Rabu, 8 Ogos 2012

Bentuk Pekerjaan Jati Brahmana

Semenjak Buddhasakrat atau Era Buddha lagi, ada beberapa tokoh Brahmana yang menjalani pekerjaan buruh dan bukan semestinya seorang pendita sepenuh masa. Misalnya seorang Brahmana bernama Subhadra yang menganuti ajaran Buddha merupakan seorang jati Brahmana tetapi menurut dharmma pekerjaannya adalah seorang tukang gunting di Kampung Atuma.

Jati Brahmana boleh sahaja melakukan pelbagai pekerjaan, dan pekerjaan mereka tidak semestinya terbatas di kuil sahaja menjadi sami-sami seperti yang difahami umum. Mereka boleh menjadi pendita, orang alim, sarjana, peniaga, atau pahlawan seperti contoh dalam Rajatarangini Kalhana yang menonjolkan bahawa golongan Brahmana mempunyai nilai-nilai kepahlawanan lalu diberi gelar sebagai Brahmakshtriya pula. 

Contoh pertama adalah dalam ceritera Brahmana Parashuram yang juga merupakan salah satu dari 10 avatara dewa Vishnu Narayann. Parashuram diceriterakan sebagai pahlawan gagah berani yang mengalahkan habis jati kesatria Haiheya 21 kali banyaknya. Beliau berkemahiran dalam penggunaan senjata dan melatih yang lain-lain untuk berperang dengan tidak bersenjata, bertangan kosong sahaja. Parashuram dikatakan menaikkan Brahmana Bhumihar menjadi thakur atau tuan tanah selepas kaum kesatria dikalahkan. Brahmana Bhumihar selepas kejadian tersebut meninggalkan dharmma kependitaan mereka walaupun masih ada sedikit dari bilangan masyarakat tersebut masih mengamalkan ajaran Brahmana kerana kebanyakan mereka mengambil dharmma sebagai tuan tanah.

Pengikut sampradayam golongan Brahmana ada juga terlibat dalam bidang perubatan misalnya Brahmana Vaidya di Bengal yang memakai nama keluarga Gupta, Dashgupta dan Sengupta. Mereka ini dianggap sebagai keturunan kepada Dhanavatari iaitu jelmaan Vishnu Narayann yang merupakan dewa mewakili perubatan dan bapa kepada Ayurveda.

Brahmakshatriya

Golongan Brahmana ini merupakan golongan yang berkaitan dengan kaum Brahmana dan berkhidmat dalam istana golongan Kesatria. Dalam keluarga diraja Rajput, Brahmana menjadi guru-guru dan pelindung kepada putera-putera mahkota. Mereka digelar sebagai Rajpurohit dan mengajar sastram pelbagai nya kepada putera-putera diraja. Mereka akan menjadi varmmana melindungi takhta kerajaan sekiranya mangkuraja kehilangan ayahanda atau merupakan seorang kanak-kanak.  

Contoh untuk hal ini adalah Brahmana yang dikenali sebagai Chanakya merupakan seorang Rajpurohit kepada maharaja Chandragupta Maurya. Beliau membantu Chandragupta menakluki empayar Nanda yang teguh dan mengalang Alexander the Great dari menakluki kawasan India purba.

Raja-raja dinasti Pallava juga merupakan keturunan Brahmakshatriya. Nama mereka akan mempunyai imbuhan varmman di belakangnya. Contohnya seperti maharaja Jayavarmman I dari Kemboja memerintah sekitar 781 masehi merupakan seorang Brahmakshatriya. Ada lagi raja-raja wangsa Pallava yang memerintah di Asia Tenggara ini misalnya seperti di pulau Borneo. 

Selain itu maharaja Lalitadittya Muktapid dari Kashmir yang memerintah empayar Karkot juga merupakan seorang Brahmakshatriya. Beliau memerintah hampir seluruh India utara purba dan juga kawasan Asia Tengah dari Kashmir. Selain itu ada juga Brahmakshatriya dari kerajaan Champa di Vietnam moden memerintah pada 657 masehi yang merupakan seorang anakanda seorang Brahmana yang berkahwin dengan wanita keluarga diraja.

Pada zaman penjajah pun, Brahmakshatriya dari keluarga Purohit seperti Chandra Vikramaditya pernah memulakan kegiatan pembuatan meriam untuk pertama kalinya di India utara. Kemudian beliau dilantik menjadi perdana montri dan ketua turus angkatan perang empayar Sur di India utara sekitar 1556. Mereka berjaya mengalahkan tentera maharaja Akbar di Agra dan juga di Delhi.

Brahmaviyasa

Golongan Brahmana ini berjati Brahmana tetapi berdharmma vaisya atau pedagang dan petani. Contohnya Brahmana jati Ambastha di selatan India menjalani pekerjaan perubatan dan mendakwa pada zaman purba mereka pernah mengamalkan Ayurveda dan menjadi vaidiya (tabib). Semasa zaman British Raj, iaitu zaman penjajah di India, British menggalakkan mobiliti pekerjaan, jadi orang ramai mula memakai benang suci bagi melindungi identiti keagamaan dan dharmma mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan