Sabtu, 17 September 2011

Buddha Yunani

Buddha Berdiri gaya ukiran Yunani dari abad 1-2 M dari kerajaan Gandhara (Pakistan kini) - Muzium Negara, Tokyo

Buddha Yunani atau Greco-Buddhism merujuk kepada persenyawaan antara kebudayaan Helenistik dengan Buddhisme. Ia mula berkembang sekitar abad keempat sebelum masehi sehingga ke abad kelima masehi di kawasan yang merangkumi benua kecil India dan kawasan dalam negara moden seperti Afghanistan, Pakistan, serta kawasan wilayah barat laut India kini. Ia merupakan kepanjangan kebudayaan yang melebar hasil dari perhubungan antara orang Yunani yang keluar masuk India purba sejak dari zaman Iskandar Agung. Hal ini membawa kepada pengasasan pemerintahan Indo-Yunani di kawasan tersebut selama beberapa abad. Ia berterusan ketika kegemilangan empayar Hellen Kushan.

Buddha Yunani ini mempengaruhi kesenian dan mungkin juga pembangunan kerohanian ajaran Buddha terutamanya aliran Mahayana yang mewakili salah satu daripada dua aliran utama ajaran Buddha. Sistem keagamaan ajaran Buddha juga dianuti di timur laut dan tengah benua Asia sejak dari abad pertama masehi dan melebar ke China, Korea, dan Jepun.

Itihasa Ringkas

Perhubungan antara kebudayaan Hellen Yunani dan ajaran Buddha telah bermula selepas penaklukan Iskandar Makadonia ke atas empayar Achamaenid yang kemudian diperpanjang lagi ke tengah benua Asia dalam tahun 334 SM merentasi sungai-sungai Indus dan Jhelum sejauh Beas jadi wujud lah hubungan terus antara benua sebelah barat dengan benua kecil India.

Iskandar membangunkan beberapa bandar di kawasan baru ditaklukinya seperti di Oxus dan Baktria. Ada juga penempatan orang Yunani di kawasan-kawasan Genting Khyber, Gandhara (Taksila), dan Punjab. Kawasan itu semua bersepadan dengan laluan muka bumi istimewa antara banjaran Himalaya dan Hindu Kush yang mana kebanyakan hubungan antara India purba dengan Asia Tengah berlaku sekaligus membawa kepada pertukaran kebudayaan dan perdagangan.

Berikutan kematian Iskandar pada 10 Jun 323 SM, diadokhoi atau pengganti-penggantinya mengasaskan kerajaan mereka sendiri di Asia Kecil dan Asia Tengah. Kesatria Seleukus membangunkan kerajaan Seleukid yang melebar sehingga ke India purba. Kemudian kawasan Timur kerajaan Seleukid berpecah lalu membentuk kerajaan Yunani Baktria (3-2 SM), diikuti dengan kerajaan Indo-Yunani (1-2 SM) dan kemudian berpecah lagi satu kawasan menjadi empayar Kushan (1-3 M). 

Hubungan antara orang Yunani dengan ajaran Buddha berlangsung beberapa abad lamanya sehingga berakhir pada abad kelima masehi dengan penaklukan orang Hun Putih dan kemudian penyebaran ajaran Islam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan