Jumaat, 30 November 2012

Bangsa Hindu: Nagawangsa


Ini adalah sebagai pengenalan kepada wangsa nenek moyang orang di kepulauan Indonesia yang pada asalnya beragama Hindu dan menurut ajaran Buddha. Begitu juga di bahagian Tanah Besar Asia Tenggara termasuk lah di Tanah Melayu sehingga lah raja-raja tempatan menganut ajaran Islam dari Timur Tengah. Di negeri Kedah di utara Tanah Melayu, terdapat kawasan carigali purba yang boleh dikesan telah wujud sejak abad pertama masehi iaitu Lembah Bujang. Bujang bermaksud ular tedung. Ada juga setengah orang Melayu kampung yang memuja busut tempat tinggal ular tedung sebelum mereka mengenali ajaran Islam dengan lebih lanjut. Di Kemboja, lagenda permulaan kerajaan Hindu Pallawa pertama di Asia Tenggara dimulakan dengan perkahwinan Nang Soma iaitu puteri kepada raja bangsa Naga di Kemboja moden dengan Phra Thong atau Brahmana Kaundinya.

Nagawangsa merupakan salah satu wangsa dalam wangsa Kesatria di India purba. Kitab veda tidak menyebut pun tentang Kesatria ini sebagai Suryawangsa, Chandrawangsa, Nagawangsa, Agniwangsa atau wangsa lain atau salasilah. Purana Hindu menyediakan salasilah yang boleh dibina semula. Purana ditulis sekurang-kurangnya pada zaman Gupta sehingga seterusnya. Bhavishyapuranam menyebut 12 ekor ular dari langit seperti Takshaka, Vasugi, Sheshanaga, Anantanaga dan lain-lain. Swastika disebut sebagai senjata Takshaka. Swastika merupakan lambang suci penganut agama orang Hindu, ajaran Buddha dan ajaran Jina Mahawira. Di kuil-kuil Hindu dan rumah penganut agama Hindu, pada berhala Buddha dan berhala Mahawira, terdapat lambang ini. Dewata ular, Sheshanaga digambarkan sebagai katil kepada dewa Vishnu Narayana. Manakala Sang Sambu Maheswara digambarkan dililit oleh ular pada lehernya. Semua ini jelas menunjukkan hubungan wangsa Naga dengan masyarakat Hindu moden.    

Sebijik piring tembaga dari zaman Gupta mengaitkan para Naga di India purba sebagai bangsa yang diangkat ke taraf Kesatria menurut sistem agama Hindu. Piring tembaga zaman Gupta juga menyebut bahawa bangsa Naga pernah dikalahkan oleh kerajaan Gupta dan akhirnya mereka berkahwin campur. Satu contoh, maharaja Chandragupta II mengahwini Permaisuri Naga Kuveran. Para naga ini digambarkan sebagai kaum bukan keturunan Arya yang memuja ular di India purba. Walau bagaimanapun, purana hindu menyusun salasilah bangsa Naga sebagai kaum kecil dalam salasilah Suryawangsa. Pemuja naga atau ular dikenali juga sebagai naga atau nagil. Kelompok Nair dan Bunt serta setengah puak Rajaputra Hindu dan Jat mendakwa bahawa mereka berasal dari keturunan wangsa Naga.       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan