan Semesta Jain

Orang Jain berpahaman banyak dewata atau tuhan. Mereka juga berpahaman segalanya adalah tuhan. Kepercayaan begini mempercayai bahawa segala makhluk hidup berpotensi menjadi tuhan. Mereka percaya dengan penjelmaan semula dan mencari moksha. Apabila roh itu terbebas maka ia layak dilabelkan sebagai tuhan. Orang Jain menolak sebarang sebutan mengenai Pencipta. Mereka tidak percaya kepada benda luar yang boleh membantu jiwa atau roh dalam jasad duniawi. Pemahaman begini juga menyebabkan setengah orang menganggap orang Jain sebagai ateis.

Pandangan semesta Jain berpandangan bahawa jagat raya dan segala yang ada ini abadi. Tiada apa pun yang wujud kini diciptakan atau dihapuskan. Jagat raya mengandungi tiga bahagian iaitu bahagian surga, bahagian bumi dan bahagian neraka.

Kebiaraan

Mahawira ada membangunkan tradisi kebiaraan. Menurut setengah orang, seramai 14000 sami dan 36000 sami wanita pernah menjadi sebahagian daripada masyarakat kebiaraan Jain pada saat kematian Mahawira. Sami-sami semuanya terikat dengan kehidupan petapa dan memegang "Lima Janji Agung" iaitu:

1. Ahimsa - tiada keganasan
2. Satiya - kebenaran
3. Asteya - tiada mencuri dan merampas hak orang dengan paksa
4. Brahmachanga - bujang
5. Aparigraha - tiada pemilikan

Sami-sami Jain lelaki atau wanita keduanya mesti mematuhi amalan seperti tidak makan depan orang awam, tidak memakai kasut, tidak tinggal di sesuatu tempat lama-lama, mesti botak kepala dan sami wanita mesti memakai pakaian warna putih.

Pemujaan

Pemujaan biasa dijalankan untuk meminta dewata membantu perjalanan pembebasan jiwa. Pemujaan ini berjalan di tempat awam seperti di koil batu atau di rumah yang ada pura nak serupa koil. Pemujaan melibatkan pembacaan montra dan puja sambil melihat ke rupa-rupa dewata.

Koil-koil Jain mempunyai pelbagai bentuk. Yang paling ringkas bentuknya sampai ke yang terbesar dengan hiasan-hiasan yang dicorakkan menurut cara mereka.

Koil kaum Digambara biasanya hanya ada berhala Thirthankara biasa sahaja manakala koil Swetambara mempunyai berhala dicat dan dihiasi dengan berlian, emas, bungaan, dan sebagainya sebagai satu cara mengabdi diri kepada dewa dan guru.

Hakikat Menarik

- Ajaran Jain dan ajaran Buddha diasaskan pada masa yang hampir sama.

- Mahawira juga meninggalkan hak warisan takhta keluarga diraja menjadi pertapa.

- Pekerjaan seperti berladang dihindari oleh pengikut Jain kerana bimbang membunuh serangga apabila membajak tanah.

- Masyarakat Jain di Europa, misalnya Belgium kebanyakannya terlibat dalam perniagaan berlian mahal.

- Tapa atau Samayika merupakan amalan harian bagi orang Jain waktu pagi. Kebanyakan orang Jain membaca Panka Namaskarais atau Sembahyang Lima bagi menghalau kejahatan, menyembuh penyakit dan nasib yang baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan