Jumaat, 7 September 2012

Tokoh Brahmana: Ramakrishna Paramhamsa


Latarbelakang

Ramakrishna dilahirkan pada 18 Februari 1836 dan meninggal dunia pada 16 Ogos 1886. Beliau dilahirkan sebagai Godhadhar Chattopaddhae di kampung Kamarpukur di daerah Hooghly dalam wilayah Bengal Barat di India. Keluarga beliau merupakan keluarga miskin tetapi mereka berjati Brahmana yang ortodoks dan alim dalam ajaran agama dari aliran Vaishnava. Kampung beliau letaknya jauh dari jalan kereta api. Kamarpukur ketika itu masih belum disentuh oleh kemahsyuran bandaraya dan hanya mempunyai sawah padi, pokok nyiur, pokok Ara Jejawi, beberapa tasik dan dua tapak pembakaran mayat. 

Bapa beliau, Kshudiram Chatthopaddhae manakala ibu nya Chandramani Devi. Menurut pengikut Ramakrishna, ibu bapa Ramakrishna pernah mengalami pengalaman mistik dan melihat peristiwa-peristiwa pelik sebelum kelahiran beliau. Bapanya, Kshudiram, pernah bermimpi di Gaya yang mana jelmaan dewa Vishnu, Gadadhara memberi khabar bahawa anaknya itu nanti adalah jelmaan dewa Vishnu. Chandramani pula menurut cetera pengikut aliran Ramakrishna melihat cahaya yang bersinar dari kuil dewa Siva memancar memasuki rahimnya.  

Pendidikan Ramakrishna

Beliau menghadiri pembelajaran di sekolah sampai berusia 12 tahun. Kemudian beliau menolak pembelajaran secara begitu kerana beliau berpandangan bahawa beliau tidak berminat dengan pendidikan "untuk mencari nafkah". kamarpukur menjadi tempat persinggahan bagi mereka yang dalam perjalanan untuk berdharmmayatra ke Puri. Jadi Ramakrishna juga berpeluang bertemu dengan orang-orang alim yang singgah di situ. Beliau menjadi seorang yang mahir dalam purana-purana, Ramayana, Mahabharata dan juga Bhagavatapurana kerana selalu mendengar semua bahagian ini dari Brahmana yang mengembara serta dari Kathak. Ramakrishna boleh menulis dan membaca bahasa Benggali. Ketika biografi resmi nya menuliskan bahawa nama Ramakrishna diberikan oleh Mathura Vishwas yang menjadi pendita utama kuil Dakshineswar Kali, ada juga pendapat menyatakan bahawa nama ini sebenarnya diberikan oleh ibu bapa nya.     

Ramakrishna menggambarkan kecenderungannya terhadap kerohanian pada usia enam tahun. Ketika itu beliau berjalan kaki sepanjang sawah padi, dan beberapa ekor bangau berterbangan melintasi awan yang gelap dan disinari oleh kilat yang ditangkap oleh pandangan matanya. Pada saat itu, beliau terpana dan kemudian hilang kesedaran pada alam sekeliling sebaliknya berada dalam keadaan yang menyukakan yang tidak tergambar oleh kata-kata. Menurut laporan-laporan lagi, beliau pernah beberapa kali mengalami keadaan sebegitu misalnya semasa sedang menyembah dewi Vishalakshi, dan memainkan peranan dewa Siva semasa pementasan drama semasa perayaan Sivaratri. Ketika berusia 10 atau 11 tahun, beliau kerap dilanda kesurupan dan juga semasa beliau hampir meninggal dunia pun dalam tempoh semadi, beliau dilanda kesurupan hampir setiap hari. 

Bapa beliau meninggal pada tahun 1843. Lepas itu tanggungjawab menjaga keluarga jatuh ke bahu abang nya Ramakumar. Kehilangan ini menjadikan Ramakrishna rapat dengan ibu nya dan setiap hari beliau menjalani kegiatan di rumah dan upacara menyembah dewata rumah. Beliau juga terdedah kepada kegiatan merenung diri melalui pembacaan sastera-sastera agama. Ketika remaja nya, kedudukan kewangan keluarga Chattopaddhae mula terjejas. Ramakumar terpaksa membuka sebuah sekolah bahasa Sanskrit di Calcutta dan berkhidmat sebagai pendita untuk masyarakat di situ. Ramakrishna pun berpindah bersama Ramakumar ke Calcutta pada 1852 dan membantu dalam kerja-kerja upacara keagamaan.

Khidmat Sebagai Pendita di Kuil Dhaksineswar Kali  

Pada 1855, Ramakumar dilantik menjadi pendita di kuil Daksineswar Kali di bandaraya Calcutta yang dibiayai pembinaannya oleh seorang wanita kaya bernama Rani Rasmoni. Pada 1856 selepas Ramakumar meninggal, Ramakrishna pula dilantik menjadi pendita kuil. Selepas kematian Ramakumar ini, Ramakrishna menjadi semakin banyak merenung diri. Beliau melihat rupa dewi Kali sebagai ibu nya dan ibu kepada alam semesta. Ramakrishna dilaporkan berkata bahawa beliau melihat dewi Kali sebagai ibu jagat raya dan menggambarkan ketika itu dalam kata-kata: "...rumah-rumah, pintu-pintu, kuil dan segalanya habis hilang seolahnya sudah tiada apa lagi! Dan aku melihat di situ ada lautan cahaya tidak terbatas; lautan kesedaran. Sejauh mana pun aku melihat tidak kira dari mana-mana arah, aku nampak gelombang cahaya, satu demi satu datang kepada ku".   

Perkahwinan

Khabar angin merebak ke kampungnya di Kamarpukur bahawa beliau tidak begitu waras kepala otak nya disebabkan oleh kegiatan kerohanian di Dhaksineswar. Ibu Ramakrishna dan seorang lagi abang nya bernama Rameswar berkeputusan bahawa Ramakrishna mesti berkahwin. Mereka fikir bahawa perkahwinan mungkin boleh memberi kesan yang baik kepadanya dengan memaksanya menerima tanggungjawab kekeluargaan, membuatkannya menumpukan perhatian kepada hal-ehwal kekeluargaan yang biasa dan mengelakkannya terlalu taksub dengan kegiatan kerohanian dan menerima penglihatan ghaib.   

Ramakrishna dilaporkan berkata bahawa calon isterinya boleh ditemui di rumah Ramachandra Mukherjee di Jayarambati yang terletak tiga batu dari barat laut Kamarpukur. Pengantin perempuan beliau, Saradamani Mukhophadhyaya hanya berusia lima tahun ketika itu. Perkahwinan berlangsung pada tahun 1859 dan usia Ramakrishna ketika itu 23 tahun. Perbezaan umur yang ketara dalam perkahwinan cuma perkara biasa di kawasan pedalaman wilayah Bengal pada abad ke-19 M. Ramakrishna dan Sarada berada di Kamarpukur selama tiga bulan sahaja sebelum Ramakrishna pulang ke Calcutta menjalani sadhana di bawah guru-guru Tantra, Vedanta dan Vaishnava. Apabila berusia 18 tahun baru Sarada menyertai suaminya di Dhaksineswar. Ramakrishna memainkan peranan besar dalam kehidupan Sarada dan Sara merupakan salah seorang pengikut Ramakrishna yang setia. 

Ketika Sarada sampai ke Calcutta, Ramakrishna sudah memasuki tahap hidup sannyasi meninggalkan rumah. Jadi perkahwinan mereka bukan seperti perkahwinan orang lain. Apabila Ramakrishna menjalankan upacara-upacara misalnya seperti Sodashi puja, Sarada akan didudukkan di kerusi dewi Kali dan dipuja sebagai ibu jagat. Ramakrishna menganggap Sarada sebagai ibu jagat dan memanggilnya ibu suci. Sarada yang meneruskan pergerakan Ramakrishna dan ketika berusia 34 tahun, beliau lah yang berperanan dalam kelahiran gerakan keagamaan Ramakrishna.       

Amalan Keagamaan dan Guru-Guru

1) Bhairavi Brahmani dan Tantra

Pada 1861, Ramakrishna menerima Bhairavi Brahmani yang merupakan seorang wanita separuh abad yang berpakaian serba jingga sebagai gurunya. Wanita ini membawa bersamanya rupa batu mewakili Sri Rama dan semua dewata dikenali sebagai Raghuvir Sila. Wanita ini sangat mahir dengan teks-teks Gaudiya Vaishnava dan mengamalkan Tantra. Menurut Bhairavi, Ramakrishna pernah mengalami kejadian yang diikuti oleh Mahabhava iaitu kecintaan teramat terhadap ketuhanan. Beliau mengutip kata-kata dari sastera-sastera bakti bahawa tokoh agama lain seperti Radha dan Chaitanya juga mengalami hal yang sama.

Bhairavi memberi abiseka ke dalam Tantra kepada Ramakrishna. Ajaran Tantri menumpukan kepada pemujaan sakti dan tumpuan kepada latihan Tantri adalah untuk mencakupi sempadan yang ada antara suci dan tak suci sebagai tujuan untuk mencapai kebebasan dan melihat semua aspek alam semulajadi sebagai jelmaan kepada sakti ketuhanan. Di bawah tunjuk ajar Bhairavi, Ramakrishna melalui 64 sadhana tantri yang diselesaikannya pada tahun 1863.    

Ramakrishna memulai pembacaan mantra-mantra seperti japam dan purascarana serta banyak lagi amalan yang tujuannya untuk membersihkan minda dan mengawal diri. Kemudian beliau terus kepada sadhana tantra yang mempunyai amalan-amalan sayap kiri atau vamacara yang digunakan bertujuan untuk mencapai kebebasan misalnya seperti makan ikan dan daging, memakan bijirin digoreng, minum minuman keras dan hubungan jenis. Menurut kepada biografi Ramakrishna, beliau tidak terlibat secara langsung dalam kegiatan hubungan jenis atau minum minuman keras. Beliau hanya mengambil buah pikiran dari dua kegiatan tersebut untuk mendapatkan keputusan yang ingin dicapai. Ramakrishna mengiktiraf jalan sayap kiri walaupun ia mempunyai ciri-ciri yang tidak diingini sebagai satu jalan untuk menyedari tentang Tuhan. Beliau selalu mengingatkan pengikut dan pelajarnya supaya jangan terlibat dengan amalan sayap kiri.

Bhairavi ada juga mengajar Ramakrishna tentang kumari puja. Ia merupakan satu pemujaan yang mana dewi dara dipuja dalam rupa seorang gadis muda. Beliau juga diajarkan tentang Kundalini Yoga. Langkah-langkah yoga dan ajaran Tantra yang diajarkan Bhairavi memainkan peranan penting dalam perkembangan kerohanian awal Ramakrisna.      

2) Vaishnava Bhakti

Tradisi Vaishnava Bhakti membincangkan tentang lima perasaan hati yang dirujuk sebagai bhava. Ia bermaksud sikap berbeza-beza yang mana para pengikut boleh ambil untuk mencintai Tuhan iaitu:

1. Syantam - sikap bertenang
2. Dasyam - sikap seorang hamba pelayan
3. Sakhyam - sikap seorang kawan
4. Vatsalyam - sikap seorang ibu kepada anak
5. Mathuram - sikap seorang wanita terhadap kekasih

Pada satu tahap ketika penglihatan ghaibnya melihat dewi Kali dan perkahwinannya, Ramakrishna mengamalkan dasyabhava misalnya ketika memuja Sri Rama, beliau memuja dengan sikap Hanuman yang dianggap sebagai seorang pelayan setia Sri Rama. Menurutnya lagi, semasa mengakhiri sadhana nya, beliau melihat Sita Dewi meresap ke dalam tubuh nya.

Pada 1864, Ramakrishna mengamalkan vatsalyabhava semasa diajar oleh guru Jatadhari dari aliran Vaishnava. Beliau memuja rupa besi Ramlala (Sri Rama semasa kecil) seperti seorang ibu menyayangi anak nya. Menurutnya, beliau boleh merasai kehadiran Rama yang masih kecil berada dalam rupa besi tersebut.

Semasa mengamalkan amalan Vaishnava, beliau mengambil sikap mathura bhava iaitu sikap pengembala lembu dan Radha terhadap Sri Krishna. Semasa mengambil sikap ini, Ramakrishna memakai pakaian wanita untuk beberapa hari dan menganggap dirinya sebagai salah seorang gembala di Vrindhavan. Menurut Ramakrishna, sikap ini diambil untuk mencabut keluar pikiran tentang ghairah seks yang dilihat sebagai satu penghalang kepada perkembangan kerohanian. 

Menurutnya lagi, hampir kepada tamatnya sadhana, beliau mencapai savikalpa samadhi iaitu penglihatan ghaib dan kesatuan dengan Sri Krishna. Ramakrishna melawat Nadia iaitu rumah kepada Chaitanya dan Nityananda yang merupakan para pemula kepada gerakan kebaktian Gaudiya Vaishnava di Bengal pada kurun ke-15. Ramakrishna menyatakan bahawa beliau mengalami penglihatan ghaib dua orang budak lelaki meresap ke dalam tubuhnya. Semasa memuja dewi Kali, beliau juga dikatakan mencapai santa bhava terhadap dewi Kali. 

3) Totapuri dan Vedanta

Pada tahun 1865, Ramakrishna dinaikkan ke dalam tahap sannyasa oleh Totapuri. Totapuri merupakan seorang pendita yang mengembara dan berpengetahuan dalam falsafah Advaita Vedanta. Advaita Vedanta mengajarkan tiada dua sebaliknya hanya satu kewujudan. Totapuri mula-mula sekali memberi petunjuk kepada Ramakrishna untuk melalui upacara sannyasa meninggalkan duniawi. Kemudian dia diajar dengan ajaran Advaita bahawa: "Brahman sahaja yang benar sebaliknya dunia ini maya belaka. Aku tidak wujud secara berbeza sebaliknya aku lah Brahman". Semasa belajar dengan Totapuri, Ramakrishna dilaporkan melalui nirvikalpa samadhi. Ia dianggap sebagai tahap kesedaran tertinggi dalam kerohanian Brahmana.

Totapuri tinggal selama 11 bulan lamanya dengan Ramakrishna dan mengajarnya ajaran-ajaran mendalam tentang Advaita. Ramakrishna berkata bahawa ini lah saatnya nirvikalpa samadhi berakhir apabila beliau menerima perintah dewi Kali untuk berada dalam bhavamukha demi pencerahan orang ramai. Bhavamukha bermaksud tahap kewujudan perantaraan antara semadi dengan kesedaran biasa.

4) Islam 

Pada 1866, Govinda Roy yang merupakan seorang guru Hindu yang mengamalkan ajaran Sufi memperkenal Ramakrishna kepada Islam. Ramakrishna kemudian menyebut nama Allah berulang-ulang kali, memakai pakaian Arab dan orang Muslim serta melakukan salat lima kali sehari. Ketika itu beliau berasa tidak berminat dengan rupa-rupa berhala dewata Hindu dan kurang lah memuja rupa-rupa. Nampak seperti pemikiran Hindu sudah hilang dari minda nya. Beliau beramal seperti orang Islam selama tiga hari sebelum mendapat penglihatan ghaib nabi orang Islam dengan janggut putih bersinar-sinar dalam cahaya muncul dan meresap dalam tubuhnya.     

5) Kristian

Pada penghujung 1873, Ramakrishna mula mengamalkan ajaran Kristian pula apabila seorang pengikutnya Shambu Charan Mallik membacakan al-Kitab kepadanya. Ramakrishna berkata bahawa untuk beberapa hari, pemikirannya diisi dengan pemikiran Kristian dan tidak berpikir untuk pergi ke kuil Kali. Ramakrishna menceritakan gambaran bahawa gambar Maria dan bayi Jesus menjadi hidup dan turun dari gambar lalu meresap ke dalam dirinya. Dalam biliknya sendiri, ada tersimpan gambar Jesus dan beliau membakar colok cendana sebelum pagi dan petang pada gambar tersebut. Ada juga gambar Jesus menyelamatkan Saint Peter yang tenggelam dalam air.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan